Nampaknya keinginan KAFA untuk mengumpul harta pada Jumaat ini hampir menjadi benar. Melalui portal berita https://www.theredwarriors.com berita ini seakan menghimpit sebahagian penyokong setia dan yang tidak setia.
Presiden KAFA YBHG. Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi untuk meminta penjelasan beliau berkaitan kenaikan harga tiket ini, beliau merayu para penyokong memahami situasi yang cuba dikongsikan KAFA bersama peminat ini. Berikut adalah sebab dan alasan utama diberikan Tan Sri Annuar Musa;
- KAFA telah memberi bonus RM80,000 kepada pasukan kerana berjaya layak ke suku akhir
- Sewa stadium dijangka naik kepada RM70,000 dan disahkan antara termahal di Malaysia.
- KAFA menambahkan kos untuk mendapatkan lebih 4 kali ganda daripada biasa khidmat anggota rela, polis dan pegawai bagi mengawal keadaan yang dijangka akan lebih tegang pada perlawanan di Kota Bharu nanti.
- KAFA akan memasang 2 skrin layar besar diluar stadium bagi memberi peluang pada penyokong yang tidak dapat masuk ke stadium
- Kos operasi KAFA juga meningkat kerana para pemain dan pegawai KAFA terpaksa berkampung di Kuala Lumpur sejak perlawanan KL Plus lalu, selain KAFA meletakkan lagi bonus sekiranya pemain berjaya ke separuh akhir dan akhir piala Malaysia
Oleh itu, Presiden KAFA berharap seluruh penyokong faham segala masalah yang dihadapi KAFA ini dan berharap dengan penjelasan ini akan meredakan kemarahan penyokong Kelantan yang marah dengan kenaikan ini. Ini bermakna setiap sen yang dibelanjakan adalah untuk meningkatkan mutu dan kualiti para pemain dan menjadikan bonus sebagai motivasi supaya mereka lebih cemerlang dalam pertarungan yang ditempuhi mereka nanti. Penjelasan ini mungkin tidak akan menyelesaikan kemusykilan yang ditimbulkan oleh pihak-pihak yang sering memburukkan imej KAFA tetapi sekurang-kurangnya ada dikalangan penyokong memahami kenapa harga tiket dinaikkan.
Antara lain kenaikan harga ini untuk memberi imbuhan kepada pemain kerana menunjukkan permainan yang membanggakan. Begitulah betapa "perihatinnya" KAFA terhadap pemain dan pegawai. Ini juga sebagai menghargai pemain dan pegawai yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan yang ditunjukkan. Selain itu ia juga sebagai pembakar semangat kepada pemain untuk berjuang menjulang Piala Malaysia buat kali pertama kepada rakyat Kelantan. Namun, di mana keperihatinan KAFA terhadap penyokong yang sentiasa memberi sokongan? Apakah dengan langkah menaikan harga tiket ini sebagai menghargai jasa peminat? Apakah ini sebagai pembakar semangat buat peminat agar terus menyokong pasukan? KAA juga menyeru penyokong memahami situasi yang dialami oleh persatuan. Ehmm..nampaknya KAFA pula tidak cuba memahami situasi peminat.
Langkah kerajaan negeri menaikan harga sewaan stadium dikatakan membebankan KAFA. Oleh itu KAFA terpaksa menaikan harga tiket sekali lagi. Mengikut laporan portal terbabit; sewaan "dijangka" naik. Nampaknya KAFA telah bertindak awal. Hanya baru "dijangka", tapi terus menghitung angka.
KAFA juga bertindak pantas dalam usaha meningkatkan pembangunan dan mutu bola sepak Kelantan. Itu adalah salah satu usaha yang bijak. Tidak dinafikan dalam usaha pembangunan ini sememangnya memerlukan kewangan yang tinggi. Oleh itu harga tiket mesti dinaikan dengan segera, pada tahun ini juga, pada Jumaat ini juga. Ya, segera. Dan seperti yang terkandung dalam portal itu juga "setiap sen yang dibelanjakan adalah untuk meningkatkan mutu dan kualiti para pemain". Tapi yang ditanggung oleh peminat bukannya "sen", tapi "ringgit". Mungkin ada yang berkata "apalah sangat RM15 tu. Dulu RM12, naik RM3 je". Itu kata sesetengah peminat je. Yang lain adakah mereka juga sanggup? Sanggup tidak sanggup sekalipun, Jumaat ini sudah pasti "dipaksa" menyanggupinya.
Beberapa stadium di Malaysia lengang kerana penyokong tidak hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing. Corak permainan yang lemah dan tidak menarik menjadi punca mengapa mereka tidak datang menyokong. Dalam mengatasi masalah kekurangan penyokong ini ada beberapa persatuan negeri dan kelab menurunkan harga tiket. Langkah ini harapannya untuk menarik kembali peminat ke stadium. Itu cerita luar Kelantan; Harga tiket diturunkan ketika kekekurangan penonton. Tapi cerita di Kelantan berbeza; tiket dinaikan setelah penonton bertambah.
