Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Selamat datang ke laman blog kawe (saya). Apa yang terkandung dalam blog ini tiada kaitan dengan sesiapa mahupun mana-mana pihak. Ia hanya pandangan peribadi. Laman ini juga menggunakan / dilampirkan keratan, rencana, dan sumber daripada akhbar-akhbar tempatan. Terima kasih kerani sudi bertandang ke laman MyView @ ramboview.blogspot.com

Selasa, Februari 02, 2010

Cerita Bola: Wujud "Diskriminasi" media terhadap pasukan Kelantan?

Assamualaikum, salam sejahtera. Kawe ada catatan yang agak panjang untuk dinyatakan dalam ruang ini. Demo setuju atau tidak jika kawe katakan media Malaysia seolah-olah ada "diskriminasi' terhadap pasukan Kelantan? Mungkin penyataan ini akan menimbulkan polikmik atau rasa tidak puas hati di kalangan kita. Namun itu yang kawe lihat dan perhatikan.

Sebelum kawe memperlihatkan "diskrimisnasi" ini, kawe ingin mengajak kita imbas kembali detik peningkatan pasukan Kelantan pada era milenium. Tahun 2000 semasa Kelantan di bawah bimbingan K.Rajagopal, Kelantan menampakkan potensi dalam kancah bola sepak tempatan. Waktu itu kita ada Fatrorozi Razi (Bala Conde), Tengku Hazman Raja Hassan, Che Hisyamuddin, Shahrizan (penjaga gol), dan pemain-pemain lain. Waktu itu Kelantan dikatakan pasukan pilihan. Kelantan berjaya menempatkan diri ke tiga tempat terbaik dalam saingan liga. Waku itu juga kalau tidak silap kawe ketiga-tiga Negeri Pantai Timur menguasai liga. Penghunjung kancah akhirnya Kelantan tidak juga berjaya membawa apa-apa piala untuk penyokong-penyokong. Kelantan tewas kepada Terengganu pada peringakat separuh akhir Piala Malaysia. Dan tahun 2009 satu lagi detik manis Kelantan yang semua peminat bola sepak Malaysia mengetahuinya.

Sedar atau tidak, Kelantan pada waktu itu (2000) sehinggalah 2009 tidak mendapat tempat yang istmewa sepertimana pasukan-pasukan lain di Malaysia? Kawe ambil contoh pasukan Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan. Pasukan Selangor sentiasa mendapat perhatian dari mana-mana media. Setiap kemenangan, seri, malah kalau kalah sekalipun akan sentiasa mendapat perhatian media. Begitu juga dengan Kedah. Setelah Kedah berjaya menggondol tiga piala pada 2 tahun lalu, media sentiasa mengangkat Kedah. Tahun lepas misalnya, liputan terhadap Kedah sentiasa sahaja ada, sama ada menang, seri, kalah atau apa sahaja. Negeri Sembilan pula mendapat perhatian setelah menjuarai Piala Malaysia 2009.

Bukan tidak ada liputan terhadap Kelantan, ada liputannya, cuma kawe rasa ia kurang jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan lain. Kelantan sebenarnya bernasib baik kerana mempunyai penyokong yang ramai. Itu sahaja sebagai penyebab kepada media untuk mengambil sedikit perhatian kepada pasukan Kelantan. Ditambah pula dengan pencapaian pemain-pemain.

Sahabat ku, cuba demo semua perhatikan: bermulanya liga (9 Jan. 2010) sehinggalah hari ini (31 Jan. 2010) pasukan mana yan sering mendapat liputan dari media. Cuba tengok-tengok TV, mahupun surat khabar, pasukan mana yang menjadi "cover story" dalam sudut sukan..

Perhatikan... Jika ada kekacauan yang melibatkan penyokong Kelantan barulah ada liputan. Contoh, peristiwa April 2009 (ketika lawan Negeri Sembilan), Final 2009, dan lain-lain lagi. Final 2009 kalau tidak silap lebih seminggu menjadi topik perbualan sukan (mengenai gelagat penyokong).

