Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Rabu, Februari 03, 2010

Debat umum bukan cara terbaik: Saifuddin

SHAH ALAM – Tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menuntut wang royalti minyak untuk Kelantan di pentas terbuka bukan cara terbaik kerana isu itu boleh diselesaik an tanpa perdebatan umum.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Tengku Razaleigh tidak patut biarkan dirinya diperkudakan pembangkang dan sebagai orang lama dari parti pemerintah, beliau sepatutnya sebati dengan pemikiran pucuk pimpinan.

“Saya menghormati Ku Li sebagai orang berpengalaman dalam politik. Saya percaya kepada hak untuk berfikiran bebas dan bersuara namun apa yang dilakukan ada batasnya. Kerajaan telah berlaku adil dengan memberikan wang ihsan RM20 juta kepada Kelantan.

“Ku Li sepatutnya menggunakan kedudukannya sebagai bekas menteri untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi menyampaikan hasratnya itu bukannya secara terbuka. Kesnya kini sedang diteliti oleh Biro Politik parti. Tunggu apa keputusannya nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi Tengku Razaleigh yang tidak kisah jika dikenakan tindakan disiplin oleh parti berhubung kenyataannya yang menyokong Kerajaan Kelantan menuntut wang royalti minyak.

Saifuddin mengakui isu wang royalti minyak membangkitkan sentimen rakyat Kelantan akan mendatangkan implikasi besar terhadap UMNO-Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya ke-13.

Sinar Harian. 3 Feb. 2010

UMNO bebas ambil tindakan: Ku Li

SHAH ALAM – UMNO bebas mengambil apa sahaja tindakan yang mereka ingin terhadap saya,” kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata, beliau tidak gentar terhadap desakan sesetengah pihak dalam parti itu yang mahu beliau dikenakan tindakan disiplin kerana menyampaikan ucapan mengenai hak Kelantan mendapat royalti minyak di Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, baru-baru ini.

Menurutnya, isu itu bukan berkaitan dengan beliau, tetapi membabitkan ketetapan undang-undang mengenai royalti minyak dan hak Kelantan dan Terengganu.

“Undang-undang ialah Akta Pembangunan Petroleum yang membawa kepada kelahiran Petronas dan memberi Kelantan dan Terengganu hak perundangan kepada lima peratus hasil minyak yang ditemui di pesisir (pantai),” Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata melalui Astro Awani, semalam.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, ketika menjadi Pengerusi Petronas, beliau menggubal akta, merangka undang-undang dan menandatangani perjanjian atas arahan bekas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

“Beliau mahu memastikan negeri-negeri yang miskin di Semenanjung mendapat faedah dari minyak yang diperoleh di luar pesisir,” katanya.

Tengku Razaleigh, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, UMNO tetap akan berhadapan dengan undang-undang negara dan rakyat, walaupun parti itu mengambil tindakan tegas ke atasnya.

Katanya, tindakannya menyokong Kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak dan bukan wang ihsan, berdasarkan undang-undang.

Kontroversi royalti minyak Kelantan tercetus apabila Kerajaan :Kelantan menuntut royalti minyak daripada Kerajaan Pusat. Bagaimanapun, Kerajaan Pusat memutuskan memberi wang ihsan RM 20 juta.

:Selepas itu, Kerajaan Pusat menubuhkan jawatankuasa perundingan wang ihsan bagi membincangkan sebarang pandangan berhubung tindakan yang perlu dilakukan dengan wang ihsan yang akan disalurkan ke Kelantan kelak.

Namun, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak sebarang pelawaan daripada Kerajaan Pusat untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.

Isu royalti minyak Kelantan menjadi semakin hangat apabila Tengku Razaleigh bercakap di hadapan 40,000 orang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu dan menyokong Kerajaan Kelantan dalam tuntutannya.

Tindakan Tengku Razaleigh itu membangkitkan pelbagai persoalan dalam kalangan ahli parti UMNO, setengahnya marah dengan tindakannya itu.

Ada yang menuduh Tengku Razaleigh mempunyai agenda politik tersendiri dengan mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan yang dicadangkan oleh pakatan pembangkang dan ada yang mendesak beliau dikenakan tindakan disiplin.

Kelmarin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, UMNO Kelantan tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan seperti itu.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, hanya Majlis Tertinggi UMNO yang layak berbuat demikian.

