Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) hangat diperkatakan. Sejauhmana bersihnya “BERSIH” tidaklah dipastikan. Pada awalnya “BERSIH” bertekad untuk berarak di jalanan agar suara kumpulan ini dapat didengar dan diambil perkiraan oleh pihak-pihak yang terbabit. Melihat kepada beberapa tuntutan “BERSIH” ada benar dan ada musykilnya.
Tuntutan “BERSIH”
Pertama, “BERSIH” menuntut agar umur layak mengundi “diturunkan” dari umur 21 tahun ke 18 tahun. Secara mudahnya sesorang yang baru berusia 18 tahun ibarat “remaja tua”. Mungkin dengan usia yang baru (melangkah ke alam dewasa) mereka masih lagi belum matang dalam soal politik. Sejauh mana mereka tahu apa itu politik, pentadbiran, tanggujawab dan peranan undi dalam pembentukan sesebuah negara?
Remaja tua ini juga barangkali masih lagi terbawa-bawa dengan tingkahlaku remaja yang baru saja ditinggalkan. Kita bimbang dalam usaha untuk mereka memilih memimpin, emosional mengatasi rasional. Mereka mungkin “handal” dalam (mencapai keputusan) pendidikan jika diukur dalam SPM. Mereka juga handal dalam membentuk pemikiran generasi baru. Namun sejauh mana mereka handal dalam memilih memimpin?
Dari satu sudut tuntutan pertama “BERSIH” ini boleh diketengahkan. Remaja tua yang ingin melangkah ke alam dewasa perlu diberi peranan untuk menentukan siapa pemimpin pilihan mereka. Walaupun muda tidak bermakna mereka cetek pemikiran. Dengan dunia serba canggih ini segala akses pembentukan negara mudah dipelajari. Internet, media massa, dan pergaulan, menjadi “guru’ untuk mereka belajar memilih pemimpin.
Secara tidak rasmi remaja tua ini telah mempelajari erti kepimpinan dan politik ketika di alam persekolahan. Dengan penglibatan dalam ko-kurikulum sekolah itu sebenarnya sebagai permulaan untuk mereka. Berpersatuan dalam persatuan-persatuan sekolah, memilih ketua tingkatan, memilih ketua pelajar dan sebagainya, itu adalah proses pilihan raya pertama mereka.
Cuma, dalam skop yang lebih besar, sejauh mana mereka matang dalam memilih pemimpin melalui pilihan raya?
2) Dakwat kekal
Untuk mengelakan kesan undi “hilang” atau pudar, “BERSIH” berhasrat penggunaan dakwat kekal diperkenalkan. Ini tuntutan yang munasabah. Ada juga yang mencadangkan sistem biometrik bagi mengesahkan identiti pengundi. Cara ini juga dapat menghindar pengundi tidak berdaftar atau “pengundi hantu”.
3) Pendaftaran pengundi / pemilih secara automatik
Dengan langkah ini seseorang pemilih tidak lagi bersusah payah (tapi bukanlah susah sangat. Cuma kadang-kadang ada yang tidak ada masa, dan tidak ambil berat untuk mendaftar) ke pejabat pos, pejabat SPR, atau mana-mana tempat yang dikhaskan untuk mendaftar sebagai pemilih.
Untuk tuntutan ini SPR mesti mendapat kerjasama dari pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Setelah cukup umur seseorang, JPN secara automatik akan “mendaftar” pemilih baru dalam sistem SPR.
Namun sedikit ralat mungkin akan berlaku. Pertama adalah tempat pembuangan undi pemilih. Tidak semua pemilih menetap di tempat yang sama sepanjang masa. Contoh mudah: ketika umurnya 17 tahun, seorang pemilih menetap di Kelantan. Dua tahun kemudian dia berpindah dan menetap di Johor. Ketika berumur 17 tahun dia belum lagi layak mengundi dan alamat My Kadnya masih di Kelantan. Setelah umurnya meningkat 21 (jika umur 21 menjadi ukuran layak memilih) dia telahpun menetap di Johor. Ketika umur 21 secara automatik namanya berdaftar sebagai pemilih, tapi alamat di My Kadnya tidak akan menjadi automatik tertera alamat baru (melainkan dia segera ke JPN ketika menetap di tempat baru). Bila tiba proses pembuangan undi sudah pasti identiti pemilih (nama, nombor My Kad dan alamat) mesti tepat di antara dalam daftar pemilih SPR dan My Kad.
