Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Selasa, Oktober 12, 2010

Cerita Bola: KAFA "memeras" penyokong?

Kerancakan bola sepak Kelantan berada di puncak sejak akhir-akhir ini. Kebanjiran penyokong di laman sendiri tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak. Bahkah jika bermain di laman lawan sekalipun penyokong tetap memenuhi ruang stadium. Lihat sahaja pertembungan Kelantan di laman lawan seperti Selangor, NS, KL Plus dan beberapa pasukan lagi; sudah pasti ramai yang kagum dan kaget dengan semangat menyokong penyokong Kelantan.

Kebanjiran penyokong di laman sendiri pula sudah tentu amat membanggakan pengurusan Kelantan-KAFA. Kehadiran penyokong jugalah yang menambah duit poket KAFA. Dengan harga RM12 didarabkan dengan 15 ribu orang... ?? Kiralah jumlahnya. Itu kiraan secara kasar. Dengan kebanjiran ini jugalah KAFA dapat memberi bonus kepada "pekerja"nya sama ada pekerja di padang mahupun di pejabat.

Namun dalam keghairahan penyokong memberi sumbangan, KAFA seakan "memeras" penyokong dengan menaikan harga tiket. Tahun 2009 harga tiket RM10 sahaja. Tahun 2010 dinaikan kepada RM12 sekeping. Kenaikan RM2 menimbulkan sedikit rungutan tetapi sebagai penyokong yang ingin melihat kebangkitan pasukan, kenaikan ini tidak menjejaskan sokongan penyokong.

Kini terdengar desas-desus KAFA akan menaikan harga tiket menjadi RM15 pada perlawanan suku akhir menentang Selangor Jumaat ini. Jika benarlah khabar ini alangkah untungnya KAFA. Musim lalupun aku rasa perkara yang sama berlaku. Bermula dengan harga RM10, kemudian dinaikan RM12. Kenaikan RM2 pada mulanya untuk mengutip sumbangan bagi Tabung Kemanusiaan Palestin. Tapi itu tidak menjadi masalah kerana atas dasar sumbangan kemanusiaan. Apakah KAFA sudah "kemaruk" wang sehingga "memeras" kita yang sentiasa menyokong? Perlawanan pada 15 Oktober ini sudah pasti menjanjikan sambutan hangat daripada penyokong. Ruang stadium yang ideal untuk 20 ribu orang sudah pasti akan dipenuhi dan sememangnya pasti akan bertambah. Langkah KAFA dengan menaikan harga tiket adalah satu langkah "wajar" bagi KAFA sendiri tapi satu bebanan kepada penyokong. Tidak cukupkah dengan jualan selama ini?

Tahun 2009 harga tiket RM10 di kaunter dan RM15-20 di tangan "makhluk perosak", ulat tiket. Pada peringkat suku akhir hingga separuh akhir Piala Malaysia, harganya (di tangan ulat) mencecah puluhan ringgit. Bahkan ada yang mencecah RM40. Jika Jumaat ini KAFA betul-betul menaikan harga RM15 di kaunter bermakna berpuluh-puluh ringgit di tangan "makhluk jahanam", ulat tiket.

Alasan
Kenaikan harga tiket kali ini apalah alasan KAFA? Jika dulu alasannya untuk menjelaskan cukai hiburan yang dikenakan oleh Perbadanan Stadium Sultan Muhammad IV (SSM IV). Tetapi menurut satu sumber, cukai yang dikenakan tidaklah seperti yang digembar-gemburkan. Malah kerajaan negeri melalui perbadanan stadium sudi memansuhkan cukai tertunggak KAFA.

Kebangkitan skuad Kelantan dalam dua ahun ini telah mengundang beberapa pihak untuk menaja pasukan Kelantan. Salah satunya Yusmira Trading. Malah Indra Putra dan Nor Farhan dilantik sebagai duta Yusmira. Denga penajaan ini sudah pasti poket KAFA makin menebal. Jadi apalah alasan kenaikan harga tiket kali ini.

