Tunku Abdul Rahman melaungkan kemerdekaan Malaysia |
Wanita pertama serah barang kemas
JARUM jam menunjukkan hampir pukul 3 petang. Sejak dari tengah hari, Siti Rahmah Kassim yang ketika itu berusia 29 tahun kelihatan sibuk menguruskan kehadiran ratusan peserta rombongan yang berkumpul di kawasan padang berhampiran pekan Rembau.
Biarpun agak keletihan, wanita itu tetap meneruskan tugas-tugasnya. Selaku penganjur, dia mahu semuanya berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.
Lapan buah bas yang ditempah khas juga sudah sedia di satu sudut. Kunjungan mereka ke Kuala Lumpur pada petang 30 Ogos 1957 itu bukan untuk bersuka ria, sebaliknya mahu menyaksikan satu peristiwa paling penting dalam sejarah negara.
Siti Rahmah sememangnya sudah lama menantikan tarikh keramat 31 Ogos 1957 itu. Perjuangannya bukan bemula sehari dua, tetapi sejak 1945 lagi melalui Persatuan Melayu Negeri Sembilan dan UMNO.
Dalam ceramahnya, dia banyak memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan wanita tentang kepentingan perjuangan membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah.
Kini berusia 86 tahun, dia merupakan orang pertama menyerahkan barangan kemas bagi membantu rombongan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke London untuk menuntut kemerdekaan.
Liputan meluas
Kisah Siti Rahmah dipukul oleh ibunya sehingga bajunya berlumuran darah kerana memberi gelang perkahwinan pemberian ayahnya pada sebuah majlis yang berlangsung di Dewan Hang Tuah, Bandar Hilir Melaka juga mendapat liputan luas akhbar-akhbar di Tanah Melayu.
Lamunannya terhenti, tindakan sekumpulan peserta lelaki yang tiba-tiba turun dari bas menarik perhatiannya.
Rupa-rupanya, di dalam bas itu bukan sekadar peserta tetapi ada beberapa anggota polis cawangan khas British ditugaskan untuk menggagalkan rombongan berkenaan.
“Mereka cuba menakut-nakutkan segelintir peserta bahawa orang putih akan menjatuhkan bom menggunakan kapal terbang ketika Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka di Stadium Merdeka.
“Tidak hairanlah, ada peserta yang terpengaruh dan mahu pulang ke rumah, namun saya berjaya memujuk mereka kembali. Itu semua taktik jahat orang putih dalam usaha mengagalkan kemerdekaan negara,” cerita anak kelahiran Batu Hampar, Negeri Sembilan itu.
Selepas melalui perjalanan panjang dan berliku-liku, rombongan dari Rembau itu akhirnya tiba di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur ketika malam menjelma.
Siti Rahmah berkata, ibu negara seakan-akan berubah wajah dengan kehadiran ribuan orang ramai dan kenderaan yang datang dari segenap pelosok tanah air.
“Menjelang malam, suasana di sekitar Kuala Lumpur penuh meriah diterangi lampu jalan. Semua orang berpusu-pusu menuju ke Padang Kelab Selangor sambil membawa sepanduk dan bendera Persekutuan.
“Bangunan Sultan Abdul Samad kelihatan begitu gah diterangi lampu- yang berwarna-warni. Di tengah-tengah padang terdapat tiga tiang bendera yang mengibarkan bendera UMNO di sebelah kanan, bendera Union Jack di tengah dan bendera Perikatan di sebelah kiri,” ujar bekas Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO Bahagian Terentang (Rembau) itu.
Laungan Merdeka
Katanya, tepat pukul 11.55 malam, Tunku Abdul Rahman diiringi 30 ahli Perikatan bermotosikal dan polis pengiring pun tiba.
Ujarnya, Tunku telah disambut oleh Datuk Abdul Razak Hussein dan beberapa pemimpin daripada ketiga-tiga parti Perikatan yang mengiringinya ke pentas di tengah padang. Suasana yang sebelum itu riuh-rendah bertukar sunyi sepi, masing-masing tidak sabar menanti detik 12 malam yang menandakan tarikh kemerdekaan negara.
“Tepat pukul 12 malam, jam di menara berbunyi. Secara spontan laungan Merdeka berkumandang daripada ribuan rakyat jelata yang memenuhi segenap penjuru padang,” jelasnya.
Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, saat yang tidak dapat dilupakan ialah ketika bendera Union Jack mula diturunkan dan lagu God Save The Queen dimainkan buat kali terakhir sebagai tanda berakhirnya pentadbiran British di Tanah Melayu.
Katanya, ketika itu air matanya mencurah-curah. Dia bagaikan tidak percaya Tanah Melayu akhirnya berjaya mencapai kemerdekaan selepas hampir 170 tahun dijajah British.
Pada malam itu juga, buat pertama kalinya lagu kebangsaan, Negaraku, diperdengarkan kepada umum. Ketika bendera Persekutuan Tanah Melayu yang kini lebih dikenali sebagai Jalur Gemilang dikibarkan, semua orang memberikan tabik hormat.
“Saya lihat wajah Tunku begitu berseri-seri selepas upacara malam itu, begitu juga dengan wajah-wajah rakyat jelata yang hadir.
“Masing-masing kelihatan begitu beremosi. Saya juga tidak terkecuali, ternyata perjuangan saya selama ini menyedarkan masyarakat tentang betapa pentingnya kemerdekaan telah berbalas,” ujarnya yang kini bergelar Datuk dan memegang jawatan Pengerusi Tetap Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Sembilan.
Episod kemerdekaan negara tidak terhenti begitu sahaja. Keesokannya, kira-kira 20,000 rakyat jelata berkumpul di Stadium Merdeka untuk menantikan pengisytiharan kemerdekaan negara secara rasmi.
“Malam itu saya dan suami menginap di rumah seorang kenalan lama di ibu kota. Tepat pukul 5.30 pagi, kami sudah berada di pekarangan stadium sambil menantikan upacara bersejarah yang bakal diadakan.
“Ketika itu terbit kebimbangan mengenai kisah serangan bom seperti didakwa oleh polis-polis cawangan khas British benar-benar terjadi, bagaimanapun dari mula hingga akhir majlis berjalan lancar,” jelasnya.
Menurut Siti Rahmah, upacara penuh simbolik di hadapan tetamu-tetamu kehormat seperti wakil kerajaan British dan wakil Raja-Raja Melayu jelas menandakan penjajahan British telah berakhir.
“Di atas pentas, saya melihat Tunku begitu segak dengan pakaian berwarna hitam Muskat ketika membaca watikah kemerdekaan. Ia diikuti laungan kemerdekaan sebanyak tujuh kali.
“Saat itu tiada kata-kata yang mampu diucapkan. Saya hanya mampu mengucapkan syukur kepada Allah di atas apa yang berlaku.
“Biarpun negara kini telah mencapai kemerdekaan selama 54 tahun, tidak bermakna perjuangan saya telah selesai. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan,” ujar serikandi terbilang itu.
_______________________________
Selamat menyambut hari kemerdekaan. Semoga Malaysia terus aman dan bertambah aman. Insya-Allah.
Cerita lalu: Merdeka merdeka merdeka!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..