Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Isnin, November 26, 2012

Cerita Bola 2012: Ujian pertama Piala AFF Rajagobal gagal


Apa sudah jadi Rajagobal?

RAJAGOBAL (dua dari kanan) berbincang sesuatu dengan pengurus pasukan, Datuk Subhan Kamal (kiri) selepas skuad Harimau Malaya tewas 0-3 kepada Singapura semalam.


SKUAD ‘eksperimen’ pun tewas, inikan pula ujian sebenar. Ternyata, reputasi selaku juara bertahan Piala Suzuki AFF hanya tinggal sejarah buat Malaysia apabila gagal dalam ujian sulung kempen kali ini sebaik ‘dikerjakan’ Singapura 0-3 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Dua gol ledakan kapten Singapura, Shahril Ishak pada minit ke-32 dan 37 serta jaringan lewat Aleksandar Duric pada minit ke-75 sudah cukup untuk menyedarkan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal supaya kembali 'berpijak di bumi nyata' andai mahu kekal bergelar juara kali ini.
Apa yang pasti, alasan Rajagobal yang kononnya sekadar tampil dengan skuad ‘eksperimen’ ketika melakar beberapa keputusan kurang memberangsangkan dalam siri persahabatan sebelum ini benar-benar terjawab malam tadi apabila anak-anak buahnya masih ‘kekeringan idea’ memburu jaringan.
Lebih mengecewakan, ribuan penyokong di stadium dilihat menjerit melaungkan ‘Rajagobal, apa yang engkau buat?’ sebaik perlawanan berakhir sebagai tanda protes terhadap persembahan hambar skuad negara malam tadi.
Biarpun tidak seteruk seperti mana dibelasah 1-5 Indonesia dalam edisi dua tahun lalu, apa lagi alasan yang cuba diterjemahkan Rajagobal kali ini memandangkan Harimau Malaya sepatutnya tampil memelihara maruah selaku tuan rumah edisi kali ini.
Harimau Malaya terlebih dahulu bermula garang seawal minit ketujuh namun percubaan Norshahrul Idlan Talaha yang berjaya menggelecek beberapa pemain pertahanan Singapura berjaya ditepis penjaga gol lawan, Mohamad Izwan Mahbud.
Sorakan lebih 50,000 penyokong Harimau Malaya sekali lagi bergema pada minit ke-19 namun rembatan Norshahrul sekadar melambung tinggi sebelum Mohamad Izwan sekali lagi berjaya menangkap kemas sepakan percuma kapten Malaysia, Safiq Rahim empat minit kemudian.
Di sinilah ‘malapetaka’ Harimau Malaya bermula. Keghairahan tuan rumah memburu gol awal akhirnya dihukum Shahril yang tenang menyempurnakan hantaran jauh Shaiful Esah Nain pada minit ke-32 untuk gol pembukaan Singapura.
Shahril sekali lagi menjadi ‘duri dalam daging’ Malaysia apabila menggandakan kelebihan Singapura lima minit kemudian.
Gol itu berpunca daripada kesilapan bakal ‘Raja Sehari’, Khairul Fahmi Che Mat yang gagal menumbuk kemas sepakan percuma Shahdan Sulaiman sebelum percubaan Mohd. Fadhli Shas mengeluarkan bola daripada atas garisan gol juga tidak menjadi apabila pantas disambar Shahril untuk gol kedua Sang Singa.
Biarpun kemasukan pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor sebaik babak kedua bersambung dilihat menyuntik corak serangan Harimau Malaya, ketumpulan jentera penyudah negara masih mengundang amarah ribuan penyokong di stadium dan juga di rumah apabila berkali-kali mensia-siakan peluang keemasan bagi merapatkan kedudukan.
Peluang terbaik Malaysia memecah kebuntuan sekali lagi hadir pada minit ke-69 namun Safee Sali gagal menyambut hantaran Wan Zack biarpun Izwan sudah tertewas.
Percaturan jurulatih Singapura, Radojko Avramovic memasukkan Duric selaku pemain gantian juga menjadi apabila kuda tua itu tenang menanduk masuk gol ketiga lawan pada minit ke-75 hasil kelam-kabut di depan pintu gol negara sekali gus melengkapkan mimpi ngeri Harimau Malaya.
Apa yang pasti, anak-anak Rajagobal wajib bangkit ketika berdepan Laos, Rabu ini jika tidak mahu ‘berputih mata’ ditunjukkan jalan keluar lebih awal kali ini.
Ia begitupun tidak semudah dijangka memandangkan Laos berjaya mengikat naib juara edisi 2010, Indonesia 2-2 dalam satu lagi aksi Kumpulan B petang semalam.
Gol-gol Laos dalam perlawanan itu diledak menerusi sepakan penalti Khampheng Sayavutthi pada minit ke-26 dan Keoviengpheth Lithideth (79) sementara Raphael Guillerm Maitimo dan Vendry Ronaldo Mofu pula masing-masing mencetak satu gol buat Indonesia pada minit ke-42 dan 89.
Kedua-dua pasukan juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pengadil dari Hong Kong, Ng Kai Lam melayangkan kad merah kepada penjaga gol Garuda, Endra Prasetya dan juga pemain Laos, Sopha Saysana pada pertengahan babak pertama gara-gara kekasaran melampau terhadap pemain lawan.

