Perkahwinan tanpa lelaki
MELAYARI bahtera cinta sehingga ke jenjang pelamin pasti menjadi impian setiap pasangan yang bercinta. Selepas mendirikan rumah tangga, bermulalah kewajipan sebagai suami atau isteri.
Kehidupan juga tentulah berbeza daripada semasa hidup membujang dahulu khususnya dari segi hubungan intim suami isteri.
Namun, perkahwinan itu tidak semestinya indah lebih-lebih lagi jika suami gagal menunaikan tanggungjawabnya. Ia sedikit sebanyak boleh menghakis keharmonian institusi kekeluargaan.
Seorang isteri, dikenali sebagai Sofea, menceritakan bagaimana peritnya dia menanggung penderitaan batin kerana si suami gagal memberi kepuasan seksual kepadanya.
Pelbagai cara dilakukan Sofea bagi menikmati hubungan intim itu namun semuanya gagal.
Bagi menjaga perasaan suami tercinta, Sofea berpura-pura dia mencapai tahap klimaks. Namun, selepas suaminya terlena, dia berusaha sendiri untuk memuaskan keinginan seksualnya.
Klimaks palsu
Selama hampir 10 tahun dia menggunakan teknik memuaskan nafsu sendiri itu dan hanya selepas bertemu doktor, baru dia menyedari dia selama ini telah melakukan onani.
"Saya membuat keputusan bertemu doktor selepas saya sering menolak ajakan suami bagi melakukan hubungan seks.
"Bagi menyelamatkan rumah tangga, saya terpaksa memberitahu doktor dan suami tentang masalah yang dihadapi dan bagaimana saya memuaskan diri sendiri.
"Namun, selepas diberitahu tentang onani, saya dan suami akhirnya berjumpa pakar kaunseling. Kini saya sudah menghentikan aktiviti onani tersebut," ujar ibu kepada tiga anak itu.
Berdasarkan kisah Sofea, kesimpulan awal yang boleh dibuat ialah wanita melakukan onani hanya kerana mahu mencapai klimaks yang tidak diperoleh semasa melakukan hubungan seks dengan suami.
Menurut Pakar Seksual Lelaki, Wanita dan Reproduktif, Hospital Damai Service, Dr. Mohd. Ismail Thamby, kebanyakan wanita yang telah berkahwin cenderung memalsukan klimaks bagi memuaskan hati suami.
Berikutan itu, mereka memilih untuk melakukan onani bagi melampiaskan kehendak yang tidak dicapai. Apa yang mengejutkan, majoriti daripada mereka tidak mengetahui mereka sebenarnya melakukan onani.
"Masyarakat mungkin ingat hanya lelaki yang melakukan onani.
"Tetapi wanita juga beronani dan cara mereka berbeza daripada lelaki.
"Perkara tersebut akan membuatkan mereka berasa seronok dan tanpa disedari mereka akhirnya akan beronani," katanya.
Berdasarkan pengalaman Ismail, pesakit wanita yang bertemu dengannya mendedahkan terdapat pelbagai peralatan yang menjadi pilihan mereka ketika beronani.
Mungkin kedengaran pelik tetapi hakikat yang perlu diketahui, wanita sering beronani menggunakan alat-alat bantuan yang tidak masuk akal.
Ada juga dalam kalangan mereka yang menggunakan alat bantuan yang dicipta khas yang dijual di kedai barangan seks.
Ismail menjelaskan wanita yang mengalami ketagihan onani akan mencuba pelbagai alatan dan cara bagi mendapatkan kepuasan paling tinggi.
Daripada segi psikologi pula wanita meletakkan onani sebagai satu tabiat berfaedah kerana ia mampu mengurangkan tekanan serta menimbulkan rasa seronok.
"Sebenarnya wanita yang beronani telah meletakkan satu pemikiran dan menetapkan tahap bagi mereka mencapai klimaks.
Mati putik
"Jadi sukar bagi mereka mencapai klimaks ketika bersama suami kerana mereka telah terbiasa mendapatkan kepuasan dengan bersendirian.
"Mereka yang berada di tahap seperti ini perlu cuba menghentikan aktiviti tersebut kerana ia boleh menjejaskan hubungan intim bersama pasangan," ujarnya.
Pakar Psikologi dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Suradi Salim pula menyatakan keinginan wanita untuk beronani bergantung kepada kepuasan yang dicapai mereka ketika bersama pasangan.
"Kemungkinan mereka mempunyai keinginan lebih tinggi terhadap pasangan dan apabila ia gagal dipenuhi, mereka memilih untuk beronani.
"Namun, dalam konteks onani ini kita perlu merujuk kepada pegangan agama seseorang itu kerana pada akhirnya perbuatan mereka itu akan dinilai berdasar kepada agama dan kepercayaan mereka.
"Ia terbukti apabila mereka yang kerap beronani akan berasa bersalah terhadap perbuatan itu dan ia tidak dizahirkan secara fizikal sebaliknya ia akan mengganggu emosi mereka," katanya.
Jika kekerapan onani boleh mengakibatkan golongan lelaki berdepan dengan risiko mati pucuk, wanita juga mempunyai kebarangkalian mengalami mati putik.
Menurut Ismail pula, mati putik atau disfungsi seksual wanita bakal menjadi mimpi ngeri buat golongan wanita apabila mereka mula menunjukkan tanda-tanda kelewatan mengalami klimaks serta gagal untuk menghayati rangsangan ketika bersama suami.
Apabila tiada perasaan ghairah terbit dalam diri, ia akan mengganggu kelancaran peredaran darah ke bahagian kemaluan serta mengakibatkan alat sulit gagal mengembang dan menggebu.
"Wanita yang gemar beronani juga akan mudah berasa letih dan tidak bertenaga serta tertekan dengan persekitaran apabila tidak mendapatkan kepuasan yang dihajati," jelas Ismail.
Justeru, Ismail mengingatkan golongan wanita agar mengelakkan onani kerana aktiviti tersebut merupakan satu bentuk penderaan kepada alat kelamin.
ONANI tetap HARAM
KEKELIRUAN masyarakat khususnya mereka yang beragama Islam terhadap onani sering dijadikan alasan untuk mereka terus melakukan aktiviti tidak sihat itu. Menurut pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah hukum melakukan onani adalah haram tidak kira dalam apa jua keadaan sekali pun. “Ada pendapat mengatakan onani boleh dilakukan bagi mengelak berlakunya zina, tetapi ia tetap jatuh haram buat seseorang yang melakukannya. “Allah telah menciptakan manusia itu berpasangan dan sekiranya mereka berkeinginan untuk mencapai kepuasan seksual, mereka perlu melakukannya bersama pasangan masing-masing.
“Mencapai kepuasan secara bersendirian dengan beronani bukan satu pilihan tepat, malah ia tidak dibenarkan dalam ajaran Islam,” jelasnya. Daud juga memberitahu pasangan suami isteri yang berdepan dengan masalah tersebut perlu mengatasinya dengan bijaksana terutama suami kerana tanggungjawab sebenar terletak di bahu mereka. Ujarnya, kegagalan isteri mencapai kepuasan seksual hingga mendorong mereka beronani adalah disebabkan fahaman mereka terhadap hubungan seks itu tidak seperti yang ditetapkan syarak. “Hubungan intim bersama suami bukan sekadar mencapai kepuasan tetapi ia juga perlu mencapai matlamat. “Apabila tercapainya matlamat maka pasangan tersebut akan mendapat rahmat. Tetapi jika isteri gagal mencapai kepuasan, suami perlu mencari punca kepada permasalahan tersebut,” tambahnya lagi.