Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Sabtu, Ogos 28, 2010

Chuchoh Puteri B

RPT Chuchoh Puteri A dan B, 18000, Kuala Krai, Kelantan, satu kampung yang menjadi tempat aku mengenal A,B,C; Alif, Ba, Ta. Dibuka (diteroka) pada lewat tahun 1960-an - awal 1970-an di bawah Rancangan Pembangunan Tanah KESEDAR. Jaraknya lebih kurang dua jam perjalanan dari Kota Bharu. Satu kampung yang biasa saja tetapi indah pada pandangan ku. Aku sekeluarga tinggal di  Chuchoh Puteri B (juga dikenali dengan Blok B). Setelah berhijrah ke Kota Bharu pada penghujung 1997, desa tercinta itu aku kunjungi sekali sekala, itupun pada musim buah-buahan.


Hampir empat tahun aku tidak pulang ke sana. Dan semalam aku berpeluang. Walaupun hanya beberapa jam di desa tercinta sedikit sebanyak mengundang kenangan lalu bermain di ingatan.


Kini ada perubahan yang ketara terutamanya Sekolah Kebangsaan Cuchoh Puteri (berada di Blok B). Jaraknya lebih kurang 1KM dari rumahku. Bermula dari darjah satu sehinggalah darjah lima aku (dan juga adik beradik yang lain) berjalan kaki ke sekolah. Dan sebahagian besar murid-muridnya juga berjalan kaki, kecuali murid dari Blok A (jaraknya lebih kurang 3-4KM). Uniknya SKCP ini, ia mempunyai asrama. Dengan bayaran RM5.00 sebulan aku juga sempat mengecapi alam asrama ketika darjah enam. Tinggal di asrama memberi pengalaman baru kepada ku. Di sini aku mengenal erti berdikari (walaupun tidak sepenuhnya). Salah satunya adalah cuci pakaian sendiri.


Bangunan yang baru terbina di segenap ruang kawasan. Jika dulu hanya bangunan teres terdiri, kini ia bertingkat-tingkat. 13 tahun dahulu dan tahun-tahun sebelumnya murid-muridnya dianggarkan sekitar 400 orang. Kini dengan pertambahan bangunan baru bermakna murid-muridnya telah bertambah.


Sungai yang dulunya menjadi lokasi penting untuk memburu ikan sungai dan tempat utama melakukan gaya bebas, kuak kupu-kupu, acara terjun dan sekali sekali dijadikan medan peperangan tanah liat; kini hanya tinggal kenangan. Kedalamannya mula berubah sehingga hanya separas betis. Semak samun kelihatan di sekitar tebing muaranya.


Di sini bekalan airnya dari tadahan air bukit. Dengan bayaran RM0.50 setahun (selalunya jarang dibayar) seluruh kampung akan menikmati bekalan air yang cukup nyaman; air bukit yang sejuk dan putih jernih. Bila tiba tengkujuh, saluran air akan tersumbat dan ini akan mengganggu aktiviti harian penduduk. Dan sungai akan menjadi satu lokasi yang paling sibuk waku itu. Bagaikan tempat reaksi, ia dipenuhi oleh pengunjung sama ada untuk mandi-manda, membasuh dan aktiviti rafting pelampung tiup lori.


Di sungai ini juga tersimpan nolstagia pahit pertama dalam hidup aku. Difitnah membunuh!! Ya, membunuh. Membunuh seekor anak kambing. Peristiwa itu berlaku pada tahun 1994, sewaktu aku darjah 3M. Entah dari mana puncanya aku tiga bersaudara dituduh menyebabkan kematian seekor anak kambing. Tuan kambing itu tinggal berhampiran sungai. Suratan atau kebetulan hari itu aku dan saudara ku bersendirian mandi sungai. Esoknya sewaktu di sekolah (di waktu rehat) aku diajukan soalan yang lebih mirip kepada tuduhan; "Kenapa kau bunuh kambing aku?". Tuduhan itu dilempar oleh pekerja kantin sekolah, anak perempuan pakcik yang kematian kambing itu (aku masih ingat nama keluarganya tapi malas untuk nyatakan di sini).


Di dalam kelas aku diejek dan ditertawakan oleh beberapa rakan sekelas kerana "membunuh". Di kampung keluarga ku juga terkena tempias. Namun ibu dan ayah aku lebih kenal siapa anak-anaknya; mana mungkin kami yang melakukan pembunuhan itu. Dipendekkan cerita; kisah itu berakhir dengan sendiri. Dan beberapa tahun selepas itu (setelah kami berpindah ke Kota Bharu) barulah "keluarga kambing" tersebut bertegur sapa dengan ibu aku (walaupun tiada ucapan maaf kerana mereka menuduh, tapi dengan teguran itu kisah pembunuhan itu berakhir). Namun, dalam tempoh konfrontasi itu anak lelaki penuduh itu adalah rakan sepermainan kami adik beradik. Hubungan kami tiada masalah.


Kisah kambing itu adalah secebis cerita sahaja. Tersimpan sejuta kenangan yang masih segar dalam ingatan.


Pulang ke desa menenangkan jiwa ku seketika. Kesibukan kota, deruman enjin kenderaan, dan tiupan angin bandar, ditinggalkan seketika. Dan ini menenangkan jiwaku yang sedikit bergelora selama ini.


Sungai Besar/ Bijih
Sungai di atas bukan sungai yang menyimpan kenangan pahit aku. Ini adalah salah satu sungai yang ada di Chuchoh Puteri. Saiz lebarnya yang jauh berbeza dengan sungai-sungai yang ada menjadi sebab mengapa sungai ini dinamakan Sungai Besar. Dikenali juga dengan Sungai Bijih kerana berhampiran dengan kawasan bijih (aku tak pasti bijih timah atau besi). Kawasan bijih ini wujud sebelum aku lahir lagi.


Jambatan Sungai Besar
Jambatan ini penghubung kepada beberapa penduduk (termasuk kami sekeluarga) untuk ke kebun getah dan kebun buah. Dulunya jambatan ini binaan kayu. Dek kerana sering dilimpahi air sungai ketika tengkujuh, jambatan ini kian usang. Kini ia diganti dengan binaan konkrit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..