KUALA LUMPUR - Selangor mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super selepas mengalahkan T-Team 3-0 di Stadium Shah Alam, semalam sekali gus melupakan seketika kekecewaan tersingkir daripada saingan Piala AFC.
Safee Sali muncul wira buat skuad bimbingan K. Devan apabila menyumbat dua gol pada minit ke-43 dan 51, sebelum itu Bunyamin Umar telah meletakkan Selangor di depan melalui jaringan minit ke-34.
Kemenangan Selangor itu membolehkan mereka memiliki kelebihan tiga ke atas pasukan tempat kedua Terengganu selepas 11 perlawanan.
Terengganu semalam mencatatkan kemenangan besar 4-0 ke atas Perlis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah apabila Abdul Manaf Mamat menjaringkan dua gol pada minit ke-15 dan 58, diikuti jaringan Joseph Kalang Tie (32) dan Mohd. Ashaari Shamsuddin (35).
Sementara itu, Kelantan terus cemerlang apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas mengalahkan KL Plus 3-0 di gelanggang lawan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan dua gol disumbang oleh Norsharul Idlan Talaha pada minit ke-27 dan 39 sebelum Hairuddin Omar meledak gol tunggal di minit ke-73.
Di Stadium Darulmakmur, Pahang berjaya menewaskan pasukan pelawat, Kedah 2-1 walaupun ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama melalui jaringan Baddrol Bakhtiar sebelum bangkit hasil jaringan Azamuddin Mohd. Akil minit ke-49 dan Mohd. Shahrizan Mohd. Salleh minit ke-81.
Keputusan lain menyaksikan Kuala Lumpur menang tipis ke atas Perak 2-1 hasil jaringan Raimi Md. Nor pada minit keempat dan Badrul Hisyam Azmi minit ke-49 sebelum Perak cuba bangkit melalui gol tunggal Nazri Kamal lapan minit sebelum perlawanan tamat.
Utusan Malaysia (25 April 2010)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..