Khamis, November 15, 2012

Salam Maal Hijriah 1434



Assalamualaikum.. Pejam celik pejam celik kita telah pun melangkah ke angka 1434 tahun Hijriah. Perhitungan mudah untuk kita mengingati tahun perpindahan Nabi Muhammad dari Kota Mekah ke Kota Yatrid atau Madinah.

Seperti juga tahun Masihi kita mesti membina azam untuk menghadapi tahun baru ini dengan macam-macam rancangan. Tapi hakikat sebenarnya kita lebih mengingati Masihi berbanding Hijriah. Kita lebih mengigati Januari berbanding Muharram. Kita lebih mengingati Februari daripada Rabiul Awal. Kita lebih mengigati Valentines (klik sini) daripada Muhammad Ibni Abdullah yang mana kedua-dua nama ini ada kaitan dengan bulan Masihi dan Hijriah.

Yang pasti keseluruhan Ramadhan akan kita ingat. Awal Syawal kita akan ingat. Dan Zulhijjah pula kita akan ingat hanya angkanya dari 10 hingga 13. Ketiga-tiga bulan ini menjadi begitu popular untuk diingat dan dirai.

Semoga ada hijrah ke arah kebaikan untuk kita semua. Salam Maal Hijriah buat semua.. 

RAIHAN - Hijrah
.........................................
Tengok ni;

Ahad, Oktober 21, 2012

Cerita bola 2012: Kelantan gah menjulang piala ketiga


Indra Putra julang Kelantan


INDRA PUTRA mengesahkan kemenangan Kelantan apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-96 di Stadium Shah Alam malam tadi.



KELANTAN melabuhkan tirai Liga Malaysia (Liga-M) 2012 dengan penuh bergaya apabila mengungguli gelaran trebel pada musim ini.
Skuad The Red Warriors merangkul trofi ketiga selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.
Kelantan membuka jaringan menerusi penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-44 tetapi ATM berjaya mengikat kedudukan menerusi gol Rezal Zambery Yahya pada minit ke-48.
Selang dua minit kemudian, Norshahrul kembali menggandakan kedudukan tetapi penyerang import ATM, Marlon Alex James kembali menyamakan kedudukan apabila menewaskan penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-62.
Perancang skuad The Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin muncul sebagai wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-96, sekali gus melengkapkan koleksi trofi Liga-M dengan menjuarai Liga Super serta Piala FA pada musim ini.
Beraksi pada separuh masa pertama di hadapan kira-kira 90,000 penyokong, Kelantan hampir berjaya untuk membuka jaringan menerusi tandukan penyerang pinjaman, Muhammad Afiq Azmi yang bijak memanfaatkan hantaran pemain pertahanan kiri The Red Warriors, Mohd. Daudsu Jamaluddin.
Bagaimanapun, percubaan tersebut berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol ATM, Farizal Harun pada minit kelima.
Kelantan yang terus menggandakan asakan dalam usaha untuk mendahului perlawanan apabila Norshahrul berjaya melepasi dua pertahanan ATM namun tendangan lemah itu masih gagal untuk menembusi gawang pasukan yang dikenali dengan nama jolokan The Gladiators pada minit ke-12.
Begitupun, pemain kelahiran Terengganu itu meletakkan juara Liga Super itu di depan dengan menjaringkan gol menerusi tendangan leret yang gagal didakap kemas oleh Farizal, sekali gus menyaksikan keputusan 1-0 kekal di babak pertama perlawanan.
Bersambung di babak kedua, ATM kembali mengatur serangan dalam misi dalam usaha untuk mengikat keputusan perlawanan namun kehebatan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi berjaya mengagalkan setiap percubaan The Gladiators.
ATM akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Rezal Zambery.
Begitupun, jaringan bekas pemain Negeri Sembilan itu sekadar bertahan seminit apabila Norshahrul kembali meletakkan The Red Warriors di depan dengan menewaskan Farizal untuk kali kedua menerusi rembatan leret yang kencang.
The Gladiators kembali mengasak benteng pertahanan Kelantan daan hasilnya, skuad kendalian B. Sathianathan menyamakan kedudukan menerusi jaringan penyerang import, Marlon.
Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, Kelantan kembali mempamerkan corak agresif namun benteng pertahanan ATM berjaya mengekang asakan Norshahrul, Indra Putra dan Mohd. Badri Mohd. Radzi, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan selepas terikat 2-2 dalam tempoh 90 minit.
Sementara itu, Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan menjadi milik Norshahrul manakala Penjaring Terbanyak diraih Marlon.
.........................................................
Kelantan bergelut untuk menewaskan ATM