4) Tuntutan media cetak dan elektronik yang lebih seimbang dalam aspek penyampaian maklumat antara parti bukan kerajaan dengan parti kerajaan.
Ini tuntutan yang juga munasabah. Media massa utama sekarang dan sebelum ini adalah “hak milik” kerajaan. Stesen televisyen dan akhbar secara besarnya sering mengangkat kedudukan kerajaan ke tahap yang lebih tinggi.
Bila tiba pilihan raya, kita dapat liha bagaimana kempen parti kerajaan lebih mendapat liputan. Malah ada juga segmen atau program atau rancangan khas di stesen TV yang memberi ruang kepada kerajaan untuk berkempen.
Jika ada sesiapa atau pihak yang menafikan akan hal ini, ia memang mengecewakan. Parti pembangkang hanya bergantung kepada media altenatif seperti internet, “cerita kodai kopi”, dan mungkin sms. “BERSIH” mengharapkan layanan adil media tempatan terhadap calon yang bertanding.
5) Tangani Rasuah dalam Pilihan Raya
Adakah tuntutan “BERSIH” ini agar SPR membersihkan rasuah di kalangan parti atau calon yang bertanding? Bagaimana SPR untuk menentukan sesuatu itu adalah rasuah? Tidakkah kita patut menyerahkan hal ini kepada SPRM? Atau ada pihak yang cuba menyatakan SPR itu sendiri terlibat dalam gejala rasuah?
Sukar untuk kita menentukan apa itu rasuah ketika tempoh kempen dan proses pembuangan undi. Sering kita lihat ketika tempoh berkempen ada parti politik atau calon “menjamu” dan meraikan pemilih. Sesetengah majlis yang dianjurkan melibatkan kewangan. Contohnya: sumbangan calon kepada pengundi. Bantuan kewangan, barangan dan sebagainya. Tujuannya tidak lain tidak bukan untuk meyakinkan pengundi bahawa calon inilah yang prihatin, parti inilah yang menjamin masa depan. Adakah cara ini suatu rasuah yang didakwa oleh “BERSIH”?
6) Lanjutkan tempoh kempen
Pro dan kontra mengenai tempoh kempen. Jika tempoh kempen yang panjang ini diberikan akan membuka ruang untuk calon merayu undi lebih lama. Waktu ini akan membawa calon mempromosi diri habis-habisan. Tempoh yang panjang juga membolehkan calon melawat kawasan dengan lebih meluas.
Dari satu sudut tempoh kempen yang lama bukan keutamaan. Sepatutnya parti atau calon atau bakal calon “berkempen” walaupun bukan dalam musim pilihanraya. Maknanya di sini, parti yang memerintah, pemimpin, YB kawasan mesti menjaga rakyat sentiasa masa. Ambil tahu hal rakyat. Selalu melawat kawasan. Sentiasa menyelesaikan masalah rakyat. Jika ini dapat dilakukan, ia secara tidak langsung telah membuka ruang untuk rakyat / pemilih untuk terus setia atau berubah kepada pemimpin mereka.
Jangan jadikan tempoh kempen sahaja pemimpin melawat kawasan. Bila tamat pilian raya YB hilang entah ke mana.
7) Hapuskan sistem undi pos
Undi pos didakwa “talian hayat” untuk Barisan Nasional. Sejauh mana benarnya? Umum mengetahui pemilih yang layak mengundi secara pos adalah anggota keselamatan seperti tentera dan polis. Jika undi pos dimansuhkan bagaimana hak anggota keselamatan ini sebagai pemilih? Mereka juga rakyat Malaysia yang ingin memilih pemimpin yang difikirkan layak mentadbir negeri dan negara tercinta.
