Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Jumaat, Februari 05, 2010

Royalti: Ku Li sedih amanah Tun Abdul Razak dilupakan




Hazayani Zakaria & Foto: Zamzarina   
KUALA LUMPUR,5 Jan: Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini sekali lagi mempertahankan tindakan beliau memberikan penerangan kepada rakyat mengenai Petronas dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 di Kelantan baru-baru ini.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li dalam satu sidang media di kediamannya petang tadi berkata, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia, bukan sahaja di Kelantan mengenai perjanjian yan dibuat di antara kerajaan negeri itu dengan Petronas di bawah Akta Pembangunan Petronas 1974 (PDA) sewaktu beliau menjadi pengerusi.

"Saya berasa gembira menghadiri majlis tersebut kerana saya berpeluang memberikan penerangan kepada rakyat berhubung perjanjian Petronas pada 1974 dahulu", katanya.

Ku Li yang juga Bekas Menteri Kewangan juga berkata, beliau hanya ingin menunaikan amanah Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang mahukan hasil minyak diagih-agihkan kepada negeri-negeri di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak jika terdapat minyak di persisiran pantai negeri berkenaan.

Ku Li juga kesal dengan keengganan kerajaan Barisan Nasional untuk mengagihkan hasil minyak kepada Terengganu dan Kelantan seperti yang diminta Tun Abdul Razak.

"Saya rasa sedih dan malu kerana amanah Allahyarham Tun Abdul razak seolah-olah dilupakan selepas 34 tahun pemergiannya.Beliau (Tun Abdul Razak) selalu memikirkan rakyat dan negeri-negeri yang miskin.Beliau mengarahkan saya untuk membuat perjanjian pada 1974 untuk memastikan rakyat dapat faedah dari hasil minyak itu, " katanya.

Ku Li pada 28 Januari lalu hadir memberikan penerangan mengenai Petronas dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 di Stadium Sultan Mohamad IV di Kota Bharu anjuran  Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) yang dianggotai 52 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau yang juga tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Pusat untuk memberikan wang ehsan sebanyak RM20 juta kepada Kelantan berkata, rakyat kelantan berasa terhina dengan keputusan itu kerana mereka inginkan hak mereka dikembalikan.

"Rakyat Kelantan rasa terhina bila nak diberi 20 juta wang ehsan sedangkan syarikat rokok sponsor acara sukan pun 50, 100 juta. Ini pula untuk rakyat Kelantan yang lebih dari 1 juta penduduk.

"Guna duit minyak bagi wang ehsan, macam rakyat Kelantan ni Tok Pakir (Peminta sedekah)," jelasnya.

Selain itu, beliau mahu Petronas membuat perkara yang betul manakala Pengerusi Petronas yang baru dilantik juga diingatkan membuat perkara sama dalam tuntutan royalti ini.

"Saya berharap Pengerusi petronas yang baru dilantik dapat  mengawasi petronas. Petronas perlu buat tindakan yang betul mengikut perjanjian,"katanya.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada Kerajaan negeri untuk mengambil tindakan seterusnya bagi memastikan hak royalti diberikan kepada rakyat negeri itu.

"Samaada Kerajaan negeri nak dakwa atau nak bawa ke mahkamah itu bukan bidang saya.Saya cuma nak menjelaskan perkara yang sebanar. Itu sahaja,"katanya.

http://www.harakahdaily.net 5 Feb. 2010

TUAN IBRAHIM TUAN MAN: Bilamana Umno tidak menyerang PAS

Dato' Tuan Ibrahim b. Tuan Man   

Berada di kerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti bukanlah sesuatu tempat yang mudah dan selesa. Ia adalah tempat yang akan menerima pelbagai kecaman dan kritikan, dan di waktu yang sama saya tidak boleh membela diri kerana sebarang jawapan kepada kritikan berhubung keputusan JK Disiplin, akan mendedahkan beberapa maklumat sulit parti, yang tidak perlu diketahui oleh umum.

