Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Ahad, September 19, 2010

Nasi goreng RM250.00!!

Ya, RM250.00 (dua ratus lima puluh), bukan RM2.50 (dua ringgit lima puluh sen). Macam mana tu? Ceritanya begini; pukul 12:30 malam tadi aku keluar tengok bola dengan kawan aku. Kami bertiga keluar tengok Sunderland vs Arsenal di sebuah restoran yang tidak berapa orang. Memang tak ramaipun, tak sampai 15 orang pelanggan. Separuh masa pertama Sunderland ketinggalan 0-1. Minit-minit akhir perlawanan, Sunderland menyamakan kedudukan (saja je nak cerita pasal bola dulu).

Ketika asyik tengok bola, seorang kawan kami telefon, meminta tolong belikan nasi goreng. Di kedai ni masakan dah habis, jadi selesai saja bola kamipun carilah kedai berdekatan untuk beli nasi goreng. Tiba satu restoran, kawan aku terus pesan makanan. Kawan yang membeli tu tunggu kat luar kereta, aku berdua dalam kereta. "RM4.00"..Katanya pelayan kedai tu. Setelah bayar kawan aku terus masuk kereta. Aku dengan selamba dan yakin terus undur kereta. Tiba-tiba bunyi "prak" kat belakang. Keluar je tengok dah kemek pintu kereta kat sebelah. Datanglah tuan punya proton Wira tu pot pet pot pet... Ya, aku silap dan salah. Keluar dan tengok belakang.

Masa mula-mula masuk parking ruang sebelah kanan tu memang takda kereta. Yang ada kereta Honda sebelah kiri. Aku dah perasan kereta Wira tu masuk parking, tapi masa nak keluar tu tak sedar. Tuan ampunya wira tu baru je duduk kat kerusi, tengah tunggu pesanan minuman. Belum sempat minum dia bergegas ke arah aku. Dengan nada yang agak kasar dan kesal terkeluar daripada mulut lelaki dalam lingkungan 30-40-an itu. Aku hanya ucap maaf.

Memang tak padan dengan ucap maaf. Dipendekkan cerita kenalah aku bayar RM250.00 sebagai ganti rugi. Kasar dan kesal.. Ya, itu memang patutlah, sebab aku yang cuai. Bila aku cakap aku baru habis belajar, dia tak boleh terima alasan tu. Habis belajar ke, baru belajar ke, tak pernah belajar ke, itu bukan alasan yang konkrit (ini yang aku cakap pada diri sendiri). Tapi apa yang pasti aku tak kurang ajar. Dia pun bukan kurang ajar, tapi marah sikit je. Terkeluar jugalah daripada mulut dia untuk hempap kereta Kancil tua aku tu dengan kayu atau batu. Cakap punya cakap, tuan wira tu baik juga. Dia marahlah sebab aku yang salah.

Aku nak bayar dengan apa? RM2.50 adalah. Tapi member aku dua orang tu nak tolong. Walau macam mana sekalipun mereka memang kena tolong sebab memang aku takde duit. Jadi aku pun "rompak bank" dengan salah satu kawan aku tu. Berhutanglah aku dengan member aku pada malam kejadian. Waktu serahkan RM250.00 itu tuan wira tu ajak minum sekali (dengan ajakan yang baik). Aku menolak kerana telah lewat.

Cuai
Masa aku nak undur kancil tua aku tu aku hanya tengok Honda sebelah kiri, wira sebelah kanan aku tak perasan. Tambah pula dengan nak cepat dan mata yang dah mengantuk tahap dewa. Yalah, hampir pukul 3:00 pagi, macam mana tak mengantuk. Kerana mencari nasi goreng, aku hilang RM250.00. Siapa salah? Yang memesan nasi? Yang membeli nasi? Bola sepak? Atau tuan wira? Semua tu tak salah, yang salah aku. Bagaikan Arsenal yang "tewas" di saat akhir perlawanan, aku juga tewas di saat nak balik ke rumah. Arsenal sepatutnya bertahan beberapa minit sebelum menang. Tapi kerana cuai Sunderland dapat menyamakan kedudukan. Aku juga sepatutnya "menang" masa undur kancil tua tu, tapi tewas dengan "jaringan" RM250.00.

