"Setahun sudah berlalu Januari muncul kembali dengan kehangatan semalam, tanpa ku sedari jemari ku berdetik, ku tulis sebuah catatan, tapi sayang pada siapa catatan ini kan ku beri."
Dipetik dan diubasuai daripada lagu "Setahun sudah berlalu", nyanyian Allecats.
Hari ini 7 Januari, seminggu tahun baru 2011. Hari ini 7 Januari bersamaan 3 Safar 1432 Hijriah, bulan kedua Hijriah. Hari ini 7 Januari, tahun baru bagi aku untuk bernafas. Hari ini 7 Januari, usia aku mencecah ke angka 26. Insya-Allah, pada usia yang baru ini juga akan membuka buku baru yang lebih baik. Mengikut taqwin Hijriah, pada 16 Rabiul Awal 1432 nanti usia aku akan mencecah ke angka ke-27 (lahir pada tahun 1405H).
Seperti biasalah, perkiraan tahun masihi digunakan untuk perhitungan usia kita. 7 Januari 2011 menjadikan aku lebih dewasa. Sebelum ini aku istilahkan "pengurangan umur" untuk perhitungan usia.
Syukur kehadrat Illahi, pada 7 Januari 2011 ini "jatuh" pada hari Jumaat; penghulu segala hari, hari yang penuh dengan keberkatan.
26 tahun berada di muka bumi Allah. 26 tahun bernafas bernafas di alam semesta-Nya. 26 tahun tahun menjadi anak kepada seorang ibu dan ayah. 26 tahun. Satu tempoh masa yang agak panjang. Tapi dalam detik ini aku masih lagi tercari-cari siapa aku sebenarnya. Masih lagi tergapai-gapai mencari erti hidup. Masih.
Alhamdulillah, walaupun masih lagi tercari-cari identiti dan jati diri aku dikurniakan dengan kebahagiaan yang mungkin tidak semua insan lain memperolehnya. Kurniaan keluarga bahagia; ibu dan ayah, abang-abang, kakak serta adik-adik; juga dengan sanak-saudara.
Di sebalik kurniaan ini aku sedekit tersentak dengan sesuatu; emak sakit lagi. Dua tiga hari yang lalu kakinya terpijak paku lagi. Kali ini pijakannya memberi kesan. Mudah-mudahan dengan pembaruan umur aku ini, Allah kurniakan juga pembaruan usia ibu (dan juga ayah). Insya-Allah.
Allah juga kurniakan aku dengan sahabat-sahabat yang jauh juga yang dekat. Sahabat yang sentiasa mendampingi dan sentiasa di hati. Sahabat sejati yang dihajati dan diimpikan oleh setiap insan.
Alangkah bertambah indahnya hidup jika aku dikurniakan sesuatu yang belum aku peroleh selama ini. Sesuatu yang belum ku kecapi. Hanya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat ku (juga buat semua hamba-Nya). Sesungguhnya aku hanya mampu berharap dan berdoa, yang berhak dan berkuasa adalah Allah S.W.T, tuhan yang esa. Bagaimana pula dengan usaha...
Ini semua dugaan Allah. Mungkin juga balasan Allah terhadap kelalaian dan kealpaan aku sebagai hamba-Nya. Mungkin juga usaha ku belum cukup. Sejauh mana aku berusaha...? Semuanya berkemungkinan. Aku redha dengan ketentuan-Nya. Aku akur.
Mudah-mudahan pada usia yang baru ada perubahan dalam diri. Insya-Allah, ada pengakhiran yang baik untuk aku suatu masa nanti.
*Terima kasih buat seorang sahabat; yang mendahului sahabat yang lain mengucapkan "selamat hari jadi" dan mendoakan aku ke arah kebaikan.
*Pada usia yang baru ini aku juga memanjat pengharapan kepada Illahi agar ibu dan ayah serta keluarga; saudara; dan sahabat beroleh kebahagian berganda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..