“Katakanlah (wahai Muhammad); Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)”. As Sajadah-11.
Benarlah kata-kata Allah.
............................................................................
E-mel niat bunuh diri
SETIAP tahun, hampir satu juta orang dilaporkan mati akibat bunuh diri dengan kadar satu kematian setiap 40 saat.
Kadar bunuh diri di seluruh dunia itu juga meningkat sebanyak 60 peratus berbanding data yang direkodkan 45 tahun lepas, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sebelum ini kes bunuh diri sering dikaitkan dengan warga tua tetapi kejadian itu dalam kalangan golongan muda dilaporkan semakin meningkat sehingga meletakkan mereka dalam kumpulan berisiko tinggi di negara maju dan membangun.
Kes bunuh diri menjadi tiga penyebab utama kematian dalam kalangan mereka yang berumur 15 hingga 44 tahun di beberapa negara dan penyebab kedua kematian bagi golongan umur 10 hingga 24 tahun.
Angka ini tidak termasuk cubaan membunuh diri yang jumlahnya semakin besar dengan nisbah 20 cubaan berbanding satu kematian.
Bunuh diri membabitkan banyak faktor yang kompleks berkait dengan psikologi, sosial, biologi, budaya dan alam sekitar.
Masalah gangguan emosi, kebiasaannya akibat kemurungan dan alkohol, menjadi faktor seseorang sanggup membunuh diri di Eropah dan Amerika Utara tetapi di negara Asia, gerak hati memainkan peranan.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan, sebanyak 48 peratus daripada 1,156 kes bunuh diri di Malaysia dari tahun 2007 hingga 2012 melibatkan kaum Cina, ia diikuti kaum India sebanyak 21 peratus dan kaum Melayu 13 peratus.
“Golongan lelaki mencatat jumlah lebih tinggi dalam kes bunuh diri iaitu 75 peratus berbanding 25 peratus wanita.
“Mereka yang berumur antara 24 hingga 44 tahun pula merupakan golongan paling ramai terlibat dalam kes bunuh diri.
“Masalah kemurungan menjadi salah satu faktor seseorang itu berniat membunuh diri selain masalah mental. Golongan wanita dilaporkan paling ramai mengalami masalah kemurungan iaitu 2.3 peratus berbanding 1.4 peratus lelaki,” tambahnya.
Befrienders
Menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Befrienders atau Sedia Bersahabat, pihaknya menerima 21,600 aduan yang ada kaitan dengan kemungkinan bunuh diri pada tahun 2011.
Daripada jumlah aduan itu, 92 peratus diterima menerusi panggilan telefon, e-mel (6 peratus) dan secara bersemuka (2 peratus).
Befrienders menawarkan bantuan khidmat persahabatan dan sokongan emosi secara percuma melalui panggilan telefon, e-mel atau temu janji.
Pengarah Eksekutif Befrienders Kuala Lumpur, Vincent Pun berkata, pengadu boleh berkongsi apa sahaja perasaan mereka tanpa perlu memberitahu butiran peribadi dan tidak perlu takut dicemuh kerana segala butiran akan dirahsiakan.
“Sebanyak 33 peratus pemanggil terdiri daripada kumpulan berusia 30 tahun ke bawah dengan 60 peratus adalah wanita.
“Kami juga pernah menerima e-mel daripada kanak-kanak berusia 10 tahun,” dedah beliau.
Jelas Vincent, terdapat tiga isu utama yang sering diadukan iaitu masalah hubungan sosial sebanyak 24 peratus, kesihatan mental (18 peratus) dan keluarga (12 peratus) manakala selebihnya isu berkaitan kewangan.
“Niat mahu membunuh diri diluahkan menerusi e-mel sebanyak 33 peratus manakala 20 peratus diterima melalui panggilan telefon,” tambahnya sambil memberitahu, Befrienders Kuala Lumpur boleh dihubungi melalui talian 24 jam, 03-7956 8145 atau e-mel sam@befrienders.org.my.
Vincent berkata, setakat ini, Befrienders berjaya membantu ramai pengadu selepas mereka meluahkan perasaan takut dan risau kepada seseorang yang tidak dikenali tetapi boleh menyimpan rahsia.
Kemurungan
Sementara itu, Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Aida Syarinaz Ahmad Adlan berkata, kebanyakan kes bunuh diri dikaitkan dengan masalah kemurungan.
“Mereka yang berada dalam kemurungan selalunya akan berdepan dengan masalah kesukaran untuk tidur, tiada selera makan, sering rasa bersalah dan tidak berguna serta merasakan tiada masa depan. Mereka menyangka semua masalah itu dapat diselesaikan dengan membunuh diri.
“Ada juga kes membabitkan mangsa yang menghidap penyakit mental iaitu skizofrenia dan halusinasi.
“Keadaan seperti ini yang membuatkan mereka sukar membezakan antara realiti dan fantasi,” jelas Aida Syarinaz.
Menurutnya, seseorang yang berisiko untuk membunuh diri akan menunjukkan tanda kemurungan sama ada melalui perbuatan atau diluahkan sendiri.
Selain itu, mereka juga akan membuat persediaan seperti meninggalkan wasiat dan berbincang dengan ahli keluarga apa yang akan berlaku sekiranya mereka tiada kelak.
“Mereka juga akan memikirkan cara untuk membunuh diri sama ada melalui pengambilan ubat secara berlebihan, menggantung diri, memakan racun, terjun bangunan, tembak diri atau mengelar pergelangan tangan.
“Setakat ini, golongan lelaki dilaporkan lebih cenderung membunuh diri manakala wanita hanya setakat peringkat percubaan membunuh diri sahaja.
“Bagi kategori umur pula, kebanyakan mangsa berusia 19 tahun ke bawah dan 60 tahun ke atas,” tambahnya.
Ujarnya, golongan remaja tidak akan menunjukkan tanda yang mereka sebenarnya murung tetapi ia boleh dilihat melalui perubahan sikap mereka.
“Untuk golongan warga emas pula, selain mempunyai penyakit, mereka sering merasakan tiada gunanya untuk terus hidup lagi dan memilih untuk membunuh diri,” beritahu beliau.
Aida Syarinaz turut menasihatkan mereka yang berada dalam kemurungan supaya mendapatkan pertolongan daripada orang lain seperti ahli keluarga, sahabat handai dan saudara-mara untuk berkongsi masalah yang dihadapi atau mendapatkan khidmat kaunseling daripada pakar psikologi dan pakar psikiatri.
.................dari www.kosmo.com.my
Baca ini juga.. MyView: Menghampiri kematian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..