KOTA BHARU - Kebangkitan yang ditunjukkan oleh pemain Kelantan, walaupun ketinggalan satu gol pada babak pertama ketika menentang Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan, kelmarin, mendapat pujian jurulatih B. Sathianathan.
Menurut bekas pengendali skuad kebangsaan itu, dia bangga dengan aksi bertenaga anak-anak buahnya pada babak kedua, yang tidak sentiasa menggempur kubu lawan.
''Saya berpuas hati dengan persembahan semua pemain.
''Walaupun dikejutkan dengan jaringan awal tuan rumah, pemain tetap bersemangat dan bermain mati-matian.
''Hasilnya kita membawa pulang tiga mata penting. Tiga mata ini penting buat kita dalam usaha untuk terus mencabar kedudukan pendahulu liga," katanya.
Pada aksi kelmarin, Pulau Pinang terlebih dahulu memecah kebuntuan gol menerusi Failee Ghazali pada minit ke-22.
Kelantan terpaksa menunggu sehingga minit ke-66 untuk mengikat kedudukan 1-1 menerusi bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar.
Akmal Rizal Ahmad Rakhli menceriakan penyokong setia Wira Merah apabila menjaringkan gol kedua Kelantan pada minit ke-75.
Pemain veteran, Che Hishamuddin Hassan menambah derita tuan rumah melalui gol ketiga pada minit ke-88.
Kemenangan itu membantu Kelantan mengukuhkan cengkaman di tangga kedua liga, apabila mengumpul 42 mata, namun masih dibezakan lapan mata dengan pendahulu, Selangor.
Utusan Malaysia 31 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..