Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Khamis, Oktober 07, 2010

Cerita Bola: Wakil Selangor pulang hampa

Penyokong Kelantan tidak pernah mengecewakan pemain dan pengurusan dari segi sokongan padu. Malam tadi adalah buktinya. Walaupun aksi pemain tidak kosisten dalam beberapa perlawanan terdahulu, ia tidak menggugat lebih 15 ribu penyokong untuk membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV. Sungguhpun hujan membasahi penonton malam tadi, kami terus menunggu sehingga wisel penamat dibunyikan.

Bersaksikan ribuan penyokong setianya, skuad Kelantan gah memberi hadiah kemenangan istimewa yang amat bermakna. Wakil dari Selangor, PKNS, pulang dengan kecewa apabila kecundang dengan amukan Sang Kijang, 0-4. Separuh masa pertama Farisham Ismail meletakan Kelantan di depan. Jaringan bermula apabila percubaan awal kapten pasukan, Indra ditepis keluar oleh Saiful Amar Sudar,  penjaga gol pelawat. Kesempatan inilah yang diambil oleh Farisham untuk meletakan Kelantan di depan. Meskipun pemain lawan memprotes jaringan itu kerana mendakwa penjaga gol mereka dikasari, pengadil perlawanan, Skukri Nor, tetap mengesahkan  jaringan tersebut.

Separuh masa kedua giliran Akmal Rizal pula menambah duka PKNS. Akmal bijak melepasi perangkap off side dan memperdayakan Saiful untuk jaringan kedua Kelantan. Sebelum itu, Akmal juga membuat aksi yang sama tetapi dalam kedudukan off side. Badri (Piya) beberapa kali membuat percubaan yang mencemaskan lawan pada separuh pertama dan kedua. Pada minit ke-78 Piya menyudahkan hantaran lintang Idlan dari luar kotak penalti untuk jaringan ketiga Kelantan. Kekalutan lawan untuk mempertahankan gawang dari terus dibolosi membawa padah apabila Mohd. Khairul Nizam Hanif menahan bola dengan tangan. Khairul mendakwa bola itu hanya mengenai perut tetapi Shukri tetap dengan keputusannya. Hasilnya, minit ke-85 giliran Indra untuk membah koleksi gol apabila tenang menyudahkan sepakan penalti. Sebaik jaringan Indra itu, penjaga gol pelawat terduduk dan bersandar di tiang gol sebelah kirinya. Mungkin tidak sanggup lagi mempertahankan gawangnya.

Keseluruhan permainan banyak didominasi Kelantan. Bermula babak pertama PKNS diasak bertalu-talu tanpa henti. Percubaan Piya, Akmal, Azizi, Norfarhan sepanjang perlawanan mendapat sorakan gemuruh daripada penyokong. Sepakan percuma daripada Piya pada babak pertama sememangnya menyentap seketika semangat PKNS. Tendangan cantiknya hanya singgah di tiang sebelah kanan gol lawan. Tatkala itu Saiful telahpun bergerak ke arah kiri beberapa tapak.

Azizi terpaksa bekerja keras malam tadi kerana gandingannya, Daudsu hanya beraksi pada separuh masa kedua. Tetapi ada sesuatu yang tidak sepatutnya Azizi lakukan malam tadi. Ketika mengambil lontaran ke dalam (di depan astaka) ada bola bergolek ke arahnya. Pengadil meniup wisil unuk mengeluarkan bola yang bergolek itu; dengan tidak semena-mena dia berpusing dan terus menendang  bola tersebut hingga mengena budak bola ("melo"). Dan sebelah budak bola tu adalah B.Sathianathan. Tindakan "pongoh"nya itu memaksa pengadil melayan kad kuning kepadanya. Bagi aku Azizi tidak patut menambah koleksi kad kuningnya dengan cara sebegitu. (Untuk jaringan kedua ataupun ketiga, aku melihat Azizi seolah-olah sujud syukur dikawasannya sebagai tanda kegembiraan)

Akmal Rizal yang sebelum ini kerap mendukacitakan penyokong Kelantan kembali menemui sentuhan. Pengalamannya sewaktu mewakili Malaysia suatu ketika dahulu amat ditagih.