Mustapa baru-baru ini mengumumkan Kerajaan Pusat akan menyalurkan RM20 juta wang ihsan mulai Mac ini kepada Kelantan. Jumlah itu adalah lima peratus daripada hasil perolehan gas dan petroleum di perairan Kelantan pada 2008.

Sinar Harian. 3 Feb. 2010

Pemuda Pas cabar UMNO

KOTA BHARU - Dewan Pemuda Pas Kelantan mencabar Pemuda UMNO negeri mengambil tindakan terhadap Tengku Razaleigh Hamzah sekiranya fakta yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang berkenaan isu royalti minyak adalah salah.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, Pemuda UMNO patut membuktikan bahawa mereka tidak bercakap kosong dan membuat kecaman di dada akhbar seperti mana yang berlaku kebelakangan ini.

“Pemuda UMNO harus buktikan bahawa mereka tidak bercakap kosong dengan menyatakan bahawa rakyat Kelantan tidak diperbodohkan oleh pemimpin seperti Ku Li sekali gus menafikan Pemuda UMNO hanya ibarat ayam berkokok ekor bergelumang tahi,” katanya.

Abdul Latif turut menyarankan agar Ku Li mengambil tindakan keluar dari UMNO dan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat terutamanya Pas yang terbukti istiqamah dan komited dalam memperjuangkan kebajikan dan hak rakyat.

Dalam perkembangan lain, Abdul Latif berkata, pihaknya bercadang agar Gerakan Bertindak Royalti Rakyat (Gegar) menganjurkan satu perhimpunan yang lebih besar di Kuala Lumpur yang melibatkan Ku Li dan pemimpin PR.

Di ALOR SETAR, Dewan Pemuda Pas Kedah membidas UMNO yang hanya berdiam diri terhadap tindakan Ku Li.

Ketuanya, Ahmad Yahya berkata, sikap berdiam diri itu membuktikan parti itu adalah pengecut untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap anggotanya.

“Saya hairan kenapa UMNO tidak merujuk Tengku Razaleigh kepada Lembaga Disiplin parti itu memandangkan pandangan beliau dalam isu royalti minyak tidak berpihak kepada UMNO,” katanya.

Ahmad berkata, UMNO seharusnya mencontohi pimpinan Pakatan Rakyat yang menghadapkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin dan Ahli Parlimen Bayan Bayu, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim kepada Lembaga Disiplin, ekoran lantang mengkritik anggota parti sendiri.

Sinar Harian 3 Feb. 2010

‘Tindakan Ku Li tidak boleh diterima’

Oleh NORILA DAUD
KUALA LUMPUR 2 Feb. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tindakan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menggunakan pentas pembangkang dalam isu tuntutan royalti minyak Kelantan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Menurut beliau, Tengku Razaleigh boleh menggunakan saluran lain seperti forum untuk menyatakan pandangan.

Kata Dr. Mahathir, beliau juga boleh berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bukannya menggunakan pentas parti pembangkang.

“Saya rasa ini tidak boleh diterima, saya sendiri akan menggunakan saluran seperti forum untuk suarakan pandangan saya.

“Tengku Razaleigh juga boleh bercakap dengan Perdana Menteri jika Perdana Menteri mahu berjumpa beliau,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan ASEAN Logics 2010 di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai tindakan Tengku Razaleigh menggunakan pentas pembangkang untuk menuntut isu royalti minyak Kelantan.

Ditanya sama ada tindakan Tengku Razaleigh itu boleh memecahkan undi BN di Kelantan, Dr. Mahathir berkata: “Ikut macam mana pun BN tidak boleh dapat balik Kelantan kerana mereka mempunyai pemikiran tersendiri’’.

Mengenai perkembangan politik di Pulau Pinang, katanya, kepimpinan kerajaan pakatan pembangkang semakin lemah apabila rakyat mula mempersoalkan kemampuan mereka menerajui negeri itu. 

Jelasnya, keadaan mereka bertambah sukar selepas bertindak merobohkan rumah setinggan dangerai-gerai makan tanpa lesen milik orang Melayu.

“Semasa berada di luar kerajaan memang senang untuk berkata apa yang mereka suka, tetapi apabila menjadi kerajaan dan bertindak merobohkan rumah setinggan dan gerai peniaga, ia telah menjadi isu yang amat sensitif,’’ ujarnya.

Mengenai kerajaan pakatan pembangkang yang semakin goyah di negeri itu, Dr. Mahathir berkata, sememangnya di antara DAP, PKR dan Pas tidak wujud persamaan.