Sewaktu saya ditawarkan jawatan ini, saya merayu beberapa kali agar melantik orang lain, bukan untuk lari dari amanah, tetapi ianya tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya tidak suka menghukum orang, apa lagi untuk menjatuhkan hukuman ke atas sahabat satu jamaah. Bahkan saya sangat bersetuju suatu pindaan Perlembagaan parti perlu dibuat agar Pengerusi JK Disiplin tidak diambil dari kalangan AJK Pusat; kerana ia akan dilihat ‘tidak adil’ terutama bilamana kita terpaksa membicarakan AJK sendiri atau pemegang jawatan parti. Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Mungkin satu masa yang terdekat perkara itu akan dipinda, dan itulah harapan saya. Bukan untuk lari dari amanah, tetapi untuk kebaikan parti yang terus berkembang dan akan pasti berhadapan dengan lebih banyak karenah dalaman.

Bilamana saya dihadapkan dengan kes membabitkan dua tokoh di Selangor , Dato’ Dr Hassan Ali dan YB Khalid Samad, kedua-duanya adalah sahabat baik yang semua orang tahu. Saya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Khalid Samad, bahkan kalau ke Shah Alam, Markaz PAS Seksyen 18 adalah tempat penginapanan saya. Di situlah saya berehat dan tidur selepas program di Shah Alam, dan Khalid Samad antara orang terawal saya hubungi, memaklumkan bahawa saya masuk kawasan jajahan takluknya, sebagai Ahli Parlimen. Biasa kami akan berjumpa, minum-minum berbual-bual. Bahkan selepas hukuman dijatuhkan kepada beliau saya hubunginya di luar Negara, memaklumkan keputusan, dan memohon keampunan Allah kalau saya tersilap dalam membuat keputusan kepada sahabat sendiri.

Tapi apakan daya, hukuman dan keputusan terpaksa dijatuhkan. Hanya saya rasa kurang terbeban bilamana keputusan dibuat dengan sebulat suara oleh semua Ahli JK Disiplin. Di kalangan kami ada bekas hakim dan peguam veteran PAS, Dato’ Abd Mutalib Embong dan Tuan Guru Hj Osman, seorang ulamak terkenal yang pernah menuntut di Makkah al-Mukarramah dalam bidang syariah.

Saya memaklumkan kepada YB Khalid Samad, agar menggunakan peruntukan perlembagaan untuk membuat rayuan kepada JK Pusat dan Syura, sekiranya beliau rasa hukuman tidak berpatutan. Saya masih ingat kata-kata beliau sebelum beliau ke luar negara, dalam pertemuan sewaktu membincangkan isu kalimah Allah, beliau berkata: “Kalau ana bersalah, hukumlah, jangan anta rasa berat pulak.” Saya menjawab : “ InsyaAllah, semoga Allah memudahkan urusan ini.” Beliau menyatakan dengan keputusan ini beliau sukar untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan –cawangan yang telah membuat jemputan tetapi beliau boleh hadir atas sifat sebagai Ahli Parlimen, dan aktiviti beliau boleh berjalan macam biasa.

Saya teringat bila mana Umar al-Khattab melucutkan jawatan Khalid al-Walid (bukan menggantungnya) sedangkan Khalid tidak melakukan apa-apa kesalahan. Khalid terus berjuang sehingga penyokong hairan dengan tindakannya. Mereka bertanya: “Kenapa kamu tidak nampak apa-apa perubahan?” Beliau menjawab: “Aku bukan berperang kerana jawatanku, tetapi kerana Allah!” Bahkan beliau terus mengemukakan cadangan kepada penglima baru bilamana melihat tentera Islam hampir kalah. Inilah semangat Khalid al-Walid. Saya yakin kita perlu mencontohinya.

