Al-fatihah buat allahyarham Chek Hashim Sulaima, semoga rohnya dicucuri rahmat. Salam tahziah buat keluarga allahyarham, semoga tabah menghadapi liku-liku hidup yang akan datang. Chek Hashim ialah ADUN Galas, Gua Musang; meninggal dunia akibat barah. Pemergian allahyarham telah membuka ruang kepada UMNO-BN untuk kembali merampas DUN Galas daripada PAS.
Seperti biasa, dalam mana-mana pilihan raya, kempen habis-habisan akan bermula. Dan dalam suasana kempen ini akan tersimpan, tersisip sesuatu yang akan meninggalkan kesan. Aku tertarik untuk melihat suasana sewaktu kempen. Dalam tempoh ini segala yang berlaku bagaikan pesta dan temasya. Rumah-rumah sewa atau tumpangan sudah semestinya menjanjikan pulangan yang lumayan kepada pemiliknya. Kedai-kedai makan akan menerima pelanggan yang tidak terkira ramainya. Dalam tempoh ini juga jalan raya akan kembali sesak seperti menyambut kedatangan hari raya.
Apa yang penting lagi untuk dilihat adalah "pesta" menabur janji, fitnah, duit, bantuan, dan macam-macam lagi. Tujuannya hanya satu; untuk menang. Jika menang, sudah pasti ini menjanji satu kepuasan kepada sang juara.
Dalam tempoh ini juga kita akan melihat tokoh-tokoh politik, pemimpin-pemimpin politik akan berkunjung menunjukkan muka. Jika sebelum ini pemimpin-pemimpin sibuk dengan urusan masing-masing, tetapi kali ini mereka akan tinggalkan seketika tugasan atau urusan mereka. Bila habis mengundi...adakalanya mereka "hilang"; kembali sibuk dengan urusan terdahulu.
Sesuai dengan namanya, Galas, sudah pasti calon yang bertanding akan mengalas sesuatu yang mereka akan tempuhi. Antaranya segala penat lelah, bersengkam mata, wang ringgit, tenaga dan kudrat. Semua ini akan digalas dengan sebaiknya untuk mencapai matlamat. Cuma, janganlah digalas dosa janji palsu, fitnah, ungkit-mengungkit dan keji mengeji.
Kadang-kadang aku terfikir juga; kubur arwah masih merah, tapi kita yang hidup sibuk dengan urusan perebutan takhta. Ada baiknya kita terus bersedekah al-fatihah kepada si mati daripada sibuk-sibuk berbalah merebut kuasa. Tapi, telah menjadi adat dunia demokrasi; penyandang yang pergi perlu dicari penggganti. Kalau tidak dipilih segera takut-takut rakyat tidak terbela (kononnyalah).
Walau apa pun, selamat mengundi kepada warga Galas. Buatlah pilihan anda dengan tepat. Semoga pemimpin yang kita pilih itu tidak hilang selepas menang. Semoga pemimpin yang kita pilih itu terus menerus memberi bantuan kepada kita walaupun selepas tempoh kempen. Kepada sang juara @ pemenang, galaslah amanah sebaik-baiknya. Amanah sebagai pemimpin, sebagai khalifah di Galas.
Link..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..