KOTA BHARU – ‘Bukan meminta tapi sekurang-kurangnya biarlah pengorbanan kami dihargai’, mungkin itulah ungkapan yang tepat diluahkan barisan pemain skuad The Red Warriors mengenai keputusan Kerajaan Kelantan yang tidak berhasrat memberikan ganjaran di atas kejayaan muncul juara Liga Super, baru-baru ini.
Reaksi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fattah Mahmood dalam kenyataannya baru-baru ini menjelaskan, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan tidak mahu mengambil sikap terlalu memanjakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan pemainnya biarpun berjaya membawa pulang piala kejuaraan itu ke bumi negeri ini.
Ketua Pasukan Kelantan Muhd Badhri Radzi berkata, kejayaan skuad The Red Warriors muncul juara Liga Super musim ini seharusnya diberi penghargaan memandangkan Kelantan tidak pernah bergelar juara sejak piala tersebut dipertandingkan.
“Bukan bermaksud mengatakan Kerajaan Negeri tidak pernah bantu kita selama ini. Mereka juga sentiasa membantu selain pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sendiri yang banyak berkorban menjaga kebajikan pemain. Tapi, apa salahnya pemain yang berjasa diberikan sedikit penghargaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Bagi penyerang, Norshahrul Idlan Talaha, turut senada dengan berharap pihak Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan memberikan penghargaan sewajarnya kepada pemain Kelantan yang mencipta sejarah muncul juara buat kali pertama pada musim ini.
“Muncul juara Liga Super seumpama kita memenangi Piala Malaysia. Kedua-dua piala tersebut merupakan piala paling berprestij dalam pentas bola sepak negara. Setidak-tidaknya dengan adanya ganjaran dapat menaikkan semangat para pemain untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia sekali lagi pada musim ini,” katanya.
Bek kental, S Subramaniam yang berasal dari Perak mengakui sedikit terkilan kerana segala penat lelah selama ini membawa pasukan The Red Warriors menjulang piala buat pertama kali itu seolah-olah tidak dihargai.
“Walaupun itu hak Kerajaan Negeri dalam menentukan sesuatu pemberian tetapi tidak ada salah sekiranya jasa dan pengorbanan pemain dihargai kerana mengharumkan negeri ini.
Sementara itu, Mohd Daudsu Jamaluddin pula berkata, kejayaan bergelar juara menjadikan ianya satu sejarah yang harus dikenang dan menganggap pihak Kerajaan Negeri wajar menghargainya tanpa mengambil kira fahaman politik yang berbeza.
“Bukan mudah untuk kita muncul juara, kita bukan bermain 10 perlawanan tetapi mengharungi 26 perlawanan yang begitu padat sepanjang tujuh bulan.
“Tidak semudah itu untuk kita muncul juara setelah dikecewakan pada musim lalu apabila sekadar menjadi naib juara musim lalu,” katanya. -Sumber dari: www.sinarharian.com.my
_________________________________________
Wajarkah pemain meluahkah kata-kata begitu? Kata-kata yang dikatakan terkilan. Wajarkah kerajaan negeri Kelantan beranggapan tidak mahu memanjakan pemain dengan wang ringgit atau ganjaran?
Kerajaan negeri Kelantan bukan seperti kerajaan negeri lain, yang kaya raya dengan aset.
Ada baiknya wang yang ada diperutukan untuk pembangunan negeri. Dilebihkan untuk golongan yang lebih berhak seperti anak-anak yatim, rumah kebajikan ataupun untuk infrastruktur dalam negeri.
Purata gaji pemain adalah lebih empat angka. Ditambah dengan elaun atau bonus menjadikan empat angka itu makin membesar. Dengan kejayaan merangkul kejuaraan seperti Juara Liga, Naib Juara Piala FA, Juara Piala Malaysia, angka empat telah lebih membesar dan membiak. Kemudian ditambah pula dengan sokongan peminat yang sentiasa membajiri stadium sudah pasti ia akan menambahkan lagi pendapatan persatuan seterusnya menambahkan poket pemain. Tidak cukup?
"Bukan meminta tetapi sekurang-kurangnya biarlah pengorbanan kami dihargai". Adakah penghargaan itu dengan ganjaran wang ringgit? Pemain bercakap pasal pengorban. Pengorbanan pemain dan persatuan menaikan nama Kelantan di arena bola sepak tempatan. Pengorbanan itu memang tidak dinafikan.
Bagaimana pula dengan pengorbanan peminat dan penyokong? Penyokong yang sentiasa memberi sokongan padu untuk setiap perlawanan. Bagaimana pula agaknya "mereka" ingin menghargai peminat? Adakah dengan membawa kemenangan dan piala itu dianggap penghargaan kepada kami?
RM12 harga sekeping tiket terbuka; di antara termahal di Malaysia. Ada atau tidak dalam perancangan KAFA untuk menghargai peminat dengan menurunkan harga tiket? Separuh harga. Atau potongan 30 - 40%. Atau sekiranya "penghargaan" ini dilakukan KAFA akan bangkrap? Cuba tengok pasukan lain. Berapa harga tiket mereka? Adakah mereka mengalami kerugian yang membawa kepada kemiskinan?
Setelah Kelantan diangkat, pemain dijulang. Kemudian pemain akan mendapat habuan dari pelbagai sumber. Tapi adakah peminat juga mendapat habuan seperti mana pemain dapat?
Penyokong akan berhabis duit dan keringat serta tenaga. Kemudian? Pemain akan berhabis keringat dan tenaga. Kemudian ada habuan menanti.
Tidak cukup lagikah dengan wang ada?; Untuk apa ganjaran tambahan?; Untuk perbelanjaan hari raya?
Ramai lagi yang berhak menerima ganjaran dan habuan. Atau lebih tepat yang berhak menerima sumbangan.
Sekarang kerajaan negeri agaknya sedang mengumpul dana untuk projek lebuh raya Kuala Krai - Kota Bharu. Ini juga perancangan untuk memberi "penghargaan" bukan saja kepada pemain malah lebih besar kepada rakyat.
Ada baiknya kerajaan negeri memberi ganjaran kepada yang LEBIH BERHAK..
Walau apapun situasi dan keadaan pasukan KELATE tetap di hatiku.. Moga-moga Piala Malaysia tidak berpindah tangan untuk tahun 2011.
Walau apapun situasi dan keadaan pasukan KELATE tetap di hatiku.. Moga-moga Piala Malaysia tidak berpindah tangan untuk tahun 2011.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..