Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Khamis, Februari 04, 2010

Saya hanya mahu tunai amanah Tun Razak: Ku Li

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, semalam, menjelaskan kehadiran beliau memberi ceramah di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu atas jemputan 52 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Kelantan dan Terengganu, bukannya di pentas Kerajaan Negeri pimpinan Pas.

Malah, beliau menegaskan kedatangan beliau itu untuk menunaikan amanah Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua yang mahu hasil minyak diagih-agihkan kepada negeri-negeri di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak sekiranya ada minyak di pesisiran pantai negeri berkenaan.

“Saya bukan hadir perhimpunan di Kelantan itu kerana saya hendak sokong Pas... Tidak... Saya ahli UMNO.

“Kebetulan saya bekas Pengerusi Petronas yang asal dari Kelantan. Kalau rakyat di sana hendak saya jelaskan mengenai Petronas dan Akta Kemajuan Petroleum 1974, apakah saya tidak patut pergi? Saya kena bagi penerangan. Saya bukan fikir soal Kelantan saja, tapi juga soal seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, pada zaman pemerintahannya, Tun Abdul Razak sememangnya mahukan hasil minyak diagih-agihkan kepada negeri-negeri di Pantai Timur untuk membangunkan Kelantan, Terengganu dan Pahang selain di Sabah dan Sarawak.

Katanya, formula pemberian lima peratus daripada hasil minyak kepada negeri-negeri berkaitan, adalah hasil rundingan dengan Ketua Menteri Sarawak, Abdul Rahman Yaakob yang pada masa itu, mendakwa kerajaan pusat tidak ada hak ke atas minyak di Sarawak.

“Tun Razak seronok sangat kerana Pantai Timur boleh dapat faedah walaupun tidak nampak tanda ada minyak, tapi tahu sekurang-kurangnya di offshore.

“Sebab itu kita buat Akta Kemajuan Petroleum itu, menyatakan bahawa kalau jumpa minyak di offshore di mana-mana negeri, maka negeri itu akan mendapat lima peratus sekiranya negeri-negeri itu meletak hak seluruh hasil minyak kepada Petronas. Jadi, jelas, tidak ada apa yang hendak dipertikaikan,” katanya.

Tengku Razaleigh berharap Petronas menjalankan tugas dan tanggungjawab berdasarkan yang termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974.

“Saya bukan paksa Petronas atau Kerajaan Pusat bayar kepada Kerajaan Negeri (Kelantan) tapi ini mereka (Petronas) sendirilah kena ikut perjanjian itu.

“Dia (Petronas) menerima amanah ini dan tidak boleh hendak berdolak dalik dan kena menasihat kerajaan bahawa inilah yang sepatutnya dilakukan. Kalau tidak, apa ertinya ada perjanjian antara negeri dan apa ertinya persekutuan,” katanya.

Menjawab dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan bercanggah apa yang dikatakannya 10 tahun lepas mengenai isu sama, katanya: “Saya tidak pernah kata itu, takkan saya nak bercakap bercanggah dengan apa yang saya buat. Saya tidak nyanyuk lagi.”

Ahli Parlimen Gua Musang itu dilaporkan berucap pada malam ceramah Perdana Royalti Minyak di Stadium Mohamad IV, Khamis lalu. - Bernama

Sinar Harian 4 Feb. 2010

Gigi usia 100,000 tahun ditemui


WARSAW - Sekumpulan saintis Poland kelmarin menyatakan mereka menemui tiga batang gigi manusia purba Neanderthal yang tinggal hidup 80,000 hingga 100,000 tahun lalu.

GAMBAR salah satu batang gigi manusia Neanderthal yang ditemui di sebuah gua di Poland.


Menurut seorang arkeologi dari Universiti Szczecin, Mikolaj Urbanowski, sebelum ini artifak manusia zaman itu telah ditemui di Poland tetapi gigi tersebut ditemui buat kali pertama di negara berkenaan.

