Slogan "Sukan terbaik hanya di RTM" mungkin akan menjadi slogan semata-mata. Sebelum ini RTM boleh dikatakan salah satu nadi bola sepak tempatan. Siaran langsung saban minggu dapat menghidangkan peminat tempatan mengetahui maklumat dan info terkini. Tapi tahun 2011, peminat tempatan mungkin hanya dihidangkan siaran langsung ketika perlawanan merebut piala sahaja seperti Perlawanan Akhir Piala FA dan juga Piala Malaysia.
Sebelum ini ada juga program "Fokus Bola" yang diacarakan oleh Haji Zainal Abidin Rawop dan beberapa pengacara lain. Tapi sejak Zainal beralih ke Astro Arena, tiada bola yang perlu difokuskan oleh RTM. "Sebelum Wisil" dan "Wisil Penamat" sebelum ini menjadi info penting bagi peminat tempatan, tapi kini wisil benar-benar ditiup panjang seakan menandakan tamatnya seketika keghairahan RTM terhadap bola sepak tempatan.
Tahun 2011 adalah giliran Astro diberi hak penyiaran. Inilah menjadi faktor mengapa RTM tidak lagi bertindak sebagai penyiar utama. Selepas menyiarkan perlawanan Piala Sumbangsih di antara Selangor - Kelantan pada 29 Januari lalu, ramai yang optimis RTM akan terus bertindak salah satu penyiar utama. Tapi nampaknya setelah dua kali Sabtu (12 & 19 Feb.'11), penantian peminat tanpa Astro hampa.
Catatan ini bukan untuk "menjatuhkan" RTM, hanya sekadar luahan "wakil" peminat bola sepak tempatan yang tiada akses siaran berbayar, Astro. Orang-orang muda dan segelintir orang tua akan memenuhi stadium, kedai-kedai makan, restoran, warung untuk menyaksikan siaran langsung. Bagi yang tidak berkesempatan ke stadium atau kedai makan, mereka akan menunggu siaran berita RTM pukul 12:00 tengah malam; itupun kalau ada laporan.
Aku percaya masih ramai yang terus menanti "Fokus bola, Sebelum wisil, Wisil penamat", dan "Sekilas liga" terus bersiaran di RTM, lebih-lebih lagi siaran langsungnya.
Apa-apa pun terima kasih RTM kerana laporan sukan setiap hari pukul 1330 di TV1. "Sukan terbaik hanya di RTM"...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..