Kelantan kembali terajui liga
KOTA BHARU – Kelantan kembali merampas gelaran pendahulu liga biarpun hanya mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
Kekalahan tipis jiran tetangga, Terengganu 0-1 kepada Kedah membolehkan Kelantan mengungguli carta liga menerusi kelebihan jumlah jaringan walaupun berkongsi jumlah mata yang sama.
Seawal minit kedua, Kelantan menjelmakan kegarangannya untuk memburu gol pertama apabila hantaran lintang Mohd Nurul Azwan Roya ke dalam kotak penalti pantas disambut Norshahrul Idlan Talaha namun rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaizul Azuar Ali.
Selang seminit kemudian, pemain pertahanan Pahang, Mohd Shahrizan Salleh yang meluru ke atas sempat melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti namun tersasar jauh daripada pintu gol Kelantan.
Pada minit kelima, hantaran cantik ke belakang oleh Norshahrul Idlan kepada Mohd Nurul Azwan di dalam kotak penalti juga berakhir dengan kekecewaan apabila rembatannya hanya melintasi di depan pintu gol Pahang biarpun Mohd Rosfaizul Azuar sudah tertewas dalam situasi tersebut.
Pada minit ketujuh, Pahang kembali mencemaskan pintu gol Kelantan apabila Azamuddin Mohd Akil bijak melakukan lantaran lintang ke dalam kotak penalti namun Mohd Munir Amran gagal menampan hantaran tersebut biarpun pintu gol sudah ternganga.
Selang seminit kemudian, Ketua Pasukan, Muhd Badhri menceriakan penyokong The Red Warrior apabila menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan malam tadi. Sepakan lambung Mohd Nurul Azwan dari sebelah kiri pintu gol ditampan kemas Muhd Badhri sebelum tolakannya berjaya menewaskan Mohd Rosfaizul di gawang golnya.
Biarpun ketinggalan, pemain Pahang tidak mudah tertekan sebaliknya turut mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan. Hasil pada m-21, rembatan Mohd Munir Amran dari luar kotak penalti hanya sedikit melewati pintu gol Kelantan.
Pada m-24, tindakan Azamuddin Mohd Akil menjatuhkan Mohd Nurul Azwan di dalam kotak penalti mengundang padah apabila pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan. Namun Norshahrul Idlan gagal merembat tepat apabila sepakannya ditepis keluar Mohd Rosfaizul Azuar.
Pada m-28, kesilapan penjaga gol, Mohd Rosfaizul Azuar menyepak lemah pantas direbut Norshahrul Idlan yang sempat melorongkan bola kepada S Chanturu namun percubaannya pula dihadang pemain pertahanan pasukan pelawat.
Pada m-43, Azamuddin sekali lagi gagal menyempurnakan peluang terbaik bagi pasukannya apabila rembatan sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol setelah berlaku situasi kelam kabut di depan pintu gol Kelantan.
Seminit babak kedua bersambung, pasukan pelawat nyaris menyamakan kedudukan apabila hantaran lintang Mohd Munir gagal ditangkap kemas Khairul Fahmi namun tolakan Famirul Asraf Sayuti cukup lemah apabila Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid sempat menyepak keluar di atas garisan gol.
Malah, pada m-51, Mohd Munir sekali lagi menjadi duri dalam daging merencanakan corak serangan Pahang apabila sepakan percumanya dari jarak 25 meter nyaris menghasilkan gol namun kecekapan Khairul Fahmi menafikan hajat Pahang untuk menyamakan kedudukan.
Selang seminit kemudian, Kelantan kembali menggandakan asakan dan hasilnya Chanturu turut mempunyai peluang terbaik untuk menjarakkan kedudukan namun rembatan kencangnya dari luar kotak penalti sekadar menerjah jaring sisi sebelah kanan pintu gol Pahang.
Dua minit kemudian, Norshahrul Idlan yang kian dahagakan gol dalam usahanya memburu gelaran penjaring terbanyak liga sekali terlepas peluang apabila kuisannya diselamatkan Mohd Rosfaizul Azuar setelah Mohd Zaiza Zainal Abidin tertolak ke gawang sendiri dalam usahanya menyelamatkan situasi kelam kabut di depan pintu gol pasukannya.
Terdesak untuk mengukuhkan kedudukan, Datuk M Karathu pantas memasukkan Muhammad Ramzul Zahini Adenan pada m-57 untuk menambahkan sengat di bahagian serangan namun aksi mantap benteng pertahanan Pahang sentiasa menyukarkan rangkaian penyerang Kelantan untuk membawa masuk bola ke dalam kotak penalti.
Pemain sayap kiri, Mohd Nurul Azwan turut mempunyai dua peluang terbaik untuk mengukuhkan kedudukan Kelantan namun rembatannya pada m-61 tersasar di sebelah kanan sementara percubaannya empat minit selepas itu tersasar di sebelah kiri pintu gol Pahang.
Begitu di sebalik asakan menggila pemain Kelantan, Azamuddin yang menerima umpanan Ketua Pasukan, Jalaluddin Abu Jaafar sekali lagi turut mencuri tumpuan apabila sempat melakukan rembatan kencang yang melewati pintu gol pada m-69 perlawanan.
Pujian harus diberikan kepada penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaizul Azuar yang beraksi cemerlang malam tadi termasuk menyelamatkan percubaan Muhd Badhri dari luar kotak penalti pada m-74.
Sisa perjuangan anak buah Datuk M Karathu untuk menambahkan jaringan tertutup apabila tipu helah Norshahrul Idlan yang memperdayakan Mohd Hazri Rozali di sebelah tepi pintu gol Pahang berakhir dengan hantaran lintangnya gagal ditampan Muhd Badhri di dalam kotak penalti pada m-81 perlawanan.
Sementara percubaan terakhir Kelantan pada perlawanan hanya berbaki tujuh minit untuk ditamatkan juga hampa setelah hantaran silang yang dilakukan Mohd Nurul Azwan hasil serangan balas sempat dikeluarkan Mohd Shahrizan di depan pintu golnya.
Kesebelasan utama pemain:
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, S Subramaniam (Wan Rohaimi Wan Ismail), Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Solehin Kanasian Abdullah (Mohd Izuan Salahuddin), S Chanturu (Muhammad Ramzul Zahini Adenan) dan Norshahrul Idlan Talaha.
FORMASI : 4-4-2
PAHANG : Mohd Rosfaizul Azuar Ali, Mohd Saiful Nizam Miswan, Jalalludin Abu Jaafar (KP), Mohd Shahrizan Salleh, Mohd Zaiza Zainal Abidin (Muhammad Syawal Norsam), Mohd Hazri Rozali, R Surendran (Mohd Faizol Hussin), Famirul Asraf Sayuti, Mohd Munir Amran, Azammuddin Mohd Akil dan Mohd Shafie Zahari.
FORMASI : 4-4-2
Sumber: http://www.sinarharian.com.my (29 Mei 2011)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..