Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Rabu, Mei 19, 2010

Barisan Nasional tetap tunai janji

PUTRAJAYA 17 Mei - Barisan Nasional (BN) akan tetap menunaikan janji-janji yang telah diumumkan oleh kerajaan kepada rakyat semasa kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana kerajaan tidak melihat pilihan raya itu sebagai satu titik penamat terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, segala apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, dirinya sendiri atau mana-mana pemimpin BN sebelum ini akan ditunaikan.

''Sebahagian telah pun ditunaikan sama ada ia melibatkan masyarakat Iban, Melayu, Melanau, bumiputera atau Cina. Dan sama ada muslim atau Kristian dan sebagainya, itu kita tidak membeza-bezakan.

''Mana yang kita sudah janji kita akan terus tunaikan. Kita tidak melihat pilihan raya kecil itu sebagai satu titik kesudahan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan kali Kedua di sini hari ini.

Beliau memberikan reaksi demikian ketika mengulas kegagalan BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sibu apabila calonnya, Robert Lau Hui Yew tewas kepada Wong Ho Leng dari DAP dengan majoriti 398 undi pada pilihan raya tersebut semalam.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ho Leng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek mendapat 18,845 undi, Hui Yew memperoleh 18,447 manakala calon Bebas Narawi Haron mendapat 232 undi dan 395 undi rosak.
Muhyiddin berkata, walaupun kecewa dengan keputusan itu, BN tetap akur kerana ia adalah pilihan rakyat.

Menurutnya, BN akan meneliti punca kegagalan parti itu untuk mempertahankan kerusi Parlimen tersebut dan mengadakan perbincangan dengan pihak BN di Sarawak.

''Lebih kepada post mortem (bedah siasat), kita hendak nilai dari segi prestasi jentera yang ada dan pendekatan yang kita gunakan.

''Sebelum ini, dikatakan di Sarawak suasananya tidak serupa di Semenanjung tetapi daripada apa yang kita lihat, ia tidak berbeza dari segi sentimen dan kehendak pengundi," katanya.

Justeru, kata beliau, pendekatan yang akan digunakan pastinya adalah yang lebih sesuai dan BN akan mengambil perhatian untuk berbincang dengan pihak BN di Sarawak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..