Shahrizan jadi taruhan utama
KELANTAN cukup terkenal sebagai sebuah pasukan yang berjaya menampilkan beberapa nama besar di posisi penjaga gol sejak era 1980-an.
Selepas kemunculan Hamid Ramli, legasi kecemerlangan tersebut diteruskan dengan kehadiran Wan Kamarulzaman Mohamad, Halim Napi dan ketika ini – Khairul Fahmi Che Mat sedang berada di kemuncak karier.
Bagaimanapun, menjelang kempen Piala Malaysia yang akan membuka tirainya Selasa ini, Kelantan diselubungi khabar kurang gembira apabila tiga penjaga gol mereka tidak dapat disenaraikan.
Khairul Fahmi yang menggalas tanggungjawab bersama skuad Olimpik mungkin tidak mendapat pelepasan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ini kerana skuad Olimpik dalam persiapan bagi menghadapi saingan peringkat kumpulan Kelayakan Olimpik 2012.
Kem Kelantan bertambah resah apabila dua lagi penjaga gol, Norhadi Ubaidillah dan Halim di- belenggu masalah kecederaan.
Berikutan masalah tersebut, seluruh ‘mata’ peminat setia skuad The Red Warriors kini tertumpu kepada penjaga gol kedua, Shahrizan Ismail yang tidak asing dalam kejohanan domestik.
Namun timbul persoalan sama ada Shahrizan mampu menggalas tanggungjawab yang diamanah ketika Kelantan dalam misi mempertahan Piala Malaysia musim ini.
Pada kempen tahun ini, dia lebih kerap memanaskan bangku simpanan dan hanya beraksi untuk tempoh 270 minit dalam Liga Super.
Kelibat Shahrizan sering dibayangi oleh ketangkasan Khairul Fahmi sehingga mencetuskan kebimbangan terhadap prestasi semasa pemain berusia 32 tahun ini walaupun ‘dadanya cukup dengan ilmu’.
Sebagai rekod, Shahrizan pernah mencuri tempat sebagai penjaga gol No. 1 pasukan Selangor selama tiga musim bermula 2001.
Dia kemudiannya berkelana ke Terengganu pada 2005 sebelum memilih untuk pulang berbakti ke negeri kelahirannya, Kelantan pada 2008.
Musim 2009 menyaksikan Shahrizan kehilangan posi- sinya selepas kemunculan semula Halim dan setahun kemudian, dia sekali lagi diketepikan dengan kehadiran Syed Adney Syed Hussain.
Secara tiba-tiba, kelibat Khairul Fahmi pula mula mencuri tumpuan sehingga mencetuskan fenomena baharu dalam skuad Kelantan.
Selepas lebih dua musim menanti, pentas Piala Malaysia adalah kesem- patan terbaik untuk Shahrizan membuktikan keupayaan sebenarnya.
Dalam empat siri perlawanan persahabatan sebelum ini, Shahrizan mempamerkan aksi cemerlang ketika bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Selangor, Songkla FC dan hanya melepaskan satu gol ketika Kelantan menentang T-Team.
Statistik tersebut mungkin sudah cukup untuk menutup mulut para pengkritik yang meragui kemampuannya selain ia satu isyarat jelas bahawa Shahrizan kini sedang mencongak sesuatu untuk merampas semula posisi penjaga gol utama Kelantan.
Memiliki susuk tubuh yang lebih kecil dan rendah, Shahrizan memiliki kekuatan tersendiri terutama kemampuannya membaca gerak lawan ketika situasi bola satu lawan satu.
Ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu pernah memberitahu, Shahrizan adalah seorang yang cukup sempurna untuk mengisi posisi penjaga gol.
“Apabila penjaga gol nombor satu dan dua anda berada pada tahap yang sama ia suatu yang cukup sempurna. Mereka (Khairul Fahmi dan Shahrizan) membuatkan saya pening untuk memilih yang terbaik.
“Shahrizan memiliki segala kekuatan yang diperlukan oleh seorang penjaga gol. Dia cukup baik dalam situasi bola rendah dan tindakan refleks, cuma dia memerlukan lati- han yang lebih untuk berdepan bola tinggi.
“Dia kini sedang berada pada prestasi terbaik dan Apeq (Khairul Fahmi) mungkin terpaksa bekerja keras selepas ini sekiranya mahu terus menyarung jersi utama pasu- kan,” jelasnya.
Ketika Shahrizan sudah bersedia menggalas tanggungjawabnya, Kelantan kini perlu mencari seorang lagi penjaga gol simpanan.