Khairul Fahmi @ Apex bertindak cemerlang menjaga gawang daripada dibolosi pihak lawan. Walaupun babak pertama Apex dilihat lebih banyak berehat daripada "bekerja". Sekali-sekala dia lakukan aksi memanas badan di kawasannya. Terlompat-lompat, terkedek-kedek sambil menunggu lawan mengujinya. Babak kedua PKNS kerap menguji Apex, tetapi penjaga gol Malaysia itu bertindak cemerlang menggagalkan keingini lawan. Sekurang-kurangnya PKNS mampu untuk meledak dengan empat atau lima jaringan, tetapi Apex tidak sedikitpun memberi ruang dan peluang. Ini juga dibantu dengan pertahanan yang kental daripada Azizi, Farisham dan Zairul Fitri.

Kelibat pemain negara, Sharul Idlan, kurang menyengat malam tadi. Percubaannya terhalang oleh pertahanan dan  penjaga gol lawan. Pergerakannya agak terbatas dan dilihat terlalu berhati-hati dalam permainan. Begitu dengan dengan Che Hishamuddin, dilihat tidak kosisten dan serasi dalam permainan. Kemasukkannya pada minit-minit akhir mengantikan Akmal tidak banyak membantu jentera serangan. Sekali sekala permainannya agak keras ke atas lawan.

Rentak Kelantan kembali bertenaga setelah dikejutkan oleh NS dan KL Plus sebelum ini. Kini peluang masih terbuka untuk Kelantan mengisi slot ke suku akhir. Sabtu ini, Kelantan  wajib menang ke atas KL Plus jika ingin terus dijulang oleh penyokong.

Inipun menarik juga:

Selasa, Oktober 05, 2010

Cerita Bola: Kelantan merentap kegembiraan NS

3 Oktober, pertarungan pusingan kedua Piala Malaysia. Kelantan turun dengan misi untuk menang tersentap seketika apabila Negeri Sembilan (NS) mendahului 2-0. Jaringan Shahurain Abu Samah (m-25) dan Abdul Halim Zainal (pen m-62) mendiamkan seketika penyokong Kelantan di Paroi. Sepakan deras Shahurain betul-betul depan pintu gol gagal dihalang oleh Khairul Fahmi Che Mat. Kelekaan pertahanan mengikut setiap jejak Shahurain membolehkan penyokong NS bergembira. Separuh masa kedua giliran Halim Zainal pula untuk menguji penjaga Malaysia, Kharul Fahmi, atau lebih dikenali Apex oleh penyokong Kelantan. Apex gagal untuk menahan bola tendangan Halim.

Hairuddin yang bermain sepanjang separuh masa pertama tidak menunjukkan persembahan yang baik. Ini membolehkan Akmal dibawa masuk. Sebelum itu Idlan terlebih dahulu masuk menggantikan Chanturu. Kegembiraan penyokong Kelanta hadir pada minit 66 apabila Zairul Fitree Ishak meledak gol di sebelah kanan Sani Kamsani, penjaga gawang NS. Gerakan Zairul seakan-akan untuk membuat hantaran lintang memperdayakan Sani untuk membolehkan Kelantan merapatkan jurang. Zairul sekali lagi bertindak cemerlang malam itu apabila membuat hantaran ke kawasan gol NS. Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang telah bersiap sedia di kawasan lawan melompat tinggi untuk menanduk cantik hantaran Zairul. Bola tandukan Akmal (minit 68) itu melambung dan melencong sebelum mencium tiang sebelah kanan Sani memolehkan penyokong Kelantan terseyum manis.


Itu adalah kronologi jaringan. Di sebalik keputusan itu ada sisipannya. Pertama; layangan kad merah oleh pengadil untuk seorang pemain NS, Rahman Zabul dan juga kepada jurulatihnya, Wan Jamak. Rahman menerima kad kuning kedua setelah merempuh Chantur di hujung padang. Wan Jamak pula menerima kad merah setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Annuar Che Hussin, pengadil perlawanan. Ia bermula apbila NorFarhan membuat terjahan keras ke atas pemain NS dan hanya menerima kad kuning daripada pengadil.

