Cerita bola takkan habis sehinggalah Piala Malaysia berakhir 30 Oktober ini. Dalam pada itu sesuatu telah berlaku di Stadium Sultan Muhammed IV, Jumaat lepas; tiket palsu dan limpahan penonton. Sama ada KAFA tahu atau tidak mengenai dua perkara ini ia tidak menghalang ulat tiket untuk terus mengaut keuntungan atas angin.
*******************************************************************KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesan kegiatan penjualan tiket palsu masih lagi berleluasa ketika perlawanan suku akhir kedua TM Piala Malaysia, Kelantan menentang Selangor di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu pada Jumaat lalu.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, kegiatan itu dikesan setelah petugas bahagian tiket di pintu masuk stadium melakukan pemeriksaan sebaik sahaja perlawanan tersebut tamat.
“Kita tidak mempunyai angka yang tepat dari segi rampasan tersebut, namun yang pastinya ianya dalam kuantiti yang banyak.
“Mengambil iktibar daripada perkara ini, kita akan menambahkan jumlah petugas di setiap pintu masuk daripada 12 kepada 15 orang yang terdiri daripada anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Polis Diraja Malaysia (PDRM), petugas Kafa serta perbadanan stadium sendiri sebagai persediaan perlawanan separuh akhir kedua Sabtu ini.
“Kawalan ketat tetap diadakan dan sekiranya terdapat tiket palsu yang dikesan pada pintu masuk itu juga, penyokong tidak dibenarkan masuk,” katanya ketika sidang akhbar di Kota Bharu, semalam.
Annuar berkata, Kafa juga akan mengadakan satu sesi pemeriksaan kaunter bagi mengesan berapa jumlah tiket yang dijual serta berapa jumlah penyokong yang memasuki stadium.
“Ini bagi mengelakkan berlakunya limpahan penyokong yang memasuki stadium berbanding dengan kapasiti sebenar stadium ini. Kita tidak mahu situasi limpahan penyokong berlaku di Kota Bharu kali ini.
“Kita juga tidak menggalakkan kanak-kanak hadir ke stadium. Tetapi itu tidak bermaksud kita menghalang mereka untuk datang. Mereka yang datang bersama penjaga masing-masing perlu membeli pas yang berharga RM5 bagi membolehkan mereka memasuki stadium.
“Begitu juga dengan golongan orang kurang upaya (OKU) yang hendak datang ke stadium, mereka perlu memaklumkan kepada Kafa,” katanya.
****************************************************************************
Ini juga dari Sinar Harian (Edisi Kelantan):
Stadium bakal berubah wajah
KOTA BHARU – Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu akan berubah wajah pada tahun hadapan apabila dilengkapi dengan papan keputusan elektronik yang baru menggantikan papan keputusan sedia ada sekarang.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, dianggarkan lebih RM1 juta diperlukan bagi memasang papan keputusan elektronik di stadium itu bagi menggantikan papan keputusan lama yang usang dan jauh ketinggalan zaman.
“Peruntukan lebih RM1 juta itu diluluskan oleh Kerajaan Pusat melalui Kerajaan Negeri. Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menguruskan soal tender dalam masa terdekat.
“Kerja-kerja pemasangan papan keputusan elektronik baru itu dijangka akan dimulakan pada Disember ini. Kita berharap ianya dapat digunakan bermula liga musim depan," katanya ketika sidang akhbar, semalam.
Annuar berkata, Kafa turut mempunyai cadangan penambahbaikan antaranya berharap Kerajaan Negeri dapat mengkaji kemungkinan membina satu teres bertingkat di bahagian tempat duduk astaka dan tempat duduk terbuka berhadapan astaka.
“Tidak perlu peruntukkan yang besar bagi tujuan itu. Tidak perlu berpuluh-puluh juta, memadai sekitar lima hingga enam juta sahaja. Jumlah kerusi boleh ditambah sekitar RM10,000, saya fikir itu tidak ada apa-apa masalah.
“Saya yakin Kerajaan Negeri ada kemampuan untuk melaksanakannya. Harap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan kerana Kerajaan Pusat tidak boleh buat sebab stadium ini adalah milik Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) di bawah Kerajaan Negeri," katanya.
Menurutnya, Kafa sedia menilai satu opsyen untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri berkaitan pengambilalihan pengurusan stadium tersebut.
“Oleh kerana sekarang kita membayar kepada kerajaan negeri mungkin sudah melebihi setengah juta, Kafa ingin membuat tawaran untuk menguruskan Stadium Sultan Muhammed Ke-IV pada musim akan datang.
“Sekiranya Kerajaan Negeri tidak ada keupayaan melakukan penambahbaikan, maka Kafa bersedia mengambil satu opsyen untuk menguruskan stadium termasuk menambah kapasiti tempat duduk, termasuk mengadakan kemudahan-kemudahan yang wajib seperti bilik persalinan, lampu limpah berdasarkan peraturan FAM untuk pasukan yang bertanding musim depan.
“Kemudahan di stadium kita masih banyak tidak memenuhi kriteria ditetapkan dan kita berharap ianya selesai menjelang Disember ini. Untuk itu, kita menawarkan opsyen kepada Kerajaan Negeri melakukan penambahbaikan dengan kita terus kekal membayar levi kepada mereka dan alternatif kedua, Kafa menguruskan stadium dengan melakukan penambahbaikan sendiri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..