Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Khamis, Januari 07, 2010

Analisis Doa Bala Nik Aziz Sebelum Jatuh Hukum

Oleh - Abdulla Bukhari Polemik doa bala Datuk Nik Aziz kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib masih hangat diperkatakan, sama ada pihak yang menyokong atau menentang. Namun, sebelum sebarang hukuman dijatuhkan ke atas tindakan Nik Aziz, polemik ini terlebih dahulu perlu dianalisis secara ilmiah menurut neraca al-Quran dan al-Sunnah. Analisis ini amat penting demi untuk menyelamatkan masyarakat awam bawa-han yang tampaknya sedang kebingu-ngan di celah permainan ahli politik. Secara umumnya berdoa buruk kepada orang lain adalah ditegah oleh baginda Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya: Jangan berdoa buruk ke atas diri kamu sendiri, anak-anak kamu, khadam kamu dan harta-benda kamu kerana ditakuti bertembung dengan waktu penerimaan doa, (maksud buruk itu) maka akan diperkenankan oleh Allah. (Sahih Muslim & Sunan Abu Dawud). Namun begitu, dalam keghairahan menyalahkan Nik Aziz, kebanyakan daripada kita seolah-olah terlupa pula sudut lain yang menjadi punca tercetus-nya isu ini. Oleh itu untuk berlaku lebih adil dan ilmiah kepada semua pihak, sebarang keputusan perlu mengambil kira aspek punca sesuatu isu. Bagi memahami isu ini dalam skop lebih luas dan praktikal, kita perlu meli-hat kepada contoh sudah sekian lama berlaku di dunia, iaitu kempen anti kega-nasan dilancarkan Amerika Syarikat. Walaupun sudah bertahun kempen tersebut dijalankan dengan beberapa pendekatan ekstrem seperti penaklukan Afghanistan, Iraq dan penahanan ramai tokoh yang dicop sebagai pengganas, angka keganasan tidak pernah berkurang. Sinar Harian, 10/12/09

Masih adakah ketuanan Melayu?

Mingguan Malaysia, 13 Disember 2009

Ingatan demi ingatan telah saya ajukan akan bahayanya golongan ultra kiasu, tetapi kita terus memberi muka. Sedangkan mereka tidak pernah serik dan mengambil pengajaran. Sejak dahulu lagi ultra kiasu ini membangkitkan isu-isu sensitif dan menentang apa juga perkara yang menyebelahi bangsa Melayu dan Islam di bumi Melayu ini walaupun hak-hak ini dijamin dalam perlembagaan. Pada mereka, semua rakyat Malaysia mesti berpegang kepada formula sama rata dan sama rasa atau fair and square atau Malaysian Malaysia. Mereka tidak mahu langsung melihat perkara-perkara yang berkaitan dengan kelebihan Melayu Islam seperti mahukan bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia, negara Islam kepada negara sekular, ketuanan Melayu kepada ketuanan rakyat dan sebagainya. Apakah ultra kiasu akan bersetuju dengan ketuanan Islam yang diperjuangkan oleh rakan sekutunya PAS? Mungkin PAS boleh bertanya ultra kiasu itu yang menjadi rakan baiknya. 

Penggunaan istilah ketuanan Melayu tidak langsung menggambarkan hubungan antara ‘tuan’ dengan ‘hamba’ sebagaimana yang didakwa oleh kumpulan ultra kiasu. Jika orang bukan Melayu itu hamba, masakan penguasaan ekonomi bukan Melayu begitu jauh meninggalkan orang Melayu Islam. Lihat sahaja senarai 10 jutawan terkaya di negara ini. Siapakah mereka? Jika ada ketuanan Melayu sudah pasti akan ada beberapa muka-muka Melayu. Jika orang Melayu itu tuan, sudah tentu mereka akan menyekat ‘hamba-hamba’ ini untuk berjaya, tetapi adakah ia sebenarnya berlaku? Inilah bahaya bila ada sifat kiasu yang terlalu ultra? Kini mereka begitu berani mempertikaikan peruntukan atau dana-dana yang disediakan untuk pembangunan Islam oleh kerajaan termasuk pembinaan dan pembiayaan masjid, yang berkaitan dengan ketuanan Melayu dan Islam. Malah dana zakat turut mahu diambil. Saya terlalu ingin melihat apakah respon Tok Guru dan PAS terhadap kenyataan amat biadab ini. 