Kecewa
Kenaikan ini akan mengecewakan ramai penyokong. Di saat pemain-pemain menagih sokongan peminat, KAFA pula "memeras" peminat. Dengan layak ke suku akhir kali ini KAFA tidak perlu bimbang dengan kehadiran penyokong. Dan kesempatan ke suku akhir ini tidak seharusnya menjadi medan buat KAFA untuk mengaut keuntungan. Stadium Shah Alam yang mempunyai pelbagai infrastruktur baikpun tidak zalim memeras penyokongnya; RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak. Sebaliknya kita meletakan satu harga sahaja (tempat terbuka), RM15.00. Jika RM15 di tempat terbuka, berapa agaknya tiket astaka..

Catatan ini sebenarnya berbentuk "persoalan". Aku pun tidak tahu kebenaran berita kenaikan ini. Cuma apa yang aku harapkan khabar ini tidak benar sama sekali. Jika ia benar-benar benar, ini amat mengecewakan. Ini menjejaskan keseronokan menyokong dan penyokong. Kita juga memerlukan penjelasan yang konkrit jika KAFA betul-betul berhasrat untuk menaikan harga tiket.


Malam ini Kelantan akan meneruskan perjuangan di Shah Alam untuk menumbangkan Juara Piala FA 2009. Kekalahan Kelantan pada Final Piala FA 2009 kepada Selangor harus dibalas dengan kemenangan.

Cerita Bola: Kelantan tidak gentar

KELANTAN akan menagih pengalaman Akmal Rizal (kiri) untuk memusnahkan kubu Selangor.



“SELANGOR bukan sebuah pasukan yang digeruni. Mereka juga mempunyai kelemahan dan kami tidak perlu bimbang.”
Demikian tegas pengendali Kelantan, B. Sathianathan menjelang pertemuan dengan skuad The Red Giant itu pada pusingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini.
Bagi Sathia, pertembungan kali ini diibaratkan sebagai perlawanan akhir yang diawalkan selain kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri ketika pertemuan dalam Liga Super sebelum ini dan percaya tahap permainan akan berada pada paras tertinggi
Justeru, beliau berharap agar pemainnya berada dalam keadaan paling cergas termasuk pemain simpanan bagi menghadapai perlawanan terhebat itu.
“Selangor adalah sebuah pasukan yang biasa bermain perlawanan berprofil tinggi seperti ini, tetapi jangan lupa mereka juga mempunyai kekura- ngan. Jadi, saya mahu semua pemain bersedia untuk mencipta sesuatu.
“Selangor hanya menurunkan pasukan kedua ketika perlawanan terakhir tetapi pemain kita terpaksa bertungkus-lumus sehingga perlawanan terakhir peringkat kumpulan menybabkan pemain-pemain kita agak keletihan selepas beraksi dalam tiga perlawanan dalam tempoh sembilan hari,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, untuk menjadi sebuah pasukan yang bergelar juara, ketakutan tidak seharusnya menjadi penghalang dalam diri pemain, siapa saja yang bakal ditentang, mereka perlu yakin.
Jelasnya, beliau pasti K. Devan dan anak-anak buahnya juga bimbang menghadapi Kelantan yang turun dengan reputasi sebagai naib juara Liga Super selain finalis Piala Malaysia musim lalu.
“Mereka juga pasti bimbang bertemu kita (Kelantan). Tekanan mungkin lebih kepada Selangor kerana mereka juara Liga Super, rekod tanpa kalah dalam kumpulan selain aksi pertama ini akan dilangsungkan di tempat mereka terlebih dahulu.
“Bagi saya, seri sudah cukup tetapi menang adalah satu bonus. Cuma saya mahu pemain- pemain saya pulang bersama jaringan gol sebanyak mungkin untuk meredakan tekanan ketika aksi di Kota Bharu,” ujarnya.
Bagaimanapun, ada khabar yang kurang gembira di kem Kelantan apabila beberapa pemain utamanya mengalami kecederaan seperti Azizi Mat Rose, Norshahrul Idlan Talaha serta Badri Radzi dan status mereka hanya akan diketahui hari ini.
Kosmo!
Lagi berita..