Perlawanan akhir Puncak Piala Raja-raja Melayu yang melibatkan Perlis vs Kedah ada juga insiden yang tidak sepatutnya. Penyokong Kedah ada yang meluru masuk ke padang pada waku itu. Waktu itu, dan selepas itu, ada atau tidak liputan insiden penyokong Kedah s Perlis? Ada...tetapi hanya seketika. Namun yang pedihnya, ada media yang menyatakan gelagat penyokong yang berkelakuan buruk pada malam itu (final Perlis s Kedah) tidak ubah seperti penyokong Kelantan. Emh..dikaitkan juga dengan penyokong kelantan.

Sahabat, setakat ini dulu untuk kali ini. Jika ada kesempatan kawe sambung. Dan kepada mana-mana sahabat atau mana-mana pihak yang terlibat dengan media di Malaysia, kawe (saya) memohon maaf andai kata catatan kawe ini mengungdang rasa tidak puas hati di kalangan sahabat. Jika salah tolong perbetulkan. Kepada sahabat-sahabat ku penyokong Pasukan Pahlawan Merah, kawe arap demo buleh terimo pandege kawe ni deh. Sekadar pandange jah ni. Kalu telebih ko, tekure ko, kawe mitok maah..

Wassalam...

Cerita Bola: ‘Saya tak layan’






“SAYA tidak layan ‘serangan’ pihak tertentu yang mahu menggulingkan saya.”

Itulah pendirian jurulatih Kelantan, B. Sathianathan mengenai asakan pihak tertentu yang didakwa cuba menyingkirkannya.

Menurutnya, apa yang penting baginya ialah terus mendapat kepercayaan daripada anak buahnya dan pihak pengurusan bagi memastikan pasukan Kelantan terus meraih kejayaan dalam Liga Super musim ini.

Musim lalu, Sathianathan berjaya membawa perubahan kepada skuad Kelantan dengan membawa mereka mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2009.

“Saya akan membuktikan keupayaan dan tidak akan layan segala kerenah yang boleh menjejaskan prestasi saya sebagai jurulatih kerana azam saya ke sini ialah untuk membimbing pasukan The Red Warriors hingga ke mercu kejayaan,” katanya semalam.

Kelmarin, Presiden Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa ketika mengulas mengenai desas-desus wujud komplot untuk menggulingkan Sathianathan berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi pemain The Red Warriors yang berjaya menduduki tempat keempat dalam saingan Liga Super setakat ini.

Beliau menolak dakwaan bahawa mutu permainan pasukan Kelantan dalam saingan Liga Super musim ini merosot sejak dikendalikan oleh Sathianathan.

Sathianathan, yang juga bekas jurulatih kebangsaan berkata, kemampuan dan kelemahan jurulatih dan pemain, bukan boleh diukur pada satu atau dua perlawanan sahaja tetapi prestasi mereka secara keseluruhan.

Kosmo! 2 Feb. 2010

Cerita Bola: Sathianathan enggan ambil kisah

KOTA BHARU – Jurulatih pasukan bola sepak Kelantan, B. Sathianathan tidak peduli dengan asakan pihak tertentu yang didakwa cuba menggulingkannya daripada skuad The Red Warriors, yang dibimbingnya sejak setahun lepas.

Apa yang penting bagi dirinya ialah terus mendapat kepercayaan anak buahnya dan pihak pengurusan, untuk memastikan pasukan mencipta kejayaan dalam Liga Super musim ini, selepas berjaya membawa perubahan pada musim lalu.

“Saya akan membuktikan keupayaan dan tidak akan layan segala kerenah yang boleh menjejaskan pretasi saya sebagai jurulatih, kerana azam saya ke sini untuk membimbing pasukan Red Warriors hingga ke mercu kejayaan,” katanya semalam.

