5 September 2010, perlawanan persahabatan Kelantan - Felda United diadakan di Kota Bharu pada pukul 10:30 malam. Setengah jam sebelum sepak mula hujan turun agak lebat. Bagaikan penanda akan "kehambaran", hujan seakan-akan tidak mahu berhenti. Tiupan wisil permainan dimulakan dalam keadaan hujan yang renyai-renyai. Sepanjang tempoh 90 minit perlawanan ada kisahnya yang tersendiri di padang dan juga di tempat duduk.
Kali ini penonton di astaka memenuhi tempat duduk, dan mengatasi penonton di tempat terbuka; (astaka) hanya ruang bangku simen ada kekosongan. Di tempat terbuka dianggarkan tidak sampai 40 orang. Di sini ada seorang penonton yang cukup "ringan mulut". Pada awalnya aku sangkakan perlakuan itu normal, tetapi lama-kelamaan aku rasa pelik. Perlakuannya seakan insan kurang siuman. Belia dalam lingkungan 30-40-an ini mundar-mandir di ruang tempat duduk bersimen astaka. Sambil berjalan sambil membebel. Tetapi bebelannya berfokus. Fokus kepada permainan. Perlakuannya (bebelan) bagaikan jurulatih di tepi padang.
Separuh masa pertama Kelantan dikejutkan dengan jaringan Fatrorozi Razi. Jaringan ini menyebabkan belia kurang siuman itu lagi kuat bebelannya. Di sebalik perlakuannya yang begitu, orang ramai terus bersorak. Bukan bersorak untuk pasukan tetapi untuk pemuda tadi kerana tingkah lakunya.
Permainan malam tadi tidak menampakan Kelantan sebagai "Pahlawan Merah". Permainan serba tidak menjadi. Mungkin kerana bermain dalam keadaan hujan corak permainan agak terbatas. Hantaran kurang menjadi. Jaringan tunggal Felda oleh pemain yang berasal dari Kelantan itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pemain tuan rumah. Kesilapan dan salah faham di antara pertahanan dan penjaga gol (Syed Adney) dimanfaatkan Fatrorozi yang berada tepat di depan pintu gol.
Separuh masa kedua, Halim Napi dibawa masuk menggantikan Syed. Kali ini benteng Kelantan nampak kukuh dan bekerja keras. Kedudukan Halim di pintu gol tidak terusik. Pertahanan lebih berhati-hati kali ini. Halim kelihatan bersahaja dan "relax". Namun permainan hambar dipamerkan. Bermain dalam keadaan tertekan menyebabkan permainan agak "panas". Beberapa kekasaran dilakukan oleh kedua-dua pasukan. Indra misalnya menerima kad kuning pada separuh masa kedua kerana mengasari pemain lawan. Insiden berlaku setelah dia dihalang pemain lawan dan kedua-duanya terjatuh. Serentak dengan jatuh itu tangannya singgah di muka pemain Felda.
Insiden yang mengudang "kepanasan" memuncak setelah Chanturu dijatuhkan depan penjaga garisan. Gerakan Chanturu ke kawasan Felda di halang dua pemain lawan. Rashid Mahmud (jersi 8) yang dikesan oleh pengadil membentes Chanturu dilayankan kad kuning. Daudsu meluru ke arah Rashid dan sempat menyentuh kepala Rashid sebelum dihalang oleh penjaga garisan dan pemain kedua-dua pasukan. Dan serentak dengan itu juga pemuda yang tadi kuat bebelannya masuk ke padang. Dengan plastik bungkusan di tangan kiri dan wisil di kanan, pemuda itu cuba campur tangan. Dia segera ditolak keluar padang oleh pamain Kelantan, Khairan Eroza.
Beberapa orang polis berpakaian preman juga masuk ke padang dan membawa pemuda itu keluar padang. Dia kemudiannya "dipelawa" keluar melalui pintu keluar/ masuk pemain di bawah astaka. Tidak lama kemudian sekali lagi pemuda itu kelihatan di tempat duduk astaka, ruang atas: tempat masuk penonton.
Selepas itu permainan makin rancak dengan kekasaran. Kali ini sorakan penonton makin terasa. Rashid Mahmud dibawa keluar oleh Felda. Sorakan dan ejekan mengiring Rashid keluar. Kata-kata "katok (pukul) nombor 8 tu (Rashid)" bergema di astaka. Tindakannya membentes Chanturu tidak disenangi penyokong. Sorokan demi sorakan dengan sebutan "nombor 8" berulang kali menyebabkan Rashid menanggalkan jersinya. Tidak lama kemudian dia duduk di bawah; lantai. Mungkin tertekan dan "takut-takut" dengan tingkah laku penonton.
Percubaan Kelantan agak banyak tetapi lemah. Antaranya dari Indra, Hairuddin, Nizab, Azizi, Daudsu dan beberapa pemain lagi. Hairuddin berpeluang cerah untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama; tetapi terhalang oleh penjaga gol. Separuh masa kedua: Nizab Ayub punyai peluang untuk menghantar bola tetapi "ketamakkan"nya di kawasan gol Felda mengecewakan. Sepakan lemahnya dapat dihalang dengan mudah oleh penjaga gol. Tandukan Azizi dan Indra hanya mampu melepasi palang. Sepakan percuma Indra gagal ditangkap kemas penjaga gol pelawat, tetapi bola melambung melepasi palang. Daudsu membuat sepakan bebas dan bola melencong rendah paras lutut tetapi terus ke dakapan penjaga gol.
Jaringan Fatrorozi pada separuh masa pertama berkekalan sehingga wisil penamat. Dengan ini Kelantan tewas kepada kepada Felda United 0-1.
* Mengenai pemuda yang kurang siuman itu, aku tidak pasti adakah dia benar kurang siuman atau tidak. Jika pemerhatian aku ini silap, harap dimaafkan.
* Kali ini Kelantan memulakan permainan di sebelah kanan astaka. Biasanya tuan rumah memulakan dari sebelah kiri astaka.
*14 September akan dimulakan Liga Malaysia. Kelantan vs Negeri Sembilan.
*Perlawanan persahatan
Kelantan vs UiTM, 29 Ogos = 5-1
T-Team vs Kelantan, 3 September = 0-4
Kelantan vs Felda United = 0-1
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..