Isnin, Oktober 11, 2010

Kebangkitan lewat bantu Kelantan




KOTA BHARU – Naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kelantan menepati ramalan berada dalam kelompok enam pasukan setelah mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir TM Piala Malaysia apabila berjaya mengalahkan KL Plus FC 4-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam semalam. 

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan ternyata menjadi individu paling gembira biarpun pasukan bimbingannya menunjukkan kebangkitan lewat dalam saingan TM Piala Malaysia musim ini. 

“Kita telah menunjukkan aksi yang terbaik dalam dua perlawanan terakhir. Pemain yang meneruskan momentum kemenangan pada perlawanan terdahulu dengan meratah pasukan KL Plus FC. 

“Saya dan peminat berharap aksi sedemikian dapat diteruskan dalam pertemuan akan datang menentang Selangor pada Selasa ini (malam esok). 

“Pertemuan menentang Selangor merupakan perlawanan yang cukup getir bagi kedua-dua pasukan. Dalam mengharungi peringkat kalah mati ini, kedua-dua pasukan jelas tidak mahu berputih mata,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Sathianathan berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang disifatkan memuncak tepat pada masanya. 

“Saya memang berpuas hati dengan Norshahrul (Idlan Talaha). Walau beliau tidak menjaringkan gol sekali pun saya tetap berpuas hati. Dia banyak membantu rakan sepasukan menjaringkan gol. 

“Tetapi apabila beliau menjaringkan gol, bermakna itu menambahkan lagi keyakinan terhadap diri beliau sendiri. Setelah lama tidak menjaringkan gol, akhirnya dia telah temui sentuhan jaringannya," katanya. 

Sathianathan turut memuji kombinasi pertahanan Kelantan yang menunjukkan satu persembahan yang cukup mantap walaupun tanpa kelibat Mohd Daudsu Jamaludin. 

“Mohd Farisham Ismail bermain dengan baik. Itu sebab saya mengekalkan beliau dalam perlawanan malam semalam".

“Anda kena ingat, itu yang membezakan di antara kekuatan pasukan Kelantan musim ini dengan musim lepas. Dalam erti kata lain, kita mempunyai ‘reserve strength’ yang cukup baik. Apabila seseorang pemain cedera atau mengalami kemerosotan permainan, pemain lain mampu menggalas tugas itu,” katanya. 

Skuad Kelantan memilih untuk tidak pulang ke Kota Bharu selepas perlawanan menentang KL Plus FC malam semalam, sebaliknya terus berada di Shah Alam bagi menghadapi perlawanan menentang Selangor di Shah Alam malam esok.

Dari "Sinar Harian" (Edisi Kelantan)

CEMERLANG: Idlan meledak dengan 2 gol dan dua gol lain juga berpunca daripada gerakannya
Link..

Cerita Bola: Selangor mesti ditumbangkan

Malam esok suku akhir pertama akan berlangsung. Bermain di gelanggang lawan sememangnya sukar tapi tidak mustahil. Musim ini Kelantan berjaya mencatat keputusan seri 1-1 dengan Selangor di Shah Alam dan 0-0 di Kota Bharu, pada peringkat Liga Super. Saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia; Selangor mencatat rekod menang 100 peratus pada peringkat kumpulan D. Rekod ini harus dileburkan di Shah Alam, Sabtu ini.