Sebenarnya isu ketuanan Melayu dan Islam dibangkitkan semula untuk menagih simpati dan sentimen orang bukan Melayu agar tidak lupa menyokong mereka. Mereka mahu pastikan agar penyokong-penyokong parti ultra kiasu ini sentiasa berjaga-jaga dan dikejutkan agar tidak leka. Sama juga dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Singapura yang begitu agresif dengan kempen-kempen dan ingatan kepada rakyat mereka agar sentiasa berhati-hati dengan musuh yang sebenar iaitu negara-negara di sekelilingnya seperti Malaysia dan Indonesia. Parti ultra kiasu faham benar akan taktik ini kerana mereka adalah daripada kumpulan yang sama di sana. 

Dapatan kajian saya menunjukkan bahawa, golongan ultra kiasu ini memang telah berjaya menanamkan pemikiran bangsanya agar menolak ketuanan Melayu dan Islam secara total. Ketuanan Melayu sengaja diperbesar-besarkan dengan dikaitkan hubungan antara tuan dan hamba. 

Sebagai pengkaji politik, saya amat yakin golongan ultra kiasu ini amat faham maksud ketuanan Melayu tersebut bukanlah seperti yang digembar-gemburkan. Saya bukanlah menyokong ketuanan Melayu, tetapi saya faham sangat akan maksud ketuanan Melayu secara tersurat dan tersirat. Saya celik sejarah dan tidak memutar-belitkannya demi mencapai cita-cita politik rakus. Saya begitu bersyukur dilahirkan di bumi bertuah ini, begitu juga dengan nenek moyang saya. 

Ketuanan Melayu hanya satu istilah untuk menunjukkan bahawa orang Melayu adalah bangsa asal negara ini, selain orang asli. Atas kefahaman ini, maka saya dapat menerima istilah ini tanpa prejudis, apatah lagi untuk mempertikaikan bahawa orang Melayu juga adalah pendatang, berasal dari Yunan dan Indonesia. Inilah hujah-hujah yang selalu digunakan oleh kumpulan ultra kiasu ini, termasuk segelintir mereka yang berada dalam komponen BN seperti MCA dan Gerakan. Sebenarnya pengikut ultra kiasu ini adalah ramai, mereka tidak bersendirian. Bekas Presiden Gerakan adalah antaranya yang begitu lantang mengkritik ketuanan Melayu ini. Apakah mungkin kita tidak perasan dengan taktik mereka? Pusat mereka berada di Pulau, jangan kita lupa, cukuplah terlepas dua pulau. 

Persoalan seterusnya, apakah orang Cina atau India tidak mempunyai semangat ketuanan Cina atau ketuanan India? Janganlah tipu, ia cuma tidak dilaungkan sahaja. Ketuanan mereka itu sudah jelas terpancar ketika mereka mempertahankan hak-hak mereka secara ekstrim yang telah diperolehi. Ketuanan inilah yang menyatukan mereka. 

Apakah tuntutan dan desakan yang dikemukakan selama ini tidak melambangkan ketuanan bangsa? Sekurang-kurangnya orang Melayu yang melaungkan ketuanan Melayu itu berterus-terang, membuka ruang kepada pandangan dan kritikan. Berbeza dengan ultra kiasu, lantang mengkritik, tapi bekerja senyap-senyap, sedar-sedar dah jadi. Mula-mula ditutup-tutup, bila tiba-tiba dibuka, masyaAllah, besarnya patung yang didirikan. Licik sungguh strategi mereka. Umat Islam bila lagi? Takkan asyik berterus-terang. Jika kerja berjalan boleh tahan juga, tetapi cakap banyak, kerja tidak berjalan. 