Kelmarin, Presiden Bola sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa ketika mengulas mengenai desas-desus wujud komplot untuk menggulingkan Sathianathan berkata beliau, berpuas hati dengan prestasi skuad Red Warriors yang berjaya menduduki tempat keempat dalam saingan Liga Super setakat ini.
Beliau menolak dakwaan bahawa mutu permainan pasukan Kelantan dalam saingan Liga Super musim ini merosot, sejak dikendalikan oleh Sathianathan.

Sathianathan, yang juga bekas jurulatih kebangsaan berkata, kemampuan dan kelemahan jurulatih dan pemain, bukan boleh diukur pada satu atau dua perlawanan sahaja, tetapi prestasi mereka secara keseluruhan. – Bernama

Utusan Malaysia 2 Feb. 2010

King Ghaz pahlawan bangsa

Allahyarham Tun Ghazali Shafie telah meninggalkan kita tetapi peristiwa beliau terselamat daripada nahas kapal terbang dan menjadi perunding pembebasan tebusan Tentera Merah Jepun pasti tidak dapat dilupakan rakyat negara ini.
KING GHAZ ketika berehat di Hospital Kuala Lumpur selepas terselamat daripada nahas kapal terbang pada tahun 1982.


TUN Ghazali Shafie telah meninggal dunia pada usia 88 tahun akibat sakit tua di kediamannya di Wangsa Baiduri Subang Jaya, Selangor kira-kira pukul 7.45 malam 24 Januari lalu.

Jenazahnya kemudian dipindahkan ke rumah adik perempuannya, Datin Yuhanis Shafie di Damansara Utama dan disembahyangkan di Masjid Al-Mujahiddin Damansara Utama sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan bersebelahan Masjid Negara.

Allahyarham yang popular dengan gelaran King Ghaz kerana sikap tegasnya dalam menjalankan tugas itu sememangnya layak digelar seorang pahlawan.

Allahyarham menang pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO pada 1981 selain mempunyai rekod berkhidmat di bawah empat perdana menteri bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga era Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menggigil
Peristiwa terselamat dalam nahas kapal terbang Cessna 206 yang beliau pandu pada 10 Januari 1982 di Hutan Janda Baik di sempadan Selangor dan Pahang merupakan perkara ajaib yang terjadi kepada dirinya.

Namun, dalam nahas itu, dua insan yang lain iaitu Ketua Jurulatih Kelab Penerbangan Diraja Selangor, Varghese Chacko dan pengawal peribadinya Charon Daan maut.

Menurut laporan akhbar, sebaik sahaja pesawat itu terhempas beliau serta-merta membuka pintu kapal terbang, menanggalkan tali pinggang dan melompat keluar.

"Saya berada dalam kebingungan dan yang terfikir ketika itu adalah untuk mencari orang menyelamatkan saya," ujarnya dalam laopran akhbar Utusan Malaysia bertarikh Selasa 12 Januari 1982.

Menurut sumber keluarganya, pesawat itu mendarat atas tumbuhan rotan dan King Ghaz telah melompat keluar.

PARA tebusan pengganas Tentera Merah Jepun dibawa keluar dari Bangunan AIA, Jalan Ampang.

Beliau kemudian menemui sebatang anak sungai dan peluang itu diambil untuk membersihkan dirinya sebelum mencari bantuan sehingga kegelapan malam menghalang beliau meneruskan perjalanan.

King Ghaz cuba melelapkan mata tetapi gagal kerana memikirkan nasib dua orang lagi penumpang pesawat selain bunyi babi hutan dan kancil yang mengganggunya.

"Malam itu begitu sejuk dan saya menggigil," katanya lagi.

Bagi menghilangkan haus dan membasahkan bibir, beliau minum sedikit air sungai. Perjalanan diteruskan dengan harapan untuk mencari kampung bagi mendapatkan bantuan namun dalam usaha itu beliau terjatuh dalam gaung yang penuh dengan air.