Isnin, Oktober 15, 2012

Cerita bola 2012: Kelantan ingin trebel


Kelantan ke final


GHADDAR (kiri) bersaing dengan pertahanan Selangor, Bunyamin Umar pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.



PENYERANG import dan pemain tengah Kelantan, Mohamad Ghaddar dan Mohd. Badri Mohd. Radzi memastikan The Red Warriors menempah slot ke perlawanan akhir kempen Piala Malaysia 2012 selepas masing-masing menjaringkan satu gol untuk menewaskan Selangor 2-0 pada separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Dengan kemenangan itu, Kelantan melangkah bergaya ke final dengan kelebihan agregat 3-0 selepas meraih kemenangan 1-0 pada separuh akhir pertama di Kota Bharu minggu lalu.
Bagi Selangor, kekalahan tersebut terus membantutkan ‘Misi 33’ mereka musim ini.
Kelantan akan membuat perhitungan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 20 Oktober ini.
Pada perlawanan semalam, Kelantan memang berhak muncul pemenang kerana mereka dilihat lebih banyak menguasai permainan.
Begitupun, aksi pada babak pertama agak seimbang dan kedua-dua pasukan tampil dengan rentak yang agak berhati-hati.
Selangor pula harus menyalahkan diri sendiri atas kekalahan tersebut kerana barisan penyerang mereka kurang bijak mencuri peluang biarpun memperoleh beberapa peluang keemasan untuk merobek gawang lawan.
Kelantan hampir membuka jaringan pada babak pertama menerusi Ghaddar pada minit ke-12 tetapi tandukannya berjaya ditepis penjaga gol Selangor, Norzalan Razali.
Ghaddar kembali mempamerkan persembahan cemerlang pada minit ke-38 dan hampir membuka jaringan menerusi percubaan dari jarak jauh tetapi sepakannya dinafikan kecekapan Norzalan.
Tersentak dengan asakan pasukan pelawat, Selangor kembali bangkit menyusun serangan namun masih gagal untuk menembusi benteng pertahanan The Red Warriors.
Peluang terbaik Selangor hadir menerusi rembatan padu penyerang import, Bosko Balaban pada minit ke-44 namun berjaya diselamatkan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Bersambung babak kedua, Selangor terus menggandakan asakan menerusi gandingan Amri Yahyah, Balaban dan kapten, Safiq Rahim tetapi usaha mereka tetap buntu.
Selangor yang terdesak untuk memburu gol bagi memadam kelebihan jaringan Kelantan, hampir di depan menerusi Balaban namun percubaan itu berjaya di dakap kemas oleh Khairul Fahmi pada minit ke-49.
Ghaddar akhirnya berjaya memecah benteng pertahanan Selangor sebelum mengelecek empat pemain Gergasi Merah sebelum menewaskan Norazlan untuk gol pertama Kelantan.
Badri melengkapkan malam bergaya The Red Warriors menerusi sepakan percuma pada minit ke-85 untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Selangor terus dihukum apabila menyaksikan Balaban dilayang kad merah apabila penyerang veteran Gergasi Merah itu menyiku pemain import Kelantan, Obinna Nwaneri pada minit ke- 87.