Malam itu juga pengadil perlawanan terpaksa bekerja keras jugalah apabila permainan agak "panas". Beberapa tindakan pengadil tidak disenangi oleh kedua-dua pasukan. Di pihak Kelantan mungkin dapat dilihat daripada keputusannya memberi sepakan penalti kepada NS; Azizi dilihat merempuh S.Kunalan di dalam kotak penalti. Walaupun diprotes oleh beberapa pemain Kelantan, Annuar tetap dengan keputusannya.

Kemudian; bagi yang menonton di TV1 dan juga di Paroi, dapat melihat dengan jelas botol-botol minuman berterbangan di ruang "angkasa" Stadium Paroi. Bertaburan di tepi padang, bahkan di dalam padang sekalipun. Jika selama ini penyokong Kelantan dikatakan peyokong yang extrem dan agresif dalam hal ini, sekarang nampaknya NS pun mempunyai masalah yang sama. Tidak cukup dengan balingan botol, ada juga yang kena tangkap. Dua yang ditahan tu tak tahulah penyokong NS atau Kelantan.

Di Paroi ini juga kita dapat menyaksikan sokongan kepada The Wariors tidak pernah padam. Walaupun mengalami suasana suram ekoran beberapa perlawanan terdahulu, penyokong Kelantan terus teguh di belakang pemain. Kehadiran penyokong-penyokong Kelantan di Paroi sesuatu yang memang dijangkakan. Dan kehadiran penyokong Kelantan ini juga mungkin menyumbang kepada sebahagian "botol-botol terbang" di Paroi.

Kesudahannya..NS dan Kelantan berkongsi mata dan jaringan pada perlawanan kedua ini. 6 Oktober nanti Kelantan akan menerima kunjungan PKNS di Kota Bharu. Persoalan bermain di kepala aku adakah penonton akan memenuhi ruang stadium? Ini kerana dua perkara. Pertama adalh lawan Kelantan adalah pasukan kelab dari Liga Perdana. Kedua; persembahan Kelantan yang tidak kosisten seakan merencatkan "nafsu" penyokong untuk terus menyokong. Apa-apapun Kelantan mesti menang dalam dua perlawanan terakhir jika ingin ke suku akhir.

Link..

Kebakaran kecil

30 September lepas satu kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas kami sekeluarga. Malam itu ibu sedang menggoreng pisang dan ubi untuk minum malam. Habis menggoreng, ibu luba tutup api dapur. Ibu keluar bersembang-sembang di ruang tamu. Dipendekkan cerita api dapur gas terus membakar kuali yang masih lagi berbaki minyaknya sehingga kering.

Api menjulang tinggi hingga ke dinding dan syiling (rumah kami bertingkat; syiling semen). Penutup wiring terkopek dek kerana bahang panas api. Tapi wayarnya tidak rosak. Alhamdulillah, walaupun api menjulang tinggi tapi dapat dipadamkan. Nasib baik sedar awal, kalau tidak tak tahu apa jadi. Nasib baik tong gas dua biji berdekatan dapur tidak meletup. Kalau tidak... ke baabooom.. Nasib baik jugalah rumah batu, kalu rumah kayu agaknya kami dah "masak" sekali dengan pisang goreng.

Syukur, tiada kemalangan jiwa, cuma terkejut. Hmmm.. perkara yang tidak diingini kadang-kala menjelma di saat kita tidak bersedia. Agaknya itu sekadar peringatan kecil dari Pencipta. Itu baru datangnya api dunia.. Kalau datang Izrael mengambil nyawa, agaknya apalah persediaan kita..

Tak puas hati

29 September 2010 lalu aku ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di kawasan Panji, Pengkalan Chepa (untuk apa aku ke sana, jangan tanya. Hehehe). Sambil duduk-duduk di bawah pokok berdekatan mata aku terpaku, terkedu, "terkuyu" melihat penerima zakat. Bukan niat mengata apatah lagi mengeji; bila melihat sesetengah penerima yang kurang upaya (OKU). Jalannya terhinjut-hinjut mengatur tapak. Ada juga berpimpin perlahan (mungkin) dengan saudaranya atau ayah atau ibu. Ada uga yang cacat perlihatan (yang ini memang kena pimpin). Dan yang paling ramai (aku rasalah) daripada kalangan warag emas.



