"Mengapa sekarang?"
Tindakan MPKB serbu tiga kedai kerana jual tiket loteri dianggap MCA tidak sah
~Oleh Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my
KOTA BHARU: "Mengapa dilakukan di Kelantan saja? Adakah masyarakatnya senang dikacau? Jika ingin ubah undang-undang, biar mengikut susunan dan jangan melakukan sewenang-wenangnya," kata Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Li Tian Ke.
Li mengulas tindakan Majlis Pembandaran Kota Bharu (MPKB) menyerbu tiga premis termasuk dua kedai buku di Jalan Sultanah Zainab, di sini, kerana menjual tiket loteri, pada 13 dan 26 Februari lalu.
Dalam serbuan itu, MPKB merampas lebih 1,000 tiket loteri.
Menurut Li, tindakan itu dianggap tidak sah kerana penjualan loteri dibenarkan mengikut undang-undang persekutuan dan pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah mendapatkan ketetapan undang-undang mengenai kedudukan peniaga yang menjual tiket loteri berkenaan.
"Kami sudah melantik peguam dan akan mengemukakan saman pemula terhadap MPKB secepat mungkin. Kami ingin jelaskan mereka (peniaga) sudah puluhan tahun menjual tiket loteri dan tidak pernah diganggu sehingga diserbu baru-baru ini. Mereka bukan saja didatangi lebih 10 anggota MPKB, tetapi turut diberi amaran dan ugutan anggota terbabit akan datang sekali lagi jika masih menjual tiket loteri," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Li berkata, pihaknya bukan berniat mencabar MPKB, tetapi ingin mendapatkan penjelasan mengenai kedudukan dan hak peniaga terbabit supaya tidak diganggu.
Katanya, jika tindakan itu diambil mengikut Undang-undang Kecil MPKB sekalipun, ia sepatutnya dilakukan sejak dulu dan bukan secara mengejut disebabkan timbulnya desakan tertentu.
"Walaupun MPKB menyebut undang-undang ini diluluskan 10 atau 20 tahun lalu, mengapa tiada tindakan diambil sebelum ini dan mengapa diambil sekarang," katanya.
Menurut Li, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas terhadap MPKB jika Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu tidak akur dengan ketetapan mahkamah.
"Jika PBT itu tidak akur, kami tepaksa mengambil tindakan tegas memberi peringatan bahawa mereka juga tertakluk kepada undang-undang," katanya.
********************************
Berita ini aku ambil / salin daripada Harian Metro Edisi Timur, bertarikh 05 Mac 2011, Sabtu, ruangan "Setempat", halaman 33.
Sebelum itu lihat di bawah ini...
Loteri bebas dijual di Kota Bharu
KOTA BHARU 11 Feb. – Biar pun judi diharamkan di Kelantan sejajar konsep ‘Membangun Bersama Islam’ yang diamalkan oleh Kerajaan Pas negeri itu namun ia tetap berleluasa dan dijual secara terbuka terutama membabitkan loteri ‘Big Sweep’.
Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) seolah-olah menutup sebelah mata kerana tiket loteri tersebut boleh dibeli dengan mudah di beberapa kedai buku dan alat tulis di sekitar bandar ini.
Begitu juga dengan empat nombor ekor, kaki judi boleh membelinya dengan mudah di kedai-kedai kopi dan ia sudah menjadi rahsia umum sejak 20 tahun lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia di sebuah kedai buku di sini baru-baru ini mendapati pemiliknya yang hanya dikenali sebagai Gan tidak banyak bersoal-jawab ketika ditanya mengenai tiket loteri tersebut.
Gan berkata, dia telah menjual tiket loteri tersebut sejak puluhan tahun lalu dan tidak pernah dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa walaupun mengetahui ia melanggar peraturan.
“Jangan bimbang, tidak kena tangkap di sini, saya sudah lama jual loteri. MPKB-BRI tidak pernah datang sini buat pemeriksaan, nama saja undang-undang tapi tidak ada apa-apa.
“Ramai orang datang beli sini, Melayu pun ada, tidak jadi masalah kalau nak beli tiket loteri di sini,” katanya kepada wartawan yang berlagak seolah-olah mahu membeli loteri berkenaan.
