Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Sabtu, November 27, 2010

Bila emak tak sihat

Jumaat, 26 Nov.: Sebelah pagi; emak seperti biasa dengan rutin hariannya menyediakan sarapan, berkebun dan sedikit sebanyak menyapu laman. Pagi ini kami sekeluarga bersarapan nasi lemak berlauk sambal ikan bilis bercampur petai. Awal petang, lepas solat Jumaat, emak terbaring di ruang tamu. Katanya demam sikit. Demam emak berlanjutan sehingga ke Isyak.

27 Nov, lebih kurang jam 0100, emak beransur sihat. Alhamdulillah. Nampaknya dah boleh bangun daripada tidurnya.

Selalunya demam emak tidak lama. Dalam dua hingga tiga hari kebahlah. Kencing manis dan darah tinggi mula menyerang sekian lama (akupun tak pasti sejak bila). Bertemankan ubat moden dan juga tradisional, emak masih gagah berbakti pada kami. Biasanya penghidap diabetis dan darah tinggi akan "didampingi" dengan penyakit buah pinggang. Tapi setakat ini penyakit "buah" tu belum memberi tanda-tanda akan turut bersama dengan darah tinggi dan diabetis. Alhamdulillah. Tapi jika penyakit buah pinggang "turut serta mendiami" tubuh emak, "mereka" akan melengkapkan penyakit "tiga beradik" mengikut gurauan orang-orang kampung.

Ketika kecil, bila anak-anak emak sakit, emak dan ayah akan turut "merasai" sakit. Anak tak boleh lelap, emak dan ayah juga tak boleh lelap. Bayangkan kami 13 beradik, bagaimana agaknya emak menjaga kami ketika sakit. Bagaimana agaknya emak turut merasai demam yang kami alami.

Minggu lalu hari lalu kaki emak terpijak paku. Alhamdulillah, tak teruk sangat. Kami bersyukur dalam usia 57 tahun (ayah 60 tahun), emak masih bertenaga. Dan walaupun kaki sedikit sakit, emak masih dengan rutinnya. Kesan luka kecil di kaki telah mengering, tapi emak terasa gatal-gatal. Dikupasnya perlahan-lahan untuk hilangkan gatal. Kami melarang. Pesakit diabetis berisiko bahaya jika mengalami luka walaupun kecil. Kami mula terkenang arwah datuk(sebelah emak), juga penghidap diabetis. Kakinya yang terpijak duri tidak sembuh-sembuh sehingga akhir hayatnya. Kami bimbang.

Dua tiga tahun yang lalu, aku di Borneo. Selama tiga tahun lebih berkelana di tempat orang. Bila mengetahui emak (dan ahli keluarga yang lain) sakit, aku mula gelisah. Berdebar-debar. Walaupun aku tahu demam emak selalunya tidaklah lama, tapi ini tetap mengusik jiwa. Bila emak sakit, ingatan akan terarah juga kepada ayah. Ayah disyaki ada penyakit paru-paru berair. Ini hanya disyaki, belum lagi dibuktikan dengan sahih. Harap-harap paru-paru ayah akan "mengering", tidak lagi berair. Alhamdulillah, kini aku di sisi.

Mudah-mudahan kali ini emak akan sentiasa seperti dulu, malah Insya-Allah akan lebih sihat.
__________________________________________
*Arwah datuk terpijak duri sekitar rumahnya. Kaki membengkak dan bernanah. Diabetis yang dihidapinya menyebabkan luka sukar sembuh. Setiap kali doktor membersihkan lukanya, datuk akan berteriak. Sakitnya hanya Allah yang tahu. "Menetap" di dua buah hospital (Tanah Merah, Kelantan; dan Hospital Raja Perempuan Zainab II) ketika deritanya. Dalam usia 85 tahun arwah bertarung dengan derita. Akhirnya, 10 Mac 2010, Rabu, jam 2145, Allah menjemputnya di rumahnya, Tanah Merah.


Kuasa Allah adalah segala-galanya; ketika kakinya dicuci (oleh abang-abang dan sepupu aku) buat kali terakhir (lebih kurang 1-2 jam sebelum menghembuskan nafas), tiada ucapan sakit terkeluar daripada mulutnya. Masalah pendengarannya sebelum ini seakan hilang, apabila datuk dapat mendengar walapun dengan suara yang perlahan. Dengan nafasnya sedikit ditarik dan dilepaskan, akhirnya datuk kembali kepada-Nya. Sedikit peluh dingin membasahi dahi datuk. Sedikit linangan air mata merembes di pipinya ketika Mailaikat Maut menjalankan tugas yang diperintah-Nya.

Kakinya yang terpijak duri lebih kurang satu - dua bulan sebelum hembusan nafas terakhir. Kecederaan kaki dan diabetis hanya sebagai asbab. Dengan usianya yang semakin bernilai emas, sudah tiba masanya datuk dipanggil berehat di sisi Pencipta yang Esa.


Arwah disemadi berdekatan dengan arwah nenek, anak, dan menantunya. Arwah nenek meninggal pada tahun 2006, ketika aku masih di Borneo.

Insya-Allah, mudah-mudahan datuk (Zakaria bin Ismail), nenek (Che Moh), makcik dan pakcik ditempatkan di kalangan hamba-hamba Allah yang terpilih; begitu juga dengan muslimin muslimat yang lain, yang telah kembali mengadap-nya. Al-Fatihah...
__________________________________________
Update
Pagi ini emak dihantar ke klinik. Tengah hari baru pulang. Alhamdulillah, dah makin gagah sikit berbanding semalam. Tapi masih lagi keletihan.


28 Nov.'10: Alhamdulillah. Emak semakin sihat. Dan dah boleh tersenyum dan makan. Dan bercakap, dan bersembang... dan dan dan lagi..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..