Beliau turut mempertikaikan sikap Pas yang dahulunya enggan bekerjasama dengan bukan Islam dan mengkafirkan sesiapa yang menjalinkan hubungan dengan bukan Islam tetapi kini mengubah pendirian itu untuk mendapat sokongan pengundi bukan Islam.

Calon-calon yang dicari majikan

Oleh - Norden Mohamed

Di sebalik cerita-cerita pembuangan dan pemberhentian pekerja, skim pemberhentian sukarela iaitu voluntary separation scheme mahupun penutupan syarikat berikutan dengan masalah prestasi masing-masing, masih terdapat banyak lagi syarikat-syarikat yang tercari-cari pekerja baru.

Iklan-iklan di dada akhbar dan laman-laman web mencari pekerjaan masih melihat permintaan daripada pelbagai syarikat yang berkehendakkan pekerja baru berikutan dengan perkembangan bisnes masing-masing.

Ditambah pula, banyak juga perniagaan yang pada waktu dahulu tidak memerlukan pekerja yang ramai, kini sudah mula memerlukan warga kerja untuk menyudahkan pesanan dan tempahan para pelanggan yang kian bertambah. Kerja-kerja berupa industri belakang rumah pun sudah menggunakan mesin bagi pengeluarannya.

Kerana itu, perniagaan membuat rempeyek, bepang, kerepek dan jamu pun kini memerlukan tenaga kerja yang bukan sedikit. Dan perniagaan-perniagaan ini sudah tidak mengambil para pekerjanya melalui temuduga jalan-masuk atau walk-in interview semata-mata. Malah, syarikat-syarikat ini benar-benar menjalankan temuduga.

Calon-calon yang berkelulusan ijazah pun sudah diambil bekerja di syarikat-syarikat sebegini. Oleh kerana jurusan pembelajaran pada hari ini sudah begitu khusus, agaknya calon yang berkelulusan Ijazah Kulineri yang mengambil mata pelajaran Teknologi Kerepek sebagai kajian majornya ~ dialah yang akan terpilih!

Bagi syarikat-syarikat yang ingin menganjurkan temuduga, ia bukannya proses yang mudah. Calon-calon yang memohon pun semakin bertambah. Bagi setengah-setengah syarikat yang tersohor, berkarung-karung surat permohonan akan diterimanya setiap kali tawaran diwartakan. Itu tidak termasuk e-mel-e-mel peribadi atau permohonan langsung dari syarikat-syarikat mencari pekerja siber.

Sesuatu tarikh perlu diperuntukkan bagi sesuatu temuduga bagi sesebuah jawatan itu. Jika calon yang dicari adalah dari kalangan eksekutif, mereka yang terlibat sebagai penemuduga, tentulah para pegawai dari kalangan pengurusan syarikat. Sekurang-kurangnya pegawai berjawatan pengurus yang akan menjadi penemuduga. Panel temuduga sekurang-kurangnya tiga orang. Bayangkan masa (man-hour) yang diperuntukkan untuk mendapatkan calon.

Siapakah yang dipilih untuk menghadiri temuduga? Andai kata, syarikat berkenaan mengiklankannya, para pemohonnya boleh menjangkau melebihi 100 orang. Biasanya, dalam 100 pemohon, terdapat 90 calon berkelulusan untuk sesuatu jawatan itu.

Mengapa? Kerana kita sudah punyai berbelas universiti awam dan berpuluh-puluh universiti swasta. Justeru itu, kita mempunyai begitu ramai calon-calon yang berkelulusan. Mereka yang mempunyai CGPA atau markah gred purata kumulatif melebihi 3.00 pun semakin ramai.

Namun, daripada 90 calon yang berkelulusan itu, mungkin tidak sampai 10 orang yang berkelayakan untuk menjawat jawatan tersebut. Mereka yang berkelulusan sememangnya ramai. Tetapi yang berkelayakan itu amat sedikit. Ini yang menjadikan pencarian calon-calon yang berkelayakan semakin sukar.

Siapakah pula calon-calon yang berkelayakan? Atau, calon-calon yang bagaimanakah yang akan dicari majikan? Mereka tidak semestinya memperoleh tiga Anugerah Dekan untuk enam semester pengajian kerana mereka yang berkelulusan begitu sudah ramai. Yang dicari adalah calon-calon yang menunjukkan ciri-ciri kepimpinan dan yang ringan tulang.

