Untuk ke sekian kalinya Januari bertamu lagi. Disebabkan kekangan tertentu, catatan kali ini akan merangkumkan kesemua kategori. Ini juga kerana kekeringan idea serta ada sembilu kemalasan dalam diri.
Cerita pertama adalah bertambahnya angka umur. Januari kembali lagi dalam hidup kawe. Untuk kesekian kalinya Allah masih mengizinkan kawe bernafas di bumi-Nya. Tubuh badan masih lagi sihat walafiat seperti sedia kala walaupun dahi kelihatan semakin luas.
Seperti sebelumnya, tiada yang istimewa dalam pertambahan angka ini. Tapi kesyukuran kehadrat Ilahi mesti dipohon. Kenikmatan umur dan kesihatan adalah termaksud dalam hal istimewa. Buat keluarga, saudara mara, serta sahabat, terima kasih diatas segalanya.
Dalam pertambahan angka ini masih ada lagi yang tidak bertambah. Hanya Allah penentunya.
Januari ini juga mengingatkan kembali kawe kepada penderita ibu dalam menghadapi penyakit diabetisnya. Kini genap setahun Allah menguji ibu dengan kuasa yang ada pada-Nya. Alhamdulillah, sekarang semakin sihat. Tubuh makin berisi. Walaupun jalannya terhinjut-hinjut, ibu pantas melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri. Terima kasih ibu. (Baca selanjutnya)
Perkara kedua yang kawe terlintas dalam kepala adalah mengenai bola sepak Kelantan khususnya, Malaysia amnya. Dengan adanya aktiviti ini ia sebagai penghibur hati kawe. Sekurang-kurangnya hiburan ini yang akan membawa kawe lupa seketika dengan hal yang membebankan. Perkara yang menyesakkan fikiran. Allah huakhbar..
Ada beberapa perubahan yang terjadi dalam bola sepak Malaysia. Dengan "penghalallan" kembali pemain import diharap dapat memeriahkan arena bola sepak tempatan. Walaupun hanya dua orang sahaja dibenarkan dalam setiap pasukan ia dianggap baik sebagai permulaan.
Datuk M.Karathu akhirnya meninggalkan Kelantan setelah gagal mempertahankan Piala Malaysia. Indra, Farhan dan Azizie kembali ke pangkuan Kelantan. Begitu juga dengan James Butler, jurulatih kontroversi Kelantan pada 2009. Itu serba sedikit mengenai pasukan Kelantan sebelum memulakan langkah pada awal Januari 2012.
Pertembungan awal Kelantan dalam kancah bola sepak tahun 2012 adalah dalam mempertahankan Piala Sumbangsih. Tapi malangnya, piala ini terlepas ke Negeri Sembilan setelah tewas 1-2, pada 7 Januari lalu.
Ujian pertama Butler dilihat sebagai gagal. Namun ia masih awal untuk menilai kerana ini baru permulaan.
RTM kembalikan semangat bola sepak tempatan setelah bertindak sebagai rakan penyiar bersama Astro. Kali ini lebih serius. Jika sebelum ini RTM hanya mengambil satu slot secara langsung (Liga Super) pada hari Sabtu dan siaran tertunda pada Selasa, kini RTM mengambil dua slot siaran langsung pada kedua-dua hari tersebut.
Perkara ketiga yang mengisi awal Januari adalah beberapa perihal politik negara. Datuk Seri Anwar Ibrahim terlepas dari hukuman dalam kes liwat terhadap Saiful Bukhari. Hakim membebaskan Anwar pada 9 Januari lalu kerana kekurangan bukti untuk mensabitkan beliau dalam kes itu. Namun setakat catatan ini ditulis, peguam negara dan pihak Saiful boleh mengemukan rayuan terhadap keputusan ini. Penantian sejak 2008 akhirnya berakhir dengan pembebasan.
Sebelum Datuk Seri Anwar dilepaskan ada satu lagi berita yang menggegarkan arena politik negara. Datuk Dr. Hassan Ali, orang kuat PAS dipecat dari parti kerana kononya tidak sependapat dengan ahli parti. Dr. Hassan Ali yang tegas dalam mempertahankan Islam, Melayu dan raja. Namun disebabkan ada "sesuatu" dalam parti dan Pakatan Rakyat, Hassan Ali tidak lagi diperlukan.
Ironinya, sebaik sahaja Hassan Ali dikeluarkan daripada PAS ada pula ahli parti lawan yang memuji Hassan Ali adalah pejuang Islam sejati. Ketika berada dalam PAS tidak pula ahli parti lawan itu memuji Hassan.
Walaupun dipecat, Dr. Hassan masih lagi meletakan Datuk Seri Haji Hadi Awang; Presiden PAS, dan Datuk Pedang Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat; Musyidul Am (Penasihat) PAS, sebagai pemimpin yang layak memimpin parti dan Pakatan Rakyat.
Inilah Datuk Dr. Hassan Ali, insan istimewa yang benar-benar berprinsip.
Sekian, untuk kali ini. Serba ringkas catatan awal Januari.
..................................................................
Sebelum berakhir apa kata kita lihat video di bawah. Nilaikan..
Kemudian lihat ini pula...
Kedua-duanya mengenai Hudud. Hudud itu luas. Selalu juga ada yang keliru dalam kes hudud ini. Salah satunya mengenai kekeliruan kes liwat isteri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..