Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Selasa, Ogos 16, 2011

Cerita bola: Ekoran tiada ganjaran dari kerajaan Kelantan

Bukan meminta, sekadar pengorbanan dihargai 
 

KOTA BHARU – ‘Bukan meminta tapi sekurang-kurangnya biarlah pengorbanan kami dihargai’, mungkin itulah ungkapan yang tepat diluahkan barisan pemain skuad The Red Warriors mengenai keputusan Kerajaan Kelantan yang tidak berhasrat memberikan ganjaran di atas kejayaan muncul juara Liga Super, baru-baru ini.

Reaksi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fattah Mahmood dalam kenyataannya baru-baru ini menjelaskan, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan tidak mahu mengambil sikap terlalu memanjakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan pemainnya biarpun berjaya membawa pulang piala kejuaraan itu ke bumi negeri ini.

Ketua Pasukan Kelantan Muhd Badhri Radzi berkata, kejayaan skuad The Red Warriors muncul juara Liga Super musim ini seharusnya diberi penghargaan memandangkan Kelantan tidak pernah bergelar juara sejak piala tersebut dipertandingkan.

“Bukan bermaksud mengatakan Kerajaan Negeri tidak pernah bantu kita selama ini. Mereka juga sentiasa membantu selain pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sendiri yang banyak berkorban menjaga kebajikan pemain. Tapi, apa salahnya pemain yang berjasa diberikan sedikit penghargaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Bagi penyerang, Norshahrul Idlan Talaha, turut senada dengan berharap pihak Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan memberikan penghargaan sewajarnya kepada pemain Kelantan yang mencipta sejarah muncul juara buat kali pertama pada musim ini.

“Muncul juara Liga Super seumpama kita memenangi Piala Malaysia. Kedua-dua piala tersebut merupakan piala paling berprestij dalam pentas bola sepak negara. Setidak-tidaknya dengan adanya ganjaran dapat menaikkan semangat para pemain untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia sekali lagi pada musim ini,” katanya.

Bek kental, S Subramaniam yang berasal dari Perak mengakui sedikit terkilan kerana segala penat lelah selama ini membawa pasukan The Red Warriors menjulang piala buat pertama kali itu seolah-olah tidak dihargai.

“Walaupun itu hak Kerajaan Negeri dalam menentukan sesuatu pemberian tetapi tidak ada salah sekiranya jasa dan pengorbanan pemain dihargai kerana mengharumkan negeri ini.

Sementara itu, Mohd Daudsu Jamaluddin pula berkata, kejayaan bergelar juara menjadikan ianya satu sejarah yang harus dikenang dan menganggap pihak Kerajaan Negeri wajar menghargainya tanpa mengambil kira fahaman politik yang berbeza.

“Bukan mudah untuk kita muncul juara, kita bukan bermain 10 perlawanan tetapi mengharungi 26 perlawanan yang begitu padat sepanjang tujuh bulan.

“Tidak semudah itu untuk kita muncul juara setelah dikecewakan pada musim lalu apabila sekadar menjadi naib juara musim lalu,” katanya. -Sumber dari: www.sinarharian.com.my
_________________________________________

Wajarkah pemain meluahkah kata-kata begitu? Kata-kata yang dikatakan terkilan. Wajarkah kerajaan negeri Kelantan beranggapan tidak mahu memanjakan pemain dengan wang ringgit atau ganjaran?

Kerajaan negeri Kelantan bukan seperti kerajaan negeri lain, yang kaya raya dengan aset.
Ada baiknya wang yang ada diperutukan untuk pembangunan negeri. Dilebihkan untuk golongan yang lebih berhak seperti anak-anak yatim, rumah kebajikan ataupun untuk infrastruktur dalam negeri.

Purata gaji pemain adalah lebih empat angka. Ditambah dengan elaun atau bonus menjadikan empat angka itu makin membesar. Dengan kejayaan merangkul kejuaraan seperti Juara Liga, Naib Juara Piala FA, Juara Piala Malaysia, angka empat telah lebih membesar dan membiak. Kemudian ditambah pula dengan sokongan peminat yang sentiasa membajiri stadium sudah pasti ia akan menambahkan lagi pendapatan persatuan seterusnya menambahkan poket pemain. Tidak cukup?

"Bukan meminta tetapi sekurang-kurangnya biarlah pengorbanan kami dihargai". Adakah penghargaan itu dengan ganjaran wang ringgit? Pemain bercakap pasal pengorban. Pengorbanan pemain dan persatuan menaikan nama Kelantan di arena bola sepak tempatan. Pengorbanan itu memang tidak dinafikan.