Lihat strategi mereka, ketuanan Melayu dipertikaikan diikuti selepas itu dengan mempersoalkan penggunaan dana kerajaan terhadap perkembangan syiar Islam seperti pembinaan masjid. Persoalan saya, apakah kerajaan negeri dan persekutuan tidak membantu pembinaan rumah ibadat bukan Islam? Jangan asyik menyatakan orang, tanpa mensyukuri toleransi yang berlaku. Inilah belang ultra kiasu yang sebenar, pepat di luar rencong di dalam. 

Lihatlah bagaimana bersatunya mereka ketika pembukaan rasmi bangunan Kek Lok Si dan patung Kuan Yin yang begitu besar di negeri ultra kiasu baru-baru ini. Ini tidak termasuk pandangan di Batu Caves. Wajarkah ia dibina dalam sebuah negara Islam sehingga menenggelamkan kedudukan bangsa dan agama Islam sebagai bangsa majoriti dan agama persekutuan? Adakah kebebasan ini diberikan kepada umat Islam di negeri China dan India mahupun Switzerland? Alangkah sedihnya melihat masjid babri yang dimusnah dan diganti dengan kuil Hindu. Tidak ramai orang Islam yang membantah. Inilah sifat yang amat saya puji, walaupun dalam hati amat berat untuk menerima. Sifat sebegini jarang dapat dilihat pada orang lain. Banyak yang telah dapat, tetapi tidak pernah puas itulah ultra. Strategi mereka sekarang, tuntut semaksima mungkin, tak dapat banyak, kerajaan bagi sedikit. Sedikit itu kemenangan besar. 

Kalau tidak percaya, tanyalah ketua-ketua parti komponen BN. Adakah selama ini mereka tidak dapat apa yang dituntut. Adakah rumah ibadat mereka tidak dibantu kerajaan? Jangan tanya kepada parti ultra kiasu kerana mereka tidak pernah puas selagi kuasa tidak berada di tangan mereka sepenuhnya. Mereka bercita-cita mahu menjadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri. Pernahkah kita bertanya kepada orang Melayu Islam, sakitkah hati mereka melihat patung-patung yang begitu besar dan tinggi, yang terang-terang bercanggah dengan fitrah agamanya atau setiap kali lalu di tempat-tempat tersebut? Kita tidak pernah bertanya bukan? Kita hanya marah dalam hati kerana kita mahu menjaga hati orang lain dan hak bukan Islam. 

Pernahkah orang Islam melarang pembinaan patung sebesar itu dalam sebuah negara Islam yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi. Kalau adapun sedikit sangat. Apakah hak bukan Islam dinafikan walaupun ketuanan Melayu dilaungkan? 

Apakah Lee Kuan Yew tidak menegakkan ketuanan Cina di Singapura? Terangkatkah ketuanan Melayu di negeri Melayu Singapura? Orang Melayu tidak mendapat tempat di sana berbanding orang India yang lebih sedikit bilangannya. Kalau dulu Yusuf Ishak boleh menjadi presiden, selepas beliau, nama Melayu sudah tidak muncul lagi. Bila orang Melayu yang mengkritik ketuanan Cina di Singapura, mereka akan dibuang jauh-jauh. Pernahkah kerajaan hari ini membuang kumpulan ultra kiasu ke luar negara walaupun ia amat lantang mengkritik orang Melayu, Islam dan raja-raja Melayu? Saya fikir orang Melayu lebih mempercayai bukan Melayu daripada bukan Melayu mempercayai Melayu. 

Orang Melayu (Islam) tidak pernah campurtangan dalam urusan orang bukan Islam, tetapi kenapa dan mengatakan orang bukan Islam begitu kurang ajar mencampuri setiap perkara sesuatu yang berkaitan dengan agama Islam? Fikirkanlah isu-isu seperti pemelukan agama Islam, murtad, kedudukan mahkamah syariah, kedudukan Islam dan keistimewaannya dalam perlembagaan dan sebagainya. 