Corak permainan pantas dan pertahanan ketat akan dipamerkan oleh barisan Selangor. Jika ketinggalan, Selangor cepat bangkit untuk merapatkan jurang dan sering kali juga dapat memintas jaringan lawan. Pertahanan Kelantan mesti berhati-hati dengan serangan Safie Sali dan Amirul Hadi yang sememangnya mempunyai penyudah yang baik. Amri Yahyah, sering kali mencuri tumpuan dengan jaringan lewat permainan. Final FA 2009, Amri yang menjadi pemusnah apabila menyamakan kedudukan 1-1. Waktu itu (separuh masa pertama masa tambahan) Indra meletakkan Kelantan di depan. Tapi dengan sedikit kelekaan, gawang Kelantan yang dikawal oleh Shahrizan Ismail dirobek juga. Ketiga-tiga pemain ini juga mampu untuk menguji gawang kita dengan percubaan jarak jauh. Oleh itu pemain-pemain jangan main-main. Seringkali pemain Kelantan akan bersikap main-main dan konfiden menang jika berada di depan.

Apex (Khairul Fahmi Che Mat), Azizi, Daudsu, Piya, Indra, Farhan dan Idlan mesti ada dalam barisan utama. Wira-wira Kelantan ini ada kebolehan masing-masing yang boleh dimanfaatkan. Boleh juga dimasukan Chanturu untuk melancarkan pergerakan. Larian deras Chanturu mampu untuk mengkucarkacirkan pertahanan lawan. Walaupun hantaran Chanturu kadang-kadang tersasar, tapi ini sekurang-kurangnya ia mampu membuat jentera tengah dan pertahanan lawan berada dalam keadaan tidak selamat.

Sokongan peminat? Usah dirisaukan. Jika lawan KL Plus penyokong mememenuhi ruang, inikan pula lawan Selangor. Apa yang kita mahukan..3 mata berharga mesti dibawa pulang ke Kota Bharu.

Tengok ni:

Ahad, Oktober 10, 2010

Cerita Bola: Malam gemilang Kelantan, malam cemerlang Idlan

Kelantan menamatkan kempen Piala Malaysia, peringkat kumpulan dengan menundukkan KL Plus di laman sendiri. Bermain di arena lawan tetapi umpama bermain di laman sendiri; itulah senarionya. KL Plus yang bernasib baik pada 20 September '10 lepas, apabila pulang gembira setelah seri 3-3 dengan Kelantan. Tapi malam tadi Kelantan sedikitpun tidak memberi ruang dan peluang kepada skuad lebuh raya tersebut. Di bawah ini dilampirkan visual tiga gol pada separuh masa pertama.

Idlan bijak mencari ruang untuk melepasi pertahanan lawan untuk menghantar bola ke kawasan lawan. Piya pula dengan lembut menolak bola dan mengelirukan Faizal Rashid. Jika jaringan pertama berpunca daripada Idlan kepada Piya, jaringan kedua pula daripada Piya kepada Idlan. Gol ketiga, Idlan sekali lagi meletakan Kelantan di depan setelah menerima hantaran daripada Azizi.


Jaringan keempat agak menarik. Sepakan sudut daripada Farhan terus ke kepala Hairuddin dan singgah pula ke kaki Idlan. Dengan skill kecin anyi (kencing anjing) Idlan membuka ruang kepada Fahmi Rosid meletakan Kelantan sekali lagi di depan.

Keseluruhan permainan ternyata memihak kepada Kelantan. Gerakan awal babak sudah menampakan Kelantan menginginkan kemenangan. Akmal Rizal kali ini nampak selesa dan bijak berada di depan. Ketiadaan Daudsu seakan melumpuhkan pertahanan seketika. Tapi ia dapat diatasi dengan Azizi. Apa yang pasti Idlan mencatat malam cemerlangnya pada malam itu. Dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan sememangnya dijangka.

Mana penyokong lawan? Sebagai pasukan kelab, memang dijangkakan tidak ramai yang menjadi penyokongnya. Kalau adapun mereka sebahagian daripada ahli keluarga pemain dan pengurusan. Dengan sokongan penyokong yang amat membanggakan membuktikan bahawa penyokong masih sayang akan bola sepak Kelantan. Mungkin lawan kali ini hanya KL Plus, sebab itu penyokong Kelantan mendominasi ruang stadium MBPJ. Tapi jika lawan selepas ini pasukan lain, mungkin penyokong akan lagi bertambah. Kemenangan mutlak Kelantan (4) - (0) KL Plus membolehkan wakil Kuala Lumpur ini ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Piala Malaysia.