Bagaimana pula dengan pengorbanan peminat dan penyokong? Penyokong yang sentiasa memberi sokongan padu untuk setiap perlawanan. Bagaimana pula agaknya "mereka" ingin menghargai peminat? Adakah dengan membawa kemenangan dan piala itu dianggap penghargaan kepada kami?

RM12 harga sekeping tiket terbuka; di antara termahal di Malaysia. Ada atau tidak dalam perancangan KAFA untuk menghargai peminat dengan menurunkan harga tiket? Separuh harga. Atau potongan 30 - 40%. Atau sekiranya "penghargaan" ini dilakukan KAFA akan bangkrap? Cuba tengok pasukan lain. Berapa harga tiket mereka? Adakah mereka mengalami kerugian yang membawa kepada kemiskinan?

Setelah Kelantan diangkat, pemain dijulang. Kemudian pemain akan mendapat habuan dari pelbagai sumber. Tapi adakah peminat juga mendapat habuan seperti mana pemain dapat?

Penyokong akan berhabis duit dan keringat serta tenaga. Kemudian? Pemain akan berhabis keringat dan tenaga. Kemudian ada habuan menanti.

Tidak cukup lagikah dengan wang ada?; Untuk apa ganjaran tambahan?; Untuk perbelanjaan hari raya?

Ramai lagi yang berhak menerima ganjaran dan habuan. Atau lebih tepat yang berhak menerima sumbangan.

Sekarang kerajaan negeri agaknya sedang mengumpul dana untuk projek lebuh raya Kuala Krai - Kota Bharu. Ini juga perancangan untuk memberi "penghargaan" bukan saja kepada pemain malah lebih besar kepada rakyat.

Ada baiknya kerajaan negeri memberi ganjaran kepada yang LEBIH BERHAK..


Walau apapun situasi dan keadaan pasukan KELATE tetap di hatiku.. Moga-moga Piala Malaysia tidak berpindah tangan untuk tahun 2011.

Ahad, Ogos 14, 2011

Berakhirnya hayat seorang penggali kubur

Ini kisah betul. Bukan cerita "Penggali Kubur" lakonan Nasir Bilal Khan. Kisah seorang penggali kubur di kampung kami. Usia terakhirnya lewat 30-an.

-Gambar hiasan daripada google
Pagi semalam Sufian Hj. Ibrahim (kawe tak pasti nama sebenarnya. Orang kampung panggil Pian) rasa pening-pening kepala. Hampir tengah hari dia tiba-tiba pengsan di perkarangan madrasah. Semalam madrasah adakan majlis berbuka puasa. Untuk itu ada qariah surau yang gotong-royong buat persiapan, termasuk allahyarham.

Allahyarham sempat dibawa ke hospital. Tapi akhirnya roh dan jasad allahyarham terpisah jua pada bulan yang penuh berakah ini, 13 Ramadhan, 1432 Hijriah.

Emak allahyarham sebelum ini ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah. Kebiasaannya emak allahyarham akan pergi selepas raya Aidilfitri, tapi tahun ini emak allahyarham pergi awal. Sehari sebelum pemergian allahyarham, emaknya pulang ke tanah air. Sudah tersurat dalam ketentuan Allah bahawa allahyarham Pian mahu bertemu dengan ibunya terlebih dahulu sebelum mangadap Allah.

Sakit tidak, demam tidak, tiba-tiba ajal datang. Tiada siapa yang tahu tiada siapa yang menduga dalam hal kematian.

Sebelum ini dialah yang menggali kubur orang. Kini orang pula yang menggali pusara untuk dia. Jenazah dikebumikan lebih kurang pukul 10:00 malam, lepas solat sunat Teraweh, berdekatan dengan pusara ayahnya. Sewaktu jenazah diturun ke dalam liang lahad ada tangisan kecil kedengaran. Tangisan seorang gadis. Mungkin anaknya. Tangisan yang tidak mampu ditahan tatkala orang tersayang dijemput Allah.

Semoga rohnya tenang dan dicucuri berakah Allah. Al-fatihah ...
____________________
Akill Hayy - Selimut putih

Kadang-kadang terlintas juga ingin menemui Allah seperti Pian. Malaikat maut datang menjemput pada bulan yang penuh rahmat, penuh berakah.

Indahnya kematian jika seperti ini...

Ajal ketika sujud

Meninggal sewaktu bertazkirah?

Bagaimana cara sekalipun mati, di sini jua akhirnya ..
-Gambar hiasan daripada google
Ini juga: Pasal kematian

Isnin, Ogos 08, 2011

Murtad kerana miskin?