Ia mungkin menjadi rebutan dua pemain muda iaitu penjaga gol Piala Presiden, Judtana Eh Put dan Muhammad Syazwan Yusoff atau Kelantan harus menagih kudrat Halim.
...dari http://www.kosmo.com.my
_______________________
Kelantan terpaksa gigit jari
Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2011/09/04
APEK (kiri) gigih menjalani latihan bersama penjaga gol skuad Olimpik.
FAM arah Apek untuk kekal beraksi bersama skuad Olimpik
PENJAGA gol, Khairul Fahmi Che Mat diarah untuk kekal beraksi bersama skuad Olimpik atas titah Pengerusi Jawatankuasa Skuad Kebangsaan yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, berkata keputusan itu dibuat Sultan Ahmad Shah lewat petang semalam selepas kemelut yang timbul berhubung penjaga gol terbabit dimaklumkan kepada baginda.
"FAM sedia maklum dan sudah menerima khidmat pesanan ringkas daripada Presiden Persatuan Bola sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang memaklumkan sudah menghantar surat permohonan mengenai khidmat Khairul Fahmi.
"Apapun permohonan ini satu perkara yang sensitif dan ia sudah dipersembahkan kepada Sultan Ahmad Shah untuk makluman baginda.
"Lewat petang tadi (semalam) baginda menitahkan Khairul Fahmi akan kekal menjalani latihan dengan skuad Olimpik bagi persiapan menghadapi pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 zon Asia di Fukuoka, Jepun 21 September ini," katanya pada sidang media di Kuantan semalam.
Azuddin berkata, bagaimanapun FAM akan menimbang pilihan lain termasuk meminjamkan salah seorang penjaga gol dalam skuad Olimpik (selain Khairul Fahmi) kepada skuad The Red Warriors bagi menghadapi Piala Malaysia.
Akhbar kelmarin melaporkan jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee enggan melepaskan Khairul Fahmi atau lebih mesra dipanggil Apek menyertai skuad Kelantan untuk saingan Piala Malaysia bagi membolehkan penjaga gol itu terus bersama skuad kendaliannya.
Malah Apek sendiri yang agak terganggu mindanya memutuskan untuk mengutamakan skuad negara.
"Saya akur tugas dengan kedua-dua pasukan (negara dan Kelantan) begitu penting. Namun bagi saya misi negara lebih penting dan mahu membantu meningkatkan mutu bola sepak negara," katanya.
Ketika ini Kelantan hanya ada seorang penjaga gol iaitu Mohd Shahrizan Ismail selepas khidmat penjaga gol veteran, Mohd Halim Napi dan penjaga gol ketiga, Norhadi Ubaidillah hampir pasti diketepikan dalam kempen Piala Malaysia musim ini setelah mengalami kecederaan.
---dari http://www.bharian.com.my
______________________
Kecederaan tak luntur semangat Norhadi bantu Red Warriors
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my
2011/09/04
NORHADI (kiri) dibawa menaiki ambulans selepas kecederaan kekita beraksi di Universiade baru-baru ini.
DI sebalik kecederaan paru-paru yang dialami ketika menentang Kanada di Sukan Universiti Dunia (Universiade), di Shenzen, China baru-baru ini, penjaga gol muda negara Norhadi Ubaidillah masih bersemangat untuk turun beraksi membantu Kelantan dalam saingan Piala Malaysia yang bermula Selasa depan.
Semangat anak kelahiran Bachok, Kelantan ini mungkin bertambah selepas menyaksikan The Red Warriors mengalami masalah kekurangan penjaga gol selepas Khairul Fahmi Che Mat tidak dilepaskan oleh pengendali skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee.
Ekoran ketiadaan Khairul Fahmi, Kelantan kini hanya bergantung kepada Shahrizan Ismail selepas Norhadi dan penjaga gol veteran, Halim Napi turut mengalami kecederaan.
“Saya masih berharap kecederaan yang dialami ketika menentang Kanada lalu dapat pulih dengan cepat bagi membantu Kelantan untuk mengekalkan trofi kejuaraan,” kata Norhadi yang merupakan penjaga gol ketiga Kelantan musim ini.
Norhadi kini berehat di rumah selepas mengalami kecederaan yang dialami ketika bertembung dengan penyerang Kanada dalam perlawanan penentuan tempat ke sembilan dan 10 kejohanan Universiade yang menyaksikan skuad negara tewas 1-5.
Katanya, dia dinasihatkan supaya berehat sekurang-kurangnya dua bulan namun tetap mahu melihat kejayaan Kelantan mengekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.
“Andai kecederaan yang dialami tidak pulih dalam tempoh terdekat, saya mendoakan kejayaan pasukan,” katanya.
...dari http://www.bharian.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..