Selasa ini Kelantan akan bertandang ke Shah Alam untuk misi seterusnya. Selangor yang dinobatkan "juara" kumpulan D, akan menanti kunjungan Kelantan, "naib juara" kumpulan A.

Khamis, Oktober 07, 2010

Aku menangis, tetapi...

Dengan lafaz bismilalhirahmanirahim...aku menadah tangan mengadap kiblat-Mu. Menadah tangan memohon keampunan, kemaafan, keinsafan dan taubat daripada-Mu. Tatkala tangan diangkat aku menangis..

Aku menangis apabila ujian-Mu mendatangiku, tapi tidak pula aku berusaha untuk mengatasinya. Aku menangis kerana Engkau menghukumku terus di muka bumi-Mu, tapi aku terus lalai dan alpa. Aku terus menangis apabila ujian-Mu ini tidak tertanggung olehku, tapi aku lupa bahawa setiap bebanan yang Engkau berikan itu adalah yang mampu ditanggung dan dipikul oleh hamba-Mu. Aku menangis lagi tatkala memohon keampunan daripada-Mu, tapi aku tidak pasti adakah tangisan ini benar-benar ikhlas ataupun palsu semata-mata.


Aku menangis mengenangkan doaku yang tidak pernah tertunai, tapi aku lupa doaku tertolak kerana hatiku masih lagi kotor. Aku menangis lagi membentak kerana Dia menyekat doaku, tapi aku tidak sedar Allah telah gantikan permintaanku dengan sesuatu yang lain.

Aku menangis menadah tangan tanda memohon taubat, tapi aku terus leka dan lagha melanggar aturan-Mu. Aku menangis agar taubat ku ini diangkat terus kepada-Mu, tapi seringkali taubat ini hanya sementara.

Aku menangis agar Engkau jauhkan aku daripada iblis dan syaitan, tapi aku pula mendekatkan jasad dan rohani ku kepada musuh-Mu itu.

Aku menangis memohon keinsafan, tapi seringkali insafku hanya sementara. Aku menangis mengenangkan dosa-dosaku, tapi tidak pula aku sanggup tinggalkan dosa itu. Aku menagis lagi mengenang dosa yang masih membelenggu ku, tapi aku terus melupai-Mu.

Aku terus menangis kerana jiwaku kosong, tapi tidak pula aku isinya dengan ayat-ayat-Mu. Kemudiannya tangisan ku ini terus bergema kerana fikiranku bercelaru, tapi tidak pula aku tenangkan ia dengan kalimah-Mu.


Tangisan halus ku kedengaran pada sujud akhir setiap kali mengadap-Mu lima waktu, tapi ia tidak berdaya mencegah ku daripada melakukan kemungkaran terhadap-Mu.

Hati terus berkata: teruskan menangis untuk mengharapkan keampunan-Mu, tapi kata hatikan tidak selalunya teguh. Aku menangis lagi agar tangisan ini diterima oleh-Mu, tapi hanya Engkau yang berhak menghitungnya.

Ya Allah, adakah tangisan aku ini tanda petunjuk dan hidayah-Mu kepada ku?

Ya Allah, segalanya adalah milik-Mu. Aku merancang, Engkau jua merancang, tapi perancangan-Mu sememangnya lebih tepat dan jitu.

Aku menangis lagi untuk mengharapkan rahmat-Mu. Menangis agar Engkau lepaskan aku daripada ujian-Mu. Menangis lagi agar dapat aku ukirkan senyuman ku selepas ini. Mudah-mudahan tangisan kali ini mampu menjernihkan segala kehitamanku terhadap Mu ya Allah.

Ya Allah, tangisan aku ini hanya untuk-Mu.. Benarkah begitu?

MIWARNA & JAY JAY - Aku tanpa cintamu