PENGENDALI Kelantan, Bojan Hodak tidak mahu mendabik dada biarpun skuad kendaliannya berjaya menjinakkan pendahulu Liga Super, Lions XII 3-0 malam kelmarin.
Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan jelas sekali berada dalam kelas tersendiri bagi membenam wakil Singapura itu.
Selepas gagal memecahkan kebuntuan gol pada babak pertama, Kelantan seakan-akan mendapat aura sebaik memulakan saingan pada babak kedua.
Hasilnya, tiga gol diperoleh skuad The Red Warriors itu dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan.
S. Chanturu membuka tirai jaringan Kelantan pada minit ke-73, sebelum Norfarhan Muhammad menyumbang gol kedua empat minit kemudian.
Tonggak pertahanan, Rizal Fahmi Rosid melengkapkan malam gemilang Kelantan apabila meledak gol ketiga pada minit ke-85.
“Siapa pemain terbaik malam ini? Ia suatu yang sukar. Pemain pertahanan begitu cemerlang, Shakir (Shaari) melakukan kerja dengan baik. Mungkin Farhan dan Chanturu lebih layak untuk dikatakan pemain yang beraksi dengan cemerlang.
“Bagaimanapun, saya tidak fikir tiga mata yang dipungut malam ini (malam kelmarin) membolehkan kami dilabel sebagai pasukan pilihan untuk bergelar juara.
“Namun dalam masa yang sama, kemenangan ini meletakkan kami di landasan yang betul untuk tujuan itu,” kata Hodak ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.
Hodak berkata, anak-anak buahnya berjaya mengambil kesempatan untuk memburu gol selepas menyedari barisan Lions XII agak keletihan.
“Setiap pasukan dalam dunia hanya boleh bermain selama 60 minit dengan kecergasan yang maksimum dan 30 minit terakhir mereka akan mula hilang fokus, letih dan melakukan kesilapan.
“Ketika 20 minit terakhir, saya lihat pemain Lions XII banyak memberi ruang kepada pemain saya dan akhirnya kami berjaya memanfaatkan situasi tersebut dengan tiga gol yang cukup penting,” ujarnya.
Pada aksi malam kelmarin, Kelantan tidak menurunkan tiga tonggak utama iaitu Muhammad Ghaddar, Zairul Fitree Ishak dan Daudsu Jamaluddin.
Ghaddar dan Zairul Fitree digantung satu perlawanan kerana mengumpul tiga kad kuning manakala Daudsu masih menjalani penggantungan kerana mengutip kad merah.
“Saya tidak melakukan rombakan besar malam ini (malam kelmarin), cuma memasukkan beberapa pemain yang saya fikir mampu menggalas tugas yang diberikan,” jelasnya.
Dengan kemenangan itu, Kelantan mengumpul 34 mata, ketinggalan dua mata di belakang Lions XII yang beraksi lebih tiga perlawanan berbanding The Red Warriors.
.............................................................
Lorongan yang sempurna MatYo disudahi dengan menarik oleh Chanturu
Gandingan mantap dimulai Shakir untuk Indra -> Farhan -> MatYo -> Piya -> Farhan = gol...
Tembakan Rizal ke arah gawang hanya mampu dilihat sahaja oleh penjaga gol Lionsxii..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..