Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Jumaat, Mac 23, 2012

Penghormatan terakhir

Penghormatan terakhir selepas 62 tahun



APABILA sekumpulan warga kulit putih tiba di Tanah Perkuburan Tentera Komanwel, Jalan Cheras, Kuala Lumpur pada pagi 15 Mac lalu, suasana sugul menyelaputi perasaan para hadirin.
Ketika manusia di ibu negara sedang berpusu-pusu ke tempat kerja pada pukul 7.30 pagi bagi memulakan kehidupan, waris-waris si mati itu sedang meraikan sebuah kematian. Barisan batu nisan di tanah perkuburan tersebut menjadi saksi gejolak perasaan mereka.
Tepat pukul 7.45 pagi, seramai enam orang tentera dari Angkatan Tentera Udara Diraja Britain (RAF) berkawad perlahan-lahan mengusung keranda yang mengandungi tulang-temulang mangsa korban pesawat pengangkut Douglas DC-3 Dakota KN630 yang terhempas di Gua Musang, Kelantan, pada tahun 1950.
Keranda yang mengandungi tulang anggota Skuadron 52, Royal Flying Corps (RFC) seramai sembilan orang itu diturunkan ke dalam liang kubur tepat pada pukul 8.15 pagi.
Upacara persemadian itu diakhiri dengan iringan tiupan begol yang melagukan muzik bertajuk The Last Post dan Reveille oleh seorang askar Gurkha yang dibawa khas dari United Kingdom.
Kemudian, para tetamu kehormat yang terdiri daripada wakil Kementerian Pertahanan Malaysia dan British, pihak Muzium Tentera Darat dan pihak Muzium Polis Diraja Malaysia dijemput untuk memberi penghormatan terakhir dan meletakkan kalungan bunga.
Kalungan bunga berwarna merah yang memberi simbol tanda ingatan kepada mangsa perang diletakkan di tepi kubur.
Telegram duka
Pada hari tersebut, perasaan hiba dan sebak bercampur dengan kelegaan. Persoalan yang sama bermain dalam minda pasangan adik-beradik, Vickie Betworth, 76, dan Sheila Tebbett, 74. Pagi itu, mereka tidak sabar mahu mengetahui soal pemindahan lokasi baharu pusara abang mereka, Koperal Phillip Bryant terjawab.
Tatkala nama-nama mangsa korban dibaca dalam upacara memperingati oleh paderi RAF, Johnathan Chaffey, adik-beradik itu tidak dapat menahan linangan air mata, terutamanya apabila nama abang mereka disebut.
Sheila yang kini tinggal di Malaga, Sepanyol membuka cerita, beberapa minggu sebelum menerima telegram memberitahu kematian Phillip, ayahnya, Harry George Bryant, menerima sepucuk surat yang menyatakan hasrat Phillip untuk pulang. Phillip juga mahu minum bersama-sama ayahnya sejurus tiba nanti.
"Ayah saya sangat rapat dengannya. Saat menerima telegram ringkas mengatakan abang saya terkorban dalam kemalangan udara, khabar itu serta-merta menghancurkan perasaannya.

DALAM menahan sebak, Dennis Carpenter (tengah) meletakkan kalungan bunga sebagai tanda penghormatan terhadap mendiang abangnya, Geoffrey, yang terkorban dalam tragedi nahas pesawat Dakota KN630.


"Ayah saya meninggal dunia dua bulan selepas berita tersebut diterima. Mungkin berita tersebut telah membuatkan emosinya terganggu," keluh Sheila ketika ditemui di Kuala Lumpur sehari sebelum upacara memperingati berlangsung. Sheila berusia 13 tahun ketika berita sedih itu menimpa keluarganya.
Bagi mengenal pasti tulang mendiang Phillip, asid deoksiribonukleik (DNA) milik kakaknya, Vickie, yang tinggal di Hampshire, England telah digunakan dalam ujian pengesahan. DNA Sheila tidak diambil memandangkan lokasi kediamannya yang jauh dengan United Kingdom.
Sementara itu, jika Vickie dan Sheila masih dapat mengingati rentetan kisah tersebut, seorang lagi waris, Glenwyn Davies, hanya berusia empat tahun pada saat dia menerima telegram yang menyampaikan khabar duka itu.
Dia yang merupakan waris tunggal pegawai semboyan Sarjan Thomas O'Toole langsung tidak mengendahkan berita yang cuba disampaikan oleh ibunya.
"Saya masih lagi kecil dan tidak dapat mengingati apa-apa. Cuma, ramai yang bercerita mengenai ayah saya ketika saya semakin meningkat dewasa," ujar wanita berusia 65 tahun dari Merthyr Tydfill, Wales itu.
Selepas bersara, suaminya, Mansel Davies menghadiahkannya sebuah komputer. Sejak empat tahun lalu, dia mula membuat carian Internet mengenai peristiwa yang berlaku pada zaman darurat di Malaya tersebut.
Daripada usaha itu, dia mula memahami perkara yang berlaku kepada ayahnya sehingga dia dipanggil untuk membuat ujian DNA.
"Saya terharu mengenai usaha yang dilakukan oleh pihak yang sanggup meredah hutan tebal bagi membawa keluar tulang-temulang tersebut," katanya yang hadir bersama suaminya demi upacara tersebut.
Kelegaan emosi