Tiada ertinya menyertakan berpuluh-puluh sijil penyertaan kursus, bengkel, operasi khidmat siswa mahupun PLKN. Yang dicari adalah calon-calon yang pernah menjadi Pengerusi, Bendahari, Setiausaha ataupun setakat AJK Projek Khidmat Siswa, Persatuan Gamelan, Kelab Ragbi, Persatuan Catur ataupun Ahli Majlis Perwakilan Pelajar.

Ini adalah kerana mereka yang berjawatan dalam persatuan ada pengalaman menjadi ketua. Ketua dicari-cari oleh majikan dalam temuduga kerana mereka yang ada pengalaman memimpin, biasa mengambil keputusan, berbincang, bermesyuarat dan mengatur orang untuk melaksanakan sesebuah projek.

Mereka yang ringan tulang juga dicari-cari. Lagi banyak pengalaman sebagai jurujual, promoter di pasaraya, penjual burger, atau penghantar surat sebelum memohon jawatan, lagilah bagus kerana syarikat-syarikat pada hari ini berkehendakkan calon yang rajin dan berpengalaman bekerja sebagai orang bawahan. Orang yang biasa bekerja di peringkat bawahan mudah memahami dan mengambil hati para pekerja operasi. Pekerja operasi adalah golongan yang teramai di dalam sesebuah syarikat. Mereka seperti tentera bagi sesebuah syarikat. Mereka umpama semut yang membawa sebutir nasi untuk memenuhi pinggan syarikat.

Rupa paras yang cantik atau wajah yang tampan sudah tidak menjadi keutamaan. Ini adalah kerana, kecantikan dan ketampanan pada hari ini sudah begitu mudah diperoleh. Dengan pakaian yang sesuai, dandanan yang berpadanan, sesiapa sahaja boleh make-over menjadi hensem dan cun. Justeru itu ia hanyalah faktor yang membantu.

Namun x-factor calon-calon pilihan, tetap mereka yang berpengalaman memimpin dan yang ringan tulang. Mereka yang berani membuat keputusan dan lasak bergelumang dalam realiti kehidupan menjanjikan sinar buat syarikat. Mereka tidak akan terperuk di dalam zon selesa. Apatah lagi mempunyai herd mentality.

Sinar Harian. 3 Feb. 2010

Selasa, Februari 02, 2010

(Isu Palestin) Pegawai cuma diberi teguran


GAMBAR fail menunjukkan asap menjulang akibat serangan tentera Israel di pinggir Gaza dalam pada 8 Januari 2009.


BAITULMAQDIS - Tentera Israel memberi teguran terhadap dua pegawai kanannya kerana bertindak menggunakan peluru yang mengandungi fosforus putih di kawasan berpenduduk padat berhampiran kawasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa Perang Gaza pada tahun lalu, kata pihak tentera semalam.

Dalam satu jawapan rasmi kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pada Jumaat lepas bagi menjawab kecaman berhubung kekejaman tentera Yahudi sepanjang perang 22 hari itu, Israel menyatakan, seorang pegawai tentera berpangkat brigedier jeneral dan kolonel telah dikenakan tindakan disiplin setelah pihak tentera melakukan siasatan dalaman.

"Siasatan dalaman mendapati semasa operasi ketenteraan di Tel El Hawa, Gaza dilancarkan, tentera Israel membedil beberapa peluru meriam sekali gus melanggar peraturan peperangan yang melarang peluru meriam ditembak ke kawasan yang padat dengan penduduk," kata kenyataan itu.

"Dua pegawai tentera berkenaan yang didedahkan oleh media Israel sebagai Brigedier Jeneral Eyal Eisenberg dan Kolonel Ilan Malka didapati bersalah kerana 'melangkaui kuasa dengan cara yang boleh mengancam nyawa orang lain'," tambahnya.

Seorang jurucakap tentera berkata, kedua-duanya diberi teguran yang tercatat dalam fail peribadi mereka.

"Mereka dihukum kerana membedil kawasan yang sarat dengan penduduk dan bukan kerana menggunakan peluru fosforus," katanya.

Insiden tersebut berlaku pada 15 Januari 2009 apabila tentera Israel membedil peluru fosforus ke pekarangan ibu pejabat agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) di Gaza.

Undang-undang antarabangsa melarang penggunaan peluru fosforus di kawasan awam kerana ia boleh menyebabkan mangsa melecur teruk. - AFP

Kosmo! 2 Feb. 2010