Terdetik di hati kecil aku rasa bersyukur dengan keadaan fizikal yang sempurna. Walaupun mata kabur, rabun, aku masih boleh berjalan sendiri tanpa dipimpin. Bagaimana agaknya mereka yang cacat penglihatan itu meneruskan hidup mereka sehari-hari..? Bagaimana agaknya yang jalannya tidak sempurna bergerak ke satu tempat ke satu tempat? Bagaimana agaknya mereka yang berusia ini akan menghabiskan sisa hidup..?


Aku sempat juga bersembang dengan beberapa orang pakcik (mungkin juga atuk) mengenai bantuan JKM ini. Lima hingga enam orang penerima meluahkan pendapat, luahan hati mengenai cara agihan bantuan ini. Kesemuanya kesal dengan cara agihan. Mereka berpendapat ada penerima yang sepatutnya tidak patut terima zakat, tapi diberikan juga oleh pihak pemberi seperti JKM dan agensi-agensi lain. Ada penerima zakat ini yang berkereta mewah, berumah batu- pun menerima juga bantuan zakat. Itu yang dikatakan oleh pakcik-pakcik itu. Ada kalangan mereka menerima RM150.00 sebulan. Dengan jumlah sebegitu apalah sangat. Pendek kata luahan mereka mengenai agihan bantuan ini tidak adil.


Luah mereka itu sebahagiannya aku rasakan benar. Cuba tengok sesetengah penerima zakat atau bantuan kerajaan ini berkedudukan agak tinggi dari segi ekonomi. Mengapa mereka juga menerima pemberian? Adakah mereka sedar bahawa zakat atau bantuan itu bukan untuk mereka? Adakah mereka berhak? Adakah mereka daripada golongan yang berhak menerima zakat (8 asnaf)? Bagaima pula dengan pihak yang diamanahkan untuk mengagihkan zakat ini? Adakah mereka benar-benar meneliti setiap butir-butir peribadi penerima?


6 Oktober '10, setiap penerima JKM dikehendaki membuka akaun bank. Menurut seorang pakcik, duit bantuan itu akan dimasukkan dalam akaun bank, bukan lagi diberi secara langsung. Dalam hal ini pakcik ni melahirkan rasa bimbangnya kerana dia tidak tahu cara untuk mengeluarkan wang dari bank lebih-lebih lagi jika menggunakan ATM. Aku cuba menyarankan kalau tidak tahu caranya bolehkan minta tolong dengan anak-anak. Dia hanya tersenyum. Senyuman itu mungkin ada tersiratnya, tapi aku malas untuk mengandaikannya. Ceritanya lagi, dia bertanya kepada kerani JKM, boleh ke kalau tidak menggunakan akaun (gunakan cara lama - agihan secara langsung di pejabat). Dengan nada yang agak kerterlaluan kerani itu seakan mengherdik; "kalau tak mau, takpalah, kita bagi kat orang lain". Itu cerita pakcik, aku tidak tahulah kebenarannya. Tapi jika benar apa yang dikatakan oleh pakcik itu mengenai perlakuan kerani JKM itu, aku rasakan itu sesuatu yang biadap dan kurang ajar kepada orang tua. 


Aku hanya "menyambung" persoalan pakcik-pakcik di JKM pada 29 September lepas. Jika ini benar-benar benar, apa akan jadi kepada mereka yang sepatutnya menerima. Tapi pakcik-pakcik ini juga harus bersyukur kerana mereka golongan terpilih untuk menerima zakat. Walaupun jumlahnya tidak seberapa, kita seharusnya bersyukur.

Galas: Apa yang akan digalas

Al-fatihah buat allahyarham Chek Hashim Sulaima, semoga rohnya dicucuri rahmat. Salam tahziah buat keluarga allahyarham, semoga tabah menghadapi liku-liku hidup yang akan datang. Chek Hashim ialah ADUN Galas, Gua Musang; meninggal dunia akibat barah. Pemergian allahyarham telah membuka ruang kepada UMNO-BN untuk kembali merampas DUN Galas daripada PAS.