Urbanowski berkata, gigi itu ditemui di Gua Stajnia bersama peralatan batu api dan tulang gajah gergasi serta badak yang hidup pada zaman Ais.

Dia berkata, beberapa penyelidik turut menemui tukul yang diperbuat daripada tanduk rusa dan tulang beruang gua yang menunjukkan haiwan tersebut dimakan oleh penduduk zaman itu.

"Beruang gua itu besar dan merupakan haiwan yang berbahaya dan ia sekali gus menyokong dakwaan bahawa manusia purba tersebut merupakan pemburu yang cekap," katanya. - AP

Kosmo! Copy Paste 4 Feb. 2010

Rabu, Februari 03, 2010

Saranan Najib wajar disahut rakyat: Ahli akademik

SHAH ALAM –Ahli akademik menyifatkan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewajarnya disahut walaupun ada yang menganggap negara ini berada di persimpangan perpaduan rakyat.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian berkata, rakyat tidak seharusnya berpecah sebaliknya perlu bersatu padu untuk membendung cubaan liar yang menggugat keharmonian negara.

“Insiden yang berlaku baru-baru ini sepatutnya mematangkan masyarakat untuk menghormati, memahami dan menerima kedudukan demografi negara ini yang terdiri dari pelbagai etnik.

“Jika ini dilakukan oleh semua masyarakat semestinya cubaan gugat keharmonian negara dapat dielakkan malah negara kita akan bertambah kuat berikutannya wujudnya perpaduan kaum,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.:

Menurutnya, perlembagaan harus diiktiraf sebagai asas yang mempertahankan kedudukan keseluruhan masyarakat tanpa memilih.

“Ini bererti semua berhak menggunakan perlembagaan. jika mereka selesa dengan sesuatu perkara yang ada di dalamnya,”katanya.:

Di Sivamurugan berkata,pendekatan itu adalah yang terbaik untuk meningkatkan tahap penerimaan masyarakat untuk terus bersatu bukan sebagai penghalang di sesebuah negara.:

Beliau berkata, dalam membendung masalah ini dari terus berlaku untuk masa akan datang semua pihak harus memainkan termasuklah keluar, media, pemimpin politik, sekolah rakan dan agensi kerajaan.

“Mereka sepatutnya mengadakan aktiviti dan program yang boleh memperkukuhkan perpaduan.

“Dialog secara tertutup perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukan bermusim dalam meningkatkan pemahaman kepelbagaian agama dan etnik. Perkara ini boleh dimulakan antara pemimpin agama dan politik,”katanya.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, meskipun ada jenayah yang cuba memporak-perandakan negara, tidak sepatutnya rakyat berpecah tetapi perlu bersatu.

“Masyarakat perlu mematuhi gesaan dan saraan Najib kerana ia mampu mengembalikan keharmonian negara yang semakin dilihat tercalar berikutan insiden melibatkan beberapa serangan terhadap rumah ibadat baru-baru ini,”katanya.

Sinar Harian 3 fb. 2010

Pemuda, Wanita Gua Musang kecewa

GUA MUSANG 2 Feb.– Sayap Wanita dan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang hari ini meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Ketua UMNO bahagian itu, Tengku Razaleigh Hamzah kerana berceramah di atas pentas kerajaan negeri pimpinan Pas berhubung isu royalti petroleum di Kelantan baru-baru ini.

Kedua-dua pergerakan itu menyifatkan tindakan Tengku Razaleigh memberi impak yang tidak baik kepada UMNO amnya selain mengeruhkan lagi keadaan.

Ketua Wanita bahagian Datuk Wan Hazani Mohd. Nor berkata, kenyataan yang dibuat bekas pengerusi Petronas itu juga bertentangan dengan apa yang pernah beliau nyatakan semasa isu serupa berlaku di Terengganu.

“Ku Li (Tengku Razaleigh) tidak menceritakan keadaan sebenar isu tersebut seperti apa yang dinyatakan berhubung isu yang sama di Terengganu pada 10 tahun lalu.

