Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Ahad, Mei 22, 2011

Tanah runtuh. Tahziah.

Semalam kita dikejutkan sekali lagi dengan berita kejadian tanah runtuh di Hulu Langat, Selangat. Tidak berapa lama dulu kejadian seumpama ini turut terjadi di Bukit Antarabangsa, juga di Selangor.

Kali ini mangsanya adalah dari kalangan anak-anak yatim. Begitu berat dugaan mereka. Dah la yatim, ditimpa musibah pula. Ini perancangan Allah, ada sesuatu hikmat di sebaliknya yang kita tidak tahu. Semoga mangsa-mangsa dan sanak saudaranya tabah dan cekal dalam menghadapi ujian Allah ini.
######################################

13 maut, 3 tertimbus


Mangsa dikenali dengan nama Hairi dibawa ke Hospital Ampang, Kuala Lumpur, semalam.


HULU LANGAT 21 Mei – Seramai 13 penghuni Rumah Anak- anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14, di sini, maut akibat tertimbus setelah tebing sebuah bukit berdekatan runtuh dan menghempap khemah yang mereka duduki.

Sehingga pukul 1.30 pagi, operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa masih diteruskan dan terdapat tiga lagi penghuni dipercayai tertimbus.

Seorang mangsa tertimbus, Abang Iwan, 33, berjaya diselamatkan pada pukul 10.20 malam.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Azrel, Nael, Eqim, Zaim, Rahimi, Angah, Boboy, Zaid, Abang Farid, Shahrul, Lokman dan Hasril berusia empat tahun hingga 30-an. Mereka terdiri daripada 12 kanak-kanak dan seorang dewasa.

Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang mereka bersama yang lain berada di dalam khemah tersebut untuk berlatih nasyid bagi meraikan kedatangan rombongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pukul 5 petang.

Khemah itu dipasang untuk majlis tersebut yang terletak bersebelahan tebing.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dilakukan dengan membuat dua terowong turut mengalami kesukaran berikutan hujan lebat petang ini dan menyebabkan berlaku pergerakan tanah.

Seramai sembilan mangsa termasuk dua dewasa dibawa keluar dengan selamat. Kesemua mereka dihantar ke Hospital Ampang dan Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Mangsa yang terselamat pula dikenali sebagai Khairul, Hairis, Harris, Aizat, Alaudin, Shafiz, Akmal dan pekerja rumah berkenaan, Abang Din.

Dua mayat dibawa keluar pukul 4.25 petang diikuti mangsa-mangsa seterusnya kira-kira dua jam hingga tiga jam kemudian dan dibawa ke Hospital Kajang.

Rumah itu menempatkan seramai 49 orang yang terdiri daripada kanak-kanak yatim dan lima penjaga.

Seramai 500 anggota pasukan penyelamat terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat iaitu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Bangi, Kajang, Selayang, Serdang, Cheras dan Pandan, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Mereka turut dibantu Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebuah jentolak milik swasta.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, runtuhan tanah itu merupakan yang terburuk pernah berlaku dalam sejarah di kawasan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya dan agensi penyelamat lain mengalami kesukaran mencari mangsa yang tertimbus kerana struktur tanah yang lembut serta bergerak.

Menurut Khalid, pasukan penyelamat terpaksa membuat dua terowong untuk mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus.

“Ekoran keadaan hujan, kemungkinan terdapat runtuhan yang akan berlaku di kawasan ini. Saya nasihatkan orang ramai agar tidak datang ke kawasan ini kerana berbahaya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

*****************************************************
Presiden Pas Rakam Takziah

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa tanah runtuh di Rumah Persatuan Anak Yatim Al-Takwa, Felcra Semungkis, Batu 14, Hulu Langat.
“Bersabarlah dengan ujian Allah. Semoga roh mereka yang tekorban dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh,” tulis beliau di laman twitter malam ini.
Kejadian itu juga turut mendapat perhatian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Selain mengucapkan takziah kepada kelurga mangsa yang terkorban, beliau juga mengajak seluruh rakyat Malaysia berdoa agar mangsa diberi ganjaran terbaik oleh Allah SWT.
"Takziah saya rakamkan kepada mangsa nahas tanah runtuh di Hulu Langat petang tadi.
"Semoga Allah mengurniakan ganjaran yang terbaik untuk yang terkorban dan keluarga yang kehilangan ahlinya," katanya.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang tadi, seramai 24 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat.
Dilaporkan lima mayat kanak-kanak rumah anak yatim berkenaan yang berumur antara 11 hingga 14 tahun telah berjaya dikeluarkan dari tanah runtuh sehingga jam 8.00 malam ini.
**********************************************

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..