Tuah cabutan buat Kelantan, SelangorOleh Mohd Fitrie Muhamad
2011/08/06
Cabaran getir tunggu Hijau Kuning dalam Kumpulan A
JUARA bertahan, Kelantan sudah terbayang satu lagi impian besar – mempertahankan mahkota kejuaraan Piala Malaysia selepas melihat tuah undian memihak mereka, semalam.
Dalam majlis undian oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Stadium Nasional, Bukit Jalil The Red Warriors diletakkan dalam Kumpulan C yang turut membabitkan Johor FC, Felda United FC dan Sarawak – senario yang memberi gambaran peluang anak didik Datuk M Karathu tampak cerah untuk muncul juara kumpulan berkenaan.Juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor juga dilihat tidak menghadapi sebarang masalah mara ke saingan suku akhir apabila diletakkan satu kumpulan bersama Terengganu T-Team, Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Kumpulan D.
Apa pun, detik sama tidak dirasai bekas juara, Kedah yang diundi dalam Kumpulan A dengan lawan seimbang iaitu Perak, Sabah dan Johor.
Kelantan – jika menepati reputasi dan layak, halangan dalam kelompok lapan terakhir nanti mungkin membabitkan pertembungan dengan juara Piala FA yang baru, Terengganu atau pun Negeri Sembilan.
Andai The Red Warriors bertemu Negeri Sembilan di peringkat suku akhir, peminat sukan tanah air bakal kembali menyaksikan perlawanan ulangan Piala Malaysia, tahun lalu dan jika berlaku di sebaliknya, Kelantan bakal berentap pasukan tetangga dari Pantai Timur, Terengganu.
Terengganu yang diundi dalam Kumpulan B akan menentang Negeri Sembilan, Selangor PKNS dan Kuala Lumpur Sime Darby FC.
Annuar: Jangan perlekeh lawan
PENYANDANG juara Piala Malaysia, Kelantan dilihat meniti laluan selesa untuk mara ke saingan suku akhir setelah diundi bersama Johor FC, KL Felda United dan Sarawak dalam Kumpulan C pada kempen musim ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang gembira dengan keputusan undian tersebut bagaimanapun tidak mahu para pemain pasukan itu memandang mudah kelebihan tersebut.
Menurutnya, kesemua lawan mempunyai peluang seimbang untuk mara ke peringkat seterusnya selain senario Piala Malaysia adalah berbeza berbanding Liga Super.
"Kita berpuas hati dan gembira dengan keputusan undian tersebut. Bagi saya, kita sudah bersedia untuk bertemu manamana pasukan walaupun kita akan beraksi di tempat lawan pada perlawanan pembukaan nanti.
"Kita menerapkan falsafah untuk tidak memandang mudah mana-mana pasukan lawan yang kita hadapi.
"Sebagai juara bertahan, Kelantan harus mempamerkan prestasi yang cemerlang dalam setiap perlawanan tidak kira bertemu sama ada pasukan Liga Super ataupun Liga Premier," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Pelancaran Buffet Ramadhan Perdana Resort 2011 dan Majlis Berbuka Puasa The Red Warriors bersama anak-anak yatim di Perdana Resort dekat Kota Bharu kelmarin.
Annuar memberitahu, Kelantan tidak boleh mengetepikan saingan dua pasukan kelab iaitu Johor FC dan KL Felda United FC sekalipun pernah mengalahkan mereka dalam Liga Super musim ini.
"Saya mahu mereka dilihat sebagai suatu ancaman kepada The Red Warriors, begitu juga dengan kemampuan pendatang baru Liga Super musim depan, Sarawak kerana mereka merupakan antara pasukan kedua terbaik dalam Liga Premier musim ini.
"Kita tidak mengetahui kekuatan pasukan tersebut kerana tidak pernah bertemu dengan mereka musim ini.
"Sudah pasti mereka juga merupakan sebuah pasukan yang kuat kerana muncul naib juara Liga Perdana serta bakal beraksi dalam Liga Super musim depan.
"Apa yang penting bagi kita, Kelantan harus menunjukkan corak permainan dalam kelas yang tersendiri apabila bertanding dalam perebutan piala paling berprestij ini (Piala Malaysia)," ujarnya.
-Dari http://www.kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..