PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) membuka sebuah kafe bola sepak sebagai usaha mendekatkan pasukan bola sepak Kelantan dengan peminat.
Kafe yang dinamakan The Red Warriors Stations@KTC itu terletak di bangunan Pusat Perdagangan Kelantan (KTC), Kota Bharu bakal menjadi medium untuk menghimpunkan peminat bola sepak dengan pemain bola sepak Kelantan.
Pengerusi Merchandise dan Outlet KAFA, Azlan Mohd Yusoff berkata, kafe tersebut yang akan beroperasi sepenuhnya bermula 22 Mei ini menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman dengan harga berpatutan.
Selain itu, menurutnya, selain pelbagai jenis masakan tempatan, pengunjung juga berpeluang menikmati masakan Arab dari Maghribi.
"KAFA berharap peminat bola sepak Kelantan dapat memberi sokongan dengan mengunjungi kafe tersebut selepas beroperasi nanti," katanya di Kota Bharu semalam.
Menurut Azlan, peminat juga berpeluang mendapatkan pelbagai produk jenama Warriors keluaran KAFA seperti jersi, beg dan pemegang kunci yang turut di jual di kafe tersebut.
Jelasnya, kafe itu turut dilengkapi ruang yang luas dan berhawa dingin disamping turut dilengkapi kemudahan empat unit televisyen LCD bersaiz besar.
"Skrin besar turut dipasang bagi memudahkan peminat bola sepak menonton sebarang perlawanan bola sepak termasuk kejohanan Piala Dunia yang akan berlangsung tidak lama lagi," ujarnya.
Azlan memberitahu, majlis perasmian kafe itu akan dilakukan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pada 21 Mei ini.
Kosmo! 20 Mei 2010
Tengok Ni;
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..