Kami tidak ada agenda untuk menjatuhkan seseorang atau menaikkan seseorang. Hukuman berdasarkan fakta yang ada di hadapan kami adalah hasil soal siasat dan penghujahan yang lama dan panjang, semata-mata untuk memberi keadilan kepada tertuduh. Kami tidak boleh mengikuti kehendak orang ramai yang hanya berdasarkan andaian, bukan fakta siasatan. Saya yakin pengumuman keputusan akan menjadi tajuk utama berita, kerana media perdana telah memainkan isu ini beberapa waktu sebelumnya dengan pelbagai andaian hukuman. Mereka telah berjaya membawa pemikiran massa kepada satu hukuman jangkaan yang mereka ada agenda tersendiri.

Selepas keputusan diumumkan saya menjangka UMNO akan memainkan isu ini bagi melemahkan pengaruh PAS, khususnya di Selangor. Ternyata andaian saya meleset. UMNO tidak menyerang sebaliknya saya diserang oleh ahli PAS dan rakan-rakan sendiri, yang hadir dalam mesyuarat bersama dan sering berjumpa sama. Kenapa mereka tidak datang jumpa dan bincang terus, kenapa perlu menggunakan media untuk menyerang JK Disiplin yang ditubuh oleh parti dan mempunyai hak dan kelayakan dalam perlembagaan parti? Apa untung bagi parti dengan tindakan tersebut?

Saya sebenarnya cuba untuk menjawab tohmahan itu, tetapi sebarang jawapan hanya akan menimbulkan polimik yang lebih besar dan berpanjangan. Tambahan pula ada beberapa fakta yang ditemui tidak sesuai jadi tatapan umum. Cuma saya bertanya sendirian, kenapa UMNO tidak mengambil kesempatan menyerang sedangkan mereka telah membentuk pemikiran massa ke arah itu. Bahkan yang hebat menyerang adalah ahli PAS atau penyokong PAS. Mungkin kerana simpati terhadap Khalid Samad, atau geram dengan Hassan Ali.

Komentar dari Abdullah Karim saya anggap melampau dan saya difahamkan Dewan Pemuda Pusat akan melakukan sesuatu, dan Pejabat Agong juga akan bertindak. Beliau sebenarnya telah menghantar surat memaklumkan akan mengikuti isteri ke luar negara dalam tempoh yang panjang, dan sehubungan itu beliau melepaskan semua jawatan dalaman parti dan jawatan di peringkat Negeri Pahang. Mesyuarat telahpun menerima permohonan beliau.sayangnya saat-saat akhir sebelum beliau keluar Negara, kesempatan diambil untuk menyerang JK Disiplin Parti. Kritik kemudiannya tinggal.

Saya dukacita kerana beliau seorang peguam, yang memahami prosedur hukuman dan siasatan. Kita tidak boleh menghukum berdasarkan andaian dan kehendak massa. Hukuman mestilah berdasarkan fakta yang kita temui dalam siasatan. Seandainya ada fakta yang terselindung atau yang tudak dikemukan sebagai bahan kes, maka kita tidak boleh mengambilnya sebagai alasan penghakiman. Memang saya akui bahawa beliau ada menghantar satu laporan kepada JK Disiplin, tetapi saya telah maklumkan prosidur bahawa dia kena hantar kepada SU Agong untuk dibuat penilitian, kesahihan penama-penama yang disebut, apakah ia benar ahli PAS atau bukan, sejauh mana ada kes yang boleh dirujuk kepada JK Disiplin atau kes hanya melibatkan urusan pentadbiran parti.

