Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Isnin, November 29, 2010

Dominasi pasukan Selangor

PASUKAN wanita dan lelaki Selangor muncul juara pada Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2010 di Kompleks Sukan Negara Matsushita, Shah Alam semalam.



SELANGOR mendominasi pentas akhir Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2010 apabila muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita pada kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Matsushita , Shah Alam semalam.
Dalam aksi final kategori lelaki, Selangor dan Johor FC dilihat memberi saingan yang cukup sengit selain kedua-dua pasukan tampil bertenaga mengawasi gawang masing-masing.
Berakhir dengan keputusan seri 0-0 di akhir perlawanan, Johor FC bagaimanapun terpaksa menerima kekalahan apabila perlawanan yang diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti menyaksikan mereka tewas 2-3 kepada Selangor.
Kemenangan Selangor sekali gus memadamkan rekod pasukan KL Figos FC yang berjaya mempertahankan kejuaraan selama dua tahun berturut-turut selepas membenam cabaran Selangor pada tahun 2008 dan Terengganu T-Team pada tahun lalu.
Dalam pada itu, kapten pasukan Selangor, Mohd. Farid Mohd, Yusof ketika ditemui memberitahu, pasukannya terus bertahan walaupun menerima asakan yang hebat dari Johor FC.
"Perlawanan tadi (semalam) sangat sengit. Kami seboleh-bolehnya cuba untuk bertahan dalam perlawanan dengan sebaik mungkin," katanya.
Kejayaan itu membolehkan Selangor menggondol hadiah wang tunai RM40,000 bersama medal dan piala pusingan sementara Johor FC pula meraih RM20,000 selaku naib juara.
Terdahulu menerusi saingan wanita, pasukan Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan selepas sekali lagi tampil membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan keputusan 2-1 pada perlawanan akhir.
Pada edisi tahun lalu, PDRM turut tewas kepada Selangor yang merekodkan kemenangan 3-1.
Kapten Selangor, Shahila Mohd. Yunus memberitahu, cabaran yang mereka hadapi tahun ini lebih mencabar berbanding tahun lalu.
"Kami berdepan dengan cabaran yang lebih sukar, namun dengan beberapa taktik yang kami rancang, ia berhasil untuk mengatasi pasukan PDRM. Semua pemain turut mempamerkan aksi yang bagus," katanya.
Selaku juara, Selangor membawa pulang medal, piala pusingan dan hadiah wang tunai sebanyak RM40,000, manakala PDRM menerima medal dan wang tunai bernilai RM20,000.
Semua hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Turut hadir ialah Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd. Wahab, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Pengerusi JKF dan BSP FAM, Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd. Hashim.
Penganjuran kejohanan futsal oleh Felda/ FAM merupakan kali keempat sejak tahun 2007.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..