Toleransi ini tidak pernah dihargai oleh kumpulan ultra kiasu ini. Tidak pernah puas dan bersyukur. Bila kita tanya toleransi tidak pernah berlaku di negara lain, kenapa tidak menghargai? Maka mereka menjawab, inilah keunikan yang perlu ditonjolkan di Malaysia. Licik juga strategik dan taktik mereka, bila kena pada kita, mereka kata inilah keunikan Malaysia dan semangat 1Malaysia, tetapi bila kena pada mereka, maka jawapannya tidak adil, bukan Melayu dipinggirkan dan didiskriminasikan dan berbagai-bagai tohmahan lagi. Selain daripada kumpulan ultra kiasu ini, mungkin kita boleh melihat pakatan jahat mereka dengan majlis peguam dan persatuan-persatuan agama-agama bukan Islam. Adalah amat tidak logik apabila melihat bilangan rumah ibadat orang bukan Islam yang hanya berjumlah 45 peratus, melebihi berkali ganda bilangan masjid dan surau di dalam sebuah negara Islam yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, yang bilangannya melebihi 55 peratus. 

Puak ultra kiasu ini memang tidak pernah bersyukur. Taktik mereka menentang sekeras-kerasnya tanpa kompromi. Mereka tahu mereka tidak keseorangan. Sokongan ke atas mereka amat jitu dan padu. Kita jangan terlalu bersangka baik walaupun ia sifat yang amat mulia. Terlalu bersangka baiklah maka hari ini kepala kita bukan sahaja dipijak-pijak malahan, mereka sudah hampir sampai ke tahap untuk menguasai kita. Bayangkan jika benar-benar mereka berpakat dengan negara kecil yang begitu kuat di selatan Johor itu? 

Saya mahu mengajak kita semua berfikir sebentar, apakah dengan laungan ketuanan Melayu itu, benar-benar Melayu dan Islam telah menjadi tuan? Apa yang saya tahu semakin kuat kita melaungkan ketuanan Melayu semakin banyak tanah rezab Melayu yang telah tergadai kepada bukan Melayu? Kedudukan bahasa Melayu dan agama Islam semakin terancam. 

Kadangkala ternyata-tanya pada diri sendiri, apakah dengan mendapat potongan lima peratus untuk membeli sebuah rumah dan kewujudan MARA sudah cukup melambangkan itulah hak istimewa orang Melayu? Jika itulah yang melambang ketuanan Melayu, alangkah hinanya kita. Ketuanan Melayu yang sebenar adalah apa juga yang berkaitan dengan Melayu selaku bangsa majoriti termasuk bahasa, agama dan cara hidupnya akan mendominasi suasana negara ini. Tetapi adakah ini berlaku? 

Lihat saya kedudukan media cetak dan media elektronik di negara kita. Adakah bahasa Melayu yang mendominasinya? Jawapan mudah, tidak. Kalau ada pun media Melayu, ia hanya dibaca atau ditonton oleh Melayu sahaja. Saya tidak fikir ada orang bukan Melayu yang akan membaca dan menonton media Melayu. Kecuali kumpulan ultra kiasu. Itupun mereka hanya berminat untuk mengorek rahsia dan membaca psikologi orang Melayu. Jika tidak, mereka tidak akan ada hati juga untuk melihat dan membacanya. 

Apakah dengan laungan ketuanan Melayu kemudahan orang Cina (India) untu berniaga semakin berkurang? Sekolah Cina atau Tamil semakin berkurang? Rumah ibadat orang Cina, India semakin berkurang? Hak-hak bukan Melayu semakin dinafikan? Tulisan jawi semakin berpengaruh? Wujudkah sekolah Melayu berbanding sekolah Cina dan India? Masih adakah ketuanan Melayu? Justeru, rugikah orang Cina, India jika UMNO terus melaungkan ketuanan Melayu atau hidup Melayu atau ia sekadar mahu mengingatkan orang Melayu supaya tidak mudah lupa diri di tanah air sendiri dan mara untuk terus berjuang. 

Jika nama Tanah Melayu kekal tanpa di tukar kepada Malaysia, saya tidak nampak relevannya ketuanan melayu. Seperti mana nama negeri China dan India. Mereka tidak perlu sebut ketuanan China atau ketuanan India sebab nama negara mereka sudah mencerminkan ketuanan mereka. Maka tidak hairanlah orang Islam merempat hidupnya di bumi mereka. Masjid dirampas menjadi kuil. Apakah orang Islam hidup senang lenang di negara bukan Islam berbanding orang bukan Islam hidup dalam negara Islam seperti Malaysia. Sedarkah puak-puak ultra kiasu? 

