HARI ini adalah hari yang istimewa. Kita bercuti sempena Istiadat Pertabalan Yang diPertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah. Sembah tahniah kepada baginda dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Baginda berdua adalah lambang muafakat dan perpaduan. Begitulah bagaimana Raja atau Sultan terus menjadi lambang kedaulatan negara.
Di arena sukan, tokoh diraja turut menjadi perhatian minggu ini. Kemelut di FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) memuncak berikutan penggantungan Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa. Lalu, nama pemimpin tertinggi di FAM, Sultan Ahmad Shah turut diheret. Pelbagai kata yang kurang manis dilempar di alam siber. Kadang-kadang terhiris juga kerana kita kadang-kadang sudah hilang budaya sopan-santun sebagai orang Melayu.
Mujurlah Tan Sri Annuar tidak cepat melenting dan menerima keputusan itu dengan hati terbuka. Memang kita dalam dilema setelah keputusan itu diambil. Ada pelbagai pendapat. Ada yang bersetuju dan ramai juga yang menganggap ia amat kejam.
Tan Sri Annuar memang cukup arif tentang hukuman yang dijatuhkan kepadanya. Beliau bekas Menteri Belia dan Sukan. Peraturan dalam persatuan harus diterima biarpun amat pahit untuk ditelan.
Dan sebagai pemimpin politik, beliau juga pastinya amat matang dalam menghadapi isu ini. Dalam Umno dulu pun ada pemimpin tertinggi pernah digantung atau dipecat kerana melanggar peraturan parti. Parti Pas juga pernah melakukan perkara yang sama. Terbaru pemecatan Datuk Dr Hasan Ali. Biarpun dianggap suatu tindakan kejam dan kurang wajar, tetapi hakikatnya, semua harus menghormati keputusan parti.
Jadi, tindakan Tan Sri Annuar mendiamkan diri dan menerima keputusan itu melambangkan kematangan dan pengalamannya sebagai pemimpin. Hanya tindakan amarah penyokong-penyokongnya, terutama peminat bola sepak di Kelantan memang amat sukar dibendung. Mereka mempunyai hak untuk melontarkan rasa tidak puas hati itu.
Mereka mempertikaikan sampai bila FAM tidak boleh ditegur atau dikritik?. Ada yang beranggapan Raja atau Sultan (lebih tepat Sultan Pahang sebagai Presiden FAM) tidak boleh ditegur atau dikritik langsung. Benarkah begitu? Pada saya, apa yang berlaku ke atas Tan Sri Annuar bukannya kritikannya terhadap Tuanku Sultan Ahmad Shah, tetapi tegu­rannya terhadap kemerosotan skuad kebangsaan. Selaku Timbalan Presiden, dia mempunyai hak untuk bersuara. Isunya tidaklah begitu besar, tetapi disemarakkan oleh pihak media. Dan peraturan dalam FAM memang jelas telah dilanggar oleh Tan Sri Annuar.
Sebagai wartawan sukan, saya teringat kembali tulisan saya di sebuah akhbar tempatan ketika saya bertugas tidak lama dulu yang mengkritik FAM. Jika tidak silap, tajuk tulisan saya ketika itu: CERMINLAH DIRI ANDA, FAM!’ berkisar mengenai impian FAM untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2010. Tulisan saya itu pada sekitar awal tahun 1990-an mengkritik tindakan atau `angan-angan’ Mat Jenin FAM itu.
Kerana tulisan itu, Setiausaha Agung FAM ketika itu, Datuk Paul Mony memanggil saya `mengadap’ kerana Tuanku Sultan Ahmad Shah kurang senang dengan tulisan itu. Dalam pertemuan itu, saya menjelaskan tujuan sebenar yang mahu disuarakan dalam tulisan itu ialah FAM tidak perlu berangan-angan terlalu jauh sampai ke Piala Dunia kerana dalam tempoh 20 tahun itu, FAM seharusnya meletakkan sasaran untuk menguasai peringkat Asia terlebih dahulu sebelum bercita-cita besar untuk ke Piala Dunia.
Saya menyatakan kritikan itu agar FAM `mengukur baju di badan sendiri’. Selepas penjelasan itu, saya menunggu dengan penuh sabar. Bimbang juga andai Tuanku Sultan Pahang murka. Tetapi, feed-back yang diterima, penjelasan itu boleh diterima.
Saya lega dan gembira.
Saya masih mengingati peristiwa ini ketika berada di Afrika Selatan untuk Piala Dunia 2010 (tahun yang disasarkan oleh FAM untuk melayakkan diri). Malaysia hanya ada satu wakil sahaja di Piala Dunia 2010, iaitu Subkhidin Haji Salleh sebagai pengadil!.
Apa yang ingin dipaparkan di sini ialah Presiden FAM boleh ditegur dan sedia menerima sesuatu kritikan yang membina. Tetapi, berapa ramai ahli majlis di FAM yang berani menyuarakan pandangan atau membangkang sesuatu yang dilontarkan oleh
Presiden – dalam setiap mesyuarat yang diadakan?. Inilah sebenarnya gelanggang yang sesuai untuk menyatakan pandangan demi pembangunan bola sepak negara. Malangnya, ada yang memberitahu ahli majlis lebih bersikap sopan santun dan `amat segan’ untuk melontarkan sesuatu bantahan. Budaya `Yes Man’ inilah sebenarnya yang menghalang pembangunan bola sepak negara.
Mereka mempunyai peluang untuk menyatakan apa sahaja yang terbuku – di dalam mesyuarat – bukannya di luar gelanggang kerana ia menyalahi peraturan dan kehendak persatuan. Tidak salah rasanya kalau ada ahli majlis FAM mengangkat sembah sambil berkata: ``Ampun Tuanku, patik rasa cadangan itu kurang tepat…mohon dikaji semula…’.
................................................................
Sebelum ini seorang lagi pengulas / pengkritik bola sepak juga bersuara;
Shebbie. Harian Metro.
..............
Saksikan juga surat "saman" daripada FAM kepada Tan Sri Annuar Musa;
Surat S/U Agong FAM
Tapi baru-baru ini Presiden FAM menafikan adanya bayaran kos oleh pesalah. Tapi S/U Agong kata ada, Yang mana satu betul-betul betul.
........................................