PARA pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM2010 bergambar dengan Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa (lima dari kanan) dan Pengarah Urusan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd,, James Teo (enam dari kanan) pada majlis anugerah tersebut di Holtel Hilton, Petaling Jaya semalam. |
PENYERANG Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM 2010 yang berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya tengah hari semalam.
Selain itu, Norshahrul yang juga penyerang kebangsaan merangkul satu lagi anugerah iaitu Penyerang Terbaik, menewaskan calon-calon lain terdiri daripada Safee Sali, Ashaari Shamsuddin, Azlan Ismail dan Zamri Hassan.
Rakan sepasukan Norshahrul dalam skuad kebangsaan dan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat turut merangkul dua anugerah iaitu Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.
Dua lagi tonggak skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak dari Negeri Sembilan dipilih sebagai Pemain Pertahanan Terbaik manakala Baddrol Bakhtiar dari Kedah menerima anugerah Pemain Tengah Terbaik.
Bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan pula dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik setelah berjaya membawa Kelantan muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama musim ini.
Tiga anugerah lain menyaksikan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dipilih sebagai Persatuan Bola Sepak (FA) Negeri Terbaik, Johor FC sebagai Kelab Bola Sepak (FC) Terbaik dan Kedah sebagai Kelab Penyokong Terbaik.
Norshahrul, 24, yang berasal dari Besut, Terengganu, menganggap anugerah tertinggi yang diperolehnya itu adalah hasil penat lelah dan perjuangannya sepanjang musim ini.
“Pengorbanan saya berbaloi. Anugerah ini adalah untuk isteri saya dan semua jurulatih yang pernah membimbing saya selama ini. Ia pasti membakar semangat saya untuk terus beraksi cemerlang pada Sukan Asia nanti.
“Tentang haluan musim depan, besar kemungkinan saya akan terus kekal bersama Kelantan biarpun ada menerima tawaran daripada Selangor, Negeri Sembilan dan Perak,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas majlis tersebut semalam.
Selain trofi, Norshahrul turut menerima wang tunai RM3,000 untuk anugerah MVP.
Pemenang untuk anugerah lain masing-masingnya menerima wang tunai RM500 setiap seorang. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Pengarah Urusan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., James Teo.
Ini..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..