Cerita yang berlaku dua tiga hari lalu. Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya, Selangor. Dalam serbuan ini didapati terdapat beberapa muslim yang turut serta dalam acara yang dianjurkan oleh pihak gereja. Dan serbuan ini dilakukan kerana ia melibatkan orang Islam.
-Gambar hiasan
Pihak gereja dikatakan menjemput sebilangan orang Islam untuk jamuan makan malam, lebih tepat lagi sewaktu hampir berbuka puasa, Maghrib. JAIS dengan kerjasama PDRM telah menyerbu gereja tersebut kerana disyaki cuba mengkristiankan orang Islam.

Menurut laporan akhbar lagi penganut Islam yang menyertai acara itu terdiri daripada golongan ibu tunggal yang miskin dan sebilangan yang hidup bergelandangan serta taraf hidup yang tidak menentu.

Situasi ini menyebabkan kawe terfikir; sebilangan umat Islam ingin murtad kerana hidup miskin. Malaysia sebuah negara Islam yang mempunyai organisasi yang  menguruskan zakat. Di mana zakat ini ditabur sehingga ada yang masih hidup melarat? Adakah zakat kita tidak mengcukupi? Adakah zakat kita dilebihkan kepada pegawai-pegawai pengurusan zakat?

Sebilangan saudara kita ingin murtad kerana tidak tahan hidup menderita. Pihak agama lain pula bijak menyusun strategi menawan hati. Dengan menunjukkan belas ihsan, rasa tanggungjawab, mereka mengumpan saudara kita. Umpanan keluar dari kemiskinan.

Cerita ini tidak mengejutkan kawe kerana pernah mendengarnya sebelum ini. Sahabat-sahabat kawe pernah menceritakan bagaimana situasi ini berlaku di Sabah. Golongan miskin, pedalaman dan cetek agama mudah terjebak dengan umpanan ini. Cuma kawe sedikit terperanjat situasi seperti ini berlaku di Semenanjung.

Sasaran pihak terbabit juga adalah di kalangan golongan saudara baru. Saudara baru yang berjinak-jinak dengan Islam mungkin akan kembali ke anutan lama jika mereka merasakan penghijrahan mereka tidak bermakna. Hidup sebagai muslim tapi penuh dengan kemiskinan, kemunduran dan kesengsaraan. Mungkin inilah yang bermain di fikiran saudara baru jika jabatan agama, pengurusan zakat, masyarakat dan media tidak cakna terhadap kebajikan mereka.

Bukankah Islam ini lebih menjaga kebajikan? Tapi bagai mana perkara seumpama ini boleh berlaku?

Dalam perkembangan lain, situasi ini mendapat reaksi yang berbeza di kalangan ahli politik. Sahabat sekalian boleh melihatnya bagaimana isu ini dimainkan oleh parti-parti politik. Lebih parah ia dimainkan oleh parti politik yang ditunjang oleh pemimpin yang beragama Islam (boleh cari sendiri isu apa yang dimainkan. Kawe malas nak ulas).

RAIHAN - Puji-pujian

Ahad, Ogos 07, 2011

Cerita bola: Sekilas undian Piala Malaysia 2011


Tuah cabutan buat Kelantan, Selangor
Oleh Mohd Fitrie Muhamad

2011/08/06

Cabaran getir tunggu Hijau Kuning dalam Kumpulan A
JUARA bertahan, Kelantan sudah terbayang satu lagi impian besar – mempertahankan mahkota kejuaraan Piala Malaysia selepas melihat tuah undian memihak mereka, semalam. 

Dalam majlis undian oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Stadium Nasional, Bukit Jalil The Red Warriors diletakkan dalam Kumpulan C yang turut membabitkan Johor FC, Felda United FC dan Sarawak – senario yang memberi gambaran peluang anak didik Datuk M Karathu tampak cerah untuk muncul juara kumpulan berkenaan.Juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor juga dilihat tidak menghadapi sebarang masalah mara ke saingan suku akhir apabila diletakkan satu kumpulan bersama Terengganu T-Team, Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Kumpulan D.



Apa pun, detik sama tidak dirasai bekas juara, Kedah yang diundi dalam Kumpulan A dengan lawan seimbang iaitu Perak, Sabah dan Johor. 

Kelantan – jika menepati reputasi dan layak, halangan dalam kelompok lapan terakhir nanti mungkin membabitkan pertembungan dengan juara Piala FA yang baru, Terengganu atau pun Negeri Sembilan. 