Tapi cerita kedai kopi melagukan bahawa anggota keselamatan ini menjadi talian hayat untuk BN untuk kekal memerintah. Anggota keselamatan “mesti” memilih wakil BN. Anggota keselamatan wajib memenangkan wakil kerajaan pusat. Itu cerita kedai kopi. Sejauh mana benarnya, hanya Allah lebih mengetahui.
Perhimpunan dan perarakan
Umum mengetahui hasrat “BERSIH” untuk berarak ke istana negara terpaksa dilupakan apabila Yang Dipertuan Agong “bersuara”. Lalu kerajaan mencadangkan perhimpunan ini diadakan di stadium. Dalam perkembangan lain ada juga di kalangan orang kuat kerajaan pusat tidak bersetuju. Apa-apapun kita serahkan kepada pihak berkuasa dan “BERSIH” untuk mencapai kata sepakat.
Namun di sebalik isu ini juga banyak pihak tampil dan bangkit dengan hujah masing-masing. Paling ketara adalah daripada pemuda UMNO dan PERKASA. UMNO tampil dengan satu kumpulan baru iaitu “PATRIOT” yang mendakwa mewakili majoriti senyap. Kumpulan ini dikatakan dibentuk untuk menghalang “BERSIH” meneruskan hasrat. “PATRIOT” bertekad untuk hadir pada tarikh yang sama, 9 Julai. “PATRIOT” ingin menjadi perisai dan bersedia menyekat “BERSIH” di jalanan.
“PERKASA” juga mempunyai misi yang sama. Mereka akan hadir untuk menentang arus kemaraan “BERSIH”. Usaha mereka tampak bena-benar bersungguh untuk menghalang “BERSIH”.
Kemudian timbul juga persatuan silat yang seiring dengan misi “PATRIOT” dan PERKASA. Sekali imbas tiga kumpulan ini bagaikan satu pasukan. Mereka akan hadir dan menghalang dengan apa cara sekalipun.
Di sini timbul sedikit persoalan. “BERSIH” dikatakan pertubuhan haram yang tidak dibenarkan berhimpun dan berarak. Kehadiran kumpulan ini pada 9 Julai akan dibanteras habis-habisan oleh pihak polis. Bagaimana pula dengan kehadiran “PATRIOT” dan PERKASA? Adakah “PATRIOT” dan PERKASA mendapat permit daripada polis?
Jika “BERSIH”, “PATRIOT” dan PERKASA hadir pada tarikh itu sudah pasti akan berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Di sini juga seakan menggambarkan “PATRIOT’ dan PERKASA tidak yakin dengan polis untuk menghalang “BERSIH”. Ini urusan polis, biarlah polis yang menjalankan tugas.
Undang-undang
Masing-masing kumpulan berhujah mereka mengikut lunas undang-undang. BERSIH” mendakwa mereka ada hak berhimpun kerana Perlembagaan Malaysia tidak menghalang. Polis pula menegaskan tindakan menghalang “BERSIH” adalah wajar untuk menghalang tercetusnya sesuatu yang tidak diingini. Penentang “BERSIH” juga yakin kehadiran mereka adalah tidak menyalahi undang-undang kerana kehadiran mereka untuk menghalang pertubuhan haram.
Sesiapa yang memiliki, menjual, mempromosi sesuatu yang berkaitan “BERSIH” ditahan untuk tindakan undang-undang. Ini termasuklah individu yang memakai baju T “BERSIH” yang berwarna kuning, ditahan. Tapi bagaimana pula individu yang memakai baju T merah yang tertera perkataan “PATRIOT”?
Ordinan Darurat diguna pakai untuk menghalang “BERSIH”. Oleh itu mana-mana pihak yang ada hubungkait dengan "BERSIH" mesti dibersihkan. Mesti ditahan. Mesti.