Saya cukup bimbang laungan ketuanan Melayu hanya tinggal sebagai laungan sahaja seperti mana nama-nama Melayu yang semakin hilang seperti Keretapi Tanah Melayu menjadi KTM. Perancangan yang sungguh licik. Kita asyik mengalah. Bila diugut, maka kita akan tunduk kepada desakan dan tuntutan mereka. Apa yang jelas sinergi ultra kiasu semakin mantap, manakala sinergi kita semakin merosot, yang tinggal hanya laungan dan slogan yang tidak dapat dipertahankan. 

Gagasan 1Malaysia tidak lagi dilihat sebagai gagasan untuk memperkasa masa hadapan tetapi untuk menuntut apa yang belum dapat dan menambah apa yang telah dapat! Sampai bilakah kita mampu terus bertahan? Apakah sinergi orang Melayu (Islam) semakin pupus di bumi Melayu? Tidakkah kita perlu kembalikan semula sinergi yang semakin hilang? 

Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Tulisan ini adalah pendapat peribadi saya.



Diambil daripada blog ridhuantee.blogspot.com

Salah Guna Nama Ijmak

Minda Dr. Maza Setiap kali berlaku kebangkitan pemikiran Islam menghadapi cabaran baru sesuatu zaman kita akan dapati para penentang utama kebangkitan pemikiran Islam itu kadang-kala akan terdiri dari kelompok konservatif agama itu sendiri. Mereka ini bimbang jika berlaku kebangkitan umat menghadapi cabaran baru mereka akan dianggap sudah 'tidak laku' atau menghadapi 'tarikh luput' di kerusi-kerusi empuk atas nama agama yang mereka duduk atau pengaruh agama yang mereka kuasai. Mungkin juga yang menentang itu mereka yang bimbang apabila berlaku reformasi umat dalam mengembalikan ajaran Islam kepada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan al-Sunnah akan menyebabkan aliran anutan mereka terjejas. Mereka ini biasanya terdiri dari kelompok tarekat, juga kelompok agama yang selalu mengenakan caj atau bayaran yang berbagai-bagai atas nama agama. Mereka ini menjadikan agama sebagai sumber pendapatan. Berbagai petua agama dari kesihatan sehingga kematian dikeluar serentak dengan berbagai bayaran pun dikenakan. Sehingga masyarakat merasa soal dunia atau harta itu kerja kita, soal akhirat atau agama itu kerja golongan agama. Lalu mereka rasa mereka cari harta untuk hidup di dunia, sementara akhirat mereka serahkan kepada kelompok agama ini untuk uruskan dengan bayaran yang diberikan. Maka agama dijadikan alat untuk kuasa dan harta. Sebab itu kelompok ini akan menggunakan senjata agama dalam mempertahankan domain mereka ini. Apabila ada yang menegur, bagi menjaga kedudukan mereka tuduh berbagai tuduhan. Antaranya, pengkritik menyanggahi 'ijmak ulamak'. Maka golongan agama ini mendapat lesen besar untuk bercakap apa sahaja mengenai agama atas alasan mereka adalah ulama, jika menentang pendapat mereka bererti menentang pendapat ulama. Jika menentang pendapat ulama bererti tidak berpegang kepada ijmak ulama. Sesiapa yang tidak berpegang dengan ijmak ulama bererti menolak sumber rujukan Islam yang ketika iaitu selepas al-Quran dan Hadis, al-Ijma'. Kesan, membawa kepada kekufuran. Sehingga kita berjumpa orang awam yang disalahfahamkan menyebut 'kita tidak boleh berpandukan al-Quran dan hadis sahaja, kita kena ikut apa kata ustaz kerana ustaz itu ulamak dan kita kenalah ikut ijmak ulama'. Bila ditanya dia apakah itu ijmak ulama? Jawabnya "Pendapat