SEREMBAN - Setelah dinobat juara Piala FA, Negeri Sembilan mendapat 'nafas baru' apabila melaungkan kesediaan mereka untuk menggempur mana- mana pasukan dalam saingan Liga Super.
Skuad Rusa, di tangga keempat liga, percaya mereka masih berpeluang untuk bergelar juara Liga Super, jika mampu mengekalkan momentum kemenangan.
Lantaran itu, skuad kendalian, Wan Jamak Wan Hassan menjanjikan laluan sukar buat pasukan Kelantan, pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini hari ini.
Menurut Wan Jamak, kejayaan menjulang Piala FA, sabtu lalu, meningkatkan keyakinan pemain untuk meneruskan saingan Liga Super.
''Mencari tiga mata dalam setiap perlawanan membantu kami untuk membaiki kedudukan.
''Saya sudah menasihati agar pemain dapat memberikan yang terbaik sekali gus memperoleh tiga mata dalam perlawanan malam esok," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Jelasnya, pertembungan dengan Kelantan pasti sengit.
Namun, katanya kelebihan bermain di tempat sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
Namun, Wan Jamak mengingatkan pemain agar tidak terlalu yakin dan leka apabila menentang Red Warriors.
''Saya harap pemain agar tidak dibuai mimpi dengan kejayaan Piala FA," tegasnya.
Mengenai persiapan untuk perlawanan hari ini, Wan Jamak memberitahu, pasukannya menjalani latihan seperti biasa dan akan menurunkan kesebelasan utama.
''Pemain telah bersiap sedia dan saya akan menurunkan kesebelasan utama.
''Cuma pemain tengah iaitu Idris Karim digantung satu perlawanan dan dia akan diganti oleh Halim Zainal,'' jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..