Cabaran jejak lokasi bangkai pesawat
PADA pagi 25 Ogos 1950, pesawat pengangkut Douglas DC-3 Dakota KN630 yang dinaiki seramai tujuh orang berlepas dari Lapangan Terbang Changi, Singapura ke Kota Bharu, Kelantan.
Di Kota Bharu, pesawat tersebut mendarat dan mengambil lima orang penumpang termasuk seorang Orang Asli bernama Saiap Alais Sherda yang bertindak sebagai petunjuk arah serta beberapa orang lagi yang terdiri daripada pengawai tentera, polis, pegawai pembangunan dan orang awam.
Pesawat Dakota itu dalam ekspedisi membuat tanda untuk dibom oleh lapan buah pesawat Lincoln yang mengikuti dari belakang Dakota.
Tidak seperti pasukan tentera zaman sekarang yang dilengkapi dengan sistem navigasi moden. Pada waktu itu, penandaan dengan asap perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum bom digugurkan.
Sasaran mereka pada waktu itu adalah kawasan-kawasan yang dipercayai sebagai tempat pengganas komunis berlindung.
Selepas menggugurkan bom asap pertama, Dakota melalui kawasan Kempong Jendera bagi membuat penandaan kedua.
Ketika melalui sebuah lembah, berlaku kegagalan enjin yang menyebabkan pesawat tersebut tidak dapat melepasi kawasan pergunungan dan terhempas di dalam gaung.
Selepas seminggu ia terhempas atau lebih tepat pada 3 September 1980, barulah pasukan penyelamat dapat menjumpai bangkai pesawat tersebut.
Oleh sebab kawasan tersebut sukar untuk sampai tambahan pula ketika itu, ancaman komunis masih berleluasa, pasukan penyelamat mengambil keputusan untuk mengebumikan semua mangsa dalam sebuah kubur cetek berdekatan kawasan terhempas.
Semasa ekspedisi mencari semula bangkai pesawat tersebut di Gua Musang pada November 2008, pasukan Penyelidik Ekspedisi Garis Waktu, Muzium Tentera Darat perlu menempuh perjalanan selama 14 jam dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Selepas itu, menurut ketua penyelidik pasukan itu, Kapten Muhammad Zuraiman Abdul Ghani, mereka terpaksa berjalan kaki selama tiga jam untuk sampai ke lokasi kejadian.
Pasukan seramai 150 orang yang terdiri daripada tentera, polis dan pakar arkeologi serta pakar forensik berjaya membawa keluar tulang-temulang mangsa. Selama setahun, proses forensik dijalankan untuk mengesahkan identiti.
Hasil kajian asid deoksiribonukleik (DNA) salah seorang mangsa nahas, Konstabel Polis, Mohammed Abdul Lalil telah dikebumikan lebih awal iaitu pada bulan April 2011. Allahyarham disemadi di Kampung Bukit Tereh, Muar, Johor.
Terdapat perbezaan waktu yang panjang di antara November 2008 hingga tarikh upacara persemadian pada 15 Mac lalu. Kata Zuraiman, ia disebabkan beberapa perkara yang perlu disahkan terlebih dahulu.
Antaranya adalah bagi menentukan identiti mangsa dengan tepat kerana bukan semua keluarga rapat boleh digunakan dalam ujian perbandingan DNA.
"Adik lelaki mangsa tidak sesuai untuk dijadikan perbandingan. Paling sesuai adalah adik-beradik perempuan atau anak perempuan," kata Zuraiman.
Saki-baki tulang yang tidak dapat dikenal pasti dianggap sebagai penumpang lain dalam pesawat Dakota itu.
Selain ekspedisi mencari Pesawat pengangkut Douglas DC-3 Dakota (KN630), banyak lagi ekspedisi yang dijalankan seperti di Langkap, Negeri Sembilan. - ADLAN JAAFAR
............Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..