ulama-ulama kita la..". Demikianlah atas kejahilan orang awam, atau sengaja mereka dijahilkan maka sebahagian pihak menikmati lesen besar untuk menggunakan agama atas tiket ijmak ulama. Justeru, wajib kita fahamkan masyarakat apakah itu al-Ijma' atau Ijmak Ulama Mujtahidin yang dijadikan sumber ketiga dalam pengambilan hukum-hukum Islam. Ijmak sebenar itu dijunjung dan dipegang. Cumanya, apakah itu al-Ijma' yang sebenar? Takrif bagi perkataan al-Ijma' ini di sisi majoriti ulama ialah "Kesepakatan seluruh para mujtahidin (ahli ijtihad) dalam kalangan umat Muhammad s.a.w, selepas kewafatan baginda, pada sesuatu zaman, mengenai sesuatu hukum syarak". (lihat: Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/490, Beirut: Dar al-Fikr). Inilah takrif ijmak. Kita akan temuinya atau takrif yang hampir menyamainya dalam hampir semua buku usul fekah klasik dan semasa. kesepakatan Dari takrif ini beberapa perkara mesti kita faham sebelum kita menamakan sesuatu perkara itu sebagai ijmak ulama, antaranya; ijmak itu adalah kesepakatan tanpa kecuali seluruh para ahli ijtihad pada sesuatu zaman. Maksudnya, para mujtahidin tanpa mengira perbezaan mazhab fekah, tidak terbatas kepada empat mazhab sahaja, tidak kira di mana berada bersetuju dengan hukum berkenaan. Jika ada yang berbeza pendapat walaupun seorang, maka itu tidak boleh dianggap ijmak. Bayangkan para mujtahid dalam berbagai aliran fikir dan mazhab yang sering berbeza boleh bersepakat dalam perkara tersebut. Maka betapa sukarnya untuk berlakunya ijmak sebenar melainkan dalam perkara-perkara yang jelas nasnya. Maka sekadar kesepakatan ulama mujtahidin sesuatu mazhab, atau negara tertentu seperti Madinah, atau Mekah, atau Arab Saudi seluruhnya, atau Jordan, atau Indonesia atau Malaysia tidak dianggap ijmak kerana ia bukan kesepakatan seluruh para mujtahid (lihat: Dr 'Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 180, Beirut: Muassasah al-Risalah). Maka dakwaan sesetengah kelompok agama di Malaysia bahawa 'arus perdana' atau main stream atau kebiasaan ulama Nusantara itu sebagai ijmak ulama adalah tidak tepat. Juga keputusan majlis fatwa mana-mana negara dalam perkara-perkara ijtihadiyyah (terdedah kepada pandangan yang pelbagai) tidak boleh dianggap ijmak ulama. Kedua, kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya. Mereka ini bukan sekadar muqallid atau hanya sekadar mengikut pendapat atau fatwa orang lain, sebaliknya mereka sendiri berkemampuan merumuskan fatwa dengan ijtihad sendiri, maka kesepakatan mereka ini yang diambil kira. Adapun kesepakatan mereka yang sekadar memakai gelaran ulama sedangkan bukan ahli ijtihad dan masih bergantung kepada fatwa mazhabnya, atau orang lain maka kesepakatan mereka tiada nilaian dalam ijmak kerana mereka bukan mujtahid. Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut: "Tiada dalil wajib mengikut mana-mana imam mazhab sama dari nas al-Quran atau sunnah atau ijmak. Pendapat golongan muqallidin (pengikut mazhab) bahawa wajib mengikut mazhab tidak diambil kira. Ini kerana al-Ijma' yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin" (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu'asir, 38, Beirut: Muassasah al-Risalah). Apabila kita tahu hal ini maka jelaslah bukan senang untuk mendakwa sesuatu perkara sebagai ijmak ulama. Banyak perkara yang didakwa ijmak sebenarnya tidak ijmak. Sesetengah pihak mudah benar menyebut ijmak ulama sedangkan tidak demikian. Umpamanya, dakwaan yang menyatakan ijma ulama wajib hukuman hudud ke atas peminum arak. Padahal ada dalam kalangan ulama mujtahidin yang berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak. Juga dakwaan Ibn Munzir bahawa telah berlaku ijmak menyatakan bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim juga bercanggah dengan riwayat daripada al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina 'Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai ijmak ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu'asir . Banyak perkara yang disebut sebagai ijmak ulama itu padahal hanya pendapat beberapa orang ulama atau ulama mazhab tertentu, atau negara tertentu, atau aliran tertentu, atau majlis fatwa tertentu bukan ijmak sebenar yang wajib kita mematuhinya. Tuduhan sesetengah pihak bahawa si fulan menyanggahi ijmak ulama itu belum tentu benar. Bahkan mungkin tuduhan palsu jika sekadar menyanggahi pendapat ulama kelompok atau aliran atau negara tertentu sahaja. Pandangan ilmuwan atau ulama itu dihormati, tetapi bukanlah sampai ke darjat ijmak yang diwajibkan kita patuh tanpa bantah. Selagi ia bukan ijmak, padangan selainnya bukan diberikan. Kata Dr Wahbah al-Zuhaily: "Kerapkali kita terjumpa dalam buku-buku mazhab fekah seseorang ahli fekah berdalil dengan perkataan al-ijma' (ijmak). Kadangkala kita dapati dalam perkara yang mazhab-mazhab berbeza pendapat, tetapi setiap mazhab mendakwa ijmak menyokong pendapat imam mereka. Ini menjadikan ijmak berlaku dengan banyak. Kata al-Ustaz Abu Ishak al-Isfaraiini: "Kita tahu bahawa masalah-masalah ijmak lebih dari dua puluh ribu. Adakah dakwaan ini benar?! Adakah ini ijmak yang diiktiraf sebagai sumber ketiga syariat islam?! Inikah ijmak yang istimewa berbanding dengan ijmak dalam ilmu lain?! Bagaimanakah mungkin untuk diserasikan perkataan para ahli fekah ini dengan apa yang disebut oleh majoriti ulama Usul fekah bahawa ijmak adalah hujah yang putus menjadi kafir sesiapa yang membantahnya?! Sebenarnya, tidak boleh dipegang ijmak-ijmak fekah ini melainkan setelah dipastikan dan diselidiki. Barangkali yang dikatakan ijmak itu hanya sekadar pendapat kebanyakan, bukan semua mujtahid. Boleh jadi hanya pendapat imam-imam yang empat sahaja, bukan selain mereka. Atau boleh jadi pendapat ulama mazhab tertentu, bukan selain mereka. Atau mungkin mereka tidak tahu ada yang berbeza dengan mereka. Biasanya mereka maksudkan dengan ijmak itu kesepakatan mazhab tertentu" (Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/488-489). Maka kita anda memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama, atau ustaz atau majlis agama atau tokoh ilmuwan tertentu, bukanlah bererti anda menyanggahi ijmak ulama. Dalam banyak perkara ulama berbeza pendapat, anda berhak memilihnya dengan adil dan faham. Berbeza dengan sesetengah ulama tiada salahnya jika ada alasan yang betul. Apatahlagi jika yang dikatakan ulama itu bukan ulama. Atau ulama, tetapi sekadar muqallidin sahaja. Jangan salahfaham maksud ijmak ulama dan jangan salah guna nama ijmak ulama! Utusan Malaysia, 13/12/09