MEMORIAL Tentera Komanwel di Jalan Cheras, Kuala Lumpur didedikasi kepada mangsa yang tumbang ketika bertempur di Perang Dunia Kedua.


Selepas upacara rasmi pada hari penuh sejarah berkenaan selesai, para waris dan ahli keluarga masing-masing mengambil giliran untuk memberi penghormatan terakhir. Antara ramai waris yang hadir dalam pengebumian semula itu, Dennis Carpenter dari Surrey, England merupakan individu yang kelihatan sangat beremosi.
Tiada tangisan oleh lelaki yang berusia 82 tahun itu tetapi raut wajahnya memaparkan rasa lega dan hiba yang bercampur-baur. Dia ialah waris pertama yang meletakkan kalungan bunga namun masih lagi berlegar-legar di sekeliling kubur walaupun selepas semua waris selesai berbuat demikian.
Barangkali, perasaannya begitu lega apabila tanda tanya mengenai kedudukan kubur abangnya, Pemandu Arah RAF, Geoffrey Carpenter akhirnya terjawab.
"Saya berasa sangat sedih, tetapi sekurang-kurangnya kami kini mengetahui kedudukan pusaranya. Dia seorang yang suka terbang, tetapi tidak boleh menjadi juruterbang kerana rendah.
Sebab itulah dia menyertai tentera. Namun, dia terkorban dalam tragedi tersebu," katanya.
Pesara kerani bank tersebut masih ingat lagi ketika ibu bapanya menerima telegram pemberitahuan kematian abangnya itu. Ibunya paling terkesan dengan berita itu. Dia pula sentiasa membayangkan bahawa Geoffrey akan muncul di pintu rumah mereka walaupun selepas 10 tahun perkara tersebut berlaku.
Menurut Dennis, ibunya begitu merindui mendiang kerana Geoffrey menyertai tentera sebaik sahaja tamat sekolah dan sering melawat Sri Lanka), Singapura dan banyak negara lain.
Geoffrey juga kerap menghantar surat kepada keluarga di England. Paling menyedihkan, terdapat sepucuk surat yang sampai ke alamat keluarganya sehari selepas berita kematiannya itu diterima.
Sebenarnya, secara tidak langsung, Dennis adalah penggerak projek mencari semula bangkai pesawat tersebut sehingga ia berjaya ditemui pada November 2008.
Mencari semula

VICKIE (kiri) dan Sheila menahan air mata tatkala nama mendiang abang mereka disebut oleh Paderi Johnathan ketika majlis pengebumian berlangsung.


Ceritanya bermula pada November 2007 ketika dia melawat Memorial Pasukan Tentera Kebangsaan di Staffordshire, England.
Di memorial itu, terukir senarai nama seramai 16,000 anggota pasukan pertahanan yang terkorban ketika Perang Dunia Kedua. Salah satu daripada nama-nama itu terukir nama Geoffrey. Maka, timbul perasaan untuk mengetahui lokasi tragedi yang meragut nyawa abangnya itu.
Lantas, Dennis menghantar sepucuk surat kepada Pejabat Pelancongan Malaysia di United Kingdom bagi mendapatkan maklumat seperti peta dan lain-lain.
Bagai diatur-atur, surat tersebut jatuh ke tangan seorang pegawai tentera Malaysia yang bertugas di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London. Surat itu seterusnya disampaikan kepada rakan sepasukan di Kuala Lumpur hinggalah membawa kepada pencarian dan penemuan pesawat Dakota.
"Saya tidak menyangka tindakan menghantar surat itu akan berakhir sebegini (penemuan dan pengebumian semula) kerana apa yang diminta hanyalah peta. Malah, pada mulanya, tiada sebarang jawapan yang diterima selepas lapan bulan surat dihantar," ujarnya bersyukur.
Sepanjang upacara selama 40 minit itu, Dennis diberikan bendera Union Jack yang menjadi penutup keranda mangsa sebagai penghargaan atas usahanya menyebabkan projek tersebut berjaya dilaksanakan.
.......Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..