Ulat tiket
KAFA sedar atau tidak atau buat-buat tidak sedar mengenai kehadiran "makhluk jahanam" @ ulat tiket? Ulat-ulat jadian seumpama ini berduyun-duyun, bergerak-gerak, berhimpun-himpun di luar stadium kita. Dengan harga asal RM10 dan RM12 "makhluk perosak" ini akan "memakan" hasil RM3-RM5 sekeping tiket. Itu ulat junior, kalau ulat senior dan veteran sudah pasti untungnya berganda. Ulat senior ini yang memang pandai bermain harga dan bijak mengurus (dan mencari) pasaran dan sasaran sebelum dan semasa perlawanan. Jumaat ini jika benar harganya RM15 (tempat terbuka) di kaunter, bermakna RM18-RM20 di tangan ulat. Itu "harga lantai" dengan ulat. Tapi aku percaya harga ini akan mencecah RM20-RM40 sekeping. Ulat-ulat ini sepatutnya berterima kasih kepada KAFA kerana kenaikan harga di kaunter memberi peluang kepada ulat menaikan lagi harga pasaran gelap.
Dalam situasi ini siapa yang patut dipertanggungjawabkan? Adakah pihak KAFA, atau peminat atau "makhluk jahanam" itu sendiri? Makhluk itu memang bersalah sangat-sangat kerana mengutip keuntungan tanpa kita rela. Patutkan peminat dipersalahkan kerana membeli tiket daripada ulat? Seringkali kita beratur panjang untuk mendapatkan tiket; macam nak mengundi. Tapi mengundi tidak menjadi masalah kerana kertas undi tidak akan habis. Masalahnya tiket bola ni akan habis, lebih-lebih lagi jika lawan Kelantan adalah pasukan pilihan. Macam mana tiket habis? Pertama; kerana ramai sangat penonton. Kedua; kerana telahpun digonggong ulat perosak. Ada yang berkata "datang awal dapatlah tiket tu". Seawal mana kita patut datang? Kalau awal ada jaminan tiket belum disapu bersih oleh ulat durjana?
Hadiah buat KAFA
Kenaikan harga tiket (sekali lagi dinyatakan) RM15 sedikit sebanyak dapat "menyelamatkan" KAFA dari dibebani bajet untuk membayar levi stadium, menambah bonus pemain & pegawai, dan memberi itu dan ini kepada KAFA. Dengan "sumbangan" daripada peminat-peminat nampaknya memberi kelegaan kepada KAFA. Pertembungan dengan Selangor pada Jumaat ini satu perlawanan yang menjadi tumpuan utama peminat bola sepak Malaysia. Jika Kelantan menang bermakna kita dapat menundukkan keegoan gergasi bola sepak Malaysia, Selagor. Jika Kelantan kalah...? Masing-masing ada jawapan dan ramalan tersendiri. Jika kalah...? Bermakna KAFA akan kehilangan keuntungan untuk mengutip jualan tiket pada perlawanan separuh akhir nanti. Jika kalah...? Bermakna..KAFA seakan "kena" menerima hukum karma agar tidak lagi mengaut keuntungan daripada jualan tiket.
Semut merah KECIL
Wira merah, Pahlawan Merah; itulah gelaran bagi skuad Cik Siti Wan Kembang. Itu gelaran untuk pemain. Wira Merah ini mampu menggegar dunia bola sepak Malaysia. Pasukan lain seringkali mengucap panjang panjang jika bertemu dengan Wira Merah ini. Tapi sebagai peminat, kita seakan Semut Merah yang kecil. Semut Merah Kecil yang tidak mampu untuk menggugat pengurusan KAFA dalam beberapa isu. Jika dulu isu pengurusan dan pemain. Segelintir daripada kita melenting dan membentak mengkritik tetapi sedikitpun tidak menggugat pengurusan. Kali ini Semut Merah Kecil sekali membentak dalam isu tiket. Apalah sangat gigitan kita ini. Sedikitpun tidak terasa. Pandangan kita, luahan kita, rungutan kita, sedikitpun tidak memberi tekanan kepada pengurusan KAFA.
*Aku hanya meluahkan pendapat dan perasaan. Sama ada yang setuju atau tidak terpulanglah. Biarlah aku menjadi salah seorang yang "menentang" KAFA dalam hal ini. Jika tiada yang bersetuju juga, biarlah aku seorang sahaja yang menjadi penentangnya. ...janganlah "menangguk di air jernih"...
* Mudah-mudahan kemenangan berpihak kepada kita Jumaat ini. Kemenangan pasukan Kelantan menundukkan Selangor, dan kemenangan kita "melembutkan" pihak KAFA agar harga tiket dikekalkan.
Link..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..