4 Mac '11: Bertempat di Masjid As Salam, Pengkalan Chepa, Kelantan, Y.A.B Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan khutbah untuk edisi 29 Rabiul Awal 1432H, bersamaan 04 Mac 2011. Tapi aku tak pasti pula tajuknya.
Sebelum ini jemaah dihidangkan dengan “bacaan” khutbah, tapi kali ini “khutbah” secara langsung tanpa bacaan teks.
Antara isi-isinya lebih kurang begini; khatib (Tok Guru) berkhutbah mengenai tanggungjawab kita mengingati pemimpin besar kita, Rasulullah. Allah dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas nabi Muhammad. Dan kita juga diseru untuk turut berselawat.
(2) Rasulullah, para rasul dan nabi yang lain diturunkan oleh Allah pada setiap zaman. Tidak ada zaman yang tidak ada nabi. Nabi yang dilantik beratus-ratus malah beribu, bahkan berjuta; tidak lain tidak bukan hanya untuk menyeru kita ke arah pengabdian kepada Allah.
(3) Kenapa diadakan solat Jumaat? Setiap hari kita dihidangkan dengan segala keasyikan dunia. Kadang-kadang kita lupa akan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, setiap Jumaat, kita diseru untuk “berehat” sebentar dari hal duniawi. Ketika inilah peluang untuk kita “dibasuh” oleh khatib untuk mengingati Allah.
Jumaat ini juga sebagai tempat untuk kita mendapat ilmu dan eratkah persaudaraan. Setelah sibuk seminggu dengan hal masing-masing, ketika inilah untuk kita mendapat sedikit peringatan dan nasihat daripada khatib. Ketika ini juga peluang untuk kita bersua dengan sahabat handai, saudara seislam dalam satu majlis.
(4) Islam yang ada pada hari ini seharusnya “ditapis”. Analogi mudah daripada Tok Guru; Air yang kita guna pada hari ini tidaklah seasli dan tulen daripada langit. Ini kerana air yang mengalir telah bercampur aduk dengan unsur-unsur luar yang lain. Antaranya, lumpur, sampah sarap, bangkai dan bermacam-macam lagi. Akhirnya air yang sampai kepada kita telah tercemar. Untuk mendapatkan air yang bersih kita mesti tapis dengan pelbagai cara untuk membolehkan air yang bersih. Yang penting perlu ada penapis.
Begitu jua dengan agama Islam. Islam daripada Allah yang diturunkan kepada rasul adalah asli dan tulen. Selepas kewafatan Muhammad SAW, Islam telah melalui pelbagai cabang dan rintangan sebelum sampai kepada kita pada hari ini. Halangan seperti perpecahan maszab, ideologi dan macam-macam lagi. Untuk mendapatkan Islam yang tulen kita perlu ada “penapisnya”, iaitu Al quran dan Haddis. “Penapis’ ini yang akan memastikan kita mendapat Islam yang tulen.
Jangan terima Islam bulat-bulat tanpa menapisnya; bimbang dan takut-takut ada yang cuba mencemarkan kesuciannya. Al Quran, kitab yang ada seperti hari ini adalah kitab yang sama pada zaman Rasulullah. Dengan adanya golongan al Hafiz dan Hafizah (penghafaz quran) mustahil quran dipalsukan. Oleh itu penghafaz ini amat penting dalam agama kita agar quran tidak tercemar dengan tokok tambah manusia yang tidak bertanggungjawab. Kesimpulan mudah daripada "tapis" inilah adalah memahami Islam dengan cara ilmu, bukan dengan membabi buta.
(5) Sebelum kewujudan Adam A.S, Allah terlebih dahulu menyiapkan infrastruktur untuk Adam (dan manusia selepasnya). Infrastruktur ini bukanlah jalan raya, bangunan yang bercacak, tapi ia adalah penciptaan langit dan bumi, tumbuhan dan sungai, oksigen dan bermacam-macam lagi. Semua ini dicipta oleh Allah untuk kemudahan hamba-Nya.
(6) Carilah kekayaan di dunia sebanyaknya. Manfaatkan apa saja yang ada di muka bumi ini. Segala yang ada di bumi dicipta oleh Allah untuk semua manusia, bukannya untuk malaikat dan iblis. Ambillah kesempatan. Tapi kita jangan lupa untuk mengingati Allah. Segala yang ada ini adalah kepunyaan Allah.
*********************
Setelah selesai khutbah, Tok Guru mengimamkan jemaah solat Jumaat. Selesai saja salam akhir, ada jemaah yang terus balik dan ramai juga yang masih berada dalam masjid. Ada yang menunaikan solat sunat dan ada yang duduk saja. Selesai saja Tok Guru solat sunat maka berkerumum jemaah mendekatinya. Tangannya dijabat dan dicium.
Khutbah hari ini sedikitpun diselit unsur-unsur politik. Khatib hanya menyampaikan apa yang aku nyatakan di atas. Walaupun kita tahu rakyat Kerdau (Pahang) dan Merlimau (Merlimau) bakal memilih pemimpin baru pada 6 Mac ini, khatib tidak sedikitpun cuba menyelitkan pandangan politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..