Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Isnin, Ogos 30, 2010

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Seperti biasa mata aku sukar untuk lelap. Dan kesempatan ini aku cuba coretkan sesuatu yang telah lama aku tinggalkan; bagaikan menulis sebuah karangan pada waktu sekolah. Dan karangan aku tika ini berkisar mengenai "MERDEKA"!!

Setiap Ogos kita akan segera teringat (malah diingatkan) kepada bulan kemerdekaan. Dan tahun ini kita sekali lagi diingatkan dengan kemerdekaan negara. Namun setelah 53 tahun merdeka kadang-kala kita keliru apa itu makna di sebalik perkataan "merdeka".

Sebut saja perkataan "merdeka" pasti ramai yang menggangguk tanda faham. Tetapi dalam anggukan itu kadang-kadang kita lupa dan kita cuba mengeskploitasi perkataan "merdeka" itu dengan konatasi yang berbeza. Secara mudahnya "merdeka" itu bermaksud sesebuah negara atau negeri atau wilayah bebas dari penjajahan kuasa asing. Ia juga bermaksud kepada individu yang bebas dari pengaruh (tidak lagi diperintah/ menjadi hamba suruhan) sesiapa.

Kita kadang-kala menggunakan kalimah "merdeka" tidak kena pada tempatnya. Sebagai contoh seorang pelajar sekolah atau IPT akan melaungkan "merdeka" setelah tamat peperiksaan akhir. Hal ini seolah-olah peperiksaan itu suatu penjajahan ke atas pelajar. Seorang anak akan melaungkan "merdeka" ketika ibu bapanya tidak ada di rumah, seolah-olah ibu bapa itu penjajah asing yang sering menjengkelkan anak-anak.

"Merdeka" juga membolehkan kita bebas melakukan sesuatu tanpa terikat dengan mana-mana kuasa. Hal ini merujuk kepada situasi sebelum tahun 1957, di mana negara kita ditadbir oleh beberapa kuasa asing. Sebelum 1957, segala hal yang ingin dilakukan mesti mendapat kelulusan pihak berkuasa (penjajah). Setelah 1957, penjajah tidak lagi berhak memerintah itu dan ini. Ini bermakna kita mempunyai hak kebebasan untuk melaksanakan apa yang terbaik untuk kita. Tetapi makna "merdeka" itu dipergunakan oleh sesetengah pihak dan individu untuk melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang. Misalnya seorang pengguna jalan raya dengan bebasnya menyalahi undang-undang apabila tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Seorang anak dengan bebasnya bergaul dengan sesiapa, bebas melakukan sesuatu tanpa mempedulikan orang tua mereka.

Di sebalik "merdeka" itu juga sebenarnya kita tidak benar-benar bebas kerana kita ada aturan yang perlu diikuti. Mengambil contoh mudah, seorang anak perlu mengikut aturan ibu bapa, rakyat perlu ikut aturan pemerintah selagi mana tidak menyalahi syariat Islam. Dan yang paling utama mengenai aturan adalah aturan daripada Pencipta.

Merdekakah kita? Setelah diperhalusi kita sebenarnya telah kembali dijajah dalam bentuk yang lain terutama dalam pemikiran, tingkah laku dan beberapa perkara lagi. Persoalan penjajahan fikiran juga mempunyai konatasi berbeza bagi setiap individu. Secara mudahnya pemikiran dan tingkah laku kita sering membelakangi aturan pemerintah, ibu bapa, malah membelakangi aturan Allah. Apakah maksudnya? Kadang-kala kita terikut-ikut budaya sonsang barat. Kita mengagungkan sesuatu yang tidak patut kita agungkan. Kita sanjung seseorang yang tidak patut kita sanjung. Itu sebagai contoh; malah masih banyak lagi contohnya yang tidak mungkin aku nyatakan di ruangan yang terbatas ini.

Makna "merdeka" membawa konatasi yang berbeza, tetapi asasnya sama iaitu bebas tanpa dipengaruhi. Walau apapun maknanya kita seharusnya tidak merosakkan maksudnya untuk kepentingan diri. Manfaatkan "merdeka" itu dengan seadil-adilnya.

Ini adalah secebis fahaman aku terhadap "merdeka". Sesiapapun bebas membuat andaian apa itu "merdeka" mengikut fikiran masing-masing.

*Untuk mengenali apa itu "merdeka" kita tentu boleh saja merujuk mana-mana buku, makalah dan sumber-sumber yang ada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..