JK Disiplin adalah hakim, bukan badan untuk menyiasat. Takkan beliau tak faham, semua parti politik mempunyai mekanisma yang sama. Bahkan dalam prosedur perundangan biasa pun, mana ada seorang yang dituduh terus diheret di hadapan hakim untuk bicara. Pihak polislah perlu menyiasat, mencari bukti dan menentukan apakah ada kes sebagaimana yang dituduh atau tiada kes. Aduan yang dia buat hanya berupa ‘hear say’, dan dia juga faham dan sudah diberi tahu bahawa aduan beliau tidak boleh diambil tindakan, hanya dengar cakap, tiada bukti. Untuk memanggil orang yang berkenaan dalam pertuduhan beliau, penama tersebut bukan ahli PAS. Kita tiada kuasa memanggil bukan ahli dan apa jaminan ianya tidak bertindak merosakkan nama baik parti sekiranya dipanggil. Ini JK Disiplin parti, untuk menjaga ahli agar tidak melakukan tindakan merosakkan nama baik parti, dan bertindak diluar perlembagaan parti.

Apa yang mendukacitakan saya ialah saya telah jelaskan bahawa inilah prosedur laporan disiplin parti, yang telah diamalkan sejak awal penubuhan parti lagi, dan beliau memahaminya dan menerimanya pada waktu itu, tapi kenapa tiba-tiba dia sanggup mengeluarkan kanyataan menyerang prosedur tersebut. Soal dia tidak berpuas hati dengan hukuman ke atas tertuduh, saya pelik bukan dia yang kena tuduh. Bahkan kalau kita baca tulisan YB Khalid sendiri dia rasa puas hati bilamana segala dakwaan beliau terhadap Hassan Ali dibuktikan benar oleh JK Disiplin, sehingga Hassan Ali didapati bersalah dan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang merugikan PR dan parti. Yang kena hukum berpuas hati, yang tak ada kena mengena pulak tak puas hati.

Sebagai pimpinan kita sepatutnya menyalurkan komentar melalui saluran parti dan memelihara adab dalam jamaah. Semua harus fikir apakah tindakan yang kita lakukan itu menguntungkan parti atau sebaliknya, kerana kenyataan kita bukan keputusan perbicaraan, yang terpaksa berdasarkan fakta dan bahan yang ada di hadapan kita.

Kepada Allah saya memohon ampun andainya tindakan yang diambil tidak tepat dengan apa yang sepatutnya; dan semoga Allah tidak membebankan saya dengan bebanan yang lebih berat di akhirat. Ingatlah, kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah.

Wassalam.

http://www.harakahdaily.net, copy paste 5 Feb. 2010

Sekadar demonstrasi parpu, memo tidak ditandatangani

Mohd Sabri Said   
PULAU PINANG, 5 Feb: Pada dasarnya demonstrasi di Masjid Simpang Enam, Jalan Macalister selepas solat Jumaat tengah hari tadi tidak menepati sasaran sebaliknya lebih kepada 'demonstrasi parpu' kerana tiada langsung memorandum yang ditandatangani oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa kurang senang dengan kerajaan negeri.

Timbalan Yang Dipertua PAS Bukit Bendera, Saiful Lizan Mohd Yusuf ketika mengulas peristiwa tersebut berkata, kemungkinan NGO yang dikatakan bersama tidak mahu dicap sebagai petualang membantu parti yang berkefahaman sempit atau parti yang sudah bocor, dayungnya patah, sauhnya tertanggal dan layarnya koyak rabak.

Beliau secara sinis mengajak Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang turut serta berdemo tinggal di Pulau Mutiara bagi membantu masyarakat Melayu yang rata-ratanya daif dari segala segi ekoran perbuatan Umno sendiri yang berkuasa tetapi tidak berusaha untuk menyelamatkan bangsa sendiri.

"Mai lah duduk di sini dan memperjuangkan kedudukan Melayu jika gentleman. Bila duduk sini dia akan tahu punca sebenar dan tentunya menghala meriam pada rakan taulan yang memimpin Umno pula," tegasnya yang juga Ahli Jawatankuasa Tanah dan Wilayah PAS Pusat.

Selain Ibrahim yang ‘diimport’ ke demonstrasi itu, turut menonjol sebagai 'hero' ialah Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Karim.