Sementara itu, tinjauan di sebuah kedai kopi mendapati kaki judi hanya menulis nombor di atas secebis kertas dan diberikan kepada peniaga atau pelayan bersama wang untuk membeli tiket judi empat nombor ekor.
Bagaimanapun, transaksi judi empat nombor ekor di kedai kopi itu agak sukar dikesan kerana ia hanya ditulis di atas cebisan kertas dan berasaskan prinsip saling mempercayai antara kaki judi dan pengendalinya.
Dalam pada itu Bendahari Pemuda UMNO negeri, Datuk Bazlan Baharuddin berkata, isu judi ‘haram’ yang berleluasa di negeri ini terutama di bandar ini bukan perkara baru dan ia sudah diketahui umum.
“Ini adalah rahsia umum dan semua orang tahu, tetapi mustahil MPKB-BRI tidak tahu ada premis yang menjual tiket loteri dan empat nombor ekor.
“Dahulu bising apabila ada cadangan judi bola tetapi sejak 20 tahun lalu, tiket loteri dan empat nombor ekor dijual depan batang hidung sendiri dibiarkan terus berleluasa. Adakah ini model kerajaan Islam yang ditunjukkan oleh Pas,” katanya.
Tambahnya, Pemuda UMNO negeri mendesak Kerajaan Pas Kelantan supaya membersihkan penjualan judi di negeri ini secepat mungkin bagi membuktikan bahawa mereka benar-benar menegakkan syiar Islam.
****************************
Dan ini..
****************************
Dan ini..
Jualan tiket judi loteri berleluasa di Kota Bharu
2010/07/01 daripada www.bharian.com.myKOTA BHARU: Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan mendedahkan jualan tiket judi loteri dan empat nombor ekor dilakukan secara berleluasa dan terbuka di bandar ini.
Ketuanya, Anuar Safian, berkata pihaknya mempunyai bukti mengenai premis yang berselindung di sebalik toko buku sebagai premis menjual loteri dan nombor ekor.
Ketuanya, Anuar Safian, berkata pihaknya mempunyai bukti mengenai premis yang berselindung di sebalik toko buku sebagai premis menjual loteri dan nombor ekor.
“Selama ini, Kerajaan PAS Kelantan mendabik dada mendakwa negeri ini bebas judi, maka hari ini Pemuda UMNO menunjukkan bukti ada banyak kedai jualan tiket loteri dan toto berleluasa dan menjualnya secara terbuka di sini.
“Berikutan itu, Pemuda UMNO Kelantan meminta kerajaan negeri menutup premis judi itu, sekiranya mereka ikhlas dalam perjuangan menegakkan Islam seperti dilaung-laungkan selama ini.
“Premis menjual tiket loteri dan nombor ekor itu dilesenkan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau majlis perbandaran untuk beroperasi. Keadaan yang berlaku ini bukti kerajaan negeri hanyalah beretorik melalui dasar yang dilaksanakan dan berselindung di sebalik slogan dan kata-kata bagi menipu rakyat Kelantan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam. Dalam kenyataan media itu, Pemuda Umno Kelantan turut mengemukakan gambar tiket loteri yang diperoleh mereka dari sebuah kedai buku di bandar ini sebagai bukti. Anuar berkata, sekiranya PAS Kelantan memperjuangkan Islam seperti dilaungkan selama ini, pusat judi dan nombor ekor di negeri ini perlu ditutup segera atau bubarkan saja parti itu jika tidak mampu menutupnya.
“Kita tidak akan berkompromi dalam meluluskan premis untuk perjudian. Asasnya kita tidak akan meluluskan lesen bagi apa-apa kegiatan judi,” katanya.
"Kita minta laporan dibuat jika ada premis menyalahgunakan lesen mereka. Tindakan tegas akan diambil kepada pemilik premis yang menyalahgunakan lesen premis yang berikan PBT kepada mereka,” katanya.
*******************
Apa kata anda? Undang-undang Persekutuan atau undang-undang PBT (kerajaan negeri)? Undang-undang dunia atau undang-undang akhirat? Undang-undang.. Undanglah musibah jika ini berterusan..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..