17 September, Jumaat aku ke Chuchoh Puteri B untuk tengok-tengok kebun. Sebelum Zohor (Jumaat) aku sekeluarga sampai di situ. Jam 8:00 malam bertolak pulang. Penat jugalah memandu. Penat panjat pokokpun belum hilang. Masa perjalanan pulang adalah beberapa kali aku terlalai. Mata mengantuk, penat. Kali ini dengan Iswara. Acap kali jugalah Iswara ni memijak line tengah dan tepi. Cuai betul. Sebelum pulang juga aku terlupa beg duit aku. Aku tak ingat bawa atau tidak. Kalau bawapun aku tak sedar mana aku letak. Perjalanan pulang dari Chuchoh Puteri ke Pengkalan Chepa aku kelam kabut bagi aku. Dalam kepala duk memikir beg duit tu. Tambahan hujan pula. Mata pun kuyu dan layu. Pendek kata pemanduan pada hari itu memang "mencuaikan".

Petang 18 September pula aku ke Machang (laluan ke Kuala Krai juga. 1jam setengah perjalanan dari rumah). Masa balik ni juga mata ni pun mengantuk sangat. Cuai lagi. Nasib baik takde apa-apa masa balik tu. Tapi adalah juga dua-tiga kali kancil tua aku hampir "liwat" kereta depan. Pulang dari Machang tu la aku keluar tengok bola dan "prak" wira orang.

*18 September '10.
1100 = Ke rumah bekas guru. Bersama empat orang sahabat.
1500 = Pulang rumah. Tidur.
1700 = Bangun; Bersiap ke Machang
1830 = Ke Machang
2000 = Sampai ke destinasi
2040 = Bertolak pulang
2155 = Sampai rumah
2200 = Ke rumah kawan; Ada jamuan
2350 = Pulang dan jumpa kawan; untuk tengok bola

*19 September '10
0040 = Keluar tengok bola
0230 = Pulang dr. tgk bola dan cari kedai beli nasi goreng
0240 = "Prak"...Wira
0300 = Pulang rumah
*Nama dan tempat kejadian dirahsiakan.

Petanda
Suratan atau kebetulan kejadian RM250 ni terjadi setelah aku mengalami sesuatu sebelum ini. Bulan puasa yang lalu (lebih kurang seminggu sebelum raya) kancil tua aku tu langgar kucing yang tiba-tiba melintas depan aku. Orang-orang tua kata kalau kita langgar kucing, mungkin ada petanda yang kurang elok akan berlaku. Petang sebelum pergi Machang (18 Sept.) aku mimpi ular panjang (orang-orang tua kata kalau mimpi dipatuk ular maknanya ada orang nak masuk meminang. Tapi Datuk Ustaz Ismail Kamus, dalam ceramahnya, kata, mimpi yang berkaitan ular petanda yang tidak baik). Balik dari Machang aku ke rumah kawan kerana ada jamuan sikit. Sebelum pergi, aku jadi was-was dan berbelah bagi nak pergi dengan kancil tua atau motor. Malam tu juga aku rasa mengantuk sangat. Waktu ke Chuchuh Puteri beg duit pula lupa letak.


Apa itu "kebetulan"? "Kebetulan" itu sesuatu yang kita tidak rancang. Ia terjadi tanpa kita duga. Adakalanya apa yang kita rancang tidak menjadi, tapi apa yang tidak dirancang pula terjadi. Itu adalah makna "kebetulan". Tetapi, bagi Allah, "kebetulan" itu tidak wujud; kerana yang terjadi adalah perancangannya. Perancangan Allah tidak pernah silap.


Dan apa yang terjadi pada aku pada malam itu, sebelum ini dan yang akan datang adalah ketentuan Allah. Aku tak nak kata aku terlanggar wira tu kerana kebetulan berada di situ, kebetulan aku cari nasi goreng di situ, atau kerana kebetulan nasi goreng di "restoran bola" dah habis.


...
Kesudahannya, aku akur dan redha dengan ketentuan Allah. Mungkin ini ujian dan balasan Allah terhadap aku yang cuai, yang lalai. Bukan cuai dan lalai ketika memandu malah lalai dalam menjalani kehidupan sebagai muslimin. Mudah-mudahan Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada aku (dan kita semua) dalam mengharungi cabaran hidup yang berliku ini.


"Ya Allah, sesungguhnya aku lalai dan alpa terhadap-Mu. Aku tidak layak untuk ke Syurga-Mu, tapi tidak pula aku sanggup ke neraka-Mu. Dengan ini ampuni dosa-dosa ku".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..