Lain-lain organisasi yang dikatakan teraniaya hanya menghantar wakil tetapi tidak ke hadapan untuk menyuarakan hak mereka yang didakwa tertindas di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, sebaliknya menjadi pemerhati dari jauh.

Jelas sekali Ibrahim bagaikan 'burung kakak tua' apabila berucap berpandukan teks yang diberikan tidak sepertimana biasa dan sekaligus menunjukan beliau tidak memahami situasi politik sebenar serta tidak tahu hujung pangkal peristiwa terbabit.

Sepatutnya program disusuri dengan penyerahan memorandum yang ditandatangani oleh berbagai NGO yang kurang senang terhadap kepimpinan Ketua Menteri selesai begitu sahaja walaupun pihak polis memberi ruang seluas-luasnya kepada mereka menunjukkan bantahan.

Peristiwa itu boleh disamakan dengan bantahan di luar perkarangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bulan Disember lalu di mana pasukan polis hanya berdiri 'tercegat' tanpa bertindak melibas dengan cota anggota penunjuk perasaan.

Suasana hiruk pikuk dengan teriakan maki hamun dan cerca mencerca dari peserta demo membuktikan tindakan tidak beradap dan kurang ajar.

Paling mengejutkan kenapa tiba-tiba ahli politik yang terkenal dengan 'politik lompat' itu berada di tengah-tengah peserta demo yang rata-rata merupakan muka yang lazimnya mendapat habuan di era pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini

http://www.harakahdaily.net 5 Feb. 2010

Khamis, Februari 04, 2010

Disaran sertai pembangkang

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah disaran meninggalkan UMNO dan menyertai parti pembangkang khususnya Pas.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, langkah itu akan membolehkan Tengku Razaleigh untuk mengecam kerajaan dengan bebas.

"Tinggalkan UMNO dan masuk Pas kalau dia benar-benar mahu bersekongkol dengan pembangkang dan teringin untuk menjadi Perdana Menteri," tegasnya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tengku Razaleigh bahawa UMNO boleh mengambil sebarang tindakan ke atasnya berikutan kenyataannya yang bertentangan dengan Kerajaan Pusat berhubung bayaran royalti minyak kepada Kelantan.

Tambah Syed Ali, Tengku Razaleigh sebenarnya berasa begitu seronok diberikan peluang berceramah di hadapan puluhan ribu pendengar.

"Beliau sudah lama tenggelam dan tidak berpeluang bercakap di hadapan orang ramai," katanya.

Jelasnya, Tengku Razaleigh telah lupa bahawa beliau masih merupakan pemimpin UMNO dan terikat dengan peraturan dan tatatertib parti.

Menurut Syed Ali, Tengku Razaleigh telah memilih jalan bertentangan dengan aspirasi parti, justeru adalah sebaik-baiknya beliau segera meninggalkan UMNO tanpa menunggu tindakan parti.

"Tengku Razaleigh telah memilih jalan singkat supaya dia dilihat masih popular dengan berada di pentas pembangkang," katanya.

Syed Ali tidak menolak kemungkinan Ahli Parlimen Gua Musang itu mengambil peluang dengan 'ketiadaan' Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meraih populariti.

Beliau turut menjelaskan, sememangnya Tengku Razaleigh dan Anwar mempunyai impian yang sama untuk menjadi Perdana Menteri.

"Mungkin menyedari impian Anwar semakin hancur berikutan kes liwat, maka inilah peluang Tengku Razaleigh untuk menjadi juara," ujarnya.

Syed Ali kecewa kerana perbuatan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana UMNO khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengamalkan dasar 'tutup pintu' kepada pemimpin parti untuk menyuarakan pendapat.

"Pada saya, Perdana Menteri sudah tentu bersedia bersemuka dengan Tengku Razaleigh jika beliau ikhlas untuk berbincang isu royalti minyak di Kelantan," katanya.

Menurut beliau, Tengku Razaleigh sebagai pemimpin veteran sepatutnya lebih mengetahui bahawa kepentingan parti lebih utama daripada agenda peribadi.

