Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Selasa, Februari 01, 2011

DUN Tenang: BN pilihan rakyat

        BN menang besar

MUHYIDDIN Yassin mengangkat tangan Mohd. Azahar Ibrahim setelah diumumkan sebagai pemenang kerusi DUN Tenang di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis, malam tadi. - Utusan/ISHAK RAHMAD
LABIS 30 Jan. - Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan majoriti lebih besar menerusi calonnya, Mohd. Azahar Ibrahim yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya kecil yang berlangsung hari ini.
Mohd. Azahar menang dengan majoriti 3,707 undi selepas mendapat 6,699 undi untuk mengalahkan calon Pas, Normala Sudirman yang hanya memperoleh 2,992 undi. Sebanyak 142 undi rosak.
Majoriti itu meningkat 1,243 undi berbanding 2,492 undi yang diperoleh BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008.
BN juga menawan semula dua kawasan majoriti Cina iaitu di Bandar Labis Timur dan Labis. Bandar Labis Tengah masih memihak kepada pembangkang.
Bagi peti undi Bandar Labis Timur, BN mendapat 669 undi dan Pas pula 632 manakala di Labis BN memperoleh 380 undi dan Pas 337 undi. Bandar Labis Tengah BN mendapat 365 undi dan Pas 851.
Kemenangan calon BN itu diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya DUN Tenang, Md. Asri Amir di pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini, pukul 10.02 malam ini.
Menurut Md. Asri, sebanyak 67 peratus daripada keseluruhan 14,753 pemilih keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Tenang ini.
"Maka, saya dengan ini mengisytiharkan calon BN, Mohd. Azahar Ibrahim sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan DUN Tenang," katanya.
Peratusan keluar mengundi hari ini rendah disebabkan hujan lebat yang tidak henti-henti di seluruh kawasan DUN Tenang sejak awal pagi hingga tamat tempoh mengundi pukul 5 petang.
Pilihan Raya Kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis pada 17 Disember tahun lalu.
Pada PRU12, Allahyarham mendapat 6,367 undi menewaskan calon Pas, Mohd. Saim Siran yang memperoleh 3,875 undi.
Pengumuman tersebut disambut dengan tepukan gemuruh kira-kira 1,000 penyokong BN yang berada di dalam dan luar dewan sebelum beliau turut dijulang bagi meraikan kemenangan itu.
Turut meraikan kemenangan Mohd. Azahar itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN Tenang.
Selain itu, turut hadir meraikan kemenangan BN tersebut ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.
Bagaimanapun, Normala dan para pemimpin Pas lain tidak kelihatan di dalam dewan ketika pengumuman itu.
Ketika ditemui kemudiannya, Mohd. Azahar mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memberi kepercayaan kepada beliau menjadi wakil rakyat DUN Tenang.
Menurutnya, beliau akan memikul amanah itu dengan sebaik-baiknya bagi meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu.
Mohd. Azahar juga akan berusaha memastikan setiap janji yang dibuat sepanjang kempen pilihan raya kecil ini ditunaikan secepat mungkin.
"Terima kasih kepada semua yang mengundi saya dan juga kepada jentera BN yang bekerja keras siang dan malam. Insya-Allah saya akan berkhidmat sebaik mungkin sebagai wakil rakyat di DUN Tenang.
"Tugasan pertama saya adalah untuk menyelesaikan masalah banjir," katanya.
Sumber: www.utusan.com.my
_________________________________________________
MyView: Hasrat PAS untuk menawan Tenang tidak kesampaian apabila wakil mereka tewas dengan majoriti yang agak besar. Pilihan rakyat sekali lagi kepada BN. Lebih parah kali ini lebih ramai yang memilih calon dari kerajaan pusat ini. Walaupun peratusan keluar mengundi tidak sampai 80 %, ia memadai untuk mematikan hasrat PAS untuk menjadi wakil di Tenang.

Ramai yang telah menduga keputusan ini akan memihak kepada calon BN, tapi PAS tetap juga ingin mencuba. Sementelahan lagilah, Johor ini adalah kubu kuat BN/UMNO.

Jentera kerajaan yang meliputi semua aspek digerakkan bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU yang lalu. Baik dari segi media massa mahupun projek-projek segera, semuanya diguna sebaik mungkin. Tambahan pula pada era global ini, media altenatif seperti laman blog, dan laman sembang sosial, menjadi medan terbaik buat BN untuk terus menyampaikan mesej dan mempergiatkan jentera parti. 

Walaupun harga barang naik dan harga petro naik, ini tidak sedikitpun memberi gambaran bahawa rakyat harus menolak BN pada PRK ini. Apa yang pasti BN terus mendapat kepercayaan rakyat DUN Tenang.

Di sebalik itu, kemelut yang melanda Pakatan Rakyat @ pakatan pembankang sejak akhir-akhir ini mungkin menjadi penyebab mengapa rakyat Tenang terpaksa menolak PAS.

Apa yang pasti, tugas rakyat telah terlaksana melalui kertas undi. Kini tiba masanya pula tugas YB baru untuk melaksanakan amanah yang diberikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..