Andai The Red Warriors bertemu Negeri Sembilan di peringkat suku akhir, peminat sukan tanah air bakal kembali menyaksikan perlawanan ulangan Piala Malaysia, tahun lalu dan jika berlaku di sebaliknya, Kelantan bakal berentap pasukan tetangga dari Pantai Timur, Terengganu. 

Terengganu yang diundi dalam Kumpulan B akan menentang Negeri Sembilan, Selangor PKNS dan Kuala Lumpur Sime Darby FC.


_____________________##_________________

Annuar: Jangan perlekeh lawan


ANNUAR (berdiri tengah) ketika hadir pada majlis berbuka puasa The Red Warriors bersama anak-anak yatim 
di Kota Bharu semalam.


PENYANDANG juara Piala Malaysia, Kelantan dilihat meniti laluan selesa untuk mara ke saingan suku akhir setelah diundi bersama Johor FC, KL Felda United dan Sarawak dalam Kumpulan C pada kempen musim ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang gembira dengan keputusan undian tersebut bagaimanapun tidak mahu para pemain pasukan itu memandang mudah kelebihan tersebut.
Menurutnya, kesemua lawan mempunyai peluang seimbang untuk mara ke peringkat seterusnya selain senario Piala Malaysia adalah berbeza berbanding Liga Super.
"Kita berpuas hati dan gembira dengan keputusan undian tersebut. Bagi saya, kita sudah bersedia untuk bertemu manamana pasukan walaupun kita akan beraksi di tempat lawan pada perlawanan pembukaan nanti.
"Kita menerapkan falsafah untuk tidak memandang mudah mana-mana pasukan lawan yang kita hadapi.
"Sebagai juara bertahan, Kelantan harus mempamerkan prestasi yang cemerlang dalam setiap perlawanan tidak kira bertemu sama ada pasukan Liga Super ataupun Liga Premier," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Pelancaran Buffet Ramadhan Perdana Resort 2011 dan Majlis Berbuka Puasa The Red Warriors bersama anak-anak yatim di Perdana Resort dekat Kota Bharu kelmarin.
Annuar memberitahu, Kelantan tidak boleh mengetepikan saingan dua pasukan kelab iaitu Johor FC dan KL Felda United FC sekalipun pernah mengalahkan mereka dalam Liga Super musim ini.
"Saya mahu mereka dilihat sebagai suatu ancaman kepada The Red Warriors, begitu juga dengan kemampuan pendatang baru Liga Super musim depan, Sarawak kerana mereka merupakan antara pasukan kedua terbaik dalam Liga Premier musim ini.
"Kita tidak mengetahui kekuatan pasukan tersebut kerana tidak pernah bertemu dengan mereka musim ini.
"Sudah pasti mereka juga merupakan sebuah pasukan yang kuat kerana muncul naib juara Liga Perdana serta bakal beraksi dalam Liga Super musim depan.
"Apa yang penting bagi kita, Kelantan harus menunjukkan corak permainan dalam kelas yang tersendiri apabila bertanding dalam perebutan piala paling berprestij ini (Piala Malaysia)," ujarnya.

Jumaat, Ogos 05, 2011

Khutbah Nik Aziz lagi

Tuan Guru Nik Aziz
Sekali lagi Masjid As Salam, Pengkalan Chepa, menjadi saksi khutbah Jumaat edisi 5 Ramadhan 1432 Hijriah. Yang Amat Berhormat, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru, Datuk Pedang Setia, Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyampaikan khutbah untuk ke sekian kalinya di sini.

Serba ringkas khutbah hari ini berkisarkan Ramadhan, dan kekuasaan Allah.

Ramadhan begitu mulia kerana di dalamnya terdapat beberapa perkara dan peristiwa. Antaranya peristiwa turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad di gua Hiraq. Begitu juga dengan penurunan al quran berlaku pada bulan penuh barakah ini.

Khatib menyatakan Nabi Muhammad memperbanyakkan ibadat pada bulan Sya'ban. Kemudian tibanya Ramadhan digandakan lagi ibadatnya.

Khatib juga menyampaikan bagaimana Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya sujud dan taat kepada-Nya. Antara lain adalah tugas pemerintah atau khalifah di muka bumi dalam mentadbir alam. Dalam hal ini ditekankan peranan "kerajaan". "Kerajaan" yang dimaksudkan bukan saja kerajaan sesebuah negeri atau negara, malah "kerajaan" rumah tangga, kampung atau organisasi.

Seorang bapa adalah ketua "kerajaan" rumah tangga. Ketua keluarga. Peranan bapa dalam mengemudi kerajaan rumah tangga akan dipersoalkan di padang Masyar kelak.

