Harap sangat RTM gugurkan slogan “sukan terbaik” di stesennya. Ini merujuk kepada sukan bola sepak tempatan. Untuk sekian kalinya RTM masih gagal memberi kepuasan kepada peminat bola sepak tempatan dari segi penyiaran secara langsung Liga Malaysia.
Ironinya stesen tv milik kerajaan pusat ini masih mendabik dada bahawa RTM adalah stesen terbaik penyiaran sukan.
RTM hanya menyiarkan perlawanan pertama di antara Selangor melawan Kelantan pada 29 Januari lalu pada perlawanan Piala Sumbangsih. Selepas itu RTM membuat kejutan dengan menyiarkan perlawanan Malaysia melawan Pakistan, perlawanan kelayakan Olimpik. Kemudian sehingga malam tadi (Piala FA), RTM senyap sepi.
Beberapa hari lalu Kosmo! turut tertarik dengan perkembangan RTM terhadap bola sepak tempatan. Walaupun laporan Kosmo! ini tidak sedikitpun menggentarkan RTM dan “ketuanya”, tapi ini sekurang-kurangnya dapat menyampaikan keresahan sebahagian peminat bola sepak Malaysia yang tidak mempunyai siaran berbayar, Astro. Selain Kosmo!, seorang blogger sukan terkenal, Rizal Hashim, pernah memberi ulasan mengenai sikap terbaru RTM dalam dunia bola sepak tempatan. Antaranya, RTM = Rais Tak Minat dan Kecoh di angkasapuri. Lihat juga komen Dahlan Maamor, salah seorang penyampai berita sukan yang aku minat (selain Datuk Hj. Hasbullah Awang, Hafizal Hamad, Jasni Shafie, Shaukie Kahar, Zainal Rawop, Abu Bakar Atan dan Eben (Shuhami @ DJ Kelantan.fm)
Baru-baru ini orang kuat RTM berkata duit bukan persoalan (baca laporan kosmo!), tapi kepuasan penonton (rakyat) diutamakan. Itu baru-baru ini, sekarang macam mana?
Datuk Seri Utama Rais Yatim, Menteri Penerangan, seorang menteri yang berkaliber. Tapi tak tahulah, beliau kisah atau tidak dalam hal ini. Sebelum ini Datuk Shabery yang menggalas tugas sebagai Menteri Penerangan, kini beliau pegang pula Kementerian Belia dan Sukan. Rais pernah menjadi menteri Luar, dan porfolia kementerian lain. Tapi aku tak pastilah Rais pernah pegang jawatan KBS atau tidak. Kalau Rais tidak pernah pegang jawatan itu, mungkin Rais tak tahu bagaimana semangatnya rakyat Malaysia terhadap sukan nombor satu negara ini.
Kita bukannya “meminta” siaran langsung Liga Inggeris atau liga asing lain, hanya “meminta” Liga Malaysia.
RTM menyatakan “rundingan” dengan Astro belum selesai. Apa yang dirunding? Adakah mengenai harga? Adakah mengenai pilihan perlawanan?
Antara FAM – RTM – Astro
Sebelum ini RTM mendapat hak penyiaran daripada FAM dengan bayaran RM6 juta semusim. Tahun 2011, Astro pula diberi hak penyiar rasmi. Ada beberapa persoalan...
Semasa RTM menjadi penyiar utama sebelum ini mengapa Astro turut diberi hak yang sama? Dari mana “dibelinya” siaran itu? Daripada RTM atau FAM? Jika dibeli daripada RTM, kali ini bolehlah giliran RTM pula beli daripada Astro.
Tahun ini mengapa RTM tidak turut serta bersama Astro membeli siaran daripada FAM? Adakah terlalu mahal? Atau RTM minta diskaun harga? Atau RTM tidak lagi berminat dengan bola sepak tempatan? Atau FAM mahu mengaut untung lebih dengan menjual kepada pihak swasta, Astro? Adakah semua itu (persoalan) ada?
Kenapa FAM tidak menjual siaran kepada RTM? Adakah RTM bayar murah? FAM mahu untung lebih dengan penjualan kepada Astro? Atau RTM memang tidak berminat langsung dengan liga tempatan?; oleh itu tidak ada gunanya beri hak kepada RTM.
RTM mengatakan pihaknya dalam rundingan dengan pihak Astro. Apa yang dirunding? Mengapa Astro masih lagi tidak memberi kata putus? Atau Astro sengaja melengah-lengahkan proses rundingan untuk menidakkan peminat terus setia dengan stesen percuma itu? Al maklumlah, RTM sentiasa menjadi pilihan jika menayangkan siaran langsung. Adakah berbekalkan pengulas yang berpengalaman seperti Datuk Hj.Hasbullah Awang, dan Pengulas Sukan Terbaik Anugerah Seri Angkasa, Hafizal Hamad, Astro “takut” peminat lebih memberi tumpuan kepada RTM? Jadi untuk hilangkan “ketakutan” itu Astro melewat-lewatkan proses rundingan?
Peranan media
Astro dan RTM adalah media elektronik yang penting dalam perkembangan bola sepak. Jika dalam hal ini masih lagi belum ada kesudahan maka semangat kesukanan kita makin terhakis. Tidak mustahillah mengapa ramai yang lebih berminat dengan liga asing berbanding liga tempatan; kerana liputan dan tumpuan media kita masih lagi pada tahap yang tidak memuaskan. Media lain seperti media cetak dan IT hanya sebagai pelengkap.
Pemimpin
Keluhan rakyat adakah diambil berat oleh pemimpin? Menteri Belia dan Sukan, dan Timbalannya, Datuk Razali Ibrahim; agak-agaknya mereka peduli atau tidak dalam hal ini? Sebagai orang kuat KBS, takkan mereka tak terasa dengan kehangatan sukan nombor satu dunia ini?
Apa-apapun kita tunggu dan lihat. Jika hal ini tiada kesudahan, harap-harap RTM gugurkan saja slogan keramat stesennya. Takut-takut dengan slogan sebegitu umpama “masuk bakul angkat sendiri".
Pautan lain..
Surat Safee Sali; Pengalaman ngeri
Pautan lain..
Surat Safee Sali; Pengalaman ngeri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..