Dengan pakaian yang basah kuyup, beliau keluar dari takungan air itu dan ketika itu beliau melihat sebuah helikopter di ruang udara.

"Tetapi saya berada di bawah pokok dan mereka (pekerja penyelamat dalam helikopter) tidak dapat melihat saya walaupun saya melambaikan sapu tangan," katanya lagi.

Hanya selepas dijumpai oleh beberapa penduduk kampung barulah beliau tersedar telah berjalan jauh dari tempat nahas.

Di tempat pendaratan helikopter itu, King Ghaz telah ditarik naik dan diterbangkan ke Kampung Janda Baik yang menjadi pangkalan gerakan mencari dan menyelamat.

Ajaibnya, peristiwa itu tidak menghalangnya untuk terus memandu kapal terbang. "Sudah tentu saya akan terus memandu kapal terbang. Saya akan terus terbang selagi saya berkelayakan untuk mendapatkan lesen," katanya sambil memberitahu hanya dengan kehendak Tuhan beliau terselamat.

King Ghaz menerima lesen penerbangan pada tahun 1971 dengan mencatat hampir 2,000 penerbangan dalam tempoh 10 tahun.

Pakar runding
Satu lagi peristiwa yang tidak mungkin dapat dilupakan ialah kebijaksanaan King Ghaz menjadi perunding utama kerajaan dalam membebaskan sejumlah tebusan oleh lapan orang pengganas Tentera Merah Jepun (JRA) pada Ahad 4 Ogos 1975. JRA menawan seluruh tingkat sembilan Bangunan AIA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Bangunan tersebut turut menempatkan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Sweden. Puluhan kakitangan diplomatik dan orang awam ditawan kumpulan pengganas dari Negara Matahari Terbit itu.

Anggota JRA bertindak demikian kerana mahu memaksa kerajaan Jepun dan Sweden memenuhi tuntutan untuk segera membebaskan tujuh rakan mereka yang ditahan di penjara kedua-dua negara.

Seramai 53 orang termasuk pegawai Kedutaan AS dan Sweden dijadikan tebusan sebelum dibebaskan 79 jam kemudian dalam insiden penuh suspen yang turut mengejutkan seluruh dunia.

Kebijaksanaan King Ghaz terserlah apabila Perdana Menteri pada masa itu, Allahyarham Tun Abdul Razak mengadakan satu sidang akhbar khas di pejabatnya pada keesokan harinya membincangkan isu tersebut.

Tengah hari itu juga, King Ghaz yang merupakan Menteri Dalam Negeri tergesa-gesa pulang dari Jakarta untuk mengambil alih tugas Tan Sri V. Manickavasangam berunding dengan anggota Tentera Merah Jepun.

Malam berikutnya, sembilan orang dibebaskan oleh JRA, kesemuanya wanita dan kanak-kanak. Setibanya pengganas JRA ke kapal terbang DC-8 rundingan berterusan diadakan oleh Tun Ghazali melalui telefon. Tanpa mempedulikan rasa penat dan letih, King Ghaz menggagahkan dirinya demi keselamatan tebusan.

Hasil kepintaran King Ghaz akhirnya pihak JRA bersetuju membebaskan semua tebusan. Akhirnya, empat hari selepas menawan tingkat 9 Bangunan AIA di Kuala Lumpur, rundingan diselesaikan dengan kesemua tebusan dilepaskan di lapangan terbang. Enam butir bom buatan sendiri kepunyaan JRA juga diletupkan di hujung selatan landasan Lapangan Terbang Subang, Selangor iaitu jauh daripada khalayak manusia.

Tepat pukul 5.45 petang hari itu, kapal terbang DC-8 meninggalkan Subang. Pengganas Tentera Merah Jepun itu berlepas ke Libya dengan pesawat Penerbangan Jepun.

Pengalaman yang dilalui Allahyarham Tun Ghazali Shafie menunjukkan beliau seorang ikon negara yang hebat. Beliau ibarat satu dalam sejuta dan pengorbanannya untuk bangsa, agama dan negara pasti terus terpahat dalam sejarah negara ini.