Seperti biasa, dalam mana-mana pilihan raya, kempen habis-habisan akan bermula. Dan dalam suasana kempen ini akan tersimpan, tersisip sesuatu yang akan meninggalkan kesan. Aku tertarik untuk melihat suasana sewaktu kempen. Dalam tempoh ini segala yang berlaku bagaikan pesta dan temasya. Rumah-rumah sewa atau tumpangan sudah semestinya menjanjikan pulangan yang lumayan kepada pemiliknya. Kedai-kedai makan akan menerima pelanggan yang tidak terkira ramainya. Dalam tempoh ini juga jalan raya akan kembali sesak seperti menyambut kedatangan hari raya.

Apa yang penting lagi untuk dilihat adalah "pesta" menabur janji, fitnah, duit, bantuan, dan macam-macam lagi. Tujuannya hanya satu; untuk menang. Jika menang, sudah pasti ini menjanji satu kepuasan kepada sang juara.

Dalam tempoh ini juga kita akan melihat tokoh-tokoh politik, pemimpin-pemimpin politik akan berkunjung menunjukkan muka. Jika sebelum ini pemimpin-pemimpin sibuk dengan urusan masing-masing, tetapi kali ini mereka akan tinggalkan seketika tugasan atau urusan mereka. Bila habis mengundi...adakalanya mereka "hilang"; kembali sibuk dengan urusan terdahulu.

Sesuai dengan namanya, Galas, sudah pasti calon yang bertanding akan mengalas sesuatu yang mereka akan tempuhi. Antaranya segala penat lelah, bersengkam mata, wang ringgit, tenaga dan kudrat. Semua ini akan digalas dengan sebaiknya untuk mencapai matlamat. Cuma, janganlah digalas dosa janji palsu, fitnah, ungkit-mengungkit dan keji mengeji.

Kadang-kadang aku terfikir juga; kubur arwah masih merah, tapi kita yang hidup sibuk dengan urusan perebutan takhta. Ada baiknya kita terus bersedekah al-fatihah kepada si mati daripada sibuk-sibuk berbalah merebut kuasa. Tapi, telah menjadi adat dunia demokrasi; penyandang yang pergi perlu dicari penggganti. Kalau tidak dipilih segera takut-takut rakyat tidak terbela (kononnyalah).

Walau apa pun, selamat mengundi kepada warga Galas. Buatlah pilihan anda dengan tepat. Semoga pemimpin yang kita pilih itu tidak hilang selepas menang. Semoga pemimpin yang kita pilih itu terus menerus memberi bantuan kepada kita walaupun selepas tempoh kempen. Kepada sang juara @ pemenang, galaslah amanah sebaik-baiknya. Amanah sebagai pemimpin, sebagai khalifah di Galas.

Link..

Ahad, Oktober 03, 2010

Keanehan budak dari Marikh


BORISCHA, kanak-kanak Rusia yang menggemparkan saintis dengan pengetahuannya yang terperinci tentang bumi dan Marikh.