Utusan Malaysia 4 Feb. 2010

Percubaan kedua jatuhkan karier politik: Anwar

KUALA LUMPUR - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kes perbicaraan liwat yang dihadapinya kini adalah percubaan kedua untuk menjatuhkan karier politiknya. 
 
Menurutnya, ia adalah taktik kotor kerajaan yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memperkuatkan fitnah terhadapnya sehingga rakyat keliru terhadap perkara sebenar. 

“Apa yang berlaku adalah niat jahat untuk jatuhkan kredibiliti saya sebagai ahli politik, ini telah berlaku dulu, kita harus ingat, dan berlaku lagi pada hari ini.

“Dahulu, mereka mendakwa terjumpa 13 tompokan air mani di atas tilam, tetapi selepas tiga bulan mereka batalkan pula tuduhan itu,” katanya kepada media selepas menghadiri perbicaraan kes liwat di Mahkamah Jalan Duta semalam.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menjelaskan beliau yakin dengan barisan peguamnya untuk menangkis serangan-serangan dari pihak Pendakwa Raya.

“Hari ini (semalam) peguam kita mendengar keluhan dan keterangan, esok (hari ini) kita akan soal balas, di situ kita akan dapat maklumat lebih jelas dan menyerang semula pihak mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin pula menyifatkan keterangan oleh Saiful di dalam mahkamah semalam seolah-olah merendahkan dirinya sendiri dan mengaku sebagai seorang yang kurang pandai.

Sinar Harian 4 Feb. 2010

Ku Li tidak akan keluar UMNO - Ibrahim

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak mungkin keluar UMNO walaupun didesak berbuat demikian oleh sesetengah pihak ekoran pendiriannya yang berbeza dengan parti itu dalam isu royalti minyak Kelantan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau yakin Razaleigh tidak akan berpaling tadah kerana beliau begitu sayangkan UMNO.

"Malah saya ingat lagi Ku Li pernah berseloroh dengan saya bahawa dia juga akan mati sebagai ahli UMNO," katanya pada sidang akhbar di pejabat Perkasa di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Gua Musang itu yang berdiri di pentas pembangkang ekoran tidak puas hati dengan isu royalti minyak rakyat Kelantan di Stadium Sultan Mohamad IV di Kota Bharu baru-baru ini.

Ibrahim bagaimanapun mempertahankan tindakan Ku Li itu kerana katanya, dia begitu faham dengan falsafah dan pendirian Razaleigh yang juga pernah menjadi mentor beliau di dalam politik.

"Biasalah jika ada rasa tidak puas hati kerana bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pun pernah keluar UMNO kerana rasa tidak puas hati tetapi kemudian kembali semula," katanya.

Mengenai isu royalti minyak, Ibrahim berkata, beliau juga memberi tempoh selama sebulan kepada kerajaan Pas Kelantan supaya menyelesaikan isu royalti tersebut.

"Pas seolah-olah sengaja menggunakan isu ini untuk menjadi 'hero politik' dan sebagai modal pilihan raya dan bukan membawanya ke mahkamah untuk diselesaikan.

"Saya sudah bersedia dengan pasukan peguam dan sediakan afidavit untuk membawa kes ini ke mahkamah kerana ini sahaja jalan terbaik bagi mencari kebenaran," katanya.

Ibrahim juga menyelar sikap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam untuk memberi sokongan moral kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perbicaraan kes liwat.

"Dapat cutikah beliau untuk datang ke mahkamah bagi menyokong Anwar," katanya.

Beliau menganggap Nik Aziz sepatutnya tidak berada di situ kerana banyak tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar yang perlu diselesaikan.

"Tidak sepatutnya seorang MB mendengar perbicaraan liwat yang saya anggap nak sebut pun begitu 'jijik'," ujarnya.

Utusan Malaysia 4 Feb. 2010