Jemaah juga ditekankan dengan destinasi akhir setelah mati. Semua manusia akan bangkit pada hari kiamat untuk menuju ke suatu tempat yang sama, iaitu Padang Masyar. Di sini kita akan dihisab dan dibicarakan dalam mahkamah Allah.

Hidup di muka bumi Allah wajib menurut kehendak Allah. Wajib mengikut undang-undang Allah. Tuan guru memberi analogi mudah; "(walaupun) saya sebagai Menteri Besar, apabila bertandang ke rumah seseorang perlu mengikut undang-undang tuan rumah. Apabila tuan rumah suruh kita duduk di situ (dalam rumah) maka di situlah kita kena duduk, kerana kita adalah menumpang. Jangan memandai nak duduk sesuka hati", lebih kurang begitulah katanya.

Begitu jugalah kita sebagai hamba Allah, apabila diperintahkah oleh Allah, wajib kita mentaati-Nya kerana kita adalah penumpang di dalam bumi Allah.

Setelah selesai Solat Jumaat, jemaah diberi tazkirah pendek pula oleh Yang Berhormat, Datuk Nik Amar Nik Abdullah, ADUN Panchor. Antara lain tazkirahnya adalah kelebihan Ramadhan. Pahala ganjaran di bulan Ramadhan adalah tidak terkira. Dan hanya Allah yang mengetahuinya.
Ustaz Nik Amar

Selasa, Ogos 02, 2011

Dugaan pertama pada puasa pertama

1 Ogos, bersamaan 1 Ramadhan: Tengah hari ini kawe menolong abang kerja, membaiki peti sejuk. Dipendekan cerita yang tersedia pendek, kisahnya bermula ketika kami membaiki peti sejuk di rumah seorang pelanggan.

Setelah "penyakit" peti sejuk disyaki kami ingin bergerak mencari barang ganti yang rosak. Bila hidupkan enjin kereta tiba ada suatu bunyi "ppop" kedengaran dari bonet depan kereta abang. Enjin pula memang taknak hidup. Tengok punya tengok, intai punya intai, timing beck (kalau tak salah ejaannya) putus.
-Gambar hiasan
Kerja belum selesai, timbul pula masalah lain. Kita datang baiki barang orang, barang kita pula rosak. Kalau  nak ikutkan hati mahu je tinggal kerja dan selesaikan kereta. Tapi pelanggan mesti diutamakan. Lagipun ini adalah punca rezeki.

Kami selesaikan dulu urusan peti sejuk. Nak cari barang ganti peti sejuk terpaksalah pinjam motor pelanggan. Pelanggan pun tak kisah. Dan dia pun sudi membantu. Kami selesaikan dulu hal peti sejuk. Lebih kurang pukul 1700, selesai urusan pelanggan.

Kereta kami terpaksa ditinggalkan sementara di situ. Pada malamnya barulah kami pergi ambil. Kereta kancil yang agak tua terpaksa ditarik dengan kereta wira yang tua juga tapi lebih perkasa. Urusan tarik-menarik abang minta tolong kawannya.

"Operasi" bermula dari pukul 2200 lebih hingga hampir pukul 0000. Penat jugalah badan untuk hari ini. Insya-Allah, tengah hari ini (2 Ramadhan) giliran kancil tua abang akan masuk klinik. Dah lama kancil ni tak masuk wad.

Dapat upah baiki peti untuk bayar upah baiki kereta. Oh.. Ujian pada hari pertama.

Begitulah hidup kita kan. Tak lekang daripada ujian Allah. Sama ada kita redha atau tidak sesuatu musibbah itu akan tetap ada. Apa yang baik adalah kita menerimanya dengan hati terbuka. Allah tidak akan membebani hamba-Nya melainkan beban itu mampu ditanggung oleh hamba-Nya.

Pada bulan yang penuh rahmat ini juga kita bukan saja kena bersedia untuk lapar dan dahaga tapi bersedia dengan setiap kemungkinan yang kita tidak inginkan.

Walaupun pelbagai ujian melanda kita tidak berhak mempersoalkan mengapa sesuatu itu terjadi kepada kita. Apa yang pasti Allah lebih tahu mengapa kita perlu diuji. Sesuatu musibbah yang terjadi juga menjadi ujian jika kita redha, tapi jika kita tidak redhai, ia akan menjadi satu bala atau pembalasan.

Jadi sebagai umatnya kita kena "memilih" adakah kita redha atau kita ingin membentak.

Subhanallah.. Asstagfirullah..