LAPORAN akhbar minggu ini tentang pakar astrofizik Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman dicadangkan sebagai individu pertama untuk berkomunikasi dengan makhluk asing sememangnya mencuri perhatian.
Bagaimanapun, Mazlan berkata, tugasan yang didakwa diberikan kepadanya itu sebenarnya tidak wujud.
"Memang menarik menjadi orang pertama berkomunikasi dengan entiti luar, namun saya perlu menafikan kesahihannya," katanya melalui e-mel kepada akhbar The Guardian di London.
Sebelum itu, laman web berita media Australia, www.news.com.au melaporkan Mazlan dilantik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk berinteraksi dengan makhluk asing jika kewujudan entiti itu disahkan secara saintifik.
Walaupun berita itu turut disangkal oleh Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB (UNOOSA): hal ini sekilas menerbitkan kembali tanda soal di minda kita. Wujudkah makhluk asing? Hakikatnya saintis-saintis juga masih menyelongkar jawapannya.
Malapetaka
Apabila berbicara tentang makhluk asing atau hidupan di angkasa lepas, kisah seorang kanak-kanak lelaki Rusia, Boriska Kipriyanovich atau Borischa sangat menarik untuk dikongsi. Kanak-kanak itu mendakwa dirinya berasal dari Marikh, planet yang terletak sekurang-kurangnya 55 juta kilometer dari bumi.
Bukan setakat itu, Borischa juga bertegas masih ada hidupan di Marikh dan mereka terpaksa tinggal di bawah tanah serta bernafas dengan gas berasaskan karbon.
Dilahirkan pada 11 Januari 1996, Borischa membuat dakwaan itu ketika usianya tujuh tahun. Berita tentang Borischa mula berlegar di Rusia pada tahun 2004 apabila media Truth Report Russia melaporkannya.
Dunia semakin mengenali kanak-kanak aneh itu apabila sebuah badan mengkaji misteri, Camelot Project dari Amerika Syarikat menemu bualnya pada tahun 2007 dan videonya dimuat naik di laman Youtube pada awal tahun 2008.
Kini, jika dihitung, kanak-kanak itu sudah berusia 14 tahun.

LENSA teropong NASA pernah merakam imej seperti manusia di planet Marikh. Mungkinkah makhluk itu berketinggian tujuh meter seperti yang digambarkan Borischa?


Borischa bukan tiba-tiba muncul ke bumi dari Marikh sebaliknya dia dilahirkan seperti anak yang lain, daripada rahim ibunya, Nadezhda Kipriyanovich di Zhirinovsk, Volgograd, Rusia.
Borischa mendakwa dia merupakan seorang penduduk Marikh yang berketinggian tujuh meter dalam kehidupan masa lalu.
Bunyinya seperti lucu tetapi teruskan membaca.
Kanak-kanak berwajah menarik itu mula mendedahkan 'pengetahuannya' tentang Marikh ketika menyertai satu ekspedisi di zon anomali, Medvedetskaya Gryada dekat Volgograd.
Di hadapan para peserta ekspedisi yang rata-ratanya orang yang berpengetahuan tinggi dan berfikiran terbuka, dia yang ketika itu berusia tujuh tahun memukau dengan bicaranya tentang tamadun Marikh, bandar-bandar megalitik, kapal angkasa mereka, penerbangan ke planet-planet lain dan tamadun purba Lemuria di bumi seperti dia benar-benar menyaksikannya.
"Boleh anda bayangkan, apabila semua orang duduk mengelilingi kem api, tiba-tiba seorang budak berusia sekitar tujuh tahun meminta semua orang memberi perhatian kepadanya. Ramai orang terkejut tentang dua perkara.
"Pertama, kanak-kanak itu benar-benar berpengetahuan. Daya intelektualnya sangat jauh jika dibandingkan dengan kanak-kanak tipikal.
"Profesor di universiti pun belum tentu mampu bercerita tentang sejarah Lemuria dengan begitu terperinci. Anda takkan menemuinya dalam buku teks sekolah.
"Kedua, kami semua tertawan dengan ucapan budak itu. Bahasa yang digunakan tidak seperti kanak-kanak biasa.
"Pengetahuannya tentang terminologi yang spesifik serta terperinci berkenaan Marikh dan bumi mengagumkan semua orang," kata seorang profesor universiti, Gennady Belimov, antara saintis yang mula-mula melaporkan keluarbiasaan Borischa.
Tamadun Lemuria merujuk kepada tamadun purba yang dipercayai wujud di bumi 800,000 tahun yang lalu.
Kisah Borischa menarik perhatian para saintis Rusia tahun 2004.
Profesor Vladislav Lugovenko lantas menyifatkan kanak-kanak itu sebagai kanak-kanak indigo iaitu yang mempunyai keupayaan mental yang luar biasa.
"Borischa salah satu daripadanya. Kanak-kanak indigo juga seperti mempunyai misi khas untuk mengubah masyarakat bumi," katanya.
Ibu Borischa yang merupakan seorang dermatologis di klinik awam serta bapanya, seorang pegawai bersara juga berasa aneh tentang anak mereka itu.
Nadezhda atau Nadya berkata, dia tidak berasa sakit semasa melahirkan Borischa dan bayi itu merenungnya seperti pandangan seorang dewasa kala ditunjukkan kepadanya.
Permainan Huruf
Pada usia satu tahun, Borischa memberinya permainan huruf-huruf dan pada usia setahun setengah dia sudah boleh membaca surat khabar bercetakan besar. Pada usia dua tahun pula dia boleh melukis dan mewarna.
Belum pun umurnya mencecah tiga tahun, Borischa sudah bercerita kepada ibu bapanya tentang alam semesta
"Dia boleh menamakan semua planet dalam sistem suria termasuk satelit-satelitnya. Dia menyimbah saya dengan nama-nama dan bilangan galaksi.
"Pada mulanya, saya berasa takut dan fikir anak saya mungkin hilang akal, tetapi apabila saya periksa apa yang dikatakannya memang benar wujud.
"Saya cari buku-buku berkenaan astronomi dan terkejut apabila mendapati anak saya tahu banyak mengenainya. Tidak ada sesiapa yang mengajarnya.
""Apabila saya bawa anak saya kepada banyak saintis termasuk ufologis, ahli astronomi dan sejarahwan, mereka setuju bahawa adalah mustahil untuk menyatukan semua ini menjadi satu cerita.
"Terma-terma asing dan saintifik yang digunakannya hanya diguna pakai oleh mereka yang pakar dalam bidang sains itu sahaja," tambahnya.
Kebijaksanaan Borischa turut menyulitkannya untuk belajar di sekolah. Selepas interbiu pertama, dia dipindahkan ke gred kedua, tetapi pihak sekolah seperti cuba untuk menyingkirkannya.
Dia dikatakan terus menerus mengganggu pengajaran cikgu dan sering menyatakan yang mereka salah. Kemudian, dia berguru dengan tutor persendirian.
Semasa ditemu bual pada Oktober 2007 oleh Camelot Project, Borischa berusia hampir 12 tahun. Dia ketika itu dikatakan sedang belajar di sebuah sekolah berdekatan Moscow yang dikhaskan untuk kanak-kanak genius.
Sebagai seorang yang meniti usia remaja, penemu bual daripada Camelot Project menyifatkannya sebagai seorang yang mempesona, ceria, malu-malu, peka dan sensitif.

