Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Selasa, Ogos 23, 2011

Harta karun






RATUSAN tahun dahulu, ribuan kapal telah belayar merentasi Selat Melaka dan Laut China Selatan. Destinasi mereka adalah untuk mencari tanah baharu namun sebahagian besar daripadanya ingin berdagang dengan dunia luar.
Tidak hairanlah pada abad ke-15, perairan laut negara dipenuhi kapal yang membawa banyak barang dagangan. Sungguhpun begitu, tidak semuanya selamat sampai ke destinasi yang dituju.
Ada kapal yang karam di lautan sama ada disebabkan bocor terlanggar batu karang, dibedil dalam peperangan atau dipukul ribut.
Sejak dari zaman penjajahan Portugis, Belanda, British sehinggalah ke Jepun, semakin banyak kapal yang membawa pelbagai harta karam di perairan negara.
Pakar arkeologi yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Dr. Adi Taha pernah berkata, keadaan geografi dan sejarah perdagangan di Tanah Melayu menyebabkan ia memiliki banyak khazanah maritim berupa kapal karam dan harta karun.
“Bagaimanapun, ia bukanlah jongkong atau berlian sebaliknya pinggan mangkuk yang diperbuat daripada seramik, tembikar, senjata, wang syiling selain pelbagai barang dagangan pada zaman itu,” katanya.
Gading gajah
Antara usaha terawal dalam kerja mencari kapal karam di dasar laut dilakukan sekitar penghujung 1970-an apabila Kerajaan Terengganu bersama Jabatan Muzium dan dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menemui bangkai kapal karam tentera Jepun berhampiran Chendering.
Kapal yang karam kerana terkena tembakan peluru berpandu itu tenggelam kira-kira 30 meter di dasar laut. Kerja penyelaman dijalankan dan lakaran bentuk kapal itu berjaya dihasilkan.
Sementara itu, antara penemuan terbesar dalam kerja mencari kapal karam di dasar laut dicatat pada 1980-an apabila bangkai kapal dagang Risdam ditemui di perairan Mersing, Johor.
Kapal dagang milik Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) seberat 520 tan itu dibina pada tahun 1713 dan didapati karam pada 1727 akibat kebocoran.
Khazanah harta kapal karam yang ditemui dalam kapal itu adalah 90 batang gading gajah, kira-kira 100 jongkong timah dan dua tembikar Thailand.
SUDAH terbenam di dasar laut untuk tempoh lama, sauh ini asalnya dipenuhi dengan teritip.


“Operasi menyelamat khazanah kapal karam atau salvaj telah dijalankan oleh H.C Besancon iaitu ahli Butch East Wreck Foundation.
“Mereka mendesak kerajaan Belanda supaya satu rundingan dilakukan dengan kerajaan Malaysia untuk melakukan salvaj namun tidak berjaya.
“Akibatnya, mereka melakukan salvaj secara haram.
“Atas nasihat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, laporan itu telah dihantar kepada Ketua Pengarah Jabatan Muzium dan Antikuiti, Jabatan Kastam dan Eksais serta Kerajaan Negeri Johor,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan, Jabatan Muzium Negara, Samsol Sahar.
Tidak menolak tanggapan bahawa muatan kapal karam memiliki nilai komersial tinggi, bagi Jabatan Muzium, ia sangat berharga kepada negara, jelas Samsol.
Biarpun Risdam pernah diteroka pada tahun 1984, namun kerja-kerja sistematik mengikut kaedah arkeologi maritim hanya dimulakan pada tahun 1995 apabila Jabatan Muzium dan Antikuiti membuat kerja-kerja menyelamat khazanah terhadap kapal perang Belanda, Nassau di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Serpihan artifak yang ditemui oleh para nelayan ketika memukat ikan menjadi petanda ada kapal karam di situ.
Berbulan-bulan
Berkongsi pengalaman tentang bagaimana operasi salvaj dilakukan, pembantu muzium, Mohd. Suparman Mohd. Miskan berkata, ia tidak semudah kerja ekskavasi di daratan.
“Walaupun ada ratusan kapal yang karam di perairan negara, setakat ini Jabatan Muzium baru melakukan operasi salvaj ke atas 13 buah kapal dengan bantuan pakar dari syarikat swasta.
“Sebelum turun membuat kerja-kerja salvaj, banyak perkara yang perlu kami lakukan. Ini termasuk mengenal pasti lokasi kapal karam menggunakan pengimbas sisi sonar.
“Bukan mudah untuk menjumpai kapal karam kerana ia sudah ditimbusi pasir. Ada kapal tenggelam sehingga 63 meter di dasar laut.
“Keadaan seperti itu menyebabkan kami terpaksa mengambil masa sehingga berbulan-bulan sebelum dapat berjumpa dengan lokasi tepat,” katanya yang mengangap batu dan kayu balak dapat mengelirukan sistem pencarian yang digunakannya.
“Apabila sampai ke lokasi tepat, kami akan memasang grid menggunakan tali dan besi bagi memudahkan skala pencarian dan kerja mendokumentasi.
“Selepas semuanya selesai, baru kami menyelam untuk mencari dan mengumpulkan artifak,” katanya yang sudah lebih 10 tahun terlibat dalam operasi salvaj.
Ular
Selain menyelamat, artifak yang ditemui perlu didokumentasikan.
SETIAP artifak yang ditemui mempunyai kisah sejarah yang tersendiri.


“Seperti di darat, kami akan melukis penemuan di setiap tapak grid mengunakan pensel dan papan slip khas untuk mendapat gambaran lebih jelas tentang sejarah kapal tersebut,” katanya.
Selain Suparman, Mohd. Edry Awang Gani yang juga pembantu muzium, turut terlibat dalam misi salvaj.
“Kami akan turun secara berkumpulan dan bergilir-gilir.
“Kami tidak boleh terlalu lama di dasar laut kerana tangki oksigen boleh bertahan di antara setengah jam hingga satu jam sahaja,” katanya.
Di samping menyelam dan melukis, para penyelam akan memasukkan semua barang yang dijumpai ke dalam bakul sebelum ditarik ke atas.
Sampai saja tiba di atas, artifak yang kebanyakannya seramik dan porselin akan asingkan mengikut jenis sebelum dibersihkan.
“Ada artifak yang perlu direndam dengan air suling untuk membuang garam.
“Ada juga yang tidak boleh terdedah kepada persekitaran daratan dan terpaksa direndam untuk tempoh yang lama seperti hulu pedang dan sarung keris,” katanya yang mengakui kerja salvaj telah mengubah persepsinya tentang apa yang mungkin ada di dasar laut.
“Di bawah sana memang gelap, bahkan boleh dikatakan sangat gelap sehinggakan ada kawan di sebelah pun kita tidak perasan.
“Pernah juga ada penyelam daripada syarikat swasta yang dipatuk ular laut. Kami juga terdedah dengan sengatan obor-obor.
“Namun, seronok juga bekerja di bangkai kapal yang telah menjadi tempat tinggal ribuan ikan dan batu karang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..