Pertelingkahan dan kacau bilau
Akan wujudkah kacau bilau jika “BERSIH” dibenarkan berhimpun? Mungkin ya, mungkin tidak. Mana mungkin pihak “BERSIH” dapat mengawal pengikutnya yang ramai. Berapa ramai yang betul-betul berdisiplin. Tapi andai ini (perhimpunan aman) mendapat jaminan “BERSIH”, mengapa polis pula tidak yakin?
Seandanya hanya “BERSIH” saja ada di jalanan, dan ia dikawal dan diawasi oleh polis secara dekat, rasanya matlamat perhimpunan aman dapat dicapai. Cuma, perarakan ini mesti tidak disertai (sebenarya lebih tepat ditentang) oleh penentang “BERSIH”. Biarkan polis yang mengawasi “BERSIH” ketika perhimpunan ini. Jika perlu tambah lagi anggota tentera bersama polis.
Tapi tiada siapa tahu apa yang akan berlaku pada hari kejadian. Pihak polis telah bersiap sedia.
Reaksi golongan akademik
Sememangnya sesuatu yang berlaku di dalam negara perlu “melibatkan” golongan akademik (termasuk golongan agama). Ahli akdemik juga tidak semuanya sependapat. Masing-masing ada hujah. Ada yang bersetuju, ada yang menentang dan ada yang mengambil keputusan berdiam diri.
Antara yang menjadi perhatian adalah pandangan daripada bekas Mufti Perlis, Dr.Asri Zainul Abidin dan Dr.Redhuan Tee Abdullah (UPNM) serta Dr.Aziz Bari (UIAM). Pandangan berbeza mengikut hujah dan perkiraan sendiri.
Popular
Sebenarnya secara tidak langsung “BERSIH” makin popular. “BERSIH 2.0” lebih popular dari “BERSIH 1.0” – tahun 2007 -. Saban hari saban minggu “BERSIH” diperkatakan. Media massa semakin galak membuat liputan “BERSIH”. Inilah yang mempopularkan “BERSIH”. Walaupun tidak semua “BERSIH” itu diperkatakan secara bersih, ia sedikit sebanyak membantu “BERSIH”.
Tidak keterlaluan jika kita katakan mesej “BERSIH” telahpun sampai kepada SPR dan YDPA. Walaupun YDPA belum menerima memorandom daripada “BERSIH”, pihak istana telah pun menerima sesuatu berkaitan tuntutan “BERSIH”.
Penyelesaian
Apa yang berlaku dalam Malaysia ditonton seluruh dunia. Jangan biarkan masyarakat luar terus bersorak dengan kepincangan negara Islam ini. Kata sepakat mesti dicapai secepat mungkin. Jangan biarkan kita terus dipandang sinis oleh musuh-musuh luar.
Sejauh mana bersihnya “BERSIH” ia bergantung kepada matlamat, cara, penyelesai dan reaksi semua pihak. “BERSIH” akan kotor jika ada tangan-tangan jahat yang cuba campur tangan dengan tidak kena cara.
Perlu diingatkan juga bahawa demostasi bukanlah cara yang TERBAIK untuk menyelesaikan masalah... Tapi ini adalah salah satu cara untuk mencapai penyelesaian terbaik..
BACA SEMUA LINK INI. BACA & FAHAM.. (susunan mengikut tarikh)
Dr. Asri Zainul Abidin: "Bersih" wajib berjalan dengan bersih
Dr. A. Samad Said: Unggun bersih
Dr. Redhuan Tee Abdullah: Jangan sampai terperangkap
Hanipa Maidin (Peguam): Polis ketagih salah guna kuasa ke atas penyokong Bersih
Dr. Mahathir Mohamad: Demonstrasi
Dr. Redhuan Tee Abdullah: Bersih dalam kotor
Dr. Asri Zainul Abidin: Cadangan untuk Bersih
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..