Nazri Nafi Terima Arahan Pimpinan Atasan

KUALA KANGSAR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kenyataan yang menyifatkan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai modul kursus Biro Tata Negara (BTN) sebagai perkauman adalah pendiriannya sendiri. Katanya segala dakwaan, tohmahan serta tuduhan yang kononnya beliau diarahkan oleh pihak atasan adalah tidak benar. “Ada cerita kononya apakah saya ini disuruh oleh pihak atasan, dan ada tohmahan dan tuduhan bahawa yang saya lakukan itu kerana Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) suruh. “Saya menafikan di sini bahawa itu tidak benar. Apa yang saya buat adalah berdasarkan pendirian saya sendiri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan bas baru milik syarikat The Combined Bus Services Sdn Bhd di sini, semalam. Katanya, beliau turut bersetuju dan berjanji tidak akan membangkitkan lagi perkara itu serta meneruskan apa-apa juga ‘serangan’ terhadap Dr Mahathir ketika pertemuannya dengan Najib pada Khamis lepas, sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung. “Apa yang saya lakukan itu, jika yang akan terluka biarlah saya sendiri tetapi jika mungkin terluka itu Perdana Menteri, saya tidak sanggup untuk meneruskan perkara ini (membangkitkan hal berkaitan BTN dan Dr Mahathir),” katanya. Baru-baru ini, Mohamed Nazri berkata, Kabinet bersetuju merombak kurikulum BTN supaya ia lebih sesuai untuk semua kaum sejajar dengan gagasan 1Malaysia. Bagaimanapun kenyataan beliau berbeza dengan yang disuarakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang menjelaskan bahawa modul BTN tidak perlu dirombak sebaliknya akan ditambah baik agar sesuai dengan situasi semasa. Dr Mahathir dalam komennya mengenai isu itu pula mahu kerajaan tidak terperangkap dengan permainan politik pembangkang sehingga terpaksa merombak kurikulum BTN yang telah sekian lama dipraktikkan secara berkesan di negara ini. Beliau mempertahankan modul BTN yang sudah lama diguna pakai kerana ia berkesan untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum. - Bernama Akhbar Sinar Harian, 13/12/09

7 Januari

Alhamdulillah, 7 Januari menjelma lagi. Alhamdulillah 7 Januari menjadikan aku semakin dewasa. Alhamdulillah, 7 Januari ini diberikan lagi oleh Allah untuk aku kecapi. Alhamdulillah, Allah menjadikan 7 Januari (takwin Hijrah, aku dilahirkan pada 16 Rabiul Awal 1405 Hijrah, Isnin) ini sebagai pemulaan usiaku yang ke 25. Namun dengan usia yang semakin mengjenguk ke hadapan, aku masih lagi terkapai-kapai mencari dan mengisi ruang hidup ini dengan sempurna.

Dalam usia yang sebegini masih banyak lagi perkara yang belum selesai dalam hidup aku. Aku hanya mampu berdoa agar Allah terus memberi rahmat kepada ku. Aku juga masih berharap dan berdoa agar impian aku tercapai. Secara jelas dan kasarnya aku boleh katakan bahawa sebahagian besar impian aku belum tercapai. Insya-Allah, mudah-mudahan aku beroleh kemenangan yang aku cari.

Ya Allah, permudahkan urusan aku di dunia ini, lebih-lebih lagi urusan akhirat.. Amin....

Sahabat
Penghujung 2009 

Selasa, Disember 08, 2009

Penghujung 2009

Pejam celik, pejam pelik tahun 2009 hampir melabuhkan tirai. Itulah putaran dunia, setiap yang mula akan berakhir. Waktu yang berlalu terus berlalu tanpa menoleh ke belakang. Persoalannya, dalam tempoh yang berlalu itu adakah terisi waktu itu dengan sempurna?

Tempoh setahun bagi sesetengah orang adalah suatu waktu yang panjang. Ada juga yang mengatakan ia adalah tempoh yang pendek. Terpulang kepada individu masing-masing. Bagi sesetengah individu keseronokan dalam waktu itu telah menjadikan tempoh waktu itu pendek. Bagi yang "sengsara" mereka merasakan tempoh setahun itu adalah waktu yang panjang. Aku? Tempoh setahun ini suatu masa yang begitu singkat. Namun waktu singkat ini tidak "membahagiakan" aku. Banyak perkara yang berlaku yang membuatkan aku tidak senang duduk.

Setahun hampir berlalu. Aku belum mencapai apa yang aku hajati. Setahun yang berlalu juga memungkinkan aku rebah dalam angan-angan. Impian yang ku bina hanya tinggal impian semata-mata. Namun aku masih berharap, dan aku masih berdoa agar Allah memberi kegembiraan kepada aku selagi tempoh 2009 belum berakhir.

Aku hanya ada 23 hari lagi untuk terus berdoa, berharap dan terus mengharap apa yang aku hajati terus tercapai.


Sahabat 
7 Januari