Teringat kata-kata ustaz dan ustazah waktu sekolah dulu mengenai hari kiamat. Katanya tanda-tanda kiamat adalah pelbagai. Antaranya berlaku bencana alam, tercetusnya peperangan, wujudnya pertelagahan sesama sendiri, terdirinya bangunan-bangunan tinggi yang bercacak-cacak dan banyak lagi.
Kini, jika diamati betul-betul penanda-penanda itu telahpun ada. Dan sebahagiannya juga telah ada sejak zaman Nabi Muhammad lagi. Terbaru adalah musibbah yang melanda Jepun. Tsunami dan gempa bumi telah mengorbankan beribu nyawa. Sebelum ini, tsunami telah melanda Aceh, Serilangka dan beberapa tempat lagi (2004). Tempiasnya, Malaysia turut sama terkena. Itu salah satu bencana alam. Alam yang "dihilangkan" sedikit demi sedikit oleh Pencipta kita, yakni Allah.
Peperangan; juga tercetus sejak zaman Rasulullah. Kini peperangan belum berakhir. Iraq dan Afganistan diserang, Palestin ditindas, Selatan Thailand bergolak. Itu semua berpunca daripada kuasa luar, kuasa negara bukan Islam. Mutakhir ini, Libya pula berhempas pulas melawan kuasa jahat dari PBB yang didalangi Amerika Syarikat dan Britain. Serangan ini kononnya ingin membebaskan rakyat Libya daripada kongkongan kuku besi pemerintahnya.
Pertelagahan sesama sendiri juga wujud sejak zaman Nabi Adam. Perbalahan dua puteranya sehingga membawa kepada kematian. Zaman Rasulullah Muhammad pun begitu juga. Lebih-lebih lagi setelah kewafatan nabi; hingga wujud perpecahan mazhab dan peperangan. Terbaru adalah kisah di Libya, Mesir, Tunisia, Bahrain, Syria dan juga Malaysia. Ya, Malaysia. Di Mesir rakyat memberontak dan berjaya mengundurkan Hosni Mobarak yang memimpin Mesir lebih 30 tahun.
Di Libya dan Tunisia juga sama. Masing-masing mahu menggulingkan kerajaan yang dikatakan kuku besi. Kisah gulingan kerajaan Mesir dan Tunisia dan Mesir seakan berakhir. Tapi di Libya masih lagi bergema. Ditambah pula dengan campurtangan kuasa jahat dari AS dan Britain serta sekutu-sekutunya. PBB sebagai badan utama dunia, "menghalalkan" serangan ini atas dasar keamanan rakyat Libya.
Umat Islam sukar bersatu dan bersepakat. Sebab itu masalah di Palestin sukar diselesaikan. Kisah di Iraq, Afganistan, Libya, dan beberapa negara Islam lain ketika "menerima" serangan kuasa jahat hanya dipandang sepi oleh beberapa rakan negara Islam lain. Ironinya ada pula yang turut menyokong dan berdiam diri. Lihat saja di Palestin; Turki dan Mesir misalnya tidak turut sama membantu. Mengenai serangan AS ke atas Libya beberapa hari lalu, ada negara Arab yang turut menyokong.
Malaysia juga turut mengalami pertelagahan sesama sendiri. Perbezaan ideologi politik dikatakan punca utama masalah ini. Masing-masing mendakwa "mereka"lah yang benar. Tuduh-menuduh, keji-mengeji, umpat-mengumpat, caci-mencaci, aib-mengaib bagaikan mainan di lidah. Sukar untuk bersatu.
Mengenai bangunan-bangunan tinggi, kita sedia maklum setiap negara tidak kira negara Islam atau bukan Islam masing-masing bermegah dengan "ketinggian" bangunan masing-masing. Tapi yang ini tidak menjadi kesalahan walaupun zaman rasul dan nabi perkara ini (sesetengahnya) tidak wujud secara "mata kasar" ("bangunan tinggi" yang tidak dapat dilihat oleh mata (mungkin) adalah ketinggian langit. Aku tidak pernah mendengar ilmu sains menyatakan langit itu bertingkat. Yang ada hanya ketinggian jarak bulan, matahari, planet dan cakerawala yang lain. Peristiwa Israq Mi'raq menerangkan bagaimana Nabi Muhammad sampai ke langit ketujuh bertemu Allah). Tapi kita boleh ketengahkan ketinggian (dari segi ukuran) piramid, kubah masjid, dan kaabah.
Sedar tak sedar umur dunia semakin tua. Bila masa dan ketikanya umur dunia ini berakhir tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah.
Bersediakah kita untuk menemui Allah...
Kali ini aku banyak "menglinkkan" padangan daripada Minda tajdid: drmaza.com. Banyak pemikiran dan tulisan mantan Mufti Perlis ini yang boleh dijadikan panduan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..