Kelantan dalam kelas tersendiri
BARANGKALI tidak keterlaluan rasanya menyifatkan gergasi Pantai Timur, Kelantan sebagai pasukan paling berjaya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2012.
Cemerlang merangkul gelaran trebel musim ini apabila ‘menyapu bersih’ ketiga-tiga trofi iaitu Liga Super, Piala FA dan juga Piala Malaysia, kejayaan The Red Warriors pastinya dicemburui ramai pihak.
Kini, majoriti pemerhati bola sepak tempatan mula berdebat sesama sendiri sama ada Kelantan mampu mengulangi kecemerlangan itu ataupun tidak pada musim depan.
Tatkala penyokong fanatik Kelantan pastinya mengharapkan supaya sejarah kembali berulang musim depan, tidak mustahil segelintir penyokong-penyokong pasukan lain turut memasang angan-angan agar anak-anak buah Bojan Hojak tumbang sebelum berjuang.
Bukan apa, sejarah sudah membuktikan segala-galanya. Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sewajarnya sedar bahawa bukan mudah untuk mengekalkan reputasi selaku pasukan terunggul di negara ini.
Mereka perlu menerima hakikat bahawa pasukan yang berada di puncak kejayaan sebelum ini gagal mengekalkan momentum cemerlang mereka, malah ada pasukan berstatus gergasi terus terumbang-ambing mencari rentak.
Antara pasukan yang cukup digeruni dalam Liga M sebelum ini termasuk Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Kedah, Sarawak dan Negeri Sembilan tetapi mereka juga gagal mengekalkan rentak cemerlang.
Andai Kelantan tidak belajar sesuatu daripada apa yang dialami oleh pasukan-pasukan tersebut, tidak mustahil mereka juga bakal mengalami nasib yang sama.
Kedah umpamanya, merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya mempertahankan gelaran trebel pada musim 2007 dan 2008, tetapi kecemerlangan itu kini sekadar tinggal kenangan.
Untuk memburukkan lagi keadaan jagoan utara tanah air itu, Sang Kenari kini tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.
Jika diikutkan di atas kertas, Bojan dilihat tidak berdepan masalah mengekalkan kecemerlangan Kelantan apabila sebahagian besar pemain beliau membuat keputusan untuk kekal di Kota Bharu musim depan.
Justeru, beliau sepatutnya tidak memiliki sebarang alasan seandainya Kelantan gagal mengulangi kejayaan kali ini.
Kali ini, peluang pertama Bojan memburu trofi sulung bersama Kelantan bagi musim 2013 dilihat hadir lebih awal apabila dijadual berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi Piala Sultan Ahmad Shah (Sumbangsih) pada 5 Januari ini.
Kekecewaan Kelantan yang terkandas di peringkat suku akhir Piala AFC musim ini selepas dijinakkan kelab Iraq, Arbil SC dengan agregat 2-6 juga wajar ditebus barisan pemain The Red Warriors sebagai penanda aras kehebatan mereka di persada bola sepak tempatan selepas ini.
Di kesempatan ini, Kosmo! mengajak pembaca mengimbau semula perjalanan Kelantan mendaki kemuncak kemasyhuran sepanjang musim ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan sesuatu yang rasional yang akan mengatasi emosional..