“Kami kecewa dengan apa yang dilakukan Ku Li dan masih belum terlambat buat pemimpin kami perbetulkan keadaan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Sementara itu pada satu majlis di Kuala Krai, Pemuda UMNO Kelantan mencadangkan Majlis Tertinggi (MT) memanggil Tengku Razaleigh bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan beliau semasa ceramah itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Setiausahanya, Bazlan Baharuddin berkata Tengku Razaleigh wajar menjelaskan tujuan beliau menyertai kerajaan negeri mendesak kerajaan persekutuan agar memberikan royalti minyak kepada Kelantan.

“Memang barisan Pemuda berasa kecewa kerana pemimpin kami sanggup berbuat demikian tetapi apapun kami mahu penjelasan Ku Li,” kata Bazlan yang juga Ketua Pemuda UMNO Gua Musang.

Seorang veteran UMNO bahagian itu Sharif Mahmood, 58, berkata tindakan Tengku Razalegh itu menjadi bualan bagi anggota UMNO dan penduduk di sini.

“Ku Li yang kami sanjung ini sepatutnya menjadi orang tengah untuk menjernihkan keadaan dan bukannya seperti minyak yang membakar api,” katanya.

Sharif berkata anggota parti bahagian itu kini tertunggu-tunggu penjelasan Tengku Razaleigh mengenai perkara tersebut.

Bagi seorang pemilik kedai makan di Chiku 2 di sini, Abas Solihin, 42, dia nyata kecewa dengan apa yang dilakukan Tengku Razaleigh itu.

“Kami terkejut Ku (Li) sanggup diperkudakan pihak lain dan sebagai pemimpin yang kami hormati, janganlah kecewakan kami lagi,” katanya.

Dalam ceramah anjuran Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan kerajaan negeri di Kota Bharu baru-baru ini, Tengku Razaleigh antara lain berkata Kelantan berhak mendapat royalti minyak itu.

Kenyataan Tengku Razaleigh itu menimbulkan kontroversi memandangkan semasa menjelaskan isu serupa di Terengganu kira-kira 10 tahun lalu, beliau berkata negeri tersebut dan Kelantan tidak berhak ke atas royalti minyak tersebut. – BERNAMA

Utusan Malaysia 3 Feb. 2010

UMNO boleh ambil apa saja tindakan – Ku Li

KOTA BHARU 2 Feb. – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, UMNO boleh mengambil apa sahaja tindakan ke atas beliau kerana kemunculannya di pentas pembangkang bagi menuntut royalti minyak.

Namun beliau menyifatkan, desakan sesetengah pihak dalam UMNO agar beliau dikenakan tindakan disiplin sebagai suatu yang tidak relevan.

“Apa sahaja (tindakan) mereka hendak lakukan ke atas saya adalah tidak relevan.

“Isunya ialah apa yang undang-undang kata. Undang-undang ialah Akta Pembangunan Petroleum yang membawa kepada kelahiran Petronas dan memberi Kelantan dan Terengganu hak perundangan kepada lima peratus hasil minyak yang ditemui di pesisir (pantai),” katanya.

Reaksinya itu dilaporkan sebuah portal berita yang memetik kenyataan beliau dalam Astro Awani semalam. Semalam, media melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya tiada kuasa untuk bertindak ke atas Tengku Razaleigh, yang pendiriannya bertentangan dengan kerajaan Pusat berhubung bayaran royalti minyak kepada Kelantan.

Beberapa pihak membidas Tengku Razaleigh yang dianggap mempunyai agenda tersendiri apabila menyokong pembayaran royalti dan bukan wang ihsan kerana ia bertentangan dengan kenyataannya 10 tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula dilaporkan berkata, pucuk pimpinan parti akan meneliti ucapan Tengku Razaleigh dalam Ceramah Perdana Royalti Minyak di Stadium Sultan Muhammad Keempat di sini Khamis lalu.

Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata, sebagai Pengerusi Petronas ketika itu beliau menggubal akta berkenaan dan memeterai perjanjian-perjanjian berkaitan atas arahan Allahyarham Tun Razak, yang merupakan perdana menteri kedua.

Katanya, beliau mahu memastikan negeri-negeri miskin di Semenanjung mendapat faedah daripada minyak ditemui di pesisir.

Menurut Tengku Razaleigh, isunya sekarang bukan beliau sebaliknya soal perundangan dan hak rakyat dalam pertikaian mengenai tuntutan wang royalti petroleum.

Sehubungan itu, jelas beliau, UMNO boleh berbuat apa sahaja yang mereka inginkan.

“Lebih-lebih lagi mereka masih perlu berurusan dengan soal undang-undang dan menghadapi rakyat,” katanya.

Utusan Malaysia 3 Feb 2010

Cerita Bola: Kelab penyokong pertahan Sathia

Oleh KHAIRI MOHAMAD

PARA penyokong meminta pemain Kelantan mengetepikan isu remeh yang boleh menjejaskan prestasi pasukan dalam saingan Liga Super musim ini.

KETUA jurulatih Kelantan, B. Sathianathan boleh menarik nafas lega apabila dua kelab penyokong utama The Red Warriors tetap berdiri teguh di belakangnya. 

Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net) menyatakan pendirian bagi mempertahankan bekas pengendali skuad kebangsaan itu untuk terus mengemudi pasukan Kelantan.

Presidennya, Marhasim Mat memberitahu, pihaknya kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang disifatkan sebagai 'api dalam sekam'.

SATHIANATHAN


Menurutnya, usaha dan gerakan tersebut dilihat cuba untuk memecah belahkan pasukan.

"Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba menjatuhkan pasukan dengan melaga-lagakan pemain mahupun cuba menjatuhkan jurulatih.

"Ini adalah sikap orang-orang yang tidak boleh melihat orang lain lebih hebat daripada mereka, sedangkan mereka sendiri tidak mampu sekiranya diberikan tugas tersebut," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, beliau dan seluruh ahli kelate.net masih lagi menaruh kepercayaan serta harapan kepada ketua jurulatih Kelantan itu untuk menerajui pasukan.

Katanya, masih terlalu awal untuk mengukur kemampuan Sathianathan dan sasaran pihak pengurusan adalah sehingga penghujung musim ini.

"Kita baru melalui tujuh perlawanan dan perjalanan ini masih panjang, sepatutnya kepincangan pasukan diuruskan dengan lebih berhemah dan bukannya menuding jari menyalahkan orang lain.

"Saya yakin dan percaya bahawa Kelantan mampu mengulangi pencapaian musim lepas berdasarkan pemain yang ada musim ini," ujarnya.

Sementara itu, Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK) turut menyatakan pendirian yang sama dengan mempertahankan kedudukan Sathianathan.

Setiausaha KPBSK, Azman Mohd. Noor berkata, berdasarkan tujuh perlawanan lalu prestasi Kelantan tidaklah terlalu teruk berbanding musim lalu.

"Musim lepas kita tewas di Terengganu dan Perlis tetapi musim ini kita mencatat keputusan seri dan ia suatu yang positif untuk kita sama-sama menilainya.

"Memiliki pemain bintang bukan bererti kita mesti menang dalam semua perlawanan, jika kita rasa kita kuat, kita kena ingat orang lain juga kuat," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekecewaan apabila sesetengah pihak turut mempertikaikan pelantikan Indra Putra Mahayuddin sebagai ketua pasukan.

"Siapa sahaja boleh dilantik sebagai kapten sama ada dia anak Kelantan atau tidak, itu bukan isunya. Selagi dia layak dia berhak mengepalai pasukan.

"Mereka (pemain) adalah pemain profesional dan saya harap jangan ada penyokong di luar sana cuba untuk mengeruhkan keadaan dengan isu remeh seperti ini," jelasnya.