KAPAL angkasa manusia sering gagal mendarat di Marikh kerana, menurut Borischa, terdapat signal khas yang dikeluarkan oleh planet itu.


Jurnal cuba untuk menjejaki perkembangan terbaru Borischa di laman Internet, namun gagal mendapatkan sebarang maklumat.
Maklumat terakhir yang diperoleh adalah pada September 2008 apabila Kerry Cassidy daripada Camelot Project yang pernah menemu bualnya meninggalkan mesej di sebuah forum di Internet:
"Borischa berada dalam keadaan yang amat baik dan membesar dengan baik. Dia akan memulakan persekolahan di Moscow dalam masa terdekat dan akan menetap di tempat baru.
"Kami akan lihat sama ada dia mempunyai akses Internet di rumahnya.
"Amat sukar untuk mereka mempunyai Internet di dalam apartmen mereka tetapi ia boleh berubah jika mereka mendapat tempat tinggal yang lebih baik.
"Kami ada menghubunginya beberapa bulan lalu. Dia dan ibunya ketika itu sedang kembali ke kampung halaman mereka untuk mengemas barang bagi perpindahan ke Moscow."
Kanak-kanak ini juga nampaknya bukan seorang yang pandai bercakap tentang sains astronomi tapi juga mempunyai perspektif yang murni tentang kehidupan.
"Anda perlu menjadi seorang yang berbelas kasihan kepada orang lain. Kalau seseorang menyakiti anda, peluklah dia, minta maaf kepadanya dan berlutut kepadanya.
"Jika seseorang itu membenci kamu, sayangi dia dengan sepenuh hatimu dan minta keampunan," ujar Borischa.
Kosmo!