Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Rabu, Januari 15, 2014

Kangkung Najib dapat liputan antarabangsa

Lawak ‘kangkung’ Najib turut jadi berita antarabangsa


Gara-gara kenyataan kontroversi perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai harga kangkung yang turun di pasaran menyebabkan beliau bukan sahaja  dikritik hebat oleh rakyat bahkan turut mendapat liputan media antarabangsa.
Portal berita online BBC melalui kolum "#BBC Trending: Be careful what you say about spinach" (berhati-hati apa yang anda katakan tentang kangkung) menyiarkan, semenjak video kenyataan Najib itu dimuat naik, ia dijadikan bahan lawak dan antara topik hangat dibincangkan dalam laman sosial.
Dalam portal tersebut menyifatkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan memuncak apabila perdana menteri mengeluarkan kenyataan tidak sensitif tatkala kenaikan harga barang dan perkhidmatan seperti gula dan tarif elektrik di Malaysia.
"Di kala kemarahan rakyat terhadap kerajaan kerana kenaikan harga dalam perkara asas seperti bahan api dan elektrik, Perdana Menteri memilih untuk bercakap mengenai penurunan harga kangkung sebagai contoh bahawa tidak semua harga naik di Malaysia.
"Ia menyebabkan Najib dikritik hebat apabila rakyatnya bergelut dengan peningkatan kos sara hidup, namun terpaksa melihat korupsi dan perbelanjaan mewah kerajaan Malaysia," seperti yang dipetik dalam portal tersebut.
Selain itu, BBC turut melaporkan bahan lawak kangkung juga menjadi satu fenomena apabila ribuan memberi komen di laman sosial seperti di Twitter, manakala di Facebook pula, laman akaun ditubuhkan dengan pengikutnya mencecah 10,000 orang.
Tambah portal itu, ekoran daripada reaksi luar biasa rakyat ke atas isu tersebut juga menyaksikan video ucapan Najib diubah menjadi lagu, dan lebih daripada itu, Tshirt tertera 'Keep Calm and Eat Kangkung' dihasilkan.
Portal itu juga berkata tindakan Najib itu dilihat memberi peluang kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersama rakyat mentertawakan kerajaan.
Presiden Umno tersebut dalam sebuah video yang dimuat naik bertarikh 12 Januari 2014, mempersoalkan mengapa kerajaan dipersalahkan tatkala harga barang naik, tetapi ketika harga turun tidak pula dipuji.
"Bila harga barang naik, sawi naik, kangkung naik. Ada masa dia naik, ada masa dia turun.
"Hari ini saya baca dalam surat khabar ada yang dah turun. Kangkung dulu naik sekarang dah turun, apabila dah turun kenapa tak puji kerajaan, masa naik dipersalahkan kerajaan. Ini tidak adil," kata Najib yang dipetik berkata dalam video tersebut.
Video yang tersebar luas tersebut boleh ditonton di sini.

Kangkung turun harga
Kenyataan Najib bukan kali pertama mendapat kritikan dan cemuhan daripada pengguna laman sosial dan rakyat, malahan menteri Kabinet beliau juga sebelum ini dikritik hebat kerana kenyataan yang tidak memahami sensitiviti rakyat yang bergelut dengan kenaikan harga barang.
Antara kenyataan menteri Kabinet yang menerima kritikan ialah kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek sebelum ini berkata jangan makan ayam sekiranya harga ayam mahal dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan alternatif bagi mengelak tol yang dijangka naik.
Kenaikan harga bahan api, tarif elektrik, air dan gula mewujudkan kesan domino yang menyebabkan harga banyak barang lain meningkat. – 15 Januari, 2014.
...............................................
..dalam kemeriahan rakyat membicarakan tentang kangkung sehingga dijadikan tajuk penghibur rakyat, saya rasa ada beberapa soalan yang lebih serius patut dikemukakan; pada persepsi kerajaan penurunan kangkung takdir Tuhan semata atau usaha kerajaan? Jika ia satu usaha kerajaan -sebab musabab-, boleh atau tidak kaedah yang telah berjaya menurunkan harga kangkung diguna pakai ke atas sayuran dan keperluan asasi rakyat yang lain..mungkin kerajaan boleh kongsi formula yang membolehkan harga kangkung turun untuk ahli-ahli ekonomi mengkaji formula itu untuk dilaksanakan ke atas bahan-bahan yang lain. Ini mungkin membantu. -Dr MAZA

Isnin, Januari 06, 2014

Kata pertama Januari 2014

SYUKUR kepada ALLAH sedar tak sedar kita telah melangkah ke angka baru iaitu 2014. Teringat zaman muda remaja dulu ketika tahun 2000, pernah terfikir sempatkah angka 1 dan ke atas dikecapi. Ooo..kini 13 tahun berlalu. Ahh bukan itu isunya sekarang. Ceritanya bagaimana akhir tahun 2013 ditinggalkan dan bagaimana awal Januari yang masih kita (sebenarnya kawe) lalui.