Kosmo! Copy Paste on 2 Feb. 2010

Misteri Tutankhamun akan didedah



GAMBAR fail menunjukkan muka Firaun Tutankhamun.


KAHERAH - Hasil ujian asid deoxyribonucleic (DNA) diambil daripada mumia yang dipercayai Firaun Tutankhamun akan diumumkan pada 17 Februari ini, kata Ketua Antikuiti Mesir, Zahi Hawass kelmarin. 

Makam firaun itu yang meninggal dunia lebih 3,000 tahun itu ditemui oleh ahli-ahli arkeologi British di Lembah Raja-Raja pada 1922.

Pada Ogos 2008, pihak berkuasa antikuiti itu menyatakan sampel DNA telah diambil daripada mumia Tutankhamun bagi menentukan sama ada firaun tersebut bapa kepada dua janin yang ditemui di dalam makamnya.

Tutankhamun menjadi firaun semasa berumur sembilan tahun dan punca kematiannya menjadi pertikaian ahli-ahli sejarah dengan sebahagian mereka menyatakan dia meninggal dunia disebabkan kecederaan pada satu kakinya. Namun, beberapa ahli sejarah menyatakan dia dibunuh. Teori yang mendakwa Tutankhamun dibunuh diperkukuhkan dengan fakta bahawa dia merupakan pemerintah terakhir daripada dinastinya.

Tutankhamun menjadi terkenal kerana penemuan harta karun di dalam makamnya termasuk topeng muka emas seberat 11 kilogram - AFP

Kosmo! 2 Feb. 2010

Isnin, Februari 01, 2010

Cerita Bola: Annuar: KAFA tidak akan tunduk

Oleh KHAIRI MOHAMAD
ANNUAR mempertahankan pendirian KAFA untuk tidak tunduk dengan ancaman pihak-pihak tertentu yang berniat mahu memusnahkan skuad Kelantan.


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak akan tunduk dengan sebarang tekanan untuk memecat jurulatih ataupun pemain mereka berikutan prestasi kurang konsisten yang dipamerkan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, proses menukar ganti jurulatih atau pemain bukan semudah yang disangka dan sasaran masih jauh untuk menilai prestasi keseluruhan pasukan.

Menurutnya, The Red Warriors kini masih berada di landasan yang baik dalam memburu kejuaraan kerana mereka hanya dipisahkan empat mata dengan pendahulu liga.

"Bola sepak adalah suatu yang dinamik dan kita mempunyai sasaran. KAFA tidak akan bertindak mengikut tekanan, buang orang itu dan ini.

"Dalam bola sepak, satu campur satu campur satu adakalanya tidak menjadi tiga. Walaupun kita mempunyai ramai pemain bintang tidak semestinya kita satu pasukan yang kuat kerana dalam bola sepak keputusan adalah di luar jangkaan," katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, pasukan Kelantan akan kekal sebagai sebuah pasukan dan penilaian akan dibuat selepas kita sampai kepada benchmark yang ditetapkan.

Jelasnya, KAFA tidak akan tunduk dengan 'suara-suara' yang hanya mahu melepaskan perasaan dan mereka-mereka yang tidak tahu masalah yang dialami oleh pihak persatuan dan pasukan.

"Saya fikir kita belum mempamerkan aksi terbaik dan setakat ini pengurusan berpuas hati selepas tujuh perlawanan dengan tiga kemenangan, tiga seri dan satu kalah," ujarnya.

Dalam pada itu, Annuar turut menyarankan agar semua pihak termasuk kelab penyokong dan bloggers berfungsi dan menjalankan peranan dengan satu matlamat

Katanya, pihak-pihak ini mesti ada satu matlamat yang sama dan tidak boleh bertindak secara berasingan bagi menjamin kelangsungan masa depan bola sepak Kelantan.