Isnin, Ogos 27, 2012

Ibu kembali ke wad

Sabtu, 7 Syawal 1433H / 25 Ogos 2012M: Sesuatu yang tidak dijangkakan apabila ibu kembali ke wad. Ibu muntah-muntah dan pening.

Ramadhan tahun ini ibu kembali berpuasa. Tapi puasa orang tak sihat dengan orang sihat jauh bezanya. Dalam puasapun ibu demam-demam. Syawal yang menjelma terubat sakit ibu apabila kami 13 beradik dapat bersama. Anak menantu sama-sama membantu mempersiapkan Syawal yang bakal disambut.

7 Syawal Ibu mengalami demam yang agak ketara. Tengah hari itu ibu dibawa ke HRPZ II untuk menerima rawatan. Ibu bermalam di dalam wad kecemasan semalaman. Petang Ahad ibu dibenarkan pulang.

Dalam pemerhatian pihak hospital, kesihatan ibu makin membimbangkan. Berkemungkinan besar buah pinggangnya akan rosak. Ini kesan daripada ubat-ubat diabetis yang diambilnya ketika ini.

Amat membimbangkan. Seperti kata orang, "penyakit tiga beradik" akan berdampingan dengan ibu. Kaki ibu yang terpijak paku beberapa ketika dulu menampakan perubahan tapi tidak sembuh sepenuhnya. Tapi allhamdulillah, ibu boleh berjalan.

27 Ogos: Ibu makin sihat. Semoga terus sihat.

AI MAN - Anak Soleh
............................................
Catatan lalu:

Sabtu, Ogos 25, 2012

Langgar mati

Gambar hiasan dari google
24 Ogos 2012, 6 Syawal 1433H: Hari ini sesuatu peristiwa yang agak dahsyat telah berlaku. Sesuatu kejadian yang tidak kawe sangkakan. Sebelum pergi solat Jumaat tengah hari ini, kawe secara tidak sengaja telah memijak kucing belaan sehingga mati.

Enjin kancil tua dihidup lebih kurang lima minit sebelum melangkah keluar. Memandangkan masa yang suntuk untuk ke masjid kawe cepat-cepat mengundurkan kancil tua tanpa memeriksa terlebih dahulu di bawah kereta. Ketika kereta tua ini diundurkan kawe terasa terpijak sesuatu, persis memijak pelepah kelapa atau selipar jepun yang berlapik dua-tiga pasang.

Sebaik kereta keluar garagh kawe melihat seekor kucing melompat-lompat separas betis. Pada mulannya kawe sangkakan kucing itu hanya bermain-main. Secara tiba-tiba kawe tersedar bahawa kucing itu melompat-lompat seperti ayam disembelih kerana pijakan tayar kereta. Lebih kurang dua minit akhirnya kucing kawe itu menghembuskan nafas yang terakhir. Keadaannya ketika itu seperti orang yang tengah nazak, tercungap-cungap untuk bernafas.

Lalu kawe letakan bangkai di tepi pintu pagar dan terus ke masjid. Ketika sampai iqamah hampir berkumandang.

Tidak disangkan kucing yang dibelai dan didukung setiap hari mati di kaki tuannya sendiri. Ketika itu kawe teringat peristiwa Nasi goreng RM250.00 dua tahun lalu. Peristiwa di mana satu bencana yang berlaku selepas kawe melanggar seekor kucing di jalan raya.

Bukan untuk mempercayai sesuatu yang tahyul (mengikut kata orang tua kalau melanggar kucing, ada sesuatu bencana yang akan menimpa kita), tapi kawe segera mengingatkan diri agar sentiasa berhati-hati dalam melakukan sesuatu.

Kini kucing tiga beradik ini tinggal dua saja. Seperti juga yang mati hari ini, dua ekor ini juga tidak takut mati. Sebelum inipun "mereka" tidak akan lari walaupun bunyi enjin dihidupkan. "Mereka" akan terus berada di bawah perut kereta tanpa rasa takut. Sebelum ini juga kawe telah terlanggar salah seekor daripadanya. Tapi waktu itu tiada kemalangan jiwa berlaku. Hanya jeritan kecil.

Mudah-mudahan kita semua dilindungi oleh Allah sentiasa..
......baca Nasi goreng RM250.00