Untuk akhir 2013 kawe dan keluarga melalui sesuatu yang sama seperti tahun-tahun yang lalu dan ada sedikit perubahan. Pertamanya ibu kami masih lagi bergelut dengan masalah kesihatannya. Kedua bagaimana kami mula melangkah keluar dari jajahan Kota Bharu. Ketiga bagaimana ujian ALLAH mendampingi kami. Keempat cerita kawe yang baru menapak dalam kerjaya baru. Kelima dan keenam tak lain tak bukan mengenai bertambahnya angka umur...dan jodoh.. Opps..

Derita ibu belum berakhir apabila Allah menguji lagi. Kesihatannya adakalanya baik adakalanya menurun. Demam tiba-tiba, baik tiba-tiba. Kandungan gula dalam badan tidak stabil. Biasa juga terjadi sekiranya paras gula tinggi dia makin sihat. Yang pasti kandungan gula normal baginya adalah dalam angka belasan. Kawe tak tahu laras bahasa macam mana untuk menerangkan, bagi yang faham (golongan yang terlibat dalam bidang perubatan) mereka ada bahasanya sendiri.

Akhir 2013 juga melangkahnya kami keluar dari jajahan Kota Bharu ke jajahan Tanah Merah. Masih lagi dalam Kelantan. Sebenarnya rumah yang kami duduki sebelum ini milik makcik kami, adik ayah. Bila anak-anak makcik dan besar dewasa makcik perlu rumah yang besar. Kebetulan pula ayah ada duit sikit hasil jual rumah maka dapatlah buat rumah baru. (jual rumah kedai di kota, buat rumah baru di desa. Tak boleh cerita panjang) Di Tanah Merah ada ruang untuk mendirikan sebuah rumah; tanah milik nenek sebelah ibu. Desa baru kami Kampung Air Merbo, Jedok. Bedekatan dengan Bukit Bunga (kawasan bebas cukai), Jeli.

Perubahan tempat baru tiada masalah kerana itu juga kampung halaman kami. Cuma kenangan "mendewasa" di Kota Bharu (lebih tepat Kampung Landak, Pengkalan Chepa) selama 15 tahun sukar dilupakan. Bila diingat balik kami telah laluinya sebelum ini. Berhijrah dari Chuchoh Puteri dalam jajahan Kuala Krai ke Pengkalan Chepa, pada penghujung tahun 1997.

Ujian ALLAH sentiasa ada buat semua hamba-NYA. Itu yang kita tak boleh elak. Ibu masuk wad, berdepan masalah kesihatan, ayah yang semakin tua, itulah lumrah. Tidak terkecuali untuk ibu saja, abang juga menghadapi masalah kesihatan. Hati bernanah. Dari Putrajya, abang dan isteri serta anak-anak pulang ke kampung apabila kesihatannya tidak stabil. Kebetulan isterinya dalam pantang anak keempat. Menerima rawatan di Hospital Tanah Merah dalam seminggu lebih. Semasa cerita ini ditulis abang masih belum sihat sepenuhnya. Sekarang sudah ke perantauan. Anak sekolah, isteripun kerja, jadi mereka terpaksa "pulang" ke ibu kota.

Cerita baru kawe; bermulanya kerja dalam bidang kontraktor. Ooo bunyinya macam best je. Hahaha.. Berada dalam bidang Penyelia Keselamatan Tapak atau dalam bahasa Inggeris (yang lebih tepat) Site Safety Supervisor (SSS). Tapi tak boleh cerita banyak sebab ini baru permulaan. Entah bertahan lama atau tidak. Sebabnya...

Sebabnya banyak benda yang kawe keliru dan kelu. Banyak kerja yang tertangguh. Pihak pengurusapun dah merungut. Entahlah. Setakat hari ini kerjanya mengikut hati bukan mengikut prosidur. Hahaha.. InsyaALLAH, akan ada penambahbaikan.

Yang menjadi mencabar adalah jarak perjalanan yang kawe lalui setiap hari. Jarak dari Pengkalan Chepa (rumah lama) ke Kandis, Bachok (tempat kerja) lebih kurang 38 kilometer. Antara Kandis ke Jedok (rumah baru) 78 kilometer, atau lebih kurang 1 jam setengah perjalanan, lebih kurang dari Pengkalan Chepa ke Jedok. Dalam seminggu kawe akan bergilir merentas tiga jajahan (di Kelantan "jajahan" digunapakai untuk ganti "daerah) iaitu Pengkalan Chepa - Tanah Merah - Bachok.

Di Pengkalan Chepa kawe masih ada abang-abang dan adik yang menetap di sana. Bekerja dan sekolah di sini. Jadi perlulah menyewa rumah baru. Di Tanah Merah tinggalah ibu, ayah, dan seorang abang (ada masalah kesihatan sejak kecil - bukan yang hati bernanah tu). Tiga beranak di situ. Jadi perlulah kawe berulang alik atau lebih tepat menetap di samping ibu dan ayah. Sebabnya senang untuk menghadapi apa-apa kesulitan atau kecemasan yang mendatang. Di sini juga taklah bimbang sangat kerana makcik kami bersebelah rumah baru kami. Makcik-makcik boleh tengok-tengok ibu.

Cerita utama dan berulang setiap tahun adalah bertambahnya angka umur. InsyaALLAH esok adalah tahun ke 29 kawe diberi nafas oleh ALLAH. 7 Januari kembali lagi dalam hidup kawe. Banyak perkara yang lompang. Perlu masa untuk menutupnya. InsyaALLAH perancangan ALLAH sentiasa terbaik untuk hamba-NYA ;-).

Bila Disember bertemu Januari suatu perkara lagi dalam fikiran adalah perihal jodoh. Ooo tersenyum sendirian. Dulunya mimpi seakan benar. Senyum sendirian. Kini antara mimpi dan jodoh adalah suatu yang sukar untuk kita realisasikan. Biarkan. Urusan peneman hidup itu rahsia ALLAH sebagaimana kematian yang tiada jawapan pasti melainkan ketentuan ALLAH. Tapi alhamdulillah sunyi itu diisi dengan kehadiran sahabat-sahabat dan yang lebih penting adalah keluarga tercinta.

Baiklah.. Tirai 2014 telah dibuka. Satu kemestian (itupun dalam tiga - empat tahun sebelum ini) adalah "berjemaah" di Stadium Sultan Muhammad. Bola oh bola. Tahun ini rasanya kesempatan itu terbatas. Dengan jarak Kota Bharu dari tempat kerja kawe rasanya sukar untuk sama-sama bersorak. Biarkan. Itu masih dalam pertimbangan.

Jumaat, Disember 27, 2013

Teruskan meniti ...

Tahun 2013 bakal berakhir tak lama lagi. Cukup pendek masa cukup laju saat berjalan. Sejauh mana masa meninggalkan kita sejauh mana kita meninggalkan masa. Oh pening dengan ayatnya. Kawe cuba memahami makna iaitu jauhnya masa meninggalkan kita bermakan kita ketinggalan. Tercicir. Jauhnya masa yang kita tinggalkan maknanya cepatnya kita up to date kata "orang putih".. Kawe..?

Nak kata tinggalkan masa macam tak berapa kena. Nak kata ditinggalkan masa macam nak kena! Hahaha... Masa terus berjalan. Biarkan ia berjalan. Atau biarkan berlari. Kalau larat kawe kejar. Kala tak kawe hanya jadi pemerhati. Biarkan biarkan biarkan ...

2014 bakal menjelma. Apa agaknya azam baru? Kawe tak pernah ada azam tapi berazam. ???.. 

InyaAllah 2014 akan muncul sinarnya. Mudah-mudah kita semua dihujani rahmat dan limpah rezeki daripada ALLAH
...................
Emm buat sekian kalinya kawe tak rasa kehidupan kita (sebenarnya kawe) dipamerkan di sini. Tiada yang istimewa. Tiada yang lebih melainkan kurang.

Gambar hiasan: InsyaALLAH hujan rahmat Allah sentiasa ada

......Cerita seram....Menghampiri kematian

Jumaat, Disember 06, 2013

Suatu cerita kecil tentang parking MPKB-BRI

... Beberapa hari yang lalu kawe ada urusan bank di Kota Bharu. Dengan kereta Proton Iswara buatan Malaysia tercinta kawe sampai ke tempat dituju. Bila tengok ruang parkir Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) kawe terus masuk. Betul-betul depan tangga Kamdar. Lalu beberapa keping syiling dimasukan dalam tabung parking. Angka di tabung menunjukkan "1:00". Ini bermakna kawe ada sejam untuk "menyewa" parking tersebut.

Berada di dalam Maybank berdekatan lebih lama daripada waktu yang disangkakan. Dipendekkan cerita selesai sahaja urusan bank kawe terus keluar dan lihat satu kertas saman MPKB-BRI di cermin kereta. ""meletak kenderaan dengan tidak membayar caj yang ditetapan".

Sebenarnya bukan meletak kenderaan tanpa membayar caj tapi melebihi masa. Tanpa berlengah kawe terus ke pejabat MPKB untuk langsaikan saman. Bila kertas saman dihulur bayarannya seperti yang tertera iaitu RM10.00. Ooo bukankah sebelum ini ada potongan ..? Bila ditanya ada diskaun ke tidak, staf kata takde. Malas banyak cakap, kawe terus hulur RM10 dan terus keluar.

Resit bayaran (Cerita dalam FB)

Sebab apa kawe kata ada diskaun? Sebabnya sebelum ini dua kali kawe kena. 23 September 2013 lalu ceritanya sama saja, iaitu terlebih masa. Sebaik saja selesai urusan, aku terus turun. Dan terlekatlah di cermin depan kereta surat saman MPKB. Kesalahan "meletak kenderaan dengan tidak membayar caj yang ditetapan". Okey.. Masa 30 minit telah berlalu, dan itu rezeki MPKB. Kemudian aku teruskan urusan, menuju ke Muda Osman. Parking kereta sekali lagi dalam petak MPKB. Kali ini angka 0:19 tertera di tabung syiling. Kali ini aku tak tambah syiling sebaliknya aku letak balik kertas saman tu di cermin kononnya "kereta ini telah disaman". Tak sampai 5 minit urusan selesai. Tiada tambahan masa. Tiada tambahan syiling. Yg penting tiada tambahan saman.

Terus menuju ke MPKB untuk bayar saman. Dapatlah diskaun RM5.00. Sekiranya bayar pada hari yg sama ada diskaun. Selepas sehari caj adalah RM10.00. Sekiranya melebihi 7 hari, katanya mencecah RM100.00. Ooooo..

*kerani MPKB kata bukan rezeki (aku). Lalu aku menjawap itu rezeki MPKB. Senyum. Ikhlas. 

Resit bayaran (dengan diskaun) (Cerita dalam FB)
Nampaknya pihak MPKB di bawah kerajaan negeri Kelantan juga melakukan sesuatu yang kerajaan pusat buat iaitu menaikan harga perkhidmatan. Ini realiti sekarang.

Dalam perkebangan lain ada tabung syiling MPKB yang rosak dan memberi kesan yang negatif kepada sebilangan pengguna / rakyat. 

Rosak (Cerita dalam FB)
1) Bertarikh 23 November. Lokasi sebelah Kamdar Kota Bharu (Dekat lampu isyarat, berhadapan -seberang jalan- Bank Islam). Kawe masukan beberapa keping syiling tapi tapi angkanya tetap menunjukan "0". Jadi kawe letak sekeping kertas dengan menulis "Rosak", beserta dengan tarikh dan nombor pendaftaran kereta. Takut disaman. Alhamdulillah selamat. *kedua-dua tabungnya rosak.

2) Tarikh 25 Novermber. Lokasi sebelah Kamdar Kota Bharu. Kali ini dekat dengan bengkel kereta sebelum simpang empat lampu isyarat. Kawe masukan beberapa keping syiling tapi tapi angkanya tetap menunjukan "0". Jadi kawe letak sekeping kertas dengan menulis "Rosak", beserta dengan tarikh dan nombor pendaftaran kereta. Takut disaman. Alhamdulillah selamat. *kedua-dua tabungnya rosak.

1 & 2 ceritanya sama. Tabung rosak. Harap sangat Majlis Perbandaran Kota Bharumengambil tindakan segera. Jangan nanti tahu nak saman je!


...............................................................................................

Tamat sebuah cerita. 

Isnin, Disember 02, 2013

Ahmad Ammar; Kisah pemuda luar biasa

Ahmad Ammar pemuda luar biasa




KETENANGAN di bumi Turki pada hari itu sama seperti hari-hari yang sebelumnya. Penduduk setempat sibuk dengan rutin seharian manakala mereka yang memandu di kawasan berbukit di sekitar Istanbul begitu berhati-hati.
Namun, pada pagi dua hari sebelum sambutan Awal Muharram itu merupakan hari yang cukup istimewa kepada seorang anak muda kelahiran Kuala Lumpur, Ahmad Ammar Ahmad Azam, 20. Ia menjadi titik permulaan dalam hidupnya kerana bakal mengajar pelajar-pelajar baharu mengenai risalah An-Nur di sebuah madrasah.
Dia begitu berhati-hati menuruni bas yang dinaiki dari madrasahnya di Mobilyacilar sambil mendengar alunan muzik seruling Ney, instrumen yang menjadi kegemaran Jalaluddin Ar-Rumi. Jalaluddin atau lebih dikenali sebagai Rumi merupakan penyair tersohor dari Parsi yang banyak mempengaruhi penulisan dan budaya masyarakat Islam.
Ketika cuba melintas di satu persimpangan jalan, langkahnya terhenti. Tubuhnya seakan-akan hilang imbangan lalu dia terjatuh. Pada saat itu jugalah sebuah van ambulans yang datang dari belakang merempuh tubuhnya. Dia terkulai di tepi jalan, namun digagahkan juga berdiri meminta bantuan daripada pemandu van ambulans yang melanggarnya.
Namun, sudah tertulis di Luh Mahfuz, hayat siswa Universiti Marmara, Istanbul, Turki itu dipinjamkan sehingga 2 November 2013. "Pelbagai versi yang saya dengar tentang kemalangan itu. Apa pun, Allah telah menyusun perjalanan hidup Ahmad Ammar. Memang sedih tetapi saya reda dengan ketentuan-Nya," luah ibu arwah Ahmad Ammar, Nur Azlina Abdul Aziz ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Hari ini masuk sebulan pemergian anak keempat daripada lima beradik itu.
Kenangan manis
Menurut laporan bedah siasat, Ahmad Ammar mengalami kecederaan teruk pada organ dalaman yang mengakibatkan dua tulang rusuknya patah. Apa yang mengejutkan Nur Azlina ialah tiada kesan darah ditemui pada tubuh Ahmad Ammar.
Namun, kenangan bersama Ahmad Ammar, terus mekar di dalam hati Nur Azlina.
"Saya tidak pernah berasa kehilangan Ahmad Ammar kerana dia sentiasa bersama saya. Jika dahulu, dia berada jauh di negara orang tetapi kini dia seperti sentiasa berada di sisi saya, setiap masa," katanya.
Penghormatan tertinggi. Jenazah Ahmad Ammar disemadikan di tanah perkuburan sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayub al-Ansari.


Kisah Ahmad Ammar tiba-tiba menjadi bualan di laman-laman sosial, sehinggakan pemergiannya diangkat setinggi pemimpin agung Islam dan ditempatkan bersama sahabat-sahabat nabi di Eyub Sultan, Turki. Di pinggir Konstantinople itu letaknya makam Saidina Abu Ayub al-Ansari iaitu sahabat rapat Rasulullah yang meninggal dunia ketika menyertai kempen perang jihad fisabillah tahun 674 Masihi.
"Anak saya seperti remaja-remaja lain, cuma beza Ahmad Ammar ialah akhlaknya. Ketika orang sibuk bertanya tentang keperibadian arwah, saya cuba ingat kembali, berapa kali saya meninggikan suara atau jika pernah terdetik perasaan marah kepadanya.
"Baru saya tersedar, tidak pernah sekali saya melakukan semua itu kepadanya. Dia anak yang mudah dijaga dan tidak pernah merungut," cerita Nur Azlina yang aktif dalam badan kebajikan amal.
Ibu kepada lima anak itu menambah, Ahmad Ammar seorang yang pendiam dan hanya bercakap apabila perlu saja sama ada bersama teman atau ahli keluarganya.
Sehinggakan kata Nur Azlina, guru sekolahnya pernah menelefon beliau semata-mata mahu memberitahu Ahmad Ammar tergelak di dalam kelas. Masa kecilnya, ujar Nur Azlina, dahi arwah sudah mempunyai garis-garis halus. Optimis wanita itu, anaknya mungkin berfikir tentang umat Islam di seluruh dunia.
Satu perkara yang mengagumkan tentang ibu bapa Ahmad Ammar ialah tiada riak kesedihan pada wajah mereka. Sebaliknya, terpancar ketabahan dan keredaan kedua-duanya baik kepada Nur Azlina dan suami, Ahmad Azam Abdul Rahman dalam setiap gerak geri dan butir bicara mereka. Sebagai ibu, bohonglah jika Nur Azlina tidak terkesan dengan pemergian Ahmad Ammar. Namun, beliau melihatnya dari sudut yang positif.
"Perasaan sedih itu bertukar syukur kerana peribadi dan sumbangan Ammar selama hayatnya membawa perubahan positif dalam dirinya," kata mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia itu.
Minat arwah dalam sejarah tamadun Islam dunia membawanya ke Turki untuk mendalami ilmu-ilmu Daulah Uthmaniyyah. Arwah terdorong daripada wawasan bapanya yang menjadikan Sultan Muhammad al-Fatih sebagai rujukan dalam hidup.
Percaturan Allah
Menurut Nur Azlina, beliau pernah bergurau dengan Ahmad Ammar dengan mengatakan Sultan Muhammad al-Fatih berjaya membina empayar Uthmaniyyah yang bertahan selama 600 tahun pada usia 21 tahun. Maka, Ahmad Ammar ada setahun lagi untuk menyumbang sesuatu kepada umat Islam.
Rupa-rupanya, pemergian arwah itulah yang memberi kesan mendalam kepada masyarakat Islam.

AHMAD AMMAR (dua dari kanan) merupakan pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2010 di Maktab Tentera Diraja.


Sebagai bapa, Ahmad Azam menerima pemergian arwah anaknya sebagai satu percaturan yang telah ditetapkan Allah.
"Sebenarnya, saya sedang dalam pembinaan pejabat rasmi di Turki. Jarak antara Eyub Sultan dan pejabat itu hanya 10 minit perjalanan. Bolehlah saya melawatnya selalu di sana," katanya memasang impian.
Sementara itu, salah seorang sahabat karib arwah Ahmad Ammar, Muhammad Huzaifi Ali, 20, seboleh-bolehnya mahu memadamkan memori yang tercatat pada 2 November lalu.
Panggilan telefon dan mesej daripada rakan-rakan yang memaklumkan berita pemergian Ahmad Ammar merengut jantungnya.
'Adik dah meninggal'. Ayat pendek itu membuatkannya tergamam apatah lagi sahabatnya itu berkelana di perantauan untuk menimba ilmu.
"Kehilangan seorang rakan karib yang mesra dipanggil adik itu sangat terkesan di hati saya, namun saya bersyukur kerana arwah mendapat pengiktirafan tinggi daripada kerajaan Turki apabila jenazahnya dikebumikan di Eyub Sultan di Istanbul, Turki," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Memori singkat bersama arwah sewaktu sahabatnya itu pulang bercuti ke tanah air dua bulan lalu menerjah ke kotak fikiran Huzaifi. Dalam kesibukan memenuhi tugas sebagai seorang jurugambar, dia masih sempat bertemu Ahmad Ammar.
Arwah yang juga rakan sekolah ketika mereka menuntut di Sekolah Rendah Islam Al-Huda di Gombak, Selangor mencadangkan kepada Huzaifi supaya membuat satu sesi penggambaran korporat dengan menjadikan bapanya, Ahmad Azam sebagai model.
Catatan rakan karib
"Itu adalah pertemuan terakhir saya bersama arwah dan bapanya," ujar graduan Diploma Fotografi Universiti Teknologi Mara itu.
Antara pesanan arwah yang cukup berbekas di hati Huzaifi ialah supaya dia tidak terlalu bebas berkarya, sebaliknya memanfaatkannya kepada jalan dakwah.
Menerusi sebuah laman peminat di Facebook, Tribute Ahmad Ammar Ahmad Azam yang diwujudkan, terdapat satu catatan yang ditulis oleh seorang rakan karib arwah ketika menuntut di Universiti Marmara, Turki iaitu Muhammad Ahmad Zahid, 20.
RIBUAN rakyat Turki mengiringi jenazah Ahmad Ammar ke tanah perkuburan.


Anak muda ini merupakan individu yang bertanggungjawab mengalunkan surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali ketika jenazah Ahmad Ammar diditurunkan ke liang lahad di tanah perkuburan Eyub Sultan, Istanbul.
Menerusi video berdurasi selama kira-kira 24 minit yang dimuat naik ke laman YouTube berjudul GPTD: Ahmad Ammar Dalam Kenangan (1993-2013), kelihatan seorang anak muda berkemeja T merah memegang mikrofon membaca surah tersebut.
Tindakannya itu hanya semata-mata mahu melaksanakan amanah arwah yang ketika hayatnya pernah secara berseloroh meminta Muhammad berbuat demikian jika sampai waktunya beliau menghadap Ilahi.
"Pada mulanya, beliau meminta saya mengaji pada majlis perkahwinannya pada masa akan datang. Selepas itu, arwah meminta saya mengaji, sekurang-kurangnya surah al-Ikhlas selepas dia meninggal dunia," katanya yang menggelar arwah dengan panggilan Abang Long.
Hakcipta terpelihara Kosmo!


Dedikasi buat Allahyarham Ammar

Sabtu, November 30, 2013

DI SEBALIK CERITA KAMUS DEWAN

KAMUS DEWAN BUAH TANGAN TERHEBAT



SELAMA lima tahun dari 1966 sehingga 1970, Datuk Dr. Baharudin Zainal dan pasukannya lebih kurang 15 orang berhempas-pulas bekerja siang dan malam semata-mata mahu menghasilkan sebuah kitab rujukan yang penting bagi umat manusia yang menggunakan bahasa Melayu iaitu Kamus Dewan.
Sebelum Kamus Dewan diterbitkan, penutur dan pengguna bahasa Melayu menggunakan Kamus Umum Indonesia untuk mendapatkan takrifan perkataan.
Bagi penterjemahan bahasa Inggeris, Kamus Wilkinson dijadikan rujukan tetap, kata sasterawan yang lebih dikenali sebagai Baha Zain.
Ketika itu, tiada perisian atau aplikasi memasukkan maklumat dan seterusnya disusun secara automatik seperti sekarang.
Maka, semua perkataan yang ditemui daripada bahan-bahan bacaan seperti surat khabar, majalah dan buku digunting merangkumi set aksara serta ayat. Keratan-keratan tersebut seterusnya ditampal pada kad imbas dan disusun mengikut abjad.
Selain perkataan yang diambil daripada bahan bacaan, pencarian juga dibuat di negeri-negeri yang mempunyai loghat daerah.
Diskusi bersama individu berpengalaman turut dibuat seperti penulis antaranya, Keris Mas juga dibuat terutamanya pada waktu malam.
Teks-teks sastera lama turut dikaji dan setiap perkataan diteliti. Lebih 200,000 keping kad imbas berjaya dihimpunkan kerana gaya bahasa Melayu yang memberi imbuhan pada kata akar menambah bilangan perkataan yang dikumpul.
"Kerja menggunting keratan artikel menyebabkan tangan kami luka-luka setiap kali pulang ke rumah," kenang Baha Zain ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Gombak, Selangor.
Kerjanya tidak terhenti setakat itu, kad-kad yang disusun dalam kotak besi perlu disalin semula menggunakan mesin taip untuk dijilidkan.
"Maka, timbul konotasi, jangan masukkan pesalah ke dalam penjara, tetapi suruh dia kerja membuat kamus," seloroh Baha Zain yang kini sudah menjangkau usia 74 tahun ketika menggambarkan kesusahan membikin kamus.

BAHA membelek koleksi keratan-keratan akhbar berkaitan dengan beliau sepanjang berkhidmat bersama DBP.


Iutlah [Itulah] pengalaman yang dilalui oleh Baha Zain pada peringkat awal kariernya di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai timbalan ketua di bahagian perkamusan.
Bagi merealisasikan penjilidan kamus tersebut, DBP telah melantik Pakar Perkamusan dari Indonesia, Dr. Teuku Iskandar dari Indonesia bagi mengetuai projek berkenaan. Turut terlibat Penasihat Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Dr. Teuw.
Ekoran itu, nama Dr Teuke diabadikan pada kulit Kamus Dewan.
Sebelum Kamus Dewan diterbitkan pada tahun 1970, terdapat usaha-usaha membuatnya, bagaimanapun sering tergendala disebabkan perkara-perkara tertentu seperti penukaran individu untuk sesuatu jawatan.
Kini, Kamus Dewan telah pun memasuki edisi keempat dan mempunyai versi laman web yang boleh dirujuk dengan mudah di alamat, http://prpm.dbp.gov.my/.
Menulis sepenuh masa
Sejak lima tahun lalu, lelaki yang mempunyai ketinggian 162 sentimeter itu meletakkan semua jawatan yang disandang termasuk di syarikat penerbitan sendiri, Pustaka Cipta Sdn. Bhd.
"Saya mahu menulis sepenuh masa secara bebas dan melakukan perkara yang disukai seperti berkebun," ujarnya ringkas.
Rumahnya itu memiliki sebuah halaman yang dihiasi landskap tumbuh-tumbuhan yang ditanam sendiri, manakala sebuah bilik khas dijadikan perpustakaan peribadi.
Setiap kali berfikir, jarinya pasti memegang dagu dan terdiam seketika. Itulah gaya Baha Zain saat membuat penimbangan membuat keputusan, menurut pandangan mereka yang baharu mengenalinya.
Anak-anaknya yang seramai tiga orang, Rosihan Hadi, Rosihan Juara dan Rosihan Zain telah memiliki keluarga sendiri.
Maka, kehidupannya dilalui berdua dengan isteri, Rusiah R. Abdullah. Baha Zain barangkali boleh dikatakan seorang pendiam, manakala isterinya, seorang yang ramah.
Berkahwin pada usia 27 tahun, kini tokoh sastera yang mendapat pengiktirafan Anugerah Sasterawan Negara ke-12 itu kembali hidup berdua pada umur 74 tahun.
Penulisannya secara berkala dapat dibaca dalam majalah Dewan Sastera melalui kolum Monolog Kecil yang membincangkan isu-isu semasa dengan mendasari fakta-fakta.
Jika berkarya pula, Baha Zain gemarkan puisi kerana lebih spontan berbanding esei yang perlu dirancang teliti setiap kali membuat satu-satu penulisan.

ISTERI Baha, Rusiah sentiasa menjadi tulang belakang dalam setiap usaha dilakukan olehnya dalam bidang bahasa.


Maka, tiada waktu yang khusus bagi Baha Zain untuk mengarang puisi, tetapi lebih bergantung kepada mood pada waktu tersebut.
"Menjadi penulis sepenuh masa memang ada kesan pada ekonomi, tetapi penulisan sastera adalah pengucapan hidup saya," ungkapnya.
Nama Baha Zain sebenarnya lahir daripada singkatan nama penuhnya dan digunakan sejak beliau menuntut di universiti lagi sekitar tahun 1960-an, tidak disangka apabila nama itu menjadi lebih popular.
"Menggunakan nama pena dalam penulisan telah wujud sejak zaman British lagi dan diikuti oleh generasi berikutnya," katanya.
Tujuan penulis pada masa itu adalah mahu idea mereka diketengahkan dan bukan diri penulis sendiri, ia amat berbeza dengan penulis sekarang yang menggunakan nama sebenar.
Minat Baha Zain dalam bidang penulisan bercambah perlahan-lahan sejak di bangku sekolah lagi. Beliau mempunyai abang dan kakak yang gemar membeli majalah hiburan sekitar tahun 1950-an.
Ekoran itu, beliau dapat memupuk minat dalam bidang penulisan dan lebih bertuah lagi apabila antara gurunya yang mengajar bahasa Melayu merupakan kumpulan pertama yang mendapat latihan di Maktab Kirby, Liverpool, England.
Beliau masih ingat dengan jelas nama gurunya itu, Allahyarham Sufian Saori yang memberikannya galakan secara berterusan dalam penulisan.
Rata-rata penulisannya didasari pengalaman dan persekitaran Baha Zain yang membesar di kampung dan belajar di kota besar.
Baha Zain dilahirkan di Batu 15, Hutan Melintang, Perak dan mendapat pendidikan di Sabak Bernam, Selangor, manakala peringkat sarjana muda pula di Universiti Malaya pada tahun 1960.
Buku seumpama tidak dapat dipisahkan dengan para pengkarya tanpa mengira bidang, begitu juga Baha Zain. Setakat ini, beliau sudah memiliki lebih 10,000 buah buku.
Antara penulis, Joseph Brodsky dari Rusia, Goenawan Mohamad dari Indonesia dan T. S Eliot dari British.
Gemar masakan Melayu
Baha Zain sangat menggemari masakan Melayu, asam pedas dengan ikan parang, jika tidak ikan kembung juga merupakan 'lawan' yang terbaik untuk masakan kegemarannya itu.
Tokoh Sasterawan itu juga kurang makan daging, ujarnya. Seperti penduduk Malaysia lain, Baha Zain pasti bersarapan dengan telur setiap hari dan minum teh tarik.
Pada waktu malam pula, isterinya tentu menghidangkan air kopi untuknya. Tabiat itu barangkali kesan daripada zaman mudanya dahulu yang sering sibuk.
BAHA ZAIN mengabdikan diri selama lima tahun bagi mengumpulkan semua perkataan yang terdapat dalam bahasa Melayu untuk disusun menjadi sebuah kamus.


Baha Zain merupakan seorang pengkarya yang telah melalui zaman mesin taip yang panjang dan kini era komputer, tetapi beliau masih lagi setia mengarang puisi.
Barangkali, ada persepsi mengatakan orang seni sering mahu menjadi lain daripada lain, malah ada yang menolak kemodenan. Baha Zain bukan begitu waima terhadap media sosial, Twitter dan Facebook.
"Sepatutnya, medium sebegitu digunakan sebaik mungkin dalam meningkatkan lagi penulisan," katanya lagi. Baha Zain juga menulis dalam blog, bahazain.blogspot.com.
Akuinya, selepas bertahun-tahun memakai mesin taip atau menulis dengan tangan, Baha Zain mengambil masa yang cukup lama, lebih kurang setahun untuk membiasakan diri menggunakan komputer dalam berkarya secara terus.
Begitu juga dalam perkembangan karya-karya tempatan dan kontemporari kini yang kelihatan penulis muda semakin berani memasukkan elemen-elemen seksual yang eksplisit.
Novel-novel itu kelihatan mempunyai pengikut tetap dan bilangan pembaca yang tinggi atau dalam erti kata lain pasti mendapat sambutan.
Ditanya perihal tersebut kepada Baha Zain, beliau tidak sedikit pun menolak mentah-mentah karya sebegitu kerana baginya, ia boleh menarik perhatian orang muda untuk membaca sekali gus dapat memupuk dan mengembangkan khalayak pembaca.
"Cuma, penulis-penulis mesti menggunakan nahu dan tatabahasa dengan betul termasuk ejaan. Kecuali dalam dialog," ungkapnya dalam memberi nasihat dalam mengarang.
Boleh jadi, mudah orang ramai untuk mengatakan bahawa Baha Zain sudah mencapai kejayaan tertinggi apabila menerima Anugerah Sasterawan Negara ke-12 baru-baru ini.
Namun, jauh di sudut hati, Baha Zain masih berharap diberikan Allah idea untuk terus menulis sesuatu yang boleh membina bahasa Melayu, menanam pembinaan bangsa sekali gus boleh menjadi bekal matinya nanti